Abdul Hussin poses for a portrait at his home in Penang, Malaysia on 17 August 2018. After years of trying, his family is finally preparing to leave Malaysia for a new life in Canada. Eileen Chew

Mencari Perlindungan di Malaysia

Author: Eileen Chew, Adriana Manan
Published:

Masih segar di ingatan Mohd Rafik saat pengganas beragama Buddha mengejarnya dengan parang di kampung halamannya di bandar Buthidaung di Negeri Rakhine, Myanmar. Di abdomen dan bahunya masih kelihatan parut luka yang dialami dalam kejadian ngeri tersebut. Berikutan kejadian itu, Mohd Rafik melarikan diri ke Malaysia pada 2012. Dua tahun kemudian, isteri dan dua anaknya menyusul–mengharungi perjalanan yang sama menaiki bot ke Thailand diikuti laluan darat ke Malaysia, melalui rangkaian pemerdagangan manusia.

Rafik sekeluarga merupakan satu daripada ribuan kisah penduduk Rohingya yang telah diusir dari rumah mereka. Menurut laporan dari Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), semenjak 2017 terdapat lebih 723,000 warga Muslim Rohingya yang melarikan diri ke negara-negara jiran seperti Bangladesh.

Buat sekian lama, Malaysia bergelar teduhan sementara buat pelarian dan pemohon suaka. Pada lewat tahun 70-an, Malaysia membuka pintu kepada pelarian dari rantau Mindanao, Filipina serta Vietnam. Antara 1975 dan 2005, Malaysia menjadi anjung teduhan buat lebih daripada 250,000 pelarian Vietnam, yang sering dikenali sebagai Orang Bot Vietnam. Setakat Disember 2018, terdapat sekitar 163,000 pemegang kad berdaftar UNHCR dari pelbagai negara termasuk Pakistan, Yemen dan Syria. Dalam kalangan pelarian berdaftar di UNHCR Malaysia, 86% berasal dari Myanmar, merangkumi lebih kurang 88,000 warga Rohingya. Komuniti Rohingya tiba di Malaysia secara berperingkat, dan jumlah ketibaan tertinggi dicatat antara 1990 dan 1994, 2000 dan 2014 dan kemudian 2012 sehingga 2015.

Meskipun keadaan di Malaysia lebih selamat, kesukaran yang dihadapi pelarian tidak lenyap setibanya di sini. Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB 1951 atau susulannya, Protokol 1967, dan tiada perlindungan undang-undang buat pelarian di dalam negara. Walaupun pelarian diizinkan masuk ke Malaysia atas dasar kemanusiaan, status mereka adalah sebagai pendatang tanpa izin, sekaligus menidakkan mereka akses kepada penjagaan kesihatan, pekerjaan dan pendidikan. Proses mendaftarkan diri dengan UNHCR pula tidak mudah, dan mewajibkan pelarian ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur terlebih dahulu untuk memulakan proses yang boleh mengambil masa bertahun. Namun, pemegang kad UNHCR tidak diberi sebarang perlindungan istimewa atau status undang-undang di dalam negara, dan berhadapan risiko ditangkap dan ditahan atas kesalahan imigresen. Dianggarkan bahawa sebanyak 30,000 sehingga 40,000 pelarian di dalam negara tidak mempunyai kad pelarian UNHCR.

Penjagaan kesihatan

Pada suatu petang Oktober, aktivis Rohingya berusia 26 tahun, Ziaur Rahman, menemani bapa saudaranya yang tidak sihat ke klinik kesihatan kerajaan berhampiran. Akibat radang paru-paru, Mohammed Ayub terpaksa berhenti kerja—pekerjaan yang diperoleh melalui pintu belakang, iaitu cara lazim dalam pengalaman pelarian Rohingya—sebagai pekerja sektor pembinaan di Pulau Pinang. Sudah setahun Mohammed Ayub tidak bekerja, dan kesempitan hidup memaksanya meminta bantuan kewangan dari anak saudaranya di Kuala Lumpur.

“Kerana kami pelarian, kami tidak dianggap penduduk tempatan. Kami perlu membayar untuk semua keperluan. Pada masa yang sama, kami cuba menyumbang kepada masyarakat tempatan dan kerajaan,” ujar Ziaur Rahman. Pelarian berdaftar dengan UNHCR menerima subsidi 50% di klinik kesihatan kerajaan, namun kos perubatan masih menjadi beban buat kelompok yang menerima purata gaji bulanan sekitar MYR 1,000. Buat pelarian yang tidak berdaftar di UNHCR pula, mereka diwajibkan membayar caj penuh untuk memperoleh perkhidmatan kesihatan.

Demi menyara kehidupan keluarga, lelaki Rohingya terpaksa bekerja secara haram. Majoriti bekerja sebagai pekerja sektor pembinaan, pemotong rumput atau pekerja kilang, yakni pekerjaan bergaji rendah dan kasar yang rata-rata dielak oleh rakyat tempatan. Mereka sering terdedah kepada penindasan oleh majikan yang ada kala menangguh atau menghentikan pembayaran, namun terdapat juga warga Rohingya yang melaporkan layanan elok yang diterima daripada majikan Malaysia yang bersikap altruis. Oleh sebab status imigresen yang dianggap tidak sah di Malaysia, pelarian kekurangan akses kepada bantuan untuk menerima pampasan atau perlindungan undang-undang, sekaligus membolehkan segelintir majikan menindas tanpa segan silu.

Buat sekian lama, Malaysia bergelar teduhan sementara buat pelarian dan pemohon suaka. Meskipun keadaan di Malaysia lebih selamat, kesukaran yang dihadapi pelarian tidak lenyap setibanya di sini

Sejurus selepas ketibaannya di Perlis pada 2012, Hamid Hussein, 30 tahun, ditahan kerana bekerja tanpa izin di sebuah tapak pembinaan. Ini disusuli setahun yang perit di penjara dan pusat tahanan imigresen. Bersemangat untuk memulakan kehidupan baharu setelah dibebaskan, Hamid memperoleh pekerjaan sebagai pengendali mesin di sebuah kilang elektronik di Kuala Lumpur. Dia sudah bekerja di syarikat yang sama selama empat tahun dan kini tinggal bersendirian di bilik sewa di tingkat bawah tanah.

Dengan gaji asas bulanan sebanyak MYR 900, wang menjadi punca utama keresahan Hamid. Setelah membayar sewa, perbelanjaan makanan serta bil kemudahan, bakinya cuma sedikit. Seperti pelarian Rohingya yang lain di Malaysia, dia bimbang yang dia tidak mampu mengirim wang kepada ahli keluarga di kem pelarian di Bangladesh.

“Sudah lebih dua tahun keluarga saya tinggal di kem pelarian Balukhali di Bangladesh. Saya tidak boleh mengirim wang kepada mereka kerana gaji saya tidak mencukupi. Kadangkala cukup, tetapi kehidupan di sini memakan belanja yang tinggi,” keluh Hussein dengan hati yang remuk-redam.

“Syarikat-syarikat memberitahu saya yang kad UNHCR saya sebenarnya tidak sah, jadi saya tidak boleh memohon bekerja sebagai juruteknik atau jurutera,” katanya. “Apabila saya menelefon keluarga pula, mereka sentiasa menangis kerana keadaan di sana sangat serius. Kerana saya tidak mampu menampung kehidupan ibu dan bapa, saya turut bimbang memikirkan masa hadapan saya.” Impian Hamid adalah untuk memperoleh ijazah PhD dalam jurusan undang-undang antarabangsa, ilmu yang boleh memanfaatkan komunitinya.

Pada Mac 2017, kerajaan Malaysia memperkenalkan projek perintis yang membenarkan pelarian Rohingya bekerja secara sah di industri pembuatan dan perladangan berkaitan kerajaan. Namun, projek itu ternyata gagal apabila cuma 120 pelarian Rohingya menyuarakan minat untuk menyertainya.

Dalam temurahah bersama Channel News Asia, Mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Negeri, Zahid Hamidi berkata bahawa warga Rohingya keberatan untuk meninggalkan komuniti mereka untuk tinggal di ladang di pedalaman negara. “Mereka lebih berminat menjadi usahawan dan peniaga kecil dalam komuniti mereka sendiri. Mereka enggan ‘terikat’ di ladang.”

Namun, terdapat penggubal undang-undang yang enggan berputus asa dalam hal ini. “Kegagalan pada masa lampau tak bermaksud program ini akan gagal pada masa depan,” kata Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang. “Pendapat saya adalah terdapat bilangan pelarian yang mencukupi untuk dilatih dan menggantikan pekerja migran. Pelarian dapat menambah nilai kepada pasaran buruh Malaysia.”

Wanita Rohingya pula menghadapi cabaran yang unik. Dalam komuniti berlandaskan patriarki di mana peranan gender tradisional menjadi pegangan, wanita Rohingya dianggap suri rumah yang perlu bergantung sepenuhnya kepada suami, meskipun suami cuma bergaji kecil. Beberapa perusahaan sosial seperti Reyna Movement berikhtiar memperbaiki keadaan ini dengan menerbitkan buku resipi Rohingya yang disertakan kisah peribadi, dan membayar keluarga Rohingya yang terlibat.

Pendidikan

Jika pelarian dewasa menghadapi kesukaran dalam memperoleh kerja, kanak-kanak pula menghadapi rintangan lain: akses kepada sekolah kerajaan. Menurut UNHCR, di Malaysia terdapat sebanyak 42,000 kanak-kanak pelarian atau pemohon suaka bawah umur 18 tahun.

“Salah satu cabaran utama bergelar pelarian di Malaysia adalah akses kepada pendidikan awam tidak wujud,” kata Kamarulzaman Askandar, profesor Penyelidikan dan Pendidikan untuk Keamanan di Universiti Sains Malaysia, dalam temubual bersama New Naratif. Pada 2013, dia menubuhkan Pusat Pembelajaran Keamanan Pulau Pinang sebagai respons kepada ketibaan besar pelarian Rohingya di Malaysia, dengan tujuan memberi pendidikan asas kepada kanak-kanak.

“Dulu, ada kanak-kanak pelarian yang mengemis di tepi jalan. Kami ingin menghindarkan kejadian seperti ini,” kata Kamarulzaman.

“Pendidikan ialah hak asasi manusia,” Kamarulzaman bertegas. “Setiap orang mesti mengetahui perkara asas seperti membaca dan mengira untuk, paling tidak, hidup sebagai manusia. Jika tidak, bagaimana untuk hidup?”

Penang Peace Learning Centre - New Naratif
Pusat Pembelajaran Keamanan Pulau Pinang menawarkan pendidikan asas kepada kanak-kanak Rohingya. Eileen Chew

Memandangkan akses kepada pendidikan awam tidak wujud, sekolah persendirian memenuhi kekosongan. Terdapat lebih kurang 120 buah sekolah swasta kelolaan badan bukan kerajaan di serata Malaysia, termasuk sekolah kelolaan badan agama. Di Pusat Pembelajaran Keamanan Pulau Pinang yang diterajui Kamarulzaman, kelas dikendalikan dalam Bahasa Melayu asas dan para pelajar diajar matematik, sains dan Bahasa Inggeris, selain kelas teater dan komputer.

Sebaik mana ikhtiar yang diambil, sekolah persendirian terhad dalam kebolehan memenuhi keperluan pelajar, menurut Kamarulzaman. Misalnya, terdapat kekurangan sumber untuk menawarkan pendidikan menengah kepada remaja. Selain itu, pelarian muda berasa tertekan untuk berhenti persekolahan dan bekerja untuk menampung keluarga, manakala perkahwinan bawah umur masih menjadi amalan biasa. Namun, meski berdepan cabaran sebegini, Kamarulzaman dan pasukan kecil guru sukarelawan tidak putus asa dalam memenuhi matlamat mendidik anak Rohingya.

Mereka percaya, menonjolkan model peranan dalam kalangan warga Rohingya yang berjaya ialah kunci utama. Antara penceramah yang diundang ke sekolah tersebut adalah Sharifah Shakirah, wanita Rohingya berusia 26 tahun yang bergelar pengasas Rangkaian Pembangunan Wanita Rohingya (RWDN), satu-satunya pertubuhan hak wanita Rohingya di Malaysia. Sharifah menggalakkan pelajar untuk meneruskan persekolahan, kerana pendidikan tinggi menjadi kunci merungkai pelbagai masalah sosial.

Selain itu, sekolah tersebut memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran awam di Malaysia berkenaan keadaan pelarian di dalam negara. Menurut Kamarulzaman, ada kalanya persepsi negatif dan tersasar masyarakat tempatan mengenai pelarian menjadi halangan kepada penerimaan dan kesefahaman.

Charles Santiago memberi pandangan yang sama: “Ramai warga Malaysia menganggap pekerja migran dan pelarian sebagai golongan perampas peluang pekerjaan, dan penyebab utama masalah sosial. Ini tidak benar. Data rasmi tidak menyokong persepsi ini sama sekali.”

“Pelarian tidak datang ke Malaysia atas pilihan sendiri, tetapi untuk menyelamatkan diri daripada ancaman keselamatan dan penganiayaan di negara asal mereka. Jika diberi pilihan, mereka tidak mahu berada di sini,” ujar Kamarulzaman.

Pemindahan semula, kesudahan yang jarang tiba

Dalam satu temuramah lalu, Richard Towle, Wakil UNHCR ke Malaysia menyenaraikan tiga jalan penyelesaian yang wujud buat pelarian yang memohon suaka di negara asing, iaitu penghantaran balik ke negara asal [secara sukarela], integrasi atau pemindahan semula.

Berbeza dengan situasi pelarian di negara-negara seperti Australia, Amerika Syarikat atau Kanada, di mana terdapat proses rasmi untuk memperoleh taraf kewarganegaraan, tiada undang-undang di Malaysia buat pewarganegaraan pelarian.

Mereka yang dilahirkan di Malaysia berharap dapat terus tinggal di dalam negara, manakala pelarian Rohingya yang lebih berusia ingin dipindahkan semula ke Amerika Syarikat atau Kanada. Lagipun, pemindahan semula ialah peluang terbaik untuk memperoleh kewarganegaraan. Namun, hakikatnya adalah kurang daripada 1% pelarian sedunia terpilih untuk dipindahkan semula di negara yang tersenarai dalam program pemindahan semula UNHCR. Buat ramai pelarian, pemindahan semula ibarat loteri—permainan di mana seseorang perlu menunggu berdekad lamanya sebelum dipanggil oleh UNHCR. Sambil menantikan saat itu, komuniti Rohingya terperangkap dalam kitaran ketidakpastian dan ketidakstabilan, tanpa peluang merancang masa hadapan.

Abdul Hussin - New Naratif
Abdul Hussin bin Noor Mohammad bersedia untuk mengambil gambar potret di rumahnya di Pulau Pinang, Malaysia pada 17 Ogos 2018. Setelah bertahun-tahun berusaha, keluarganya kini membuat persiapan untuk meninggalkan Malaysia dan memulakan kehidupan baharu di Kanada. Eileen Chew

Abdul Hussin berusia 14 tahun apabila dia menjejakkan kaki ke Malaysia pada tahun 2000. Selama beberapa tahun, dia hidup terumbang-ambing. Namun, satu hari nasibnya berubah cerah dengan serta-merta: pegawai pemindahan semula UNHCR menghubunginya dan memaklumkan bahawa permohonannya untuk dipindahkan semula telah berjaya. Pada bulan Ogos 2018, Abdul Hussin sekeluarga selesai menjalankan saringan kesihatan yang diwajibkan dan bersedia untuk berpindah ke Kanada.

Pemindahan semula bukan juga “kisah bahagia selamanya,” kerana pelarian berhadapan kejutan budaya dan perlu membiasakan diri dengan kehidupan di negara baharu. Namun, Abdul Hussin cukup menyedari tuah yang dimiliki badan. “Akhirnya, keluarga saya mempunyai masa hadapan di Kanada. Di sana, ada pekerjaan untuk saya,” ujarnya.

Anjakan paradigma

Peralihan kuasa tampuk pemerintahan negara pada pilihanraya umum ke-14 memberikan pelarian Rohingya sinar harapan baharu. Pada 8 September 2018, Ziaur Rahman mengarang surat kepada Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, mengemukakan petisyen kepada kerajaan untuk menandatangani Konvensyen Pelarian PBB 1951. Surat itu kemudian diterbitkan di laman berita Free Malaysia Today. Surat itu menyatakan hasrat Ziaur Rahman supaya Pakatan Harapan memenuhi janji manifesto pilihanraya untuk “mengesahkan status pelarian dengan mengeluarkan kad UNHCR dan memastikan hak mereka untuk bekerja secara sah.”

Namun, ternyata menegakkan hak pelarian masih sensitif pada era pemerintahan kerajaan baharu, tidak berbeza dari zaman kerajaan lalu. Selepas surat Ziaur Rahman diterbitkan di Free Malaysia Today, berserta kekhilafan laman tersebut yang menggelarnya jurucakap komuniti Rohingya, dia pantas dikritik oleh segelintir warga Malaysia dan juga Rohingya kerana dianggap bertindak terlalu pantas untuk meminta kerajaan baharu melindungi hak pelarian Rohingya. Sebulan kemudian, Ziaur Rahman memohon maaf di laman Facebook, dengan berkata bahawa “saya tidak suka mencabar sesiapa pun,” dan meminta masyarakat supaya “tidak menyalah ertikan situasi kerana niat saya untuk mewakili suara pelarian umumnya, termasuk diri saya sendiri.”

“Saya juga manusia seperti kalian semua,” tulis Ziaur Rahman.

Insiden ini menjadi contoh kesukaran yang dihadapi dalam sebarang usaha menegakkan hak pelarian. Walaupun kerajaan Pakatan Harapan membentangkan pembaharuan dalam pelbagai aspek pentadbiran negara, terdapat pemerhati yang kurang yakin akan kewujudan iltizam politik untuk menandatangani Konvensyen Pelarian PBB.

Walaupun kerajaan Pakatan Harapan membentangkan pembaharuan dalam pelbagai aspek pentadbiran negara, terdapat pemerhati yang kurang yakin akan kewujudan iltizam politik untuk menandatangani Konvensyen Pelarian PBB

Charles Santiago, kini ahli koalisi yang memerintah, berkata proses menandatangani perjanjian mengambil masa yang lama dan tidak menjadi keutamaan kerajaan buat masa ini. Terlebih dahulu, peralihan asasi dalam pemikiran kerajaan diperlukan. Sejajar dengan ini ialah paradigma yang menganggap isu pelarian sebagai persoalan pembangunan, berbeza daripada persoalan undang-undang dan keselamatan. Dia mencadangkan pengenalan undang-undang domestik yang membolehkan akses pelarian kepada perkhidmatan kesihatan, pekerjaan dan pendidikan, tanpa bergantung kepada status negara berhubung konvensyen antarabangsa.

Kamarulzaman membangkitkan perihal kesediaan Malaysia untuk bersuara tentang situasi di Negeri Rakhine, meskipun negara ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang lain memilih untuk berdiam diri. Prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain yang menjadi amalan ASEAN sering digunakan untuk menjelaskan ketandusan respons kepada situasi genosid. “Malaysia sudah bertahun lamanya bersuara lantang tentang situasi di Myanmar,” ujar Kamarulzaman. “[Tapi] kadang-kadang kita terlupa bahawa di negara kita sendiri, terdapat ribuan pelarian dari sana.”

 

Eileen Chew

Eileen Chew is an independent documentary photographer and video producer based in Singapore. Her personal work is currently focused on stories relating to displacement, memory and socio-political developments in Southeast Asia.

Adriana Manan

Adriana Nordin Manan is a writer, playwright, translator and researcher. Born, raised and based in Kuala Lumpur, she is New Naratif's Deputy Editor (Bahasa Melayu/Malaysia). With a Masters in Political Economy from New York University, Adriana is passionate about languages, culture and diversity in stories. She is New Naratif's Deputy Editor (Bahasa Melayu/Malaysia). Reach her at adriana.manan@newnaratif.com

If you enjoyed this article...

Join the movement and spread the love

If you enjoyed this article and would like to join our movement to create space for research, conversation, and action in Southeast Asia, please subscribe to New Naratif—it’s just US$52/year (US$1/week)!