Memandangkan pilihanraya umum ke-14 Malaysia semakin hampir, kumpulan pengundi terbesar yang belum lagi mendaftar telah menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli politik. Mereka adalah pemuda-pemudi dalam lingkungan umur dua puluh tahun, kaum milenium yang dilahirkan antara 1980-an dan 2000-an.
Menurut Suruhanjaya Pilihanraya, kumpulan pengundi yang layak mengundi tetapi tidak berdaftar adalah orang muda, dan mereka merangkumi sebanyak dua pertiga daripada 3.8 juta orang iaitu jumlah mereka yang masih belum berdaftar. Sebagai negara membangun dengan jumlah 17 juta pengundi, orang muda merupakan kumpulan pengundi yang besar.
Menurut tinjauan pendapat nasional yang diusahakan oleh Merdeka Center dan WATAN, sebuah NGO untuk memastikan belia mendaftar dan mengundi, alasan yang lazim diberikan termasuk: “Saya tidak mempunyai masa” dan “undi saya tidak akan memberi sebarang perbezaan”.
Tinjauan terhadap 604 belia berusia di antara 21 hingga 30 tahun di seluruh negara pada bulan Ogos tahun lepas itu menunjukkan bahawa apa yang paling penting untuk mereka adalah faktor ekonomi – inflasi, peluang pekerjaan dan keadaan ekonomi yang tidak stabil. Seterusnya, 70% mengatakan bahawa mereka tidak berminat dalam politik, dan 75% mendapati hal-hal politik amat mengelirukan.
Untuk menyimpulkan bahawa memang beginilah sikap golongan muda-mudi dan tiada harapan untuk kaum “milenium narsistik” sebenarnya tidak adil dan tidak benar. Sikap acuh tak acuh pada politik semasa adalah trend baru, dan sikap ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan pilihanraya umum tahun 2013 di mana pengundi muda memberi impak yang besar sehingga dapat mengayun undian keseluruhan.
Buat pertama kalinya sejak kemerdekaan, Barisan Nasional iaitu perikatan parti pemerintah kehilangan undi popular pada pilihanraya umum 2013. Dengan hanya 47% undi berbanding dengan parti pembangkang Pakatan Harapan yang meraih 51% undi, ia merupakan prestasi yang paling buruk dalam sejarah Malaysia. Dan walaupun dihujani tuduhan menukar-nukar sempadan (gerry-meandering) dan menyalahgunakan kuasa, perikatan Barisan masih berjaya meraih 60% daripada 222 kerusi Parlimen lalu menguasai Parlimen.
“Orang muda mahu melihat perubahan”
“Perasaan optimistik itu jauh lebih ketara dalam pilihanraya lepas. Sekarang mereka berasa sinis dan kurang berdaya,” kata Azmi Sharom, profesor undang-undang Universiti Malaya dan kolumnis politik. “Orang muda mahu melihat perubahan. Pada pilihan raya yang lalu, Barisan Nasional kehilangan undi popular, namun mereka masih mengekalkan kuasa. Jadi, (orang muda) dapat menyaksikan betapa rosaknya sistem pilihanraya.”
Barisan Nasional telah memerintah negara Malaysia sejak 1957, iaitu tahun Malaysia memperoleh kemerdekaan dari British. Seperti negara jiran Singapura, sistem politik Malaysia menggabungkan unsur-unsur demokrasi seperti pilihanraya umum, disamping membuat sekatan kuat terhadap kebebasan media dan sivil yang lebih menyerupai rejim autoritarian.
Freedom House dalam laporan dunia 2018 menggambarkan negara Malaysia sebagai “separuh bebas“, dengan skor agregat sebanyak 45 daripada 100. Ketidakpuasan dengan status quo telah mengakibatkan lima perhimpunan raksasa sejak 2010, di mana ratusan ribu penunjuk perasaan yang memakai T-shirt kuning membanjiri jalanraya dengan seruan, “Bersih!” untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.
“Kami patah semangat,” kata Maryam Lee, 26 tahun. “Dari tahun 2010 hingga 2013 sebelum pilihan raya umum ke-13, motivasi kami kuat, contohnya penglibatan orang muda dalam Occupy [Dataran], dan selepas itu kami menerima tamparan hebat di mana aktivis pelajar ditangkap dan segala aktivisme disekat oleh kerajaan. Institusi awam telah gagal memahami golongan muda. Semua ini (aktivisme politik) telah jauh perlahan selepas pilihan raya 2013 apabila Pakatan (perikatan pembangkang) kalah. ”
#UndiRosak
Sejak pembangkang kalah pada 2013, golongan muda telah kehilangan kepercayaan terhadap sistem politik. Ditambahkan dengan beberapa gerakan politik yang memalukan, misalnya Kajang Move, kepimpinan yang tidak berkesan serta perbalahan dalam pakatan pembangkang, orang muda telah beralih kepada kempen media sosial tanpa pemimpin yang bergelar #UndiRosak.

Maryam Lee telah menjadi mangsa serangan siber yang dahsyat atas sokongannya untuk #UndiRosak. Sebuah YouTube video yang memaparkan Lee berucap dalam satu forum #UndiRosak telah menjadi viral dan komen-komen yang berunsur seksis serta kata-kata ugutan seperti “kamu akan dikerat-kerat”, “pengkhianat”, “pemakan dedak”, “patut dirogol”, dilemparkan kepadanya dalam media sosial.
“Tetapi apa yang cetek ialah demokrasi yang tidak melampaui saiz kotak undi”
Walaupun majoriti yang membuat serangan siber ini adalah dari penyokong parti pembangkang, ia juga mengejutkan ahli-ahli politik pembangkang yang nescaya akan terkesan dengan kempen #UndiRosak.
“Saya faham mengapa orang muda memilih #UndiRosak. Pakatan tidak pernah melakukan apa-apa untuk memberi inspirasi kepada golongan muda. Ini sesuatu yang sangat mengecewakan,” kata Azmi. Apa yang akhirnya mematahkan semangat mereka ialah perlantikan mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohammad sebagai ketua pakatan pembangkang. Beliau ialah perdana menteri berusia 92 tahun yang memerintah Malaysia di bawah bendera Barisan Nasional selama 22 tahun.
“Mahathirlah orang yang menghalang demokrasi, yang membuat undang-undang untuk menyekat kebebasan di universiti serta menindas aktivis politik, dan dia tidak pernah meminta maaf. Kami orang muda bukannya tidak tahu atau tidak peduli. Kami tahu apa yang kita mahu, tetapi kedua-dua parti politik utama tidak memberikan kami sebarang alternatif,” kata Lee.
“Merosakkan undi adalah satu bentuk penyertaan pilihanraya yang sah. Ia membuka ruang untuk perbincangan yang lebih demokratik. Kami digelar “cetek” dan “naif.” Tetapi apa yang cetek ialah demokrasi yang tidak melampaui saiz kotak undi,” tambahnya.
“Demokrasi bukan hanya sekali dalam lima tahun”
Sama ada #UndiRosak mempunyai kesan yang cukup besar untuk mengayunkan undi belum dapat dipastikan. Undi rosak dalam pilihanraya Malaysia biasanya kurang dari 2% daripada jumlah undi keseluruhan.
“Kempen ini memerlukan tenaga – ini bermaksud, anda harus pergi mendaftar seawalnya, kemudian bangun pada waktu pagi dan pergi ke balai undi sebelum anda boleh merosakkan undi anda. Ia memerlukan banyak kerja. #UndiRosak hanya hashtag viral media sosial, mesejnya mudah dan ia memberi makna kepada ketidakpuasan segolongan dengan senario politik masa kini. Tetapi banyak yang diperlukan untuk pergi dari online ke offline, “kata Masjaliza Hamzah, pengarah eksekutif WATAN.
Masjaliza menyalahkan struktur politik yang tertutup dan kurang fleksibel yang menghalang golongan muda daripada menceburi arena politik.
“Pada tahap apakah golongan muda boleh memasuki gelanggang politik? Struktur dalaman parti politik tidak terbuka atau fleksibel untuk menerima orang muda. Ketiadaan pilihanraya tempatan menjadikan ia susah untuk anak muda menceburi gelanggang politik kerana mereka tidak mempunyai banyak wang atau jentera politik yang mampu menyokong mereka.”
Tetapi itu tidak bermakna orang muda tidak mengetahui atau tidak terlibat dengan masyarakat sivil. “Mereka sangat aktif dalam khidmat masyarakat seperti membantu golongan miskin, aktiviti yang mana mereka dapat melihat hasil secara langsung. Mereka sebenarnya terlibat dalam pelbagai jenis aktivisme, tetapi kurang dalam realpolitik,” tambah Masjaliza.
“Jika anda mahu perubahan, anda perlu mengundi”
Pelajar tahun ketiga Pengajian Strategik Antarabangsa, Lau Li Yang, berpendapat walaupun penyertaan politik di kalangan belia rendah, tahap masyarakat sivil semakin kuat. “Berbanding dengan zaman Mahathir, waktu itu tiada media sosial dan banyak maklumat yang disekat. Sekarang orang muda sudah lantang bersuara dan berorganisasi. Kekacauan dalam pakatan pembangkang, sebenarnya adalah perkara yang baik kerana ini adalah cara demokrasi berfungsi, “kata pelajar berusia 23 tahun itu.
Lau bagaimanapun, mengatakan dia tidak akan merosakkan undinya: “Setiap undi itu penting. Jika anda mahu perubahan, anda perlu mengundi. ”
Dengan munculnya media sosial, golongan muda mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan mereka. Mereka dapat menganjurkan dan memulakan sesuatu projek dari mana sahaja mereka berada. Mereka tidak melihat pilihanraya sebagai cara untuk perubahan berlaku semata-mata.
Fadiah Najwa Fikri dari Malaysia Muda, sebuah gerakan kiri yang mempunyai ikutan Facebook lebih daripada 2000 ahli, mengatakan bahawa proses dialog sudah lenyap dari ruang politik. “Ahli politik hanya bercakap tentang keputusan muktamad, tetapi kami tidak mahu memberi seluruh tumpuan hanya kepada pilihanraya. Apakah selepas itu? Bagaimanakah kita menjawab persoalanan tentang isu seperti tahap pekerjaan, pendidikan dan kebimbangan majoriti kelas pekerja seperti gaji dan kos sara hidup?”
Landskap politik Malaysia sedang mengalami perubahan, tetapi bukan lagi melalui pilihanraya tradisional. Ahli-ahli politik masih mengharapkan undi orang muda untuk menyokong mereka. Pertaruhan mereka mungkin tidak relevan lagi dengan perubahan zaman kerana golongan muda boleh menyuarakan pandangan mereka melalui media sosial dan mendapat sokongan kolektif untuk bertindak berdasarkan apa yang mereka rasa adalah penting untuk mereka. Bagi sesetengah pihak, ini mungkin satu-satunya cara untuk memecahkan monopoli penguasaan politik yang lapuk dan kurang memberi perhatian terhadap kebimbangan majorit rakyat.
Pemuda Malaysia bersuara
Jason Wong, 24, graduan Sains Alam Sekitar, Australia
Orang muda semakin kurang menerima secara bulat-bulat naratif politik arus perdana. #UndiRosak adalah bukti yang menarik yang sangat mengejutkan saya. Secara umum, terdapat pengertian di kalangan orang muda bahawa alternative lain diperlukan. Ini bererti terdapat banyak potensi untuk aktivis mengerjakan usaha mereka di kalangan golongan muda-mudi. Kita hanya perlu yakin bahawa kitalah yang mampu membawa penyelesaian.
Noor Atika, 26, pekerja kilang, Banting
Saya bekerja setiap hari tanpa rehat untuk overtime, agar cukup duit untuk sara hidup saya dan nenek saya. Saya tidak mempunyai masa untuk berfikir tentang politik. Orang di sekeliling saya memberitahu saya, undi kah tak undi pun tiada bezanya. Tapi kerajaan harus mengurangkan pekerja migran yang bersaing dengan rakyat Malaysia untuk peluang pekerjaan.
Asyikin Alias, 28, berasal dari Terengganu
Saya tidak optimis dengan hala tuju negara saya. Saya akan mengundi, tidak merosakkan undi saya. Sekiranya saya Perdana Menteri, saya akan melucutkan seluruh kabinet. Saya akan membawa ekonomi ke kawasan luar bandar supaya golongan muda tidak perlu meninggalkan kampung untuk ke bandar.
Shyukri Baharuddin, 25, bekerja di sektor swasta, Selangor
Saya baru sahaja tamat pengajian dan saya telah disenarai-hitamkan oleh PTPTN (pinjaman kerajaan untuk pendidikan tinggi). Isteri saya mengandung sekarang, dan saya ingin membeli sebuah kereta. Berapa lamakah saya boleh menunggang motosikal sahaja? Peluang pekerjaan dan gaji rendah. Ini adalah kesukaran yang perlu ditempuhi oleh golongan muda seperti saya.
Mukmin Natang, 24, pengundi kali pertama dari Sabah
Terdapat jurang pendapatan yang besar, serta banyak penindasan dan kemiskinan di Sabah. Saya telah menubuhkan sekolah informal untuk mendidik komuniti saya. Saya akan merosakkan undi saya melainkan ada calon yang layak. Saya mahu melawan parti pemerintah tetapi saya perlu bersikap adil. Saya sendiri tidak percaya kemampuan pembangkang, jadi bagaimana saya akan mengundi mereka?
Nurfahani Abdul Japar, 24, kumpulan etnik Bisaya, Sabah
Saya ingin melihat perubahan terhadap pemuliharaan alam sekitar. Industri minyak sawit membawa lebih keburukkan daripada kebaikan. Habitat haiwan dimusnahkan dan bumi dan manusia dieksploitasi. Saya akan menjadi sukarelawan agen pilihanraya untuk memastikan pilihanraya yang bersih dan adil. Walau bagaimanapun, saya mungkin merosakkan undi saya jika tidak ada calon yang layak.
Jay Rishi Selvakumar, 29, perunding kewangan, Kuala Lumpur
Sistem pendidikan kita berada dalam keadaan yang teruk. Ia tidak mendidik kita, ia satu industri membuat duit sahaja. Saya belajar apa yang saya perlu tahu dengan bekerja di dunia luar dan bagi saya, ia terbaik. Apa yang berlaku dalam pilihanraya akan datang ini, sama ada Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri atau tidak, hidup saya akan berterusan. Tapi saya tetap akan mengundi.
Jay Saw, 21, mahasiswa kejuruteraan tahun kedua, Universiti Malaya.
Kebebasan kewangan adalah paling penting bagi saya. Politik adalah merunsingkan, jadi lebih baik saya tidak membaca suratkhabar dan tidak tahu-menahu tentang politik. Kejahilan satu bentuk kebahagiaan.
Jika anda suka artikel ini dan ingin menyertai pergerakan kami untuk mewujudkan ruang untuk penyelidikan, dialog dan tindakan di Asia Tenggara, sila sertai New Naratif sebagai ahli – hanya US $ 52 / tahun (US $ 1 / minggu)!