Lukisan Batu Tambun: Arkeologi sebagai Barang Awam

Author: Nadiah Rosli, Adriana Manan
Published:

Sekitar 10 minit perjalanan dalam kereta dari Ipoh, sebuah diari kuno tampil antara lokasi dan pemandangan di ibu negeri Perak. Lebih tua daripada segenap generasi di muka bumi masa kini, kewujudan dan kepentingan lukisan Gua Tambun serta asal-usulnya kurang diketahui oleh penduduk setempat. Lukisan di dinding teduhan batu tersebut merupakan tapak lukisan gua merah (hematit) tertua di Malaysia. Anggaran usianya mencecah 2,500 hingga 4,000 tahun; ada juga pendapat menyatakan lukisan tersebut sudah wujud ketika penghujung zaman Holocene (12,000 tahun lalu).

Sementara kota dan bandaraya berdekatan pesat membangun sejak beberapa dekad yang lalu, pakar arkeologi berikhtiar untuk menghentikan putaran masa di tapak lukisan batu itu, sebuah belebas yang terletak 50 m di atas paras tanah.

Lebih daripada 600 gambar lukisan batu dengan pelbagai motif haiwan, manusia, geometri dan abstrak menjalari tebing. Kesemuanya terletak lebih kurang 6m di atas paras lantai, dan yang tertinggi terletak pada ketinggian sekitar 25m. Tapak berkenaan telah diwartakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh pada 1986, kemudian diisytiharkan Tapak Warisan Negara pada 2010 dan dibuka semula pada 2018 berikutan penutupan sementara untuk kerja-kerja pembersihan laluan ke tapak. Tetapi, lukisan batu pra sejarah kini dimamah usia, dirosakkan oleh orang awam dan semakin pudar.

Ruang utama lukisan batu di Gua Tambun. Lukisan terendah bagaimanapun berada di ketinggian 6m di atas paras lantai hari ini, manakala lukisan ‘dugong’ terletak lebih kurang 10m di atas paras lantai hari ini. Noel Hidalgo Tan

Kaji selidik yang telah dijalankan semenjak tahun 1950an bertujuan mengupas maklumat kebudayaan yang terkandung dalam lukisan berona merah tersebut, selain mengenalpasti nilai sosial dan kontemporari yang perlu dipelihara melalui kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan warisan. Kajian lukisan batu hanya mendapat perhatian dalam satu dekad yang lalu, dan meskipun inferens dari data arkeologi membantu menggambarkan gaya hidup masa lampau, proses menafsir dan menganalisis lukisan gua sangat rumit dan mencabar. Ahli sains baru belajar bertatih dalam memahami kisah yang disampaikan lukisan di Gua Tambun.

“Pakar arkeologi tempatan menumpukan usaha kepada memahami sejarah silam dan warisan budaya”

“Stereotaip pakar arkeologi yang mencari peradaban tersembunyi bukanlah realiti di sini. Pakar arkeologi tempatan menumpukan usaha kepada memahami sejarah silam dan warisan budaya,” ujar Dr. Noel Hidalgo Tan, pakar kanan bidang arkeologi di Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Arkeologi dan Seni Halus merangkap penyunting urusan SPAFA, jurnal akses terbuka terbitan Pusat tersebut. Tan mengkaji Gua Tambun dari 2008 hingga 2010, ketika mengikuti program sarjana arkeologi di Universiti Sains Malaysia (USM).

Asal-usul pribumi

Lukisan batu Tambun pertama sekali dilaporkan pada 1959 oleh John M. Matthews (kurator Muzium Negara pada waktu itu), berikutan kajian oleh institusi itu pada tahun yang sama. Ekspedisi kedua dilakukan pada 1984 oleh pasukan lain dari Muzium Negara. Selepas itu, kajian lapangan Tan pada 2009 berjaya memetakan 640 jenis lukisan gua dan mengandungi catatan paling terperinci dan komprehensif sehingga kini. Ia turut mengandungi arkib dasar tapak tersebut, memandangkan maklumat dan pemahaman dahulu tentang lukisan sangat tipis dan berpaut pada andaian yang dibuat John M. Matthews 60 tahun lepas.

Kerja Tan melibatkan tugas mencatatkan dan mengkatalogkan lukisan melalui fotografi digital, melakukan analisis komposisi ke atas sampel pigmen dan perbandingan antara Gua Tambun dengan lukisan batu di Asia Tenggara (khususnya Selatan Thailand). Soalan interpretasi, yang mempelawa pelbagai jawapan yang mungkin berdasarkan maklumat yang ada, digunakan untuk menentukan tarikh, teknologi dan latar belakang pelukis. Lukisan yang dihasilkan (berwarna ungu, merah dan jingga) menunjukkan proses yang kompleks dari segi logistik. Para pelukis perlu memanjat muka tebing, dan terdapat beberapa lukisan yang agak besar. Yang menarik, lukisan terbesar disiapkan dahulu di bahagian tertinggi tebing, manakala lukisan kecil dijumpai lebih dekat dengan tanah.

Kedua-dua imej ini merupakan pasangan; kedua-duanya ialah gambar lukisan tertinggi, yang menyerupai ‘kambing bertanduk’ tetapi sebenarnya ialah ‘babi dikelilingi manusia.’ Imej ini ditambah baik dengan DStretch, aplikasi pengimejan yang digunakan untuk menerangkan warna pudar pada lukisan batu.

Selain itu, kajian Tan mendapati terdapat sekurang-kurangnya tujuh fasa budaya berbeza di panel utama lukisan batu, pemerhatian yang mencadangkan kesimpulan bahawa barisan pelukis berasal daripada pelbagai kelompok penduduk sementara yang berbeza budaya.

“Kemungkinan terbesar ialah lukisan ini merupakan hasil tangan penduduk Ipoh pada suatu ketika dahulu,” Tan berkongsi dengan New Naratif. “Komuniti mana menetap di sini paling lama? Barangkali orang asli Semenanjung Malaysia, khususnya masyarakat Senoi (Semai, Temiar) atau Negrito (Semang). Tetapi tanpa maklumat tambahan, setakat ini sahaja kesimpulan yang boleh dibuat.”

Makhluk amfibia dan akuatik, seperti ‘babi,’ ‘rusa’, ‘penyu’ dan pelbagai ikan boleh dilihat di panel. Tan merombak interpretasi awal haiwan oleh John M. Matthews, yang masih diterima pakai tanpa dipersoalkan oleh banyak pihak, dan menjelaskan bahawa kebanyakannya berunsur spekulasi semata. Sebagai contoh, John M. Matthews menafsirkan lukisan haiwan sebagai ‘dugong’, ‘harimau’ dan ‘tenuk’, tetapi Tan manganalisis rupa bentuk lukisan itu sendiri. “Bentuk tubuh badan, tanduk, dan rupa ekor menunjukkan bahawa babi, rusa, ikan dan biawak digambarkan, namun terlalu sukar untuk mengenalpasti spesies khusus dalam kebanyakan kes. Makhluk berkaki empat boleh dikatakan agak generik: ‘anjing’ vs ‘harimau’ dan beruk atau monyet pun boleh menjadi sukar untuk dibezakan daripada manusia yang dilukis dengan teruk.”

Tekapan digital papan utama lukisan batu. Noel Hidalgo Tan

Namun, dalam kesukaran membuat kesimpulan lebih terperinci, ada yang jelas. Berdasarkan kombinasi khusus ciri-ciri yang digambarkan, Tan berpendapat bahawa ‘rusa’ yang dilukis sebenarnya bukan rusa, tetapi kambing gurun.

Ruang lukisan kambing bercorak “x-ray”, yang dahulunya dianggap rusa. Ketika menjalankan kajian, saya mengenalpasti beberapa ciri khusus di haiwan-haiwan tersebut: telapuk, tanduk, bulu di bahagian belakang, ekor berpintal mencadangkan bahawa ini barangkali kambing, dan bukan rusa seperti dikenalpasti pada waktu dahulu. Kewujudan tahi kambing di kawasan teduhan tersebut mengukuhkan penafsiran saya! Noel Hidalgo Tan

Tan turut berpendapat bahawa usaha mengenalpasti lukisan gua bergantung kepada siapa yang melihat, kerana ia turut melibatkan kesimpulan berdasarkan naratif sedia ada dalam minda, selain daripada pendekatan berasaskan sains dan kajian. Menzahirkan maksud pada tradisi hidup bergantung kepada penelitian melalui refleksi dan pendekatan bernuansa dalam menghasilkan klasifikasi yang bererti. “Di rantau ini, di mana arkeologi masih diterajui oleh kerajaan, dengan cara orang atas mengarahkan orang bawah, mengutamakan pelancong dan berciri nasionalis, usaha menjadikan arkeologi lebih terangkum dan melibatkan masyarakat adalah penting.”

Perspektif sosial dan penyertaan awam

Pendapat ini dikongsi Dr Goh Hsiao Mei dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (CGAR) di Universiti Sains Malaysia (USM), pejuang kegiatan mendemokrasikan naratif arkeologi. Kajiannya berkisarkan analisis kepentingan tapak Lukisan Batu Tambun kepada pengunjung dan masyarakat setempat, dan bukan persepsi pakar arkeologi yang mengkajinya. Ini membabitkan penyertaan dan maklumbalas komuniti setempat yang merupakan “pemilik asal” tapak warisan tersebut, iaitu masyarakat Orang Asli yang menetap di kawasan itu.

Dari 2015 sehingga 2017, Goh turut merintis dan mengetuai program suai kenal arkeologi awam yang diberi nama Projek Kesedaran Warisan Gua Tambun. Projek warisan menglibatkan komuniti yang pertama di Semenanjung Malaysia ini dipelopori penyelidik dan penuntut dari CGAR, dengan kerjasama komuniti setempat dan beberapa NGO di Perak. Projek dibiayai sepenuhnya melalui crowdfunding, dan sepanjang tempoh dua tahun seramai 3,000 orang mengikuti lawatan berpandu ke tapak lukisan batu Gua Tambun, bengkel, wacana umum dan pameran.

Antara lukisan tertua dan tertinggi di Gua Tambun, barangkali seekor “rusa sambar”. Cuma kepala, leher dan bahagian badan kelihatan. Lukisan ini besar, mungkin sama besar seperti rusa sebenar. Lukisan ini terletak di kawasan lebih tinggi dan ke kanan lukisan yang dikenali sebagai “dugong”. Noel Hidalgo Tan

Goh menerangkan bahawa Lukisan Batu Tambun wajar dianggap warisan kolektif buat rakyat Malaysia, dan batu sudut jati diri kebangsaan. “Bidang arkeologi di Malaysia masih kekurangan kesedaran sosial, penghargaan atau perasaan memiliki. Jadi, kempen pemeliharaan dan pemuliharaan Lukisan Batu Tambun harus dimulakan di peringkat akar umbi,” gesanya. “Tanpa interaksi atau perasaan dekat kepada lukisan, kita tidak dapat melihat susur galur ekspresi seni dalam masyarakat kita, dan evolusinya menurut peredaran zaman.”

Kajian etnografi oleh Goh serta penyelidik dari USM cuba merungkai kemungkinan ada ikatan leluhur antara masyarakat Orang Asli dan Lukisan Batu Tambun. Laporan penyelidikan terbaharu daripada Goh dan dua teman penyelidik dari CGAR, bertajuk “Kajian Awal ke atas Ikatan Leluhur antara Orang Asli di Perak dan Lukisan Batu Tambun, Perak, Malaysia,” mendapati bahawa motif lukisan gua mirip pakaian, hiasan diri dan gaya rambut kelompok Senoi. Berdasarkan temuramah dengan masyarakat Temiar yang tinggal berhampiran Gua Tambun, kajian tersebut menyingkap cara mereka menafsirkan lukisan gua, iaitu sesuatu yang jarang dilihat dalam analisis kontemporari tapak lukisan.

Kajian tersebut turut mencadangkan bahawa nilai simbolik lukisan gua diwarisi dalam bentuk kesenian lain seperti kraftangan, kerana masyarakat Temiar tiada tradisi melukis dan mengecat. Pasukan penyelidik berharap dapat menjalankan survei yang sama dalam masyarakat Semang, untuk meluaskan pemahaman sedia ada tentang pemilikan tradisi Lukisan Batu Tambun.

Memikirkan dan menuntut semula naratif

Perasaan memiliki ialah ikatan berpengaruh dalam komuniti Orang Asli, terutama sekali buat Shahar “Shaq” Koyok, pelukis kontemporari berasal daripada masyarakat Temuan di Selangor. Shaq ialah Orang Asli pertama yang memenangi Anugerah Merdeka pada 2016 sebagai pengiktirafan usahanya menaikkan profil budaya pribumi dalam negara melalui seni dan pendidikan.

Sebelum ditemuramah untuk artikel ini, Shaq tidak tahu-menahu tentang Lukisan Batu Tambun. Setelah melihat gambar lukisan, dia sangat terkesan. Imej yang dilihat mengingatkannya kepada seni masyarakat pribumi di Australia, tapak yang dikenali Shaq apabila berada di negara itu sewaktu menuntut di peringkat diploma.

Sejenis “rusa” yang lain, dikenalpasti melalui tanduk. Bahagian belakang telah hilang akibat hakisan air, tetapi bentuk tanduk umumnya mencadangkan imej ini merupakan imej rusa menyalak atau “muntjac” merah (nama berlainan untuk spesies yang sama). Noel Hidalgo Tan

“Di dunia ini, ramai orang memperlekehkan bahasa visual masyarakat asli,” katanya. “Lukisan Gua Tambun membuktikan bahawa seni pribumi di Malaysia jauh melangkaui ukiran, tenunan dan arca.”

Pelukis berusia 34 tahun yang sudah mempamerkan karyanya di serata dunia itu menganggap Lukisan Batu Tambun sebagai pengakuan DNA sejarah dan kreatif dirinya.

“Tak disangka, rupanya pelukis (dari Gua Tambun) sangat mahir dan boleh menghasilkan lukisan yang memaparkan kegiatan harian, pemburuan dan kerohanian. Sekarang saya tahu, bakat dalam diri ini sebenarnya mengalir dalam badan,” katanya.

“Generasi muda Orang Asli harus mengetahui betapa pentingnya ekspresi diri melalui seni, dan diberdayakan melalui bahasa visual yang meraikan pengetahuan mendalam tentang tanah mereka serta asal usul dan jati diri.” Dia berpendapat bahawa kajian ke atas Lukisan Batu Tambun harus menglibatkan pelukis dan galeri seni, sebagai wadah menghebahkan perspektif dan meningkatkan penghargaan oleh orang awam.

“Lukisan Gua Tambun membuktikan bahawa seni pribumi di Malaysia jauh melangkaui ukiran, tenunan dan arca”

Bagi penyelidik, merapatkan jurang interpretasi ini ialah cabaran besar, selain faktor luaran dan teknikal yang menjejaskan penyelidikan amnya. Menurut Goh, meskipun kapasiti saintifik wujud, kerja penyelidikan di Gua Tambun diberhentikan akibat lokasi yang tidak selamat untuk mengumpul sampel, kerosakan teruk di panel dan ketiadaan peruntukan yang besar untuk menampung kos penyelidikan. “USM adalah satu-satunya institusi di Malaysia yang mengkaji Lukisan Batu Tambun buat masa ini. Kami sudah menyiapkan model 3D gua, kalau-kalau ia roboh, dan telah menjalankan ujian pentarikhan siri uranium pada 2018 untuk menentukan usia lukisan gua, yang kini menanti keputusan.”

Dia turut meluahkan hasrat melihat kolaborasi yang lebih baik antara pihak berkuasa dan ahli sains, serta usahasama jangka panjang dengan penggiat warisan, pihak berkuasa tempatan, NGO dan orang awam. “Ahli sains jarang diberi pencerahan tentang cara pihak berkuasa tempatan mengurus Gua Tambun. Harapan kami agar diajak berunding dalam topik berkaitan pemuliharaan dan rencana akan datang tapak.”

Tan menamakan dua faktor penyumbang kepada kecetekan pengetahuan tentang lukisan batu di Asia Tenggara. Pertama, suasana dunia akademik zaman pasca-penjajahan menyebabkan banyak laporan arkeologi di rantau ini tidak diterbitkan dalam jurnal berbahasa Inggeris yang memiliki peredaran luas. Pemikiran arkeologi masa kini mempunyai peredaran terhad. “Penyelidikan terkini dihalang oleh ‘kubu’ jurnal berbayar, dan kebanyakan pakar arkeologi adalah ekabahasa. Di rantau di mana Bahasa Inggeris bukan bahasa ibunda, ini menimbulkan masalah.”

Faktor kedua, memandangkan banyak negara masih bergelar negara membangun, arkeologi jarang menjadi tumpuan sebarang perencanaan nasional. Buat masa ini, Indonesia ialah negara Asia Tenggara tunggal yang menyertai Persekutuan Antarabangsa Organisasi Lukisan Batu.

Tan menekankan bahawa warisan arkeologi, seperti warisan budaya lain, harus dianggap barang awam. “Perjalanan kami masih jauh. Tapi, ada perkembangan memberangsangkan. Di Thailand, terdapat rancangan menggali minyak di Si Thep di provinsi Petchabun, di perkarangan reruntuhan kuil purba. Berita ini disambut dengan bantahan hebat, dari pihak kerajaan dan juga masyarakat. Saya berharap syarikat minyak akan mempertimbangkan semula rancangan ini, tapi yang pasti bantahan setempat cukup lantang.”

Tan turut melihat lebih banyak kerjasama serantau, satu langkah positif yang menandakan dunia arkeologi di rantau ini semakin rancak dan membangun. Dengan lebih seribu tapak lukisan batu yang sudah dikenalpasti di Asia Tenggara, dalam bentuk lukisan, petroglif, atau megalit, memori kolektif rantau memerlukan usaha kolektif dan komitmen untuk melangkah ke persada antarabangsa.

 

Nadiah Rosli

Nadiah Rosli is a freelance journalist and conservation communicator based in Kuala Lumpur, Malaysia. She believes that an interdisciplinary approach to knowledge is a pretty fantastic thing, and focuses on the intersection of science with nature, culture and heritage. Her work has been featured in VICE (Motherboard), Scidev.net, The New Straits Times, The Borneo Post, and others.

Adriana Manan

Adriana Nordin Manan is a writer, playwright, translator and researcher. Born, raised and based in Kuala Lumpur, she is New Naratif's Deputy Editor (Bahasa Melayu/Malaysia). With a Masters in Political Economy from New York University, Adriana is passionate about languages, culture and diversity in stories. She is New Naratif's Deputy Editor (Bahasa Melayu/Malaysia). Reach her at adriana.manan@newnaratif.com

Now that you're here, we have a favour to ask...

Join our movement for a better Southeast Asia

New Naratif is a movement for democracy, freedom of information, and freedom of speech in Southeast Asia (see our manifesto). Our articles report on issues that are often overlooked or suppressed by the mainstream media in Southeast Asia. We are rely on our members for their support. Every cent of your membership fee goes to supporting our research, journalism, and community organisation activities. Your support enables us to be editorially independent and to conduct hard hitting independent research and journalism. It allows us to give a voice to the powerless and to hold the powerful accountable. Our members are active participants in our movement, helping us to create content and informing us about important issues, which shapes our coverage and content. Join our movement and let us, together, build a better Southeast Asia. Please subscribe to New Naratif—it’s just US$52/year (US$1/week) or US$5/month—and it only takes a minute. Thank you!