Budaya Penjaja di Sebelah Sini dan Sana Tambak

Author: Kirsten Han, Foong Li Mei, Tuan Nini, Adriana Manan
Published:

Kesudahannya boleh diagak. Apabila Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. mengumumkan hasrat untuk mencalonkan budaya penjaja makanan Singapura untuk memasuki Senarai Perwakilan Kebudayaan Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO, warga Malaysia lantang melaungkan bantahan.

Di seberang Tambak Johor-Singapura, rencana Singapura di UNESCO dicemuh sebagai tindakan angkuh, atau satu lagi percubaan untuk mengumumkan kedudukan yang lebih tersohor. Di sebuah rantau di mana kaki-kaki makan sering bertekak tentang asal usul sebenar pelbagai juadah–dari yee sang ke cendol–impian negara bandar tersebut untuk menuntut pengiktirafan antarabangsa dianggap satu daripada pelbagai percubaan untuk menunjuk-nunjuk kepada rakan merangkap musuh terdekat.

Namun, pertengkaran berhubung hak milik dan warisan kelihatan cetek, lebih-lebih lagi kerana antara 1963 dan 1965, Malaysia dan Singapura membentuk negara yang sama. Jika dilihat melangkaui perbezaan buatan manusia seperti sempadan negara, masyarakat kian lama telah menganggap Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu sebagai satu rantau yang dicorakkan oleh perpindahan antara komuniti, budaya dan kapital.

Tambahan pula, pencalonan ke UNESCO bukan pengiktirafan citarasa—ia kurang ada kena mengena dengan mutu hidangan yang dijamu, dan lebih berkisar cara sebuah negara mengurus dan mengatur warga penjaja.  Meskipun tiada faedah mencetuskan peperangan makanan antara Singapura dan Malaysia, jika perkembangan dan cabaran semasa yang dihadapi industri penjaja di kedua-dua negara dikaji, pelbagai maklumat terpendam akan diperoleh berhubung cara kedua-dua negara ini mengorak langkah berbeza dari titik permulaan dalam sejarah yang dikongsi bersama.

Sumber keluhan pentadbir

Menjaja tepi jalan tidak unik kepada Singapura atau Malaysia—ia adalah pekerjaan dan amalan yang ditemui di seluruh dunia, dan wujud sebelum pembentukan dua negara bangsa di Asia Tenggara ini. Laporan dan artikel yang ditulis oleh pegawai penjajah British yang mentadbir kedua-dua wilayah mendedahkan ketegangan yang sudah lama wujud antara penjaja dan pihak berkuasa.

Pada 1872, Inspektor Jeneral di Singapura mengeluarkan notis untuk meyakinkan masyarakat umum bahawa, “bukan menjadi niat Kerajaan untuk masuk campur dalam urusan orang yang menjual barangan di jalanan, kecuali dalam kes mereka yang mendirikan gerai di lalu lintas awam dan menyebabkan halangan.” Notis tersebut, yang ditulis dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, dikeluarkan berikutan rusuhan yang tercetus pada Oktober tahun itu, disebabkan perasaan tidak puas hati dengan cara pihak polis melaksanakan peraturan yang diperkenalkan pada 1860 untuk menangani isu pensanitasian dan aliran trafik. Pada 1950, Franklin Charles Gimson, gabenor pasca-perang pertama di Singapura, mendirikan Suruhanjaya Menyiasat Penjaja untuk menangani isu berkaitan penjaja jalanan.

Hawker Culture - New Naratif
Tuan Nini

Pada 1965, Singapura meninggalkan Malaysia dan menjadi negara merdeka. Berikutan kemerdekaan, People’s Action party (PAP) memulakan ikhtiar jangka masa panjang untuk mendaftar dan memindahkan penjaja jalanan bergerak. Sebagai contoh, pada 1969, Menteri Kesihatan ketika itu, Chua Sian Chin, melaporkan bahawa seramai 1,689 penjaja dari 22 kawasan berbeza telah dipindahkan ke lokasi baharu. Pada 1971, kerajaan PAP mula membina pusat-pusat penjaja dengan hasrat memindahkan sekitar 18,000 penjaja jalanan. Subsidi kerajaan diagihkan, khususnya kepada para penjaja yang mengalami masalah kewangan, bagi melancarkan proses pemindahan dan memberi galakan kepada skim tersebut.

Sementara itu, di seberang tambak, Kuala Lumpur turut bergelut dengan penjaja bergerak dan haram, namun sering bertemu kegagalan. Kebingungan pihak pentadbir dicatatkan dalam satu artikel jurnal pada 1987 yang ditulis oleh James M. Anthony, dan diterbitkan oleh ISEAS-Yusof Ishak Institute. Artikel tersebut mengandungi kenyataan yang dibuat oleh seorang pegawai kesihatan daerah di Kuala Lumpur yang tidak dinamakan, yang telah menggambarkan penjaja haram sebagai, “pengganggu utama penjaja jalanan. Makanan yang dijual sering dicemar, dia menghalang lalu-lalang di jalan, setiap kawasan yang dikunjungi akan dirosakkan oleh kekotoran yang menjelikkan dan sampah-sarap, dan dialah titik tumpuan untuk rasuah […] dia bertambah-tambah sepantas amoeba.”

“Menangkap dan merampas harta benda penjaja tidak menyelesaikan apa-apa. Mangsa kempen pembersihan polis pulang semula ke jalanan untuk meniaga, selepas membayar saman atau menjalankan hukuman penjara yang singkat,” tulis James M. Anthony.

Sekitar 1960, serbuan polis yang sangat kerap menyebabkan ahli politik dan wakil penjaja meminta belas kasihan dan menyatakan bahawa penjaja jalanan bukanlah penjenayah tetapi individu berpendapatan rendah yang tekun berusaha untuk menyara kehidupan dan menampung keperluan keluarga mereka.

Berbeza daripada situasi di Singapura, penjaja-penjaja jalanan di Kuala Lumpur liat dan enggan mematuhi usaha untuk mengatur operasi mereka yang tunggang langgang. Satu sebabnya ialah usaha-usaha untuk memindahkan penjaja jalanan selalunya tidak praktikal. Menurut James M. Anthony, apabila dua kompleks penjaja pelbagai tingkat yang baharu siap dibina pada 1967, “satu boleh dikatakan berjaya dengan terhad, manakala lagi satu gagal dengan teruk.” Antara sebab kegagalan ialah lokasi yang tidak sesuai dan kos sewa yang tinggi. Demi meneruskan operasi mereka, para penjaja Kuala Lumpur memilih operasi tunggang langgang.

“Keaslian” dalam kekotoran

Hala tuju berbeza yang diikuti kedua-dua negara kini telah tersemat di minda masyarakat, dan membentuk cara masyarakat setiap negara menanggap makanan jalanan. Di Malaysia, keadaan yang terhasil demi “survival” kini dianggap ciri yang dibanggakan. Ramai warga Malaysia suka hidangan di penjaja yang tidak terurus atau kemas, kerana ini dilihat sebagai ciri-ciri yang membuktikan “keaslian” hidangan.

Di Malaysia, satu fahaman lucu berleluasa: kekotoran sesebuah kedai makan menandakan makanan yang dihidang lebih enak. Hanya tukang masak yang handal yakin untuk beroperasi pada tahap kebersihan yang mengerikan, begitulah katanya. Ini menjadi mitos kebangsaan yang lucu dan sering juga digunakan untuk mengejek Singapura dan strukturnya yang bersih, teratur dan berpandukan peraturan. Sebagai contoh: seorang wakil kerajaan Pulau Pinang mencadangkan agar Malaysia melancarkan usaha sendiri untuk memasuki senarai UNESCO, kerana budaya penjaja di Singapura tidak “begitu asli” memandangkan kerajaan mengawal operasi penjaja dengan ketat.

Tetapi “pemutihan” penjaja berlangsung sehingga hari ini di Kuala Lumpur. pemindahan gerai makanan dari pasar terbuka, seperti Pasar Imbi atau Pasar Pudu, kepada lokasi yang bersih—dan tidak kurang juga menyatakan “menghambarkan”—di dalam bangunan telah dijalankan atau sedang dirancang.

Hawker Culture - New Naratif
Tuan Nini

Kuala Lumpur berhasrat mengakhiri kewujudan penjaja jalanan menjelang 2020, menurut pengumuman oleh Kementerian Wilayah Persekutuan pada 2017. Peniaga akan dipindahkan atau gerai mereka akan ditukar menjadi kenderaan penjaja bergerak. Ini mirip trend di sekitar rantau untuk memindahkan penjaja jalanan dari Bangkok, Jakarta, Hanoi, Ho Chi Minh City dan Yangon.

“Kami telah menyaksikan operasi penghapusan di banyak bandaraya  besar yang menyimpan aspirasi untuk menjadi bandaraya sedunia,” kata Sarah Orleans Reed, penyelaras di Bangkok dari Wiego, sebuah badan tidak bermotifkan keuntungan sedunia yang membantu pekerja informal, kepada Thomas Reuters Foundation. Dia memanggil proses sebegini “Singapurisasi.”

Di bawah satu bumbung

Begini rupa “Singapurisasi” di Kuala Lumpur: lantai bawah Kompeks Perniagaan Bersepadu Pudu dipenuhi penjaja yang dipindahkan pada 2016 dari Pasar Imbi yang terkenal. Tempatnya agak pengap.

Bercakap dengan New Naratif sambil bersarapan pagi, blogger makanan dan gaya hidup, Rebecca Saw, tidak menyukai kepanasan yang “melekit” di kompleks dalam bangunan itu. Meskipun pusat penjaja itu kelihatan bersih dan terurus, dia lebih gemar memakan di Pasar Imbi lama yang terletak di luar.

Para penjaja telah membangkitkan isu pengalihan udara yang tidak elok semenjak 2017. Seorang peniaga nasi lemak memberitahu New Naratif bahawa meskipun masalah lain seperti bekalan air yang terpotong rata-rata sudah diselesaikan, udara masih seperti “sauna” di banyak lokasi di pusat penjaja tersebut, kerana tidak semua penjaja telah memasang tudung ekzos di kawasan dapur.

Meskipun terdapat penjaja dan pelanggan yang menyukai suasana yang lebih bersih dan terlindung daripada cuaca tropika yang tidak menentu, tidak semua penjaja menyenangi kehidupan di bawah bumbung panas. Menolak ke tepi isu keselesaan buat seketika, ciri unik lokasi makanan jalanan yang tersohor itu seakan pudar apabila dipindahkan ke dalam kompleks, meskipun kebanyakan para penjaja yang sama masih beroperasi. Penjaja dan pelanggan menyesali kehilangan “sentuhan peribadi” pasar yang terdahulu.

Hawker Culture - New Naratif
Tuan Nini

“Memakan merangkumi lebih daripada rasa pun. Ada juga unsur penglihatan, bau dan bunyi,” jelas Daniel Cerventus, kawan Rebecca Saw sambil menikmati semangkuk mee wantan. “Nostalgia memainkan peranan besar dalam mencorakkan apa yang kita anggap sedap. Sebagai contoh, ada kedai mee berdekatan dengan sekolah lama saya di Melaka yang masih dikunjungi kawan-kawan saya, meskipun rasa makanannya taklah seberapa. Ini yang dipanggil ‘kenangan makan.”

Lih Ren, seorang pengurus projek yang duduk bersama Rebecca dan Daniel, menambah pula bahawa persekitaran pusat penjaja dirasakan seperti “pengalaman massa yang direka” berbanding memakan di pasar basah yang memiliki sejarah selama 60 tahun.

Hawker Culture - New Naratif
Tuan Nini

Mee Rebus Rosli adalah gerai berusia 47 tahun yang dahulu beroperasi di jalan sesak di Kuala Lumpur. Apabila pihak berkuasa mengusir para penjaja dari kawasan itu, gerai itu berpindah ke Pusat Perdagangan Lorong Bunus pada 2015.

Tukang masaknya, Laila Wati, mengeluh bahawa perniagaan semakin merudum semenjak berpindah. Bangunan yang tidak menonjol itu tidak menyerupai pusat makanan, dan beberapa pelanggan Laila telah berkata bahawa mereka telah lalu di hadapan bangunan itu dengan memikirkan bangunan itu ialah hotel atau pejabat korporat.

“Sebelum saya berpindah ke dalam bangunan, saya boleh menjual 15kg mee setiap hari. Pelanggan yang datang tak putus-putus. Sekarang, nak jual 10kg sehari pun susah. Tauhu goreng yang saya jual juga hanya laku setakat separuh jualan terdahulu, semenjak saya berpindah,” ujar wanita berusia 62 tahun itu.

Seorang lagi peniaga nasi campur, Abd Majid Sukiran, ingin mengelak daripada berpindah. Di gerainya yang terletak di barisan penjaja di sebuah jalan sibuk di Masjid India, lelaki berusia 54 tahun itu memberitahu New Naratif  bahawa jika dia berpindah walau ke lokasi yang tidak jauh, perniagaannya akan terjejas dengan hebat. Dia ingin kekal di tengah-tengah kesesakan pekerja dan pengunjung yang membeli belah, lokasi yang cukup lumayan.

Semakin bandar lain melalui ‘’Singapurisasi,” Singapura sebenar bagaimana pula?

Kemelut perubahan sebegini kini menjadi sejarah di Singapura, kerana sudah lama tiada penjaja makanan jalanan untuk dipindahkan buat sekian lama. Bermula 1971, kerajaan telah membina pusat khas untuk memindahkan penjaja makanan, tetapi ini dihentikan pada 1986 setelah “objektif sosial dan alam sekitar untuk menyediakan pusat penjaja yang sesuai untuk penjaja bergerak telah tercapai.” Hanya pada 2011, kerajaan mengumumkan sekali lagi rancangan untuk membina pusat-pusat penjaja dalam tempoh 10 tahun. Hari ini terdapat 111 pusat penjaja di serata negara bandar tersebut, dan 13 lagi dijangka akan dibina menjelang 2027.

Jumlah ini memberangsangkan dan membayangkan industri penjaja yang meriah. Gambaran yang sama dapat dilihat di media antarabangsa juga: para penjaja Singapura telah menerima liputan di travelog dan menarik perhatian tukang masak terkenal, termasuk mendiang Anthony Bourdain dan Gordon Ramsay yang telah kalah dalam pertandingan memasak dengan beberapa tukang masak veteran tempatan.

Namun apabila sinaran kamera terpadam, Singapura menghadapi kenyataan yang meresahkan. Umur penengah para penjaja di Singapura adalah 59 tahun.

Hawker Culture - New Naratif
Tuan Nini

“Saya selalu bergurau dengan kawan, kalau nak makan masakan penjaja, baik makan sekarang sebab lagi 20 tahun semua orang dah mati,” kata Lim Jialing, dari Smith Street Taps, syarikat yang menjual arak yang dihasilkan secara kecil-kecilan di pusat penjaja, kepada pengarah urusan New Naratif, PJ Thum di sesi rakaman podcast pada September 2018. “Lambat laun takkan ada banyak penjaja di Singapura, jadi saya rasa tidak keterlaluan kalau saya kata industri penjaja kita sedang dalam krisis.”

Bukan semata-mata kerana anak muda Singapura tidak berminat menceburi kerjaya sebagai penjaja. Ini mungkin benar bagi majoriti penduduk, tetapi masih ada segelintir anak muda yang sanggup mencuba nasib. Tetapi hakikatnya, industri tersebut menyeksakan.

Bukan semata-mata kerana anak muda Singapura tidak berminat menceburi kerjaya sebagai penjaja. Tetapi hakikatnya, industri tersebut menyeksakan

Maxwell Food Centre adalah antara pusat penjaja paling terkenal di Singapura. Terletak berhampiran Chinatown dan Central Business District, pusat ini menjadi lubuk minuman keras kegemaran pelancong dan juga warga kerja. Barisan-barisan gerai mempamerkan  taraf kebersihan yang diisytihar oleh pihak kerajaan dan mengiklankan juadah yang ditawarkan, termasuk lobak goreng, mee bebola ikan dan nasi ayam Hainan. Tiada penghawa dingin, tetapi tempat itu diteduh daripada sinar matahari dan beberapa kipas memastikan udara beredar. Pelanggan tetap duduk di sekeliling meja bulat, bersembang sambil menghirup kopi atau jus limau. Pada tempoh sepi sebelum waktu makan tengahari, beberapa penjaja duduk di gerai masing-masing untuk berehat, menonton drama TV di telefon pintar. Yang lain pula terkejar-kejar menghabiskan makanan tengahari, sambil memandang ke sekeliling untuk melihat jika ada pelanggan yang tiba.

“Kami selalunya memberitahu penjaja baharu, kalau buka gerai hari ini, bukannya ada pelanggan datang esok atau lusa. Penjaja kena beroperasi paling kurang sembilan bulan, sampai orang dah kenal,” kata Richard Ng, yang berasal daripada keluarga yang telah mengusahakan gerai bernama China Street Fritters selama lebih kurang 70 tahun.

“Penjaja yang dah berniaga dari awal ada kelebihannya, sebab mereka dah ada pelanggan tetap,” jelasnya. “Pelanggan, apabila dah datang [ke pusat penjaja], mereka dah tahu apa yang nak dimakan. Tak kiralah, nasi ayam, nasi itik, lor bak atau nasi kari…sebaik tiba, mereka akan pergi ke gerai dan beratur, mereka akan membuat pesanan dan makan. Pelanggan tak bermundar-mandir untuk fikirkan apa nak dimakan. Jadi, gerai baharu akan dipinggirkan.”

Ini bererti, sesiapa yang ingin berkecimpung dalam industri penjaja di Singapura perlu bersedia dari segi kewangan dan mental untuk mengharungi perjalanan yang jauh. Di Maxwell Food Centre, sewa bulanan boleh mencecah S$3,000-S$4,000 (US$2,201–US$2,936). Situasi ini menyukarkan urusan penjaja baharu untuk bersaing dengan penjaja seperti Richard Ng sekeluarga, yang mewarisi gerai daripada ibu bapa mereka sekaligus menikmati kadar sewa yang diberi subsidi (sehingga 10 kali ganda lebih murah, sebelum mengambil kira bil elektrik dan kemudahan lain).

KF Seetoh, pengasas Makansutra, syarikat yang mempromosikan budaya makanan di Asia, berpendapat cabaran besar ini telah menawarkan hati ramai orang, lebih-lebih lagi kini terdapat lebih banyak laporan media tentang penjaja dengan perniagaan nyawa-nyawa ikan.

“Sekarang, orang ramai lebih memahami risiko kegagalan. Jadi, kalau ada pun hasrat yang timbul, dinyahkan terus. Semakin hari, semakin berkurangan mereka yang ingin mencuba menjadi penjaja,” katanya. “Boleh jadi menakutkan, lebih-lebih lagi kalau orang itu betul-betul nak mencuba….mereka tak gusar untuk membanting tulang berjam-jam sekadar untuk memperoleh wang yang cukup untuk menyara hidup. Mereka tak kisah, tetapi sebab terlalu banyak kekusutan dan cabaran didengari di luar sana, mereka jadi takut.”

“Saya berharap UNESCO tidak akan dapat tahu bahawa pada dasarnya, tiada usaha sebenar untuk memperkembangkan [budaya penjaja]. Cuma riuh rendah di permukaan sahaja,” tambahnya. “Ya, eslok, kami menghebahkan semuanya, para penjaja sangat suka kerana ini bermaksud mereka akan memperoleh publisiti dan lebih banyak perniagaan. Tetapi isu sebenarnya adalah, 20 tahun lagi semua ini ada lagi tak? Sekarang, kalau awak nak saya bagi pendapat, kebanyakan ciri-ciri budaya penjaja [Singapura] hari ini tak akan wujud lagi dalam masa 20 tahun yang akan datang.”

Berunding itu penting

Meskipun tidak dinafikan bahawa di Singapura dan Kuala Lumpur terdapat  pusat-pusat penjaja yang meriah dan berkembang mekar, ada antaranya yang menjadi bangunan gah tanpa fungsi. Pada 2015, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akur kepada hakikat bahawa 25 pusat makanan bawah pentadbirannya telah gagal akibat kekurangan peniaga dan pelanggan. Walaupun Singapura tidak mempunyai jumlah pusat makanan gagal yang serupa, di beberapa tempat kadar pusing ganti penjaja boleh dikatakan tinggi, kerana penjaja sukar untuk menampung perniagaan mereka. Lebih kurang setengah tahun selepas berbual bicara dengan New Naratif di sesi podcast khusus tentang golongan penjaja di Singapura, Gay Yu Ting dan rakan niaganya Alex Ho telah menutup Sutachi, gerai mereka yang terletak di Chinatown Food Centre, kompleks makanan terbesar di Singapura. Kompleks itu kini ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih yang sudah lama diperlukan, dan kesempatan itu diambil oleh beberapa penjaja untuk berpindah, menutup perniagaan, atau bersara.

Pada tahun lalu, industri penjaja di negara bandar itu menjadi perhatian umum apabila KF Seetoh, para penjaja, dan beberapa suara lantang yang lain bergiat dalam talian dan mengenengahkan beberapa masalah yang dikaitkan dengan model baharu bernama Social Enterprise Hawker Centres, atau pusat penjaja keusahawanan sosial. Berbeza dengan pusat penjaja lama, pusat-pusat penjaja ini tidak diuruskan secara langsung oleh pihak kerajaan, tetapi dikelolakan oleh perusahaan sosial. Perusahaan sosial yang terbabit seringkali mempunyai hubung kait dengan syarikat yang mengendalikan pusat makanan swasta di pusat-pusat membeli belah.

Kekurangan komunikasi bermakna dan perundingan antara pihak kerajaan dan penjaja telah membantutkan proses merangka dasar yang memenuhi keperluan mereka yang terbabit secara langsung

Para penjaja telah mengadu tentang kadar sewa dan kos-kos sampingan yang tinggi di Social Enterprise Hawker Centres, selain daripada beberapa tuntutan lain yang tidak munasabah, seperti peraturan untuk beroperasi untuk sebilangan jam yang tetap, atau peraturan untuk memohon izin daripada pihak pengurusan jika penjaja ingin menutup gerai atau menukar menu hidangan.

“Bila anda bawa masuk semua pengusaha komersil, sah-sah mereka akan beroperasi dengan gaya komersil,” kata KF Seetoh. “Saya lihat kontrak dan saya tahu, ini cara saya berniaga sebab saya pengusaha swasta jadi saya memang tahu semua klausanya. Betul, kalau awak bayar untuk tempatnya, awak bina tempatnya, awak lakukan semua tanpa subsidi kerajaan, ya betul awak perlu mengenakan bayaran ini semua dan ini rata-rata boleh diterima oleh orang. Tapi pusat penjaja ini benda lain.”

Dahulu dicanangkan sebagai satu cara untuk menyemarakkan budaya penjaja di Singapura, Social Enterprise Hawker Centres sebaliknya telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dan memeritkan lagi kehidupan mereka yang menanam hasrat untuk menjadi penjaja. Sementara itu, pihak berkuasa di Malaysia telah akur dengan hakikat bahawa perancangan yang tersalah panduan membawa kepada kegagalan beberapa pusat penjaja. Dalam kedua-dua situasi ini, kekurangan komunikasi bermakna dan perundingan antara pihak kerajaan dan penjaja telah membantutkan proses merangka dasar yang memenuhi keperluan mereka yang terbabit secara langsung.

Sean Oon, bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, mengakui bahawa kakitangan pihak berkuasa tempatan yang menghabiskan masa di pejabat jarang mengetahui selok belok merancang dan melaksanakan dasar yang melibatkan penjaja.

Dia teringat kisah pemindahan penjaja durian jalanan di kawasannya kepada unit gerai konkrit. Para pelanggan sudah terbiasa menghabiskan masa dengan kawan di gerai untuk menikmati buah yang berbau menarik itu. Disebabkan terdapat gerai konkrit yang terlalu kecil untuk memuatkan kumpulan besar, para penjaja mula meletakkan meja dan kerusi di atas jalan dan mengganggu trafik. Sean adalah antara  pegawai yang ditugaskan untuk menyerbu gerai-gerai yang melanggar peraturan itu. Emosi semakin membara ketika serbuan, sehingga dia telah diugut oleh seorang penjaja dengan pisau durian.

Tetapi Sean berkata dia memahami kemarahan mereka, kerana penjaja-penjaja tersebut diarah mematuhi peraturan yang tidak sejajar dengan realiti perniagaan harian mereka. “Kepada kami sebagai pegawai, ia sekadar sehelai kertas. Tetapi kepada para penjaja, ini kehidupan mereka.”

Tuan Nini

Di Singapura, usaha untuk merunding telah diambil: kerajaan telah melantik beberapa panel dan jawatankuasa untuk mengkaji industri dan mengesyorkan jalan penyelesaian. Tetapi, ada teguran oleh pemerhati bahawa ahli-ahli panel dan jawatankuasa yang ditubuhkan rata-rata bukan daripada golongan penjaja.

“Dalam seni reka bertumpukan manusia, kita perlu melibatkan kesemua pemegang taruh, tetapi pendekatan yang diambil berbentuk dari pihak atasan untuk pelaksanaan lapisan bawahan. Ia bukan proses yang berunsur demokrasi,” ujar Jack Sim, pengasas badan bukan bermotifkan keuntungan, World Toilet Organisation, berkata kepada suratkhabar TODAY pada 2018.

“Saya berasa, sangat memperlekehkan apabila badan yang tidak tahu menahu tentang budaya penjaja untuk berkata ‘oh kami akan [uruskan hal ini]…’” kata KF Seetoh kepada New Naratif. “Agak-agaklah. Budaya dan amalan pusat penjaja dah wujud berzaman sebelum pusat makanan…muncul, jadi sepatutnya biarlah mereka yang sudah lama bergiat memperkembangkan budaya yang mereka dah kenal luar dan dalam.”

Perkembangan dan cabaran yang mendatang

Sukar untuk membayangkan Singapura atau Malaysia tanpa makanan penjaja. Juadah seperti char kuay teow, nasi padang dan laksa tersemat kukuh dalam budaya kedua-dua negara, sama seperti bahasa yang dituturkan dan agama yang dianuti. Tetapi, kedua-dua negara mempunyai cabaran tersendiri yang perlu diatasi jika ingin memperkasakan industri penjaja masing-masing.

Bagi Malaysia, trend “Singapurisasi” bukanlah hala tuju yang paling menarik, tetapi pihak pentadbiran dan para penjaja tetap perlu bekerjasama untuk mencari jalan bagi memperkembangkan industri makanan jalanan. Mengimbangkan konsep keaslian dan suasana persekitaran dengan keperluan pentadbiran dan peraturan memerlukan perbincangan yang lebih lanjut.

Tidak lupa juga, meskipun artikel ini membicarakan industri penjaja di Kuala Lumpur, budaya penjaja di Malaysia berbeza dari negeri ke negeri, dan rantau ke rantau, dengan kerajaan tempatan mengambil keputusan masing-masing dalam mengawal selia industri.

Tuan Nini

Di Singapura, pencalonan ke UNESCO telah dihantar secara rasmi pada penghujung Mac 2019. Walaupun pengiktirafan semata-mata tidak akan menyelamatkan industri penjaja yang gering, Ridhard Ng dari perniagaan China Street Fritters berpendapat ia boleh memberi galakan dari segi psikologi untuk para penjaja.

“Bekerja sebagai penjaja dianggap kerja kelas bawahan. Para penjaja dahulu kala sering dicemuh; kelas perniagaan yang terendah. Jadi sedikit demi sedikit, menjaja kini semakin mendapat penghormatan am. Orang ramai dah tahu yang menjadi penjaja adalah kerjaya yang elok. Ia sejenis seni, kerana dalam bekerja ada kemahiran,” katanya.

Dia tersenyum dan duduk dengan lebih tegak. “[UNESCO adalah] satu-satunya yang boleh menjadikan kami berbangga dengan karier kami….jika kami mendapat [pengiktirafan] UNESCO, nanti satu dunia akan tahu tentang penjaja Singapura. Kemudian kami dapat melaungkan dengan kuat, “Saya penjaja di Singapura!”

Wartawan: Kirsten Han dan Foong Li Mei
Ilustrator: Tuan Nini
Penterjemah: Adriana Manan

 

Kirsten Han

Kirsten Han is Editor-in-Chief of New Naratif, and a Singaporean journalist whose work often revolves around the themes of social justice, human rights, politics and democracy. Her bylines have appeared in publications like The Guardian, Foreign Policy, Asia Times and Waging Nonviolence. As an activist, Kirsten has advocated for an end to the death penalty in Singapore, and is a founding member of abolitionist group We Believe in Second Chances. Reach her at kirsten.han@newnaratif.com.

Foong Li Mei

Foong Li Mei is a freelance journalist covering socioeconomic, business, marketing, food, and human interest topics for publications across Asia. When not writing, she runs a democracy at her home in Malaysia with her husband and a Rottweiler – or at least that's what she likes them to think.

Tuan Nini

Tuan Nini is a Malaysian illustrator residing in Bucharest, Romania where she studied painting at the National University of Fine Arts. Nini is fortunate to work on a diverse range of projects, from advertising to film production, though drawing for social issues and food remain close to her heart. Find her work at www.tuannini.com or instagram.com/tuannini.

Adriana Manan

Adriana Nordin Manan is a writer, playwright, translator and researcher. Born, raised and based in Kuala Lumpur, she is New Naratif's Deputy Editor (Bahasa Melayu/Malaysia). With a Masters in Political Economy from New York University, Adriana is passionate about languages, culture and diversity in stories. She is New Naratif's Deputy Editor (Bahasa Melayu/Malaysia). Reach her at adriana.manan@newnaratif.com

Now that you're here, we have a favour to ask...

Join our movement for a better Southeast Asia

New Naratif is a movement for democracy, freedom of information, and freedom of speech in Southeast Asia (see our manifesto). Our articles report on issues that are often overlooked or suppressed by the mainstream media in Southeast Asia. We are rely on our members for their support. Every cent of your membership fee goes to supporting our research, journalism, and community organisation activities. Your support enables us to be editorially independent and to conduct hard hitting independent research and journalism. It allows us to give a voice to the powerless and to hold the powerful accountable. Our members are active participants in our movement, helping us to create content and informing us about important issues, which shapes our coverage and content. Join our movement and let us, together, build a better Southeast Asia. Please subscribe to New Naratif—it’s just US$52/year (US$1/week) or US$5/month—and it only takes a minute. If you’d like to learn more, and read more articles, please start here! Thank you!