The public perception of Wan Azizah as a gentle, motherly seat-warmer for her husband belies the politician's many years on the front line of Malaysian politics. Danny Lim

Bukan Sekadar Isteri Ahli Politik

Author: Jules Rahman Ong
Published:

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba agak lewat untuk temujanji kami; hari itu merupakan hari yang agak menjerihkan di Parlimen menyaksikan perdebatan usul-usul penting untuk pilihanraya yang bakal tiba. Beliau sempat memohon maaf pada kami, dan dalam masa yang sama tidak lupa bersolat setiba menjelangnya waktu Asar. Berbaju kurung sopan dengan tudung berwarna lembut, Wan Azizah memaparkan imej seorang wanita Muslim yang penuh dengan ketakwaan, kesopanan dan kesederhanaan.

Di antara tugas sebagai Ketua Parti Pembangkang yang gigih membangkang usul-usul yang didorong terus oleh parti pemerintah—sebuah senario tidak asing di dalam dunia politik Malaysia – sehinggalah kepada melawat suami tercinta, bekas Ketua Pembangkang Seri Anwar Ibrahim, beliau masih sempat meluangkan masa untuk bertemu dengan kami. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipenjarakan atas pertuduhan meliwat yang dipercayai bermotifkan politik untuk menghalang beliau daripada bertanding dalam pilihan raya akan datang. Menurut pihak berkuasa, Anwar bakal dibebaskan 8 Mei 2018 ini.

Pada hari pertemuan kami dengan Wan Azizah, Anwar rupa-rupanya sedang dirawat di hospital selepas menjalani satu pembedahan di bahagian bahu. Di sebalik cabaran yang dihadapi oleh keluarga ini, ada rahmat yang terselindung. Pihak hospital membenarkan beliau dilawati oleh ahli keluarga setiap hari dan bukannya seperti lawatan penjara yang hanya dibenarkan sebulan sekali serta dipisahkan tetingkap kaca tebal tanpa sentuhan fizikal. Ini satu penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga ini sejak 2015. Dengan keadaan demikian, terpancar sedikit kebahagiaan pada wajah sang isteri

Tetapi, terdapat juga berita yang kurang baik. Petang itu, usul persempadanan semula yang dikritik ramai telah diluluskan melalui majoriti mudah. Ramai yang berpendapat persempadanan ini hanya akan memberi manfaat kepada parti Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang bakal diadakan pada 9 Mei ini.

“Ianya telah dijangka… Tetapi masih membuatkan saya kecewa melihatkan politik Malaysia sudah sampai ke tahap ini”

“Ianya telah dijangka… Tetapi masih membuatkan saya kecewa melihatkan politik Malaysia sudah sampai ke tahap ini. Demokrasi yang dilaung-laungkan kian terhakis,” Wan Azizah berkata.

Jika sebelum ini komuniti etnik yang berbeza tinggal berdekatan ataupun dalam satu kawasan yang sama di Malaysia, penyusunan sempadan memisahkan kaum Melayu dari kaum Cina secara bulat-bulat; ini mungkin berdasarkan andaian bahawa masyarakat Melayu akan lebih cenderung menyokong parti pemerintah Barisan Nasional yang Melayu dominan, manakala masyarakat Cina menjurus kepada pembangkang.

Persempadan semula ini memperluaskan kawasan pilihanraya pro-pembangkang sehingga adakalanya 10 kali ganda lebih ramai pengundi daripada kawasan pro-Barisan. Ini suatu strategi yang tidak asing lagi diguna-pakai oleh pihak pemerintah dalam mengeksploitasi kelemahan yang wujud dalam dalam sistem pilihanraya “first-past-the-post” iaitu, calon yang mempunyai undi terbanyak akan diisytiharkan sebagai pemenang dan menjadi wakil rakyat, tidak kira berapa ramai pengundi di dalam kawasan pilihanraya tersebut. Persempadanan ini mengabaikan undi popular demi memihak kepada perwakilan di Parlimen untuk parti pemerintah.

 

Pincangnya Sebuah Keadilan

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau lebih dikenali sebagai UMNO dengan gabungan beberapa parti dibawah Barisan Nasional telah memerintah Malaysia sejak kemerdekaan diperoleh dari pihak British pada tahun 1957. Ia merupakan sebuah parti pakatan yang paling lama memerintah di dunia. Rekod tiada tandingan ini adalah hasil kawalan yang ketat ke atas media dan kebebasan sivil, pilihanraya umum yang seringkali dituduh dicemari dengan helah-helah meraih undi, tuduhan-tuduhan rasuah dan institusi-institusi awam yang terjejas. Agensi ‘Freedom House’s Freedom’ melaporkan dalam laporan dunia, Malaysia digambarkan sebagai negara “separa bebas”, dengan skor agregat 45 daripada 100.

Sejak beberapa tahun yang lepas, kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah terlibat dalam skandal rasuah besar-besaran. Menurut Ketua Peguam Kerajaan Amerika Syarikat, Jeff Sessions, skandal ini merupakan “kleptokrasi yang paling teruk pernah berlaku dalam sejarah.” Sessions mendedahkan bahawa hampir separuh daripada hasil rasuah yang dirampas dan disiasat oleh Kerajaan AS mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana pelaburan kerajaan yang diterajui Najib. Keuntungan dari dana 1MDB didakwa telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan mewah-mewah termasuk karya-karya seni berharga, barang-barang perhiasan, hartanah mahal, kapal layar mewah dan dua filem Hollywood. Red Granite Pictures—syarikat produksi bertaraf Hollywood dimiliki Riza Aziz, anak tiri kepada Najib—yang pada bulan Mac, bersetuju untuk membuat bayaran pelucutan hak sebanyak USD60 juta untuk menyelesaikan tindakan undang-undang berhubung dengan peranannya dalam skandal 1MDB.

“Tempoh untuk PM [Najib Razak] sudah semakin singkat”

Dengan skandal berprofil tinggi sedunia, Najib menggunakan segala muslihat yang ada untuk mengekalkan kuasa beliau. Menurut pendapat sesetengah pemerhati politik, ikhtiar terdesak Najib bagi mengekalkan kedudukan beliau untuk penggal ketiga hanya demi mengelakkan potensi beliau dan kroninya diberkas dan ditangkap.

Usaha terdesak kerajaan melalui Parlimen tidak terhenti setakat undang-undang Persempadanan Semula. “Anti-Fake News Act” atau Akta Anti-Berita Palsu juga diluluskan pada awal bulan April, hanya seminggu selepas pertama kali ianya dibentangkan. Ia diwartakan sebagai Akta Anti-Berita Palsu pada 11 April, demi memastikan undang-undang ini dapat dikuatkuasakan dalam tempoh berkempen pilhanraya. Akta ini memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menentukan “kepalsuan” sesuatu berita, langsung mencetuskan kebimbangan bahawa undang-undang ini akan digunapakai untuk menutup mulut pihak lawan.

Walaupun dengan tindakan tidak adil kerajaan demi memenangi pilihanraya akan datang, Wan Azizah masih percaya bahawa perubahan masih boleh tercapai. “Saya yakin, dan saya perlu yakin. Sifat optimis Anwar yang tidak berbelah bahagi menjadi contoh buat saya,” katanya. “Kita tidak pernah menjangka Congres di India dan Golkar di Indonesia akan jatuh. Saya sendiri tidak terfikir mereka akan jatuh. Jadi berikan kami masa untuk melakukan perubahan. Tempoh untuk PM [Najib Razak] sudah semakin singkat.”

 

Bermulanya Sebuah Perjalanan Sukar

Masa adalah perkara yang tidak asing lagi dalam perjuangan Wan Azizah. Beliau menjadi tunggak utama sewaktu kecelaruan politik dua puluh tahun yang lalu selepas pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Penangkapan Anwar atas tuduhan rasuah bersangkutan dengan dakwaan liwat dipercayai bermotifkan politik. Perbezaan falsafah politik Anwar dengan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad mencapai kemuncak semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1998.

Anwar telah ditahan di rumahnya pada malam 20 September 1998 dalam satu serbuan yang dramatik. Sebuah pasukan polis khas memakai topeng hitam menyerbu rumah keluarga Anwar, dan mengacu-acukan senapang automatik di hadapan Wan Azizah, anak-anak, saudara-mara, rakan-rakan dan penyokong mereka ketika itu.

Malam itu masih menghantui diri beliau dan menyebabkan trauma yang berpanjangan terhadap anak bongsu beliau, Nurul Hana yang ketika itu baru berusia 5 tahun. Wan Azizah menceritakan peristiwa-peristiwa traumatik tersebut dalam memoir beliau:

“Paling menyedihkan saya adalah serbuan dilakukan pada waktu Isyak dengan cara senjata sub-machine gun diacu-acukan. Tegang dan biadab sekali dan tidak berperikemanusiaan, sedangkan kami anak-beranak, saudara-mara dan para pendokong ada di sana pada waktu itu. Malah suami dan ayah kepada anak-anak saya diheret mereka dengan cara yang mengaibkan dan menakutkan di depan anak-anaknya sendiri.”

Wan Azizah mendapati dirinya di pentas politik setelah suaminya Anwar Ibrahim ditangkap pada tahun 1998. Danny Lim

Sepanjang enam tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, Wan Azizah, yang ketika itu tidak pernah mempunyai sebarang cita-cita politik, mengambil alih menerajui gerakan Reformasi yang masih mentah yang dimulakan oleh suaminya. Gerakan tersebut yang kemudiannya berkembang menjadi satu-satunya pakatan pembangkang yang mampu mencabar sistem satu parti di Malaysia. Tragedi hitam yang berlaku dalam hidup keluarga Wan Azizah kini menjadi sumber kekuatan beliau selain daripada ketakwaan beliau kepada Allah.

“Saya tabahkan hati, cekalkan jiwa…Kerana saya tahu, andai saya tewas, mereka (anak kami) juga tewas. Mungkin juga, suami saya akan tewas. Doa munajat terapi terbaik, hanya kepada Allah dapat saya bertawakal selain daripada usaha yang dijalankan.”

 

Drama Mahathir

Pemimpin yang sinonim dengan kontroversi, Dr Mahathir, diiktiraf sebagai pemimpin yang bertanggungjawab memajukan ekonomi Malaysia satu ketika dahulu. Di kalangan pengkritik tempatan, beliau dikenali sebagai “Mahafiraun” dan “Mahazalim” — ringkasnya, diktator yang tidak menerima sebarang perbezaan pendapat. Kini, dalam kisah epik hukum karma, beliau yang sudah berusia 92 tahun itu terpaksa keluar dari persaraan untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 kerana berikhtiar untuk menumbangkan parti beliau dahulu dan juga orang yang dipilih oleh beliau untuk menjadi perdana menteri. Dan Mahathir terpaksa berbuat demikian di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat yang dinaungi Wan Azizah.

Poster kempen Wan Azizah dan Mahathir (kedua-duanya merupakan mantan doktor perubatan), berdiri sebelah-menyebelah mengetuai parti gabungan pembangkang Pakatan Harapan dalam usaha untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak adalah sesuatu yang penuh ironis dan tidak mungkin dilepas pandang oleh kedua-dua penyokong dan pengkritik-pengkritik.

“Bolehkah seekor harimau bintang menghilangkan tompok-tompoknya?” soal The Economist selepas kemunculan Mahathir Mohamad di mahkamah untuk perbicaraan Anwar Ibrahim yang disabitkan lagi dengan satu pertuduhan liwat. Kedua-dua lelaki tersebut kemudiannya dilihat berjabat tangan. 18 tahun sudah berlalu sejak mereka berdua bertemu; ketika itu, Mahathir masih lagi memegang jawatan Perdana Menteri dan Anwar, merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri yang sedang menghadapi pertuduhan liwat beliau yang pertama.

Saya bertanya kepada Wan Azizah apakah dia benar-benar mampu untuk memaafkan orang yang telah menyebabkan penderitaan yang begitu hebat terhadap seluruh ahli keluarganya?

“Beliau sendiri datang berjumpa kami. Kami tidak mencari beliau,” Wan Azizah menjawab tenang. “Sebenarnya ia amat sukar bagi ramai orang, terutamanya yang pernah menjadi mangsa Mahathir. Tetapi Anwar berbeza, dia lebih mengutamakan apa yang bakal terjadi di masa hadapan. Beliau tidak menyimpan sebarang dendam. Itulah kekuatan seorang yang bernama Anwar.”

“Rakyat Malaysia mungkin belum bersedia untuk ditadbir Perdana Menteri wanita, tetapi untuk seorang Timbalan, ya”

Demi suami tercinta, Wan Azizah mampu mengikhlaskan hati memaafkan mantan Perdana Menteri tersebut. “Ia sangat sukar buat kami semua pada mulanya. Saya dan anak-anak amat berhati-hati dengan segala gerak langkah beliau” akui Wan Azizah. Tetapi beliau berjaya mengatasi dendam peribadi itu kerana beliau percaya bahawa “Mahathir juga turut mengalami pengalaman yang keluarga mereka terpaksa lalui.” Di samping itu, rakyat serta masa depan negara perlu diutamakan sebelum perasaan peribadi sendiri, katanya lagi.

Hatinya sebak apabila isteri Dr Mahathir Mohamad, Dr Siti Hasmah, datang berjumpa dengannya. Pertemuan selepas 18 tahun itu merupakan pengalaman penuh emosi buat kedua-dua wanita tersebut; dan titik pertemuan ini mengubah strategi politik semata-mata kepada sebuah pendamaian tulen. Pertemuan penuh air mata itu menjadi topik hangat bagi rakyat Malaysia, serta berjaya meraih beribu-ribu ‘likes‘ di media sosial.

Pertemuan tersebut, serta respons orang ramai menunjukkan betapa lainnya persepsi dan anggapan dari segi gender dan politik: sementara tindakan ahli-ahli politik lelaki dianggap lebih bermotivasikan strategi politk, kaum wanita dipaparkan bertindak demi menjalinkan perhubungan emosi. Persepsi yang sedemikian gagal menunjukkan Dr Wan Azizah sebagai seorang tokoh utama dalam politik Malaysia, dan bukannya hanya isteri seorang ahli politik..

Walaupun telah mengetuai parti pembangkang selama bertahun-tahun, Wan Azizah mengenepikan kepentingan dirinya sendiri demi memberi laluan kepada Mahathir sebagai calon utama mengetuai kerajaan, manakala beliau memilih untuk menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sekiranya Pakatan Harapan memperolehi kemenangan, strateginya adalah untuk mendapatkan pengampunan dari Yang DiPertuan Agong bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim; Mahathir kemudian akan mengosongkan kerusinya untuk diisi mantan timbalannya. Wan Azizah apabila ditanya sama ada bersedia untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama Malaysia jika diberi peluang, berkata: “Rakyat Malaysia mungkin belum bersedia untuk ditadbir Perdana Menteri wanita, tetapi untuk seorang Timbalan, ya.”

 

Tahun-tahun awal

Kemungkinan untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia tidak pernah menjadi aspirasi Wan Azizah sejak kecil lagi. Dilahirkan di Singapura pada tahun 1952, Wan Azizah menerima pendidikan awal di sebuah sekolah konven di Alor Setar. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Royal College of Surgeons di Ireland, di mana, pada tahun 1978, beliau menjadi orang Melayu pertama yang dianugerahkan Pingat Emas MacNaughton-Jones — anugerah yang dikurniakan oleh pakar otologi, pakar sakit puan dan oftalmologi, Henry MacNaughton-Jones yang berasal dari Ireland. Ia merupakan anugerah khas untuk pelajar yang mencapai markah tertinggi dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi ketika itu. Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai seorang doktor kerajaan selama 14 tahun.

Ayah Wan Azizah merupakan inspirasinya untuk berkhidmat di hospital awam: “Kami telah dibesarkan dengan nilai hidup dimana kehidupan kita perlu dikongsi dengan orang yang lebih memerlukan, dan menyumbang seberapa banyak yang mungkin kepada masyarakat di luar. Ini adalah prinsip yang dipupuk dalam sanubari saya dan adik-beradik saya.”

Ayah beliau yang telah berkhidmat selama 30 tahun sebagai perisik operasi kerajaan, pada awalnya menentang pilihan jodoh Wan Azizah. Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih dikenali sebagai seorang “troublemaker“, aktivis yang pernah menghabiskan masa di penjara akibat giat berdemonstrasi menentang kemiskinan di luar bandar. Azizah tidak berganjak dengan pilihan hatinya dan tiada seorang pun antara mereka ketika itu yang dapat menduga hidup mereka bakal berubah dengan begitu hebat sekali.

Terjebak dalam dunia politik yang mencabar dan gawat ketika itu, ibu kepada enam orang anak ini tanpa sedar telah berkecimpung dalam dunia politik lebih lama daripada kerjaya beliau sebagai seorang doktor. “Saya ialah seorang doktor yang cemerlang,” katanya. “Tetapi saya juga ingin mengatakan bahawa saya telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ahli politik dengan baik juga, dan saya tidak mempunyai sebarang penyesalan.”

 

Kak Wan, Ahli Politik

Walaupun mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang, ramai melihat Wan Azizah tidak lebih dari sekadar peneman suaminya. Kempen menegakkan keadilan yang dilaungkan beliau sentiasa dikaitkan dengan keadilan untuk Anwar. Ini mengaburi kebolehan beliau sebagai seorang ahli politik yang berwibawa. Martabat pencapaian politik beliau sentiasa direndah-rendahkan dan beliau dikatakan tidak lebih dari isteri Anwar dan pengganti suaminya.

Sesetengah pemerhati politik mengandaikan beliau tidak cukup lantang suaranya untuk memberi kesan. “Beliau sentiasa berada di bawah bayang-bayang Anwar. Beliau tidak begitu vokal dan menyerlah. Kita jarang sekali mendengar kenyataan peribadi dari beliau atau prinsip-prinsip dan visi yang didokong beliau. Adakah dia sentiasa menunggu untuk mengikut kenyataan Parti?” tanya pensyarah Pengajian Politik dan Gender Universiti Malaya, Dr Ruhana Padzil.

“Beliau sentiasa berada di bawah bayang-bayang Anwar. Beliau tidak begitu vokal dan menyerlah”

Politik di rantau Asia telah lama dilihat sebagai satu kerjaya maskulin, dan ramai pemimpin wanita di Asia mewarisi legasi politik dari ahli keluarga lelaki mereka. Wan Azizah tidak terkecuali, tetapi masih sukar untuk membandingkan beliau dengan pemimpin wanita yang lain seperti Corazon Aquino, Benazir Bhutto atau Aung San Suu Kyi, yang cukup menyerlah dan mampu menyalakan imaginasi yang membara di kalangan rakyat mereka.

“Corazon juga merupakan seorang suri rumah,” Ruhana mengutarakan pendapatnya, sambil menambah rakyat Filipina tidak ragu-ragu mengikut sahutan dan kepimpinan beliau dalam Revolusi Kuasa Rakyat (People Power) yang akhirnya berjaya menumbangkan diktator, Ferdinand Marcos.

Dari satu segi, seseorang pemimpin dibentuk oleh situasi semasa, tetapi hakikatnya dunia politik kekal dilihat sebagai agresif dan bersifat maskulin. Jadi, bagaimanakah seseorang wanita mampu mengemudi perangkap gender ini dan masih boleh dilihat sebagai ahli politik yang berwibawa? Adakah wanita-wanita akan sentiasa dinilai sama ada dia terlalu maskulin atau terlalu feminin, terlalu agresif atau terlalu pasif dan bukan dinilai mengikut ukuran keupayaan dan prestasi sendiri? Adakah wanita perlu sentiasa dikaitkan kepada suami atau bapa mereka untuk diiktiraf dalam dunia politik?

Ini adalah soalan-soalan yang harus dijawab. Lantas, “kegagalan” Wan Azizah untuk mencapai kriteria seorang ahli politik yang agresif atau dominan adalah sebenarnya satu kritikan terhadap budaya politik yang maskulin.

“Dr Wan Azizah mempunyai sifat halus di dalam diri beliau di mana saya mendapati ia merupakan perkara positif dalam mendokong dimensi baru dalam budaya dunia politik. Saya berharap, sebagai pucuk pimpinan pembangkang, beliau boleh terus memupuk dan mengekalkan budaya ini,” ujar seorang pemerhati politik sosial yang meminta untuk tidak dinamakan.

“Mungkin kaum lelaki perlu meneroka pendekatan tersebut dengan lebih mendalam agar dapat mengubah budaya politik mereka. Saya yakin ini adalah maksud politik yang sebenarnya, yakni mewujudkan satu budaya politik yang lebih bersifat mesra dan refleksi.”

Wan Azizah kadang kala dikritik kerana terlalu pasif atau “tidak cukup lantang”. Danny Lim

Walau apa pun kritikan terhadap beliau, Wan Azizah mempunyai rekod pilihanraya yang cemerlang, sama ada dalam kategori kerusi Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri. Beliau pernah bercalon di kawasan Permatang Pauh dalam pilihan raya umum 1999, 2004, 2008 dan 2013—semua kemenangan berpihak kepada beliau. Pada Julai 2008, beliau secara sukarela mengundurkan diri daripada kerusi yang dimenanginya untuk mencetuskan satu pilihanraya kecil supaya suaminya dapat bertanding untuk kerusi tersebut, satu usaha untuk membolehkan Anwar Ibrahim kembali semula ke Parlimen. Datuk Seri Dr Wan Azizah kembali bertanding pada 2015 selepas suaminya terpaksa melepaskan kerusi kerana sabitan kes liwat yang kedua, dan Wan Azizah berjaya meraih kemenangan 8,800 undi lebih dari lawannya.

Walaupun beliau dikritik sebagai pemimpin yang agak pasif, Wan Azizah sebagai pemimpin parti dan ahli Parlimen tetap melibatkan diri dalam setiap aspek dunia politik. Beliau turut berucap di peringkat tempatan dan antarabangsa, berkempen dan berupaya menghimpunkan rakyat, aktif dalam perbahasan Parlimen sebagai ketua pembangkang dan menyertai setiap pilihanraya. Wan Azizah juga dilantik sebagai Naib Pengerusi Caucus Parlimen di Malaysia untuk perjuangan demokrasi di Myanmar dan beliau merupakan ahli ASEAN Inter-Parliamentary Myanmar Caucus. Beliau telah mencapai kesemua ini tanpa menundukkan diri kepada muslihat kotor pihak lawan yang tidak asing lagi dalam dunia politik Malaysia.

Wan Azizah juga pernah memimpin parti beliau dalam beberapa peristiwa mencabar, terutamanya sekitar tempoh berkempen bagi pilihanraya tahun ini. Di tengah-tengah spekulasi dimana beberapa kem dikhabarkan berpecah dalam partinya walaupun tinggal beberapa minggu sahaja lagi hari pilihanraya, Wan Azizah menjawab pertanyaan wartawan: “Cuma ada satu kem, iaitu kem saya.” Sebagai seorang ahli politik yang sering memberikan kenyataan berbaur kesepakatan, penegasan dengan frasa—“parti saya”—sesuatu yang ringkas tetapi padat, menggambarkan kekuatan Azizah sebagai pucuk pimpinan parti.

Keupayaan menerajui pucuk kepimpinan parti sampai dua dekad kini menunjukkan kebolehan beliau dalam meneutralkan kuasa dalaman parti dan beruapaya menyekat pihak lawan demi mengekalkan jawatan kepimpinan untuk suaminya—ini juga merupakan demonstrasi kekuatan dan keupayaan Wan Azizah.

“Ya, politik merupakan sesuatu yang maskulin. Tetapi terdapat banyak lagi cara lain untuk mencapai objektif parti. Saya tidak perlu menjadi lantang. Saya tidak mempunyai kemahiran berpidato, walaupun saya sebenarnya ingin memiliki kebolehan itu. Tetapi ahli-ahli parti saya melihat saya lebih sebagai figura seorang ibu. Segala yang kami lakukan adalah dengan persetujuan bersama dan mereka menerima saya seadanya,” katanya. Dia sering mengakui bahawa sokongan dan persetujuan sebulat suara ahli-ahli parti dan rakan-rakan pakatan adalah resipi kejayaan beliau.

Kerjaya politik beliau sebagai seorang ahli politik yang bebas dari skandal dan serangan politik yang serius seperti yang dialami oleh sebilangan ahli-ahli pembangkang mungkin adalah disebabkan beliau dilihat memiliki figura keibuan dan juga status beliau sebagai isteri kepada Anwar. Persepsi ini mungkin telah diperluaskan kepada salah seorang lagi figura wanita dalam keluarga Anwar dan Wan Azizah iaitu Nurul Izzah, puteri sulung mereka yang yang juga naib presiden PKR.

Semasa Nurul Izzah ditangkap di bawah akta hasutan kerana mempertikaikan keputusan mahkamah tentang Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau di Parlimen pada tahun 2015, ianya telah mencetuskan kemarahan rakyat yang menganggap tindakan pemerintah ketika itu adalah keterlaluan. Malah sesetengah ahli UMNO pada masa turut mengekspresikan rasa ketidakpuas hati mereka pada penangkapan itu. Nurul Izzah dibebaskan selepas semalaman berada dalam tahanan polis.

“Dengan cara yang sama, jika ada sesiapa yang cuba menyakiti Wan Azizah, rakyat Malaysia akan bangkit. Beliau adalah terlalu baik untuk dianiaya,” Dr Ruhana berpendapat.

Dr Wan Azizah sememangnya lebih senang diterima sepenuhnya berbanding suaminya. Dikenali oleh para penyokong beliau sebagai Kak Wan, beliau memikat hati penyokong dengan sifat merendah diri dan kelembutan beliau. Gambar-gambar beliau membeli-belah di Tesco atau menggunakan pengangkutan awam sentiasa dikongsi di media sosial. Rakyat sentiasa membandingkan kehidupan sederhana beliau dengan kehidupan mewah isteri Perdana Menteri yang sering menayangkan tas tangan Birkin yang mahal, perhiasan dan percutian mewah, walaupun ketika Najib terlibat dalam skandal rasuah terbesar negara.

 

Wanita dalam politik

Wan Azizah tidak pernah dilihat sebagai penyokong tegar isu wanita dalam politik. Sering dianggap sekadar token pemimpin politik wanita, kemunculan beliau di dalam kancah politik Malaysia tidak pernah dilihat sebagai sesuatu yang istimewa. Meskipun suami beliau sendiri tidak berpisah dengan kontroversi demi kontroversi, Wan Azizah berjaya mengelakkan diri dari menjadi tajuk-tajuk sensasi media massa—tidak menarik perhatian yang keterlaluan mahupun menerima kecaman. Setelah dua puluh tahun dalam dunia politik pihak pembangkang, beliau masih secara meluas dilihat sebagai seorang tokoh yang lembut dan bersifat keibuan.

Namun demikian, salah satu daripada manifesto pakatan pembangkang untuk pilihanraya akan datang adalah sejajar dengan perjuangan feminisme bagi mengiktiraf peranan wanita dalam institusi kekeluargaan. Sering dianggap sebagai tanggungjawab wanita dalam isi rumah, skim ini dengan secara tidak langsung mengiktiraf kerja rumah sebagai kerja yang sah.

Pertama kali dalam sejarah Malaysia sesebuah manifesto pilihanraya mengandungi janji untuk memberi para surirumah faedah keselamatan sosial di bawah sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Di bawah manifesto ini, suami bakal menyumbang 2% daripada pendapatan ke dalam akaun pelaburan KWSP isteri mereka, manakala kerajaan menyumbang RM50 (SGD$16.50) setiap bulan. Ia adalah berdasarkan prinsip bahawa surirumahtangga juga layak menerima pampasan — dan secara langsung mengukuhkan kewangan wanita ini di usia tua mereka. Namun rungutan sudah mula didengari dari kaum suami. Salah seorang menteri Barisan mula bersuara: “Jadi adakah ia bermakna isteri bekerja untuk suami mereka?”

“Kami menawarkan skim ini dalam manifesto kami kerana pada zaman sekarang, kita dapati ramai isteri yang telah ditinggalkan suami terpaksa mencari nafkah seorang diri demi membesarkan anak-anak mereka,” Wan Azizah menjelaskan dalam salah satu ceramah kempen beliau. Beliau sendiri yang dikurniakan enam orang anak terpaksa menyara anak-anak kecilnya bersendirian apabila suaminya disumbatkan ke penjara. Wan Azizah dan Siti Hasmah, isteri Mahathir, kini sedang gigih berkempen untuk meraih undian wanita di Malaysia—salah satu usaha yang terlepas dari perhatian media massa.

Meskipun suami beliau sendiri tidak berpisah dengan kontroversi demi kontroversi, Wan Azizah berjaya mengelakkan diri dari menjadi tajuk-tajuk sensasi media massa—tidak menarik perhatian yang keterlaluan mahupun menerima kecaman

Dr Wan Azizah mungkin tidak dapat menandingi kebolehan berpidato suaminya, atau menonjolkan dirinya sebagai ahli politik terunggul dalam arena politik Malaysia, tetapi beliau mengekalkan visi dimana semangat perpaduan antara berbilang kaum dan agama dapat dicapai dan dipupuk dengan mengamalkan konsep kesederhanaan beragama. Beliau juga menjadi teladan kepada puteri sulung beliau, Nurul Izzah, seorang ahli politik muda terkenal di kalangan rakyat.

“Saya belajar erti kesabaran dari ibu. Beliau seorang yang sangat ikhlas dan ringkas,” kata Nurul Izzah. “Keikhlasan adalah satu komoditi yang sukar ditemui pada masa kini. Mereka [ahli-ahli parti, dan rakyat Malaysia] melihat beliau sebagai seorang tokoh pemimpin yang sentiasa mengutamakan perkara yang dirasakan benar dalam hatinya. Ciri-ciri ini kurang didapati dalam kebanyakan ahli politik yang lain. Jadi saya fikir ini adalah sebahagian daripada kekuatan beliau.”

 

Bukan sekadar isteri seorang ahli politik

Sudah tidak lagi menjadi rahsia, perjuangan Wan Azizah dalam dunia politik selama ini dilakukan demi suami tercinta. Tetapi dalam masa yang sama, beliau yakin bahawa perjuangan ini juga demi kepentingan negara. Dalam memoir beliau menulis:

“Sudah ditakdirkan untuk saya bersuamikan seseorang yang sentiasa terlibat dalam kancah politik. Sebagai seorang isteri dan juga beragama Islam, saya berusaha untuk menjadi seorang isteri yang taat dan seorang ibu yang baik.

“Saya mengabdikan seluruh jiwa dan raga kepada suami saya demi perjuangan beliau tanpa sedikit rasa sesal. Saya sedar perjuangan beliau bukan untuk dirinya sendiri, atau hanya demi keluarga kami semata-mata. Jelas di mata saya, sejak saya mula mengenali suami sehingga kini, perjuangan beliau adalah untuk rakyat dan negara. Falsafah yang didokong beliau tidak akan pernah berubah.”

“Hari demi hari diteruskan dan saya tidak lagi menoleh walau sesaat ke belakang”

Tetapi dalam masa yang sama beliau juga turut menegaskan—menjadi seorang isteri yang setia dan memainkan peranan beliau sebagai seorang ibu—tidak harus disalah ertikan sebagai submisif atau tunduk semata-mata:

“Hari demi hari diteruskan dan saya tidak lagi menoleh walau sesaat ke belakang. Saya sedar saya kini bukan lagi seorang doktor pakar mata, saya sedar saya bukan lagi seorang isteri kepada ahli politik yang berstatus menteri dan saya sedar saya bukan lagi hanya mama kepada anak-anak saya. Saya kini adalah ahli politik yang membawa gagasan keadilan sejagat agar ia diluhurkan di bumi bertuah ini.”

Adalah sesuatu yang menakjubkan memandangkan Wan Azizah masih bertahan selama ini dalam kancah politik Malaysia yang agresif dan ganas. Ini dapat dilihat melalui pengalaman mereka sekeluarga, betapa sukarnya mencabar mereka yang memegang tampuk kekuasaan. Beliau tidak hanya bertahan, malah juga telah mengetuai sebuah gerakan yang kini menjadi cabaran sengit terhadap status quo politik Malaysia selama ini. Ketika ini, hanya masa yang akan menentukan jika beliau bakal menikmati kemenangan dan berjaya dalam misi yang didokong selama ini.

 

Jika anda suka artikel ini dan ingin menyertai pergerakan kami untuk mewujudkan ruang untuk penyelidikan, dialog dan tindakan di Asia Tenggara, sila sertai New Naratif sebagai ahli – hanya US $ 52 / tahun (US $ 1 / minggu)!

Jules Rahman Ong

Jules Rahman Ong is a freelance writer, fixer, producer and an award-winning independent documentary filmmaker. He holds a permaculture design certificate and is passionate about creating an inclusive world where humans co-exist with nature.

Now that you're here, we have a favour to ask...

Join our movement for a better Southeast Asia

New Naratif is a movement for democracy, freedom of information, and freedom of speech in Southeast Asia (see our manifesto). Our articles report on issues that are often overlooked or suppressed by the mainstream media in Southeast Asia. We are rely on our members for their support. Every cent of your membership fee goes to supporting our research, journalism, and community organisation activities. Your support enables us to be editorially independent and to conduct hard hitting independent research and journalism. It allows us to give a voice to the powerless and to hold the powerful accountable. Our members are active participants in our movement, helping us to create content and informing us about important issues, which shapes our coverage and content. Join our movement and let us, together, build a better Southeast Asia. Please subscribe to New Naratif—it’s just US$52/year (US$1/week) or US$5/month—and it only takes a minute. If you’d like to learn more, and read more articles, please start here! Thank you!