Malaysia Prime Minister and UMNO president Datuk Seri Najib Razak speaks to the crowd at Bukit Jalil National Stadium on Umno’s 71st anniversary celebration in May 2017. Adam AmrHmzh / Shutterstock.com

Ketidakseimbangan Dikalangan Masyarakat Melayu Malaysia

Author: E. H. Imrantski
Published:

Untuk dilahirkan sebagai seorang Melayu di Malaysia merupakan sesuatu kelebihan.

Kaum majority ini yang serumpun dengan kaum-kaum pribumi yang lain secara kolektifnya dikenali sebagai “anak bumi” atau Bumiputera. Mereka diberi hak-hak istimewa yang digariskan di dalam perlembagaan kerana golongan ini mempunyai “kedudukan khas” dalam negara.

Urus janji etnik ini merupakan salah satu daripada syarat-syarat yang dipersetujui sewaktu kemerdekaan dari pemerintahan British, sebagai suatu langkah untuk mengurangkan jurang antara pelbagai kaum etnik Malaysia. Orang Melayu, yang kebanyakannya bekerja sebagai petani, menyara hidup tanpa mempunyai akses kepada modal dan pekerjaan, khuatir ditinggal peredaran zaman dan hilangnya nilai murni dan budaya mereka. Namun begitu, Malaysia pada zaman ini jauh berbeza dari hari-hari awal kemerdekaan; perasaan khuatir ini masih lagi berterusan. Justeru, politik tempatan sehingga kini masih lagi berkisar pada dasar melindungi kepentingan Melayu. Dengan lanskap politik yang berkisar pada garis perkauman, formula parti politik menurut kaum secara tunggal menjadi semacam kebiasaan.

Permainan politik perkauman seperti ini pula diiringi pentadbiran yang kurang telus serta kecuaian pengawasan oleh pihak berkuasa yang menjurus kepada suatu lagi ketidaksama-rataan. Akan tetapi, kali ini ianya di dalam kalangan Bumiputera sendiri.

 

Dalam konteks sejarah

Setelah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan Malaya yang baru ditubuhkan masih bergelut dengan kesan jajahan British. Semasa pentadbiran British, rakyat negara ini terbahagi mengikut fungsi ekonomi masing-masing, yang mengakibatkan pemisahan kaum—perlombongan dan perdagangan untuk kaum Cina, ladang getah untuk kaum India, perkhidmatan awam dan pertanian untuk kaum Melayu.

Perlembagan Persekutuan Malaya, yang berkuatkuasa pada tahun 1957, memelihara hak-hak istimewa orang Melayu. Abdul Aziz, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airline System menegaskan bahawa konteks sejarah harus diambil kira demi memahami dasar tindakan afirmatif. “Sebelum Merdeka, kebanyakan orang Melayu hidup di kawasan kampung tanpa modal, kepakaran atau maklumat… kebanyakan mereka hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.” Maka hak-hak istimewa ini dianggap sebagai langkah penting untuk merapatkan jurang di antara orang Melayu dan kaum-kaum lain.

Peningkatan populasi bukan-Melayu juga mencetuskan rasa bimbang, bahawa mereka akan menjadi rakyat kelas kedua di negara mereka sendiri

Peningkatan populasi bukan-Melayu juga mencetuskan rasa bimbang, bahawa mereka akan menjadi rakyat kelas kedua di negara mereka sendiri. Penyertaan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 dengan penggabung Singapura sepatutnya mengukuhkan status orang Melayu sebagai majoriti etnik, berserta suku kaum pribumi Borneo yang juga dianugerahkan status Bumiputera.

Walaupun demikian, Aziz berkata; “pihak kerajaan tidak mempunyai polisi bersesuaian [berkait dengan tindakan afirmatif orang Melayu] dalam tempoh masa yang panjang”, sehingga ketegangan antara kaum Cina dan kaum Melayu meledak pada 13 Mei 1969.

Pada masa itu, kerajaan telah mengutamakan pertumbuhan ekonomi melalui pemupukan pasaran eksport, tetapi ini tidak memberi penekanan secukupnya terhadap pengagihan yang saksama. Ketidak-seimbangan sosio-ekonomi antara kaum etnik berbeza semakin bertambah. Ketegangan antara penduduk Cina di bandar dengan masyarakat Melayu miskin luar bandar tercetus akibat pilihan raya 1969 yang mempunyai unsur politik perkauman. Akibat keganasan yang berlaku pada hari itu, ratusan orang cedera dan ada yang meninggal dunia—sehingga hari ini, jumlah mangsa kejadian itu masih dipertikaikan.

Kejadian berkenaan telah menjadi faktor perletakan jawatan Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman dan mendorong pengubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menangani isu ketidak-seimbangan ekonomi antara kaum.

 

Dasar Ekonomi Baru dan Melayu elit

DEB mempunyai pendekatan dua hala, iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, dan menggalakkan peningkatan mobiliti sosial dalam kalangan orang Melayu.

Keutamaan khas diberikan kepada orang Melayu dalam sektor pekerjaaan awam, pengajian tinggi, perolehan awam dan pemilikan modal. Dengan itu, idea di sebaliknya ialah untuk mendorong kesama-rataan, tetapi dasar-dasar ini juga sering disalah guna untuk memberi manfaat hanya kepada golongan elit.

Prime Minister and UMNO President Datuk Seri Najib Razak delivering his policy speech at the UMNO General Assembly on 7 December 2017. Adam AmrHmzh / Shutterstock.com

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sebagai parti pengasas bagi gabungan Barisan Nasional telah mentadbir negara ini sejak tahun 1957. Hasil daripada dominasi politik yang berterusan ini, parti berkenaan telah memperkasakan kedudukan mereka sebagai golongan elit politik, yang menguasai cabang eksekutif dan cabang perundangan dalam kerajaan.

Tanpa proses telus, prosedur perolehan awam dan peruntukan lesen sering dijalankan secara tertutup. Ia bercanggah dengan proses terbuka dan daya saing yang sepatutnya wujud antara kelompok-kelompok berkepentingan yang terlibat, melalui keutamaan yang diberi kepada orang Melayu. Ketidak-telusan seperti ini membolehkan golongan politik elit untuk mengagihkan kontrak dan lesen kepada sekutu mereka sahaja. Ini mewujudkan sistem penaungan antara kerajaan dan hartawan Bumiputera.

Zaid Ibrahim, bekas menteri undang-undang de facto Malaysia berkata sistem penaungan ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan. “Sifat feudal sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat Melayu, walaupun kita mempunyai demokrasi atau institusi moden, budaya itu tetap sama. Pada masa lalu, golongan elit yang memerintah adalah pihak istana. Pada masa kini, ia adalah pemimpin politik.”

“Tindakan afirmatif perlu berdasarkan sistem terbuka dengan tadbir urus yang baik,” katanya.” Jika tidak, ia akan sentiasa disalah gunakan.”

 

Komuniti luar bandar

Nasib masyarakat Melayu luar bandar berkait rapat dengan pertanian. Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan untuk membantu mereka, keperluan para pekebun kecil sering diketepikan dalam memuaskan keinginan para pemimpin politik.

Bagi rakyat luar bandar, usaha bantuan kerajaan disampaikan dalam bentuk skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Di bawah naungan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, skim ini dilancarkan pada tahun 1956. Tujuan; utama FELDA adalah untuk memberi peluang perkerjaan kepada penduduk luar bandar di Malaya yang tidak memiliki tanah.

Fatimah Mohamed Arshad, Pengarah Institut Kajian Dasar Agrikultur dan Makanan, Universiti Putra Malaysia, kagum dengan pencapaian skim FELDA pada tahun 60-an dan 70-an. Ia berjaya merangsangkan ekonomi luar bandar dan mengurangkan kemiskinan. Tetapi sekarang ia menghadapi kesukaran untuk menyahut cabaran abad ke-21.

Sepatutnya komuniti luar bandar mengalami peningkatan sosial, tetapi mereka kekal sebagai pekerja di ladang yang dikendalikan oleh FELDA, membekalkan hasil tanaman untuk kilang-kilang FELDA. Fatimah mengakui bahawa; “Terdapat peningkatan, tetapi bukan pada tahap yang diharapkan. Berdasarkan model yang dirancang, peneroka-peneroka sepatutnya berganding bahu dan menubuhkan koperasi yang membolehkan mereka membeli kilang, tetapi ini tidak berlaku.”

Oleh sebab masalah yang timbul berkaitan dengan pengagihan pendapatan yang tidak sekata dan tahap kemahiran yang berlainan, kerajaan telah mengabaikan model pemilikan tanah koperasi untuk sebuah sistem yang lain, di mana FELDA terus mengendali skim tersebut secara berpusat. Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dianggotai peneroka-peneroka FELDA hari ini tidak bertindak seperti koperasi yang sebenar; ahli tidak mempunyai kawalan ke atas operasinya, atau berpeluang benar-benar meraih faedah.

“Koperasi yang ditadbir oleh pegawai FELDA, adalah satu perkara yang tidak patut berlaku.” kata Fatimah. “Sewajarnya, kopreasi ini patut ditadbirkan oleh peneroka-peneroka sendiri, sebaliknya [KPF] berperanan seperti firma milik pelabur, di mana lembaga koperasi melaburkan wang di tempat lain dan membayar dividen kepada peneroka-peneroka.”

Sebagai pekebun kecil, Melayu luar bandar yang menyertai skim FELDA mempunyai penglibatan dalam proses pengeluaran tambah nilai—aspek yang paling lumayan bagi perusahan pertanian. Walaupun mereka dibayar bagi hasil titik peluh mereka di lading – misalnya hasil jualan buah sawit—keuntungan itu jauh lebih tipis jika dibandingkan dengan hasil selepas buah sawit itu telah diproses menjadi minyak masak atau produk oleokimia.

“Margin keuntungan diperolehi oleh pihak lain tetapi bukan para petani; mereka masih terperangkap dalam pengeluaran asas,” kata Fatimah.

Tambahan pula, kawalan dan keuntungan terus terasing dari genggaman pekebun kecil apabila Felda Global Ventures Holdings (FGV), sebuah syarikat agribisnis berkaitan kerajaan awam, memperoleh saham milik KPF bagi FELDA Holdings Berhad (FHB), pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia. Atas alasan untuk “menyelaraskan operasi antara FGV dan Felda Holdings”, sebahagian besar langkah ini menguntungkan FGV, sementara koperasi mendapati mereka tidak mendapat akses kepada mana-mana bahagian keuntungan dari pengeluaran tambah nilai hiliran.

“ FHB sangat penting untuk operasi KPF, tanpa saham itu masa depan koperasi makin suram,” kata Mazlan Aliman, presiden Persatuan Anak-anak Peneroka FELDA Kebangsaan.

 

Raja jalan raya

Dasar-dasar Bumiputera yang ada di Malaysia juga melibatkan perusahan automotif.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyelia sistem lesen untuk memberikan permit yang diluluskan (AP) kepada individu tertentu, membenarkan mereka mengimport dan mengedar kereta di Malaysia.

“Ia bukan pengagihan kekayaan, tetapi penumpuan semula kepada golongan bangsawan”

Dasar ini, yang diperkenalkan pada tahun 1970-an di bawah DEB, bertujuan untuk menggalakkan penyertaan kaum Bumiputera dalam pasaran kereta terpakai. Tetapi sekarang ia adalah sesuatu rahsia terbuka bahawa sistem ini sangat lumayan dan sering disalah-gunakan—satu permit boleh dijual semula dengan harga dari RM25,000 hingga RM40,000.

Pada tahun 2005, senarai penerima AP telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi menghentikan spekulasi rasuah yang meluas. Senarai tersebut menunjukkan bahawa empat individu: Dato’ Syed Azman Syed Ibrahim, Dato’ Azzudin Ahmad and Dato’ Mohd Haniff Abd Aziz dari Weststar Motorsport dan allahyarham Tan Sri Nasimuddin SM Amin dari Naza Group telah menerima sebahagian besar permit yang telah dikeluarkan. Daripada 134,607 permit dikeluarkan pada tahun 2004 dan 2005, empat “raja AP” menerima sebanyak 67,158 permit; kira-kira separuh daripada jumlah semua permit yang dikeluarkan.

Walaupun kerajaan mendakwa bahawa tiada monopoli permit berlaku, ia menjelaskan bahawa penerima adalah pemegang francais pelbagai jenama. Namun pemerhati menunjukkan bahawa dua daripada empat “raja AP” itu, iaitu Dato Syed Azman dan Dato’ Mohd Haniff, adalah bekas pegawai MITI. “Ia bukan pengagihan kekayaan, tetapi penumpuan semula kepada golongan bangsawan,” kata bekas anggota parlimen Dzulkefly Ahmad pada 2008.

Gesaan untuk memansuhkan sistem pelesenan itu telah datang dari kedua-dua belah jurang politik. Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan kepentingan bahagian besar penduduk Malaysia, manakala ahli politik pembangkang, Chong Zhemin menyeru agar kerajaan mengeluarkan senarai penuh penerima AP sejak tahun 1970-an. Ini bertujuan untuk menilai semula sama ada sistem itu benar-benar memberi manfaat kepada Bumiputera, dan bukan hanya kepada beberapa individu terpilih yang dikaitkan dengan UMNO.

 

Instrumen tidak tepat

Mengikut angka terbaru dari Jabatan Statistik Malaysia, Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang ketara dalam mengurangkan ketidak-samarataan sejak beberapa dekad. Koefisien Gini, yang mengukur ketidak-samarataan dalam masyarakat, turun dari 0.513 pada tahun 1970 kepada 0.399 pada 2016.

Namun angka-angka bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB), dana unit amanah eksklusif kepada Bumiputera, memberi gambaran yang berbeza. Menurut laporan ASB pada 2016, purata simpanan 73% pelaburnya adalah kurang dari MYR537.50, manakala nilai purata bagi 0.22% teratas adalah lebih MYR778,000; petunjuk jelas ketidak-samarataan dalam populasi Melayu di Malaysia.

Bagi Hafiz Zainal Abidin, 32 tahun, sumbangan ke atas platform pelaburan yang menguntungkan seperti ASB adalah hanya sekadar angan-angan. Walaupun beliau berjaya mendapat tempat di Universiti Putra Malaysia untuk diploma dalam reka bentuk dan animasi grafik, beliau akhirnya memilih untuk mengabaikan rancangan tersebut.

“Walaupun demikian, ibu bapa saya tidak menentang hasrat saya untuk menyambungkan pelajaran; tetapi dengan dua adik-beradik saya masih di universiti, saya tidak mahu membebankan bapa saya dengan bayaran yuran berpuluhan ribu,” jelasnya.

Bapanya seorang pesara yang sebelum ini bekerja sebagai konduktor kereta api dengan Kereta Api Tanah Melayu—pada masa itu syarikat kereta api nasional—sementara ibunya pula adalah suri rumah. Pembiayaan seorang lagi anak mereka—Hafiz anak bongsu dari empat adik beradik—akan membebankan kewangan mereka.

“Bagi saya lebih baik kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur peraturan pekerjaan yang lebih baik daripada menghulurkan sumbangan tunai secara langsung”

Sejak mengabaikan rancangannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, Hafiz terus bekerja dalam industri perancangan acara dan jualan. Walaupun dia berjaya mendapat pekerjaan yang tetap sejak meninggalkan bangku sekolah, Hafiz mendapati dirinya tanpa pekerjaan sejak setahun yang lalu. Walaupun memenuhi syarat untuk BR1M, skim bantuan tunai untuk golongan berpendapatan rendah, pemohonannya ditolak.

Kini beliau bekerja sebagai pemandu Uber membawa pulang antara RM150 hingga RM200 sehari. Di samping itu, dia sedang berusaha untuk mengeluarkan album ‘death metal’ kedua bersama kugirannya, Lavatory, sementara memikirkan langkah seterusnya bagi meneruskan kerjayanya. Bagi beliau, dasar tindakan afirmatif tidak membuahkan hasil untuk dirinya.

Beliau mengulas; “Bagi saya lebih baik kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur peraturan pekerjaan yang lebih baik daripada menghulurkan sumbangan tunai secara langsung.”

 

Lagi situasi yang sama

Usaha untuk meningkatkan kedudukan ekonomi orang Melayu di Malaysia telah lama wujud dan berterusan hingga hari ini. Namun begitu, persoalan mengenai kesaksamaan program sedemikian, dan keberkesanannya dalam mengurangkan ketidak-samarataan dalam kalangan Bumiputra masih kekal.

“Tiada siapa boleh menafikan bahawa untuk tempoh masa yang lalu, ada di antara kita yang telah menerima terlalu banyak bantuan dan peluang,” bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi pernah menegur dalam ucapannya sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-56 pada tahun 2005. “Ada juga yang menerima bantuan dan peluang terlalu

sedikit. Ada pula yang tidak langsung mendapat bantuan atau peluang. Ini tidak adil. Ini jauh dari saksama. Ini sama sekali tidak boleh diteruskan.”

Pada masa itu, komen beliau meraih tepukan gemuruh, tetapi 13 tahun kemudian isu-isu ini masih kekal.

 

Jika anda suka artikel ini dan ingin menyertai pergerakan kami untuk mewujudkan ruang untuk penyelidikan, dialog dan tindakan di Asia Tenggara, sila sertai New Naratif sebagai ahli – hanya US $ 52 / tahun (US $ 1 / minggu)!

E. H. Imrantski

E. H. Imrantski is a freelance journalist based in Kuala Lumpur. He is a former business reporter, with a soft spot for agriculture. He also writes about cycling and travel, and is an intermittent playwright with one theater production under his belt. To date, he has not won any awards that can be listed in his writers bio.

If you enjoyed this article...

Join the movement and spread the love

If you enjoyed this article and would like to join our movement to create space for research, conversation, and action in Southeast Asia, please subscribe to New Naratif—it’s just US$52/year (US$1/week)!