Selamat pagi Minxi. Tarikh akhir adalah 2/6/2020. Tiada perubahan. Tunjuk perasaan di Hospital Ipoh pada 2/6/2020 (Selasa) @ 11.30 pg.

Pesanan teks itu tiba pada 29hb Mei dari Sarasvathy “Saras” Muthu, seorang ahli kesatuan pekerja. Sebagai salah seorang anggota pengasas parti politik sosialis, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Saras telah menjadi pembela kelas pekerja Malaysia yang kuat dan vokal selama beberapa dekad, lama sebelum dia menjadi setiausaha eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS).

Pertama kali saya bertemu dengan Saras adalah pada awal tahun 2019, ketika saya mula membuat Bila Kami Bersatu, sebuah dokumentari mengenai NUWHSAS yang saya terbitkan dan arahkan bersama. Filem itu ditayangkan pada bulan September 2019, tetapi Saras dan saya terus berhubung selepas itu. Dia pada mulanya memberitahu saya mengenai rancangan kesatuan itu untuk mengadakan tunjuk perasaan melalui telefon, beberapa hari sebelum menghantar pesanan teks yang nekad itu. Ia demonstrasi kecil, dia meyakinkan saya, yang hanya terdiri daripada jawatankuasa eksekutif kesatuan. Saya mempersoalkan isu keselamatan. “Jangan bimbang, tidak ramai daripada kami akan hadir,” jawabnya. “Kami akan memastikan penjarakan sosial.”

“Sesetengah orang mengatakan bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk melakukannya. Tetapi apa lagi yang boleh kami lakukan? Tukang cuci dibuli teruk oleh pihak pengurusan. Setiap hari, mereka diganggu. Kami tidak boleh berdiam diri sahaja dan tidak melakukan apa-apa.”

Tetapi apa yang menakutkan saya bukanlah COVID-19, walaupun Saras berusia pertengahan enam puluhan dan baru-baru ini berdepan dengan keadaan tidak sihat. Sebaliknya, saya bimbang dia akan berhadapan kehadiran polis yang ganas semasa berada di barisan piket. Pihak polis merupakan kehadiran yang amat mengerikan di hampir semua tunjuk perasaan di Malaysia, dan ianya tampak semakin menjadi-jadi di sebalik penyelindungan virus itu—dengan pelbagai laporan mengenai penangkapan besar-besaran pekerja migran dan pelarian, dan juga penahanan orang yang disyaki melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) negara di dalam keadaan yang membimbangkan. Sebahagian daripada mereka yang ditangkap berasal dari komuniti yang kurang mampu dan berpendapatan rendah.

Memang wajar untuk saya berasa takut. 

Saras telah ditahan pada petang 2hb Jun, bersama dengan dua lagi pemimpin kesatuan dan dua aktivis PSM. Mereka didakwa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dan Seksyen 186 dan 269 Kanun Prosedur Jenayah Malaysia, masing-masing kerana “menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas-tugas awamnya” dan “tindakan cuai yang berkemungkinana untuk menyebarkan jangkitan penyakit yang mengancam nyawa”. Gambar-gambar dari tunjuk perasaan itu menunjukkan ahli-ahli kesatuan berdiri dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter, semuanya memakai pelitup muka. Gambar-gambar yang sama itu turut menunjukkan pegawai polis mengerumuni penunjuk perasaan, dan mengumpul mereka ke dalam van polis hitam. Ada di antara pegawai polis yang dilihat di dalam gambar-gambar itu tidak memakai pelitup muka.

Polis menahan Saras (berbaju putih) dan penunjuk perasaan lain di luar Hospital Ipoh pada 2hb Jun 2020.
Polis menahan Saras (berbaju putih) dan penunjuk perasaan lain di luar Hospital Ipoh pada 2hb Jun 2020. NUWHSAS

Di dalam van, penunjuk perasaan digari dan dirantai bersama. Mereka bermalam di dalam lokap, di mana mereka mengatakan bahawa mereka berulang kali diganggu dan dipanggil “gambang”, “binatang” dan “bodoh” oleh pegawai polis. Menurut Saras, seorang pegawai memaksa seorang aktivis PSM yang berusia enam puluhan bernama Jody untuk menanggalkan thalinya – utas perkahwinan yang dipakai oleh pengamal Hindu. Mereka juga didakwa dipaksa untuk menanggalkan pakaian di depan pegawai, diancam dengan baton dan dinafikan air dan pelitup muka ketika dipenjara, kata Saras. Menurut satu kenyataan PSM, walaupun pihak polis cuba untuk mendapatkan perintah reman selama empat hari, kelima-lima penunjuk perasan itu telah dibebaskan dengan jaminan pada 3hb Jun, sehari selepas penahanan mereka.

Saras dan Jody di dalam sebuah van polis, selepas ditahan, 2hb Jun 2020 di Ipoh.
Saras dan Jody di dalam sebuah van polis, selepas ditahan, 2hb Jun 2020 di Ipoh. NUWHSAS
Saras dan Jody, digari dan dirantai, bersama peguam mereka di balai polis Pekan Baru pada 3hb Jun 2020, di mana penunjuk perasaan bermalaman di lokap.
Saras dan Jody, digari dan dirantai, bersama peguam mereka di balai polis Pekan Baru pada 3hb Jun 2020, di mana penunjuk perasaan bermalaman di lokap. NUWHSAS

Saras dan rakan-rakan kesatuannya kini berdepan dengan pertempuran di mahkamah, kerana mereka telah mengaku tidak bersalah atas tuduhan terhadap mereka dan juga telah membuat laporan terhadap pihak polis, dengan tuduhan tangkapan salah dan penderaan di penjara. Namun, Saras tidak menyesal. Walaupun dia tahu bahaya yang akan dihadapinya ketika keluar ke jalanan, tidak ada sebarang keraguan dalam benak mindanya bahawa tunjuk perasaan itu harus dilakukan, sekarang, tidak kira apa jua.

Saras berkata: “Sesetengah orang mengatakan bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk melakukannya. Tetapi apa lagi yang boleh kami lakukan? Tukang cuci dibuli teruk oleh pihak pengurusan. Setiap hari, mereka diganggu. Kami tidak boleh berdiam diri sahaja dan tidak melakukan apa-apa.”

Sharon Chin

Bermulanya Pengakhiran: Penswastaan dan Janji Yang Dimungkiri

Pekerja pembersihan yang berkerja di hospital kerajaan di Malaysia telah menghadapi kesukaran dan ketidakadilan sistemik selama mana Saras telah memperjuangkan hak pekerja – dalam kata lain, sudah berdekad-dekad lamanya.

Ia bermula pada tahun 1990-an, ketika banyak industri milik negara Malaysia, termasuk perkhidmatan pembersihan hospital, diswastakan. Ini bermaksud pekerja pembersihan yang bekerja di hospital kerajaan tidak lagi diambil kerja secara langsung oleh kerajaan, tetapi oleh syarikat swasta sebagai gantinya. Syarikat-syarikat swasta ini biasanya merupakan subkontraktor, yang seterusnya diupah oleh syarikat berkaitan kerajaan yang besar, termasuk UEM Edgenta Mediserve (firma yang memegang kontrak utama untuk perkhidmatan pembersihan hospital di utara Semenanjung Malaysia), Khazanah Nasional (yang seterusnya memiliki syarikat induk Edgenta, UEM Berhad) dan dana 1Malaysia Development Berhad, yang lebih dikenali sebagai 1MDB, yang disalahgunakan oleh mantan Perdana Menteri Najib Razak.

Tidak seperti doktor dan jururawat, tukang cuci hospital bekerja dengan kontrak jangka tetap, biasanya berlangsung antara satu hingga tiga tahun. Sebagai kakitangan yang bekerja secara swasta, mereka sering dinafikan hak dan faedah asas yang dinikmati oleh pekerja kesihatan awam yang bekerja di hospital yang sama. Mereka tidak dijamin kenaikan gaji, pembaharuan kontrak, cuti pada cuti umum atau cuti sakit berbayar. Seorang tukang cuci yang telah bekerja di sebuah hospital selama lebih daripada 20 tahun dibayar gaji yang sama dengan seorang yang mula bekerja pada tahun 2020: RM1,200 (AS$280) sebulan, iaitu gaji minimum di Malaysia.

Seorang tukang cuci yang telah bekerja di sebuah hospital selama lebih daripada 20 tahun dibayar gaji yang sama dengan seorang yang mula bekerja pada tahun 2020: RM1,200 (AS$280) sebulan, iaitu gaji minimum di Malaysia.

Selepas potongan pencen dan keselamatan sosial, gaji purata seorang tukang cuci mencecah sekitar RM1,000 (AS$233)—di negara di mana anggaran upah sara hidup adalah hampir tiga kali ganda, atau RM2,700 (AS$633) sebulan untuk seorang bujang. Akan tetapi, banyak tukang cuci juga mesti menyara keluarga mereka dengan gaji yang sedikit itu. Sepanjang menjalani penggambaran Bila Kami Bersatu, saya dan pengarah bersama saya bertemu dengan banyak ibu tunggal, janda atau bercerai yang bekerja sebagai tukang cuci untuk menyara anak-anak mereka. Ada yang sudah berumur, dengan hanya mempunyai pendidikan sekolah menengah. Yang lain pula mempunyai dua hingga tiga pekerjaan lain untuk memenuhi keperluan kewangan.

NUWHSAS wujud untuk memerangi dan mengubah keadaan buruk ini. Diberi semula nafas baharu pada tahun 2018 setelah sekian lama tidak aktif, persatuan ini dengan lantas berusaha untuk memperjuangkan hak-hak anggotanya. Bila Kami Bersatu mengikuti kesatuan itu merundingkan perjanjian perundingan bersama pertamanya di mana pekerja pembersihan, untuk pertama kalinya, dapat bersemuka dengan majikan mereka dalam pertemuan rasmi dan secara langsung menuntut keadaan kerja yang lebih baik.

Apa yang terhasil daripada perbincangan-perbincangan ini adalah sebuah langkah ke hadapan yang penuh harapan. Sebuah perjanjian bersama akhirnya dicapai antara kesatuan dan syarikat subkontraktor yang menguruskan hospital di utara Semenanjung Malaysia, NS Medik, pada 23hb Oktober 2019. Di bawah Undang-undang Perhubungan Perusahaan, perjanjian ini sah di sisi undang-undang dan memastikan hak pekerjaan pembersihan untuk cuti umum, cuti sakit berbayar dan gaji lebih masa. Ia juga melarang majikan dari memaksa pekerja untuk memohon semula jawatan sedia ada semasa tempoh pembaharuan kontrak. Tambahan lagi, satu klausa di dalam perjanjian itu menyatakan bahawa sebarang perubahan dalam pengurusan tidak akan mempengaruhi kesahihan dokumen itu selama sekurang-kurangnya tiga tahun dari tarikh penandatanganan dokumen itu, yang telah diundur tarikh ke permulaan tahun 2019.

Ahli-ahli NUWHSAS (Saras berada di paling kiri) dan wakil-wakil NS Medik berjumpa di Ipoh untuk menandatangani perjanjian bersama pertama mereka pada 23 Oktober 2019.
Ahli-ahli NUWHSAS (Saras berada di paling kiri) dan wakil-wakil NS Medik berjumpa di Ipoh untuk menandatangani perjanjian bersama pertama mereka pada 23 Oktober 2019. NUWHSAS

Terma-terma yang menggalakkan daripada perjanjian pertama ini adalah kemenangan yang lama ditunggu-tunggu oleh kesatuan pekerja itu. Anggota-anggotanya mempunyai rancangan tentatif, pada rundingan pusingan berikutnya, untuk berhujah untuk kenaikan gaji pokok sebanyak 36%—kepada RM1,500 (AS$350)—serta kenaikan gaji secara ansuran. Untuk seketika, ia nampak seolah-olah perbincangan terbuka dan jujur adalah mencukupi untuk menjamin hak pekerja pembersihan hospital di Malaysia.

Tetapi harapan ini musnah tidak lama kemudian.

Pada Januari 2020, NS Medik telah digantikan oleh UEMS Edgenta, sebuah subkontraktor yang dimiliki oleh Edgenta UEM. Belum sempat tempoh perkhidmatannya bermula, UEMS telah secara terbuka melanggar perjanjian bersama yang ditandatangani oleh subkontraktor yang sebelumnya. Pada Disember 2019, kakitangan UEMS melawati hospital-hospital di Pulau Pinang dan Perak untuk mengagihkan borang permohonan kepada pekerja-pekerja pembersihan dan memberitahu mereka bahawa mereka perlu ditemu bual semula untuk pekerjaan mereka sendiri. Sesiapa yang enggan menandatangani borang itu telah diugut oleh wakil-wakil UEMS. Ada yang berkata mereka telah dipecat tanpa amaran pada hari pertama tahun baru.

Dari saat pertama UEMS mengambil alih, pembersih hospital yang aktif dalam kesatuan pekerja mengatakan bahawa mereka telah menghadapi tahap pembulian dan gangguan daripada penyelia dan pengurusan korporat UEMS yang boleh dianggap penyeksaan kalau dibandingkan dengan keadaan biasa. Diburukkan lagi keadaan oleh pandemik COVID-19, ia telah menjadi krisis kesihatan dan hak asasi manusia yang besar-besaran.

Sharon Chin

Pekerja Barisan Hadapan: Memerangi Virus and Penderaan Majikan

Permulaan COVID-19 berlaku secara perlahan di Malaysia. 

Sehingga 20hb Februari, terdapat kurang daripada 40 kes yang dilaporkan di negara ini. Kemudian, pada 23hb Februari, sebuah pertemuan antara ahli-ahli politik bertukar menjadi “rampasan kuasa pintu belakang”, dua minggu kekecohan politik, dan pembubaran pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan. Pada 27hb Februari, 15,000 orang dari gerakan dakwah Islam Tablighi Jama’at berkumpul di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur. Seorang peserta kemudian didapati positif COVID-19. Menjelang 17hb Mac, negara ini mempunyai 673 kes COVID-19 yang aktif.

Pada ketika ini, pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional yang baru telah berkuasa selama lebih dari dua minggu. Keesokan harinya, mereka mula menguatkuasakan PKP, sekatan pergerakan yang sangat mengehadkan pergerakan kebanyakan rakyat Malaysia, tidak termasuk pekerja penting. Pada asalnya PKP ditetapkan untuk berakhir pada 31hb Mac, tetapi telah dilanjutkan empat kali, dan negara ini kini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hingga 31hb Ogos.

Oleh itu, tidak ada waktu yang lebih sesuai untuk memperjuangkan hak pekerja pembersihan, bersama dengan semua pekerja penting yang lain.

Namun, walaupun UEMS dengan senang hati menggelar pekerjanya “pahlawan” dalam hantaran Instagram, layanan syarikat itu terhadap pekerja pembersihan menunjukkan gambaran yang berbeza. Pada 23hb Mac, UEMS berhadapan dengan penelitian media apabila ia didedahkan bahawa tukang cuci di Hospital Teluk Intan dinafikan saringan COVID-19, walaupun 37 kakitangan perubatan di hospital tersebut didapati positif virus tersebut. Liputan berita itu diikuti hantaran media sosial dari anggota kesatuan pekerja, yang menyoroti kes itu di Facebook dan Twitter.

Hantaran dari laman Instagram rasmi UEMS, di mana syarikat itu mengiklankan artikel di laman web mereka yang menemu ramah pekerja perkhidmatan hospital diupah mereka.
Hantaran dari laman Instagram rasmi UEMS, di mana syarikat itu mengiklankan artikel di laman web mereka yang menemu ramah pekerja perkhidmatan hospital diupah mereka. Tangkapan skrin dari Instagram.

Dari rumahnya di Ipoh, Saras meneruskan komunikasinya dengan pekerja pembersihan dan pemimpin kesatuan di hospital lain yang telah melaporkan jumlah insiden yang membahayakan pembersih yang sangat tinggi. UEMS telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang menyangkal laporan ini dan memanggil tuduhan kesatuan itu sebagai “palsu” dan “tuduhan yang mengelirukan“. Khususnya mengenai isu “gangguan dan ugutan secara lisan” terhadap anggota “jawatankuasa tempat kerja dari kesatuan”, syarikat itu mengatakan pihaknya “belum menerima sebarang laporan mengenai insiden yang berkaitan dengan hal ini”, dan bahawa ia akan membentuk “pasukan petugas dalaman” untuk mengkaji semula tuduhan-tuduhan ini. Syarikat itu juga mendakwa bahawa mereka telah bekerjasama dengan kesatuan itu, dan pada masa yang sama turut mengakui bahawa kesatuan itu telah memfailkan kes terhadapnya di Mahkamah Perusahaan Malaysia.

Namun, pembersih hospital sendiri mempunyai kisah yang jauh berbeza untuk diceritakan. Sejak permulaan PKP, New Naratif telah menerima hampir 20 aduan mengenai pengabaian dan penyeksaan yang dibuat oleh puluhan pembersih hospital dari seluruh negara terhadap pihak pengurusan. Sebilangan besar pekerja pembersihan ini meminta untuk tidak dinamai kerana bimbang akan dikenakan tindakan balas dari penyelia mereka. Memang tidak mudah untuk melaporkan realiti yang dihadapi oleh pekerja pembersihan dari dalam hospital kerajaan, kerana ada protokol ketat yang mencegah penggambaran dan rakaman di premis hospital. Selepas COVID-19, ia menjadi semakin sukar dari sebelumnya. Namun, pekerja pembersihan masih meneruskan penghantaran laporan baru mengenai kejadian dera, melalui pesanan teks, rakaman suara dan panggilan telefon. Kisah-kisah mereka menyoroti pelbagai masalah berulang, tetapi semuanya nampaknya menunjukkan keadaan yang semakin tidak dapat dipertahankan.

Salah satu isunya adalah kekurangan kelengkapan perlindungan diri (PPE). Tukang cuci di Hospital Raja Permaisuri Bainun (lebih dikenali secara tidak rasmi sebagai Hospital Ipoh), Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Kuala Kangsar melaporkan bahawa mereka dipaksa untuk menggunakan semula sarung tangan, apron dan pelitup muka di peringkat awal PKP. Ada yang mengatakan bahawa mereka tidak diberikan sebarang PPE langsung, atau mendapati kelengkapan mereka dipindahkan dari lokar peribadi oleh penyelia UEMS ke bilik stor yang di luar jangkauan, tanpa diberikan sebarang alasan yang jelas. UEMS menyangkal kesemua tuduhan mengenai kekurangan bekalan PPE, dan menyatakan bahawa mereka telah “mengambil usaha tambahan untuk mendapatkan PPE untuk memastikan keselamatan kakitangan” biarpun seluruh dunia menghadapi kekurangan PPE.

Seorang pembersih di Hospital Teluk Intan menghantar aduan mengatakan bahawa mereka telah dinafikan “elaun UEMS COVID-19″—bayaran satu kali sebanyak RM300 (US$70)—walaupun dia merupakan satu-satunya pembersih yang ditugaskan di wad COVID-19.

Tidak menghairankan, terdapat juga kes penyakit yang disyaki. Di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (dikenali sebagai Hospital Kuala Pilah), seorang tukang cuci dengan sakit tekak dan demam mendakwa dia dihantar pulang dengan cuti sakit tanpa disaring untuk COVID-19. Di Hospital Ipoh, seorang tukang cuci yang hanya mempunyai pengalaman selama tiga bulan mengatakan bahawa dia diminta untuk membersihkan wad di mana pesakit COVID-19 sedang dirawat—sesuatu yang tidak diberitahu kepadanya oleh jururawat yang bertugas. Apabila dia jatuh sakit dengan gejala seperti selesema, dia diberi cuti sakit berbayar selama 14 hari dan kembali bekerja sejurus selepas itu.

Terdapat banyak laporan mengenai upah yang dibayar lewat atau upah lebih masa yang langsung tidak dibayar. Tukang cuci di empat hospital yang berbeza—Kuala Pilah, Jempol, Tampin dan Jelebu —menghubungi kesatuan pekerja pada pertengahan April dan mengatakan bahawa gaji mereka untuk bulan Mac ditangguhkan selama beberapa minggu. Keempat-empat hospital diuruskan oleh subkontraktor yang sama, Impressia Sdn Bhd, yang berpusat di selatan Semenanjung Malaysia. Pengarah urusan Impressia Darus Bin Latif tidak menjawab soalan yang dihantar oleh New Naratif.

Dalam respons terhadap tunjuk perasaan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menggelar ketegangan antara kesatuan pekerja dan UEMS sebagai “masalah dalaman“, dan berjanji untuk campur tangan hanya jika perkhidmatan pembersihan terganggu. Seterusnya, UEMS telah berjanji untuk memastikan tidak ada gangguan perkhidmatan di hospitalnya dan menguruskan masalah yang berkaitan dengan kebajikan pekerja secara dalaman.

Namun, kementerian tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pengecualian pekerja pembersihan daripada elaun bulanan RM600 (AS$140), yang dijanjikan oleh kerajaan kepada semua pekerja kesihatan yang berjuang di barisan hadapan COVID-19. Juga tidak termasuk dalam elaun ini ialah kakitangan kecemasan, ahli farmasi dan pegawai perubatan dengan kontrak jangka tetap. Yang dibiarkan untuk mengisi jurang adalah majikan swasta, yang melakukannya dengan tidak betul dan tidak tepat. Seorang pembersih di Hospital Teluk Intan menghantar aduan mengatakan bahawa mereka telah dinafikan “elaun UEMS COVID-19″—bayaran satu kali sebanyak RM300 (US$70)—walaupun dia merupakan satu-satunya pembersih yang ditugaskan di wad COVID-19.

“Tiada hormat. Satu kali, staff nurse pun terkejut. Mereka (jururawat) semua berlari ke depan, ingat kami bergaduh. Tetapi bukan gaduh. Dia memang…suara macam itu. ‘Hei, Hei! Keluar!’”

Terdapat juga laporan dari pembersih yang mengatakan bahawa mereka telah diganggu dan dibuli oleh penyelia mereka. Zaitun*, seorang pembersih di Hospital Ipoh, berbicara tentang penderaan secara lisan dan mental yang dia dan rakan sekerjanya mengalami setiap hari: “Dia panggil: ‘Hei, hei, keluar! Keluar dari sini!’ Dia…Kurang sopan. Tiada hormat. Satu kali, staff nurse pun terkejut. Mereka (jururawat) semua berlari ke depan, ingat kami bergaduh. Tetapi bukan gaduh. Dia memang…suara macam itu. ‘Hei, Hei! Keluar!’”

Namun, bentuk penderaan yang mungkin paling teruk yang didakwa, ditujukan kepada pekerja pembersihan yang aktif dalam kesatuan pekerja. “[Saya] tidak boleh jalan mana-mana,” kata Zaitun kepada New Naratif. “Kalau tak ikut arahan, lokasi ditukar. Berapa kali nak tukar, saya pun sudah penat. Mereka mengambil gambar saya, macam ancaman. (Saya) tidak boleh campur dengan orang (lain). Yang teruk sekali selepas Hari Raya ini, lokar saya dipecah… Apabila saya masuk kerja, lokar saya semua dibuka, barang-barang dalam itu semua hilang. Dalam lokar itu, ada peralatan, sarung tangan, pelitup muka, beg plastik. Mungkin dia nak cari borang-borang kerana saya ahli kesatuan. Tetapi memang tak ada.” 

Zaitun, yang bertugas sebagai pejuang untuk rakan-rakan pembersihnya di Hospital Ipoh, kini bercuti sakit. Dia disahkan menghidap “tekanan yang berkaitan dengan pekerjaan” setelah mendapatkan bimbingan kaunseling akibat gangguan berulang kali dari penyelia UEMS. Ketiadaannya hanya menyukarkan kesatuan pekerja untuk menyiasat dan mencabar insiden penderaan lain yang berlaku di Hospital Ipoh, yang seterusnya menyumbang kepada iklim yang senyap dan ketakutan yang berterusan.

Pada seketika waktu, semasa perundingan tawar-menawar bersama pada tahun 2018 dan 2019, pekerja pembersihan dan penyelia dapat duduk dan berbicara di meja yang sama—ketika kesatuan pekerja dan pihak pengurusan, pada tahap tertentu, bahkan bersepakat. Namun, masa ini sudah lama berlalu. Kesatuan pekerja ini sudah banyak kali berusaha untuk memaklumkan kepada UEMS mengenai kebimbangan mereka, setelah menghantar lapan surat kepada syarikat itu, yang pertama pada 20hb Mac, dan yang paling terkini pada 28hb Mei, yang memperincikan aduan yang disenaraikan di atas. Walau bagaimanapun, UEMS memilih untuk tidak memberi respons secara langsung kepada kesatuan pekerja itu, walaupun mereka memaklumkan bahawa mereka telah menerima satu surat, yang dihantar pada 31hb Mac, dalam kenyataan mereka pada 3hb Jun. Sementara itu, pekerja pembersihan masih harus bekerja dan memerangi wabak ini tanpa alat atau protokol yang sesuai untuk melindungi mereka. Untuk memetik Saras sekali lagi: “Sekarang adalah masa untuk kita berjuang. Pihak pengurusan harus memberi respon, tetapi mereka telah menghabiskan setiap saat semasa PKP untuk memeras kesatuan. Itulah sebabnya kami terpaksa menunjuk perasaan. Kerana keadaan sudah menjadi melampau.”

Sharon Chin

Turun Ke Jalanan Pada Zaman COVID-19

Ini bukan kali pertama Saras ditahan kerana terlibat dalam tunjuk perasaan. Pada tahun 2011, dia dan lima ahli PSM lain telah ditahan di bawah Undang-Undang Ordinan Darurat, semasa tindakan keras kerajaan terhadap pergerakan BERSIH, yang sedang merancang perhimpunan reformasi pilihan raya kedua pada ketika itu. BERSIH, atau Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, merupakan gabungan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang telah berjuang untuk pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia sejak tahun 2005, dan merupakan faktor penyebab di sebalik berakhirnya pemerintahan Barisan Nasional pada tahun 2018, yang dipimpin oleh mantan Perdana Menteri Najib Razak pada masa itu. Perhimpunan Bersih 2.0, yang diadakan pada 9hb Julai 2011, menarik antara 10,000 sehingga 20,000 rakyat Malaysia untuk turun ke jalanan di Kuala Lumpur, menjadikan ia antara protes yang terbesar dan paling berkesan di dalam sejarah negara ini.

Lebih kurang 60 aktivis telah ditahan pada hari-hari sebelum perhimpunan itu, termasuk Saras. Dia ditempatkan di dalam kurungan bersendirian selama lebih sebulan, dipaksa untuk menandatangani sebuah kenyataan berjumlah 62 halaman sementara terlalu sakit untuk membaca atau memahami kandungannya dan juga menjalani ujian pengesanan pembohongan. Ujian itu begitu menekankan sehinggalah dia akhirnya dihantar ke sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur setelah mengalami sakit dada di mana dia telah digari ke katilnya dan diperhatikan siang dan malam oleh dua anggota polis, katanya kepada New Naratif.

Pengalaman-pengalaman seperti ini, sedahsyat mana pun, tidak mencegahnya untuk meneruskan kerjanya dalam organisasi politik dan buruh. Ia juga tidak menghalangnya daripada menunjuk perasaan terhadap sistem rasuah dan eksploitatif di Malaysia, dan tunjuk perasaan pada 2hb Jun ialah bukti terbaru.

Penunjuk perasaan NUWHSAS di luar Hospital Ipoh, 2hb Jun 2020. Sepanduk di tengah berkata “EDGENTA UEMS HENTIKAN PEMERASAN KESATUAN (UNION BUSTING)”.
Penunjuk perasaan NUWHSAS di luar Hospital Ipoh, 2hb Jun 2020. Sepanduk di tengah berkata “EDGENTA UEMS HENTIKAN PEMERASAN KESATUAN (UNION BUSTING)”. NUWHSAS
Seorang penunjuk perasaan dari NUWHSAS di luar Hospital Ipoh, 2hb Jun 2020. Tandanya berkata “Ahli kesatuan tidak boleh kutip yuran”. Ini merujuk kepada yuran keahlian kesatuan pekerja yang diperlukan agar kesatuan itu boleh terus berfungsi.
Seorang penunjuk perasaan dari NUWHSAS di luar Hospital Ipoh, 2hb Jun 2020. Tandanya berkata “Ahli kesatuan tidak boleh kutip yuran”. Ini merujuk kepada yuran keahlian kesatuan pekerja yang diperlukan agar kesatuan itu boleh terus berfungsi. NUWHSAS

Penahanan mereka, yang terbaru dalam senarai panjang penganiayaan yang dilakukan terhadap pembersih hospital, juga merupakan petanda buruk untuk masa depan di mana keingkaran awam boleh berlangsung secara aman di Malaysia. Sekiranya kerajaan dan badan-badan yang berkaitan dengannya sanggup menjadikan pandemik ini sebagai senjata terhadap orang yang melindungi kita daripadanya, apakah harapan untuk komuniti-komuniti lain yang berjuang untuk kebebasan dari penindasan?

Mungkin satu jawapannya adalah dalam talian.

Sudah ada dua tunjuk perasaan digital terhadap satu lagi contoh penganiayaan yang dibenarkan negara, iaitu penangkapan besar-besaran pekerja migran, pelarian dan pencari suaka yang berlaku pada 1hb Mei dan 20hb Mei. Kedua-dua tunjuk perasaan, yang diterajui di bawah slogan #MigranJugaManusia, mendapat sokongan besar-besaran di pelbagai pelantar media sosial di Malaysia. Selepas penahanan Saras, beratus-ratus komen negatif dikirimkan di hantaran Instagram UEMS yang disebutkan di atas, dengan kritikan seperti: Mak cik dan pak tua ditahan dan digari hanya kerana mereka meminta hak mereka dan memprotes dengan aman. Biar betul? Bagaimana awak tidur lena pada waktu malam?

Ruangan komen pada hantaran Instagram UEMS bertarikh 19hb Mei 2020.
Ruangan komen pada hantaran Instagram UEMS bertarikh 19hb Mei 2020. Tangkapan skrin dari Instagram.

Baru-baru ini Saras dan saya berbual di telefon, sejurus selepas kesatuan itu memfailkan laporan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)  pihak polis Malaysia pada 21hb Jun. Saras berkata dia yakin bahawa JIPS akan memastikan pihak polis bertanggungjawab atas tingkah laku kasar mereka terhadap penunjuk perasaan. Memang benar, timbalan ketua polis Ipoh berjanji dalam satu kenyataan pada 22hb Jun untuk melancarkan “siasatan dalaman” berdasarkan tuduhan kesatuan pekerja itu, dan akan “mengambil tindakan” jika tuduhan tersebut terbukti benar. Bagi pihak lain yang terlibat—iaitu UEMS, syarikat induknya dan kerajaan Malaysia—Saras meragui bahawa sebarang tanggungjawab akan dipikul.

“Pihak polis memberitahu kami bahawa menteri kesihatan  [Adham Baba] akan datang,” ujar Saras, mengimbas kembali saat-saat sebelum penahanannya. “Mereka memberitahu kami untuk pergi dan tunggu di dalam hospital. Kami pun berbuat demikian, tetapi menteri tidak hadir. Jadi pihak polis memberitahu kami mereka akan memanggil pihak pengurusan [UEMS]. Sementara kami menunggu, mereka menahan kami. Tetapi pertama sekali, kenapa pihak polis terlibat? Kami mengikuti kesemua [prosedur operasi standard] untuk tunjuk perasaan itu. Ini merupakan tindakan industri. Dalam Akta Hubungan Perusahaan, Seksyen 40 jelas menyatakan bahawa sekiranya pihak pengurusan tidak memberi sebarang maklum balas, maka pekerja mempunyai hak untuk tunjuk perasaan. Itu hak kami. Undang-undang sudah menyatakan kami boleh menunjuk perasaan.”

Dia kemudiannya mengajukan lebih banyak soalan: “Jadi kenapa pihak polis hadir? Siapa dalang disebaliknya? Adakah UEMS dan pihak kerajaan menggunakan kuasa dan autoriti mereka untuk menakut-nakutkan ahli-ahli kesatuan pekerja? Selama ini mereka telah melakukan pemerasan kesatuan dalam kalangan pekerja di hospital. Jadi pada 2hb [Jun], adakah mereka menggunakan kuasa mereka untuk memberi pengajaran kepada kami? Untuk memusnahkan kesatuan ini? Inilah soalan-soalan saya. Kalau tidak, kenapa pihak polis perlu hadir?

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 6hb Jun, UEM Edgenta berkata: Pihak Syarikat tidak menghubungi pihak berkuasa semasa kejadian malang itu, dan Syarikat juga tidak mengenakan sebarang tindakan ke atas mereka.” Firma itu juga mengulangi bahawa “ia sentiasa profesional dalam hubungannya dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia”.

Ajakan Untuk Bertindak 

  • Ikuti perkembangan mengenai isu ini dengan mengikuti NUWHSAS secara terus di Facebook dan Twitter. Anda juga boleh menderma secara terus ke kesatuan ini di akaun bank yang tertera di laman web ini. Kesatuan ini memerlukan kira-kira RM50,000 dalam kos guaman untuk melawan tuduhan yang dikenakan polis terhadap mereka di mahkamah.
  • Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai NUWHSAS dan kesatuan-kesatuan lain di Malaysia, sila beritahu New Naratif melalui media sosial kami atau melalui e-mel. Kami sedang merancang sebuah siri ajaran mengenai kisah ini dalam minggu-minggu yang akan datang, dan kami berminat untuk mengetahui topik apakah yang komuniti kami mahu kami liputi. 

*Nama samaran telah digunakan untuk melindungi identiti sebenar pekerja ini.

Author

Chua Minxi

Minxi Chua is a Malaysian writer, editor, translator and researcher. She has studied and worked in Beijing, New York, Singapore, and Manchester; and, for much of this time, has been writing a novel on mental illness, the postcolonial Malaysian psyche, intergenerational female trauma, and chickens. She is New Naratif’s Operations Coordinator. Reach her at minxi.chua@newnaratif.com.
Artist

Sharon Chin

Sharon Chin is an artist living in Port Dickson, Malaysia. She works across mediums in a variety of fields, including fine art, illustration, and film. Recently, she illustrated Zedeck Siew's short story collection 'Creatures of Near Kingdoms', available now from Maple Comics. For more info, please visit: www.sharonchin.com.
Translator

Tina Carmillia

Tina Carmillia is a freelance science journalist and producer. She is also a researcher studying misinformation, focusing on Malay-speaking online spaces, its intersection with data and democracy, as well as the state of fact-checking and verification practices in the Malaysian media.

Now that you're here, we have a favour to ask...

New Naratif is a movement for democracy, freedom of information, and freedom of speech in Southeast Asia (see our manifesto). Our articles report on issues that are often overlooked or suppressed by the mainstream media in Southeast Asia. We rely on our members for their support. Every cent of your membership fee goes to supporting our research, journalism, and community organisation activities. Your support enables us to be editorially independent and to conduct hard hitting independent research and journalism. It allows us to give a voice to the powerless and to hold the powerful accountable. Our members are active participants in our movement, helping us to create content and informing us about important issues, which shapes our coverage and content. Join our movement and let us, together, build a better Southeast Asia. Please subscribe to New Naratif—it’s just US$52/year (US$1/week) or US$5/month—and it only takes a minute. If you’d like to learn more, and read more articles, please start here! Thank you!

Subscribe

Get the Newest Naratif

Sign up for our Weekly Newsletter or join our Telegram Chat to get the scoop on matters concerning Southeast Asia

Join our newsletter

Newsletters go out every Thursday.

Sign Up For Telegram Updates