Penjelasan: Apakah yang Terjadi dalam ‘Game of Thrones’ di Malaysia?

Author: Wei Jiet Lim, Adriana Manan
Published:

Hampir dua tahun selepas perubahan rejim di Malaysia, rakyat digemparkan dengan wayang kemelut politik, apabila Perdana Menteri Mahathir Mohamad meletak jawatan di saat pergelutan kuasa antara puak dan parti yang berlarutan sepanjang hujung minggu yang dramatik. Percubaan untuk memahami apa yang berlaku melalui media sosial boleh menyebabkan pening lalat. Dalam penerangan ini, kami merumuskan drama kepada ciri-ciri utama, dan menjawab beberapa soalan berhubung apa yang mungkin menyusul selepas ini.

Pertama sekali, sedikit latar belakang…

Barisan Nasional memegang tampuk pemerintahan buat pertama kali pada 1957, dan terus memerintah lebih daripada lima dekad berterusan. Buat 22 tahun, Mahathir Mohamad bergelar Perdana Menteri dan ketua Barisan Nasional (koalisi yang ditunjangi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, UMNO).

Pada 1998, Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Anwar Ibrahim, putus hubungan yang baik sesama mereka dalam kejadian yang menjadi tontonan umum. Anwar kemudian disingkirkan daripada jawatan yang dipegang dan dipenjarakan atas tuduhan yang dikatakan bermotivasi politik. Mahathir meletak jawatan pada tahun 2003 dan meskipun gemar berkongsi pendapat tentang politik negara selepas itu, rata-rata beliau berada dalam mod bersara.

Walau bagaimanapun, ini berakhir pada 2015, apabila skandal 1MDB tersebar. Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, dikaitkan dalam skandal rasuah yang menjadi bahan penyiasatan di seluruh dunia. Selepas gagal menggantikan Najib dalam UMNO, Mahathir meninggalkan UMNO dan mendirikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Lebih mengejutkan, beliau sudi berganding bahu dengan parti mantan musuhnya Anwar, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai keahlian pelbagai kaum, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan majoriti keahlian Cina serta parti berasaskan agama, Parti Amanah Negara (AMANAH), lantas menubuhkan koalisi Pakatan Harapan. Persetujuan yang dicapai adalah untuk Mahathir menyandang jawatan Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun, diikuti dengan penyerahan tugas kepada Anwar.

Ketegangan kian memuncak setelah tarikh penyerahan tugas semakin hampir, tanpa komitmen jelas tentang tarikh khusus untuk menyerahkan tugas kepada Anwar.

Dalam kesudahan ajaib di peti undi, Pakatan Harapan dan sekutunya menewaskan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum pada 2018. Semenjak itu, ramai pemimpin UMNO telah disiasat atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram. Ramai di kalangan rakyat Malaysia mengharapkan dengan perubahan ke arah ketelusan di bawah pentadbiran kerajaan koalisi yang berjanji memansuhkan undang-undang yang menindas, sekaligus membuka lembaran baharu sebagai “Malaysia Baharu.”

Namun, keriangan yang dirasakan mati di pertengahan jalan. Ketegangan kian memuncak setelah tarikh penyerahan tugas semakin hampir, tanpa komitmen jelas tentang tarikh khusus untuk menyerahkan tugas kepada Anwar. Ketegangan kaum juga berleluasa, apabila barisan parti pembangkang yang berciri nasionalis Melayu iaitu UMNO dan Parti Agama Semalaysia (PAS) menuduh DAP, parti komponen Pakatan Harapan sebagai mengancam ketuanan Melayu—topik yang sangat sensitif dan dijadikan senjata politik dalam negara yang mempunyai majoriti penduduk Melayu Islam. 

Eh, Mahathir dah letak jawatan sebagai Perdana Menteri? Kenapa?

Pada 21hb Februari 2020, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan diadakan untuk membincangkan penyerahan tugas dari Mahathir ke Anwar. Ramai menjangkakan tarikh khusus akan diumumkan, namun akhirnya keputusan diambil untuk memberi Mahathir kebebasan untuk menentukan tarikh penyerahan tugas tersebut, yang dijangka berlaku selepas Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada November.

Tanpa dijangka, pada 23hb Februari 2020, beberapa pemimpin BERSATU, segelintir Ahli Parlimen dari PKR dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu, Azmin Ali (yang sebelum itu bertelingkah dengan Anwar, ketua partinya), serta pemimpin UMNO dan PAS berhimpun di Hotel Sheraton di Selangor. Desas-desus mengatakan bahawa koalisi baharu sedang dibentuk jauh daripada pengetahuan awam, dan seakan menjadi kesudahan pasti bahawa Mahathir dan BERSATU telah memperdaya sekutu mereka dalam Pakatan Harapan, demi terus memegang kuasa dan mengelakkan penyerahan tugas Perdana Menteri. Laporan lampau tentang ketegangan antara puak dalam PKR—berhubung pergelutan antara Anwar dan Azmin untuk menjadi Perdana Menteri—sudah pun menyediakan masyarakat untuk mempercayai bahawa pelbagai hal yang aneh boleh terjadi. 

Masyarakat dilanda kemarahan apabila memikirkan bahawa UMNO boleh kembali berkuasa, meskipun beberapa pemimpin parti itu kini menghadapi tuduhan rasuah. Dirasakan hampir pasti bahawa kerajaan baharu yang terdiri daripada MP dari puak dan parti yang dinamakan di atas, bakal menggantikan kerajaan Pakatan Harapan.

Tetapi, ini tidak berlaku.

Berbeza daripada pengukuhan kuasa (yang diramalkan oleh majoriti pemerhati sehari sebelum itu), Mahathir menyerahkan surat perletakan jawatan Perdana Menteri kepada Yang Dipertuan Agong.

Sidang media yang dijadualkan, akhirnya dibatalkan. Rakyat Malaysia berdepan dengan babak tergantung pada malam Ahad tersebut. Pada 24 Februari 2020, dalam rentetan peristiwa yang tidak dijangka, dilaporkan bahawa Mahathir sebenarnya tidak menyokong rampasan kuasa terhadap Pakatan Harapan. Setakat waktu penerbitan, kelihatan Mahathir tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan UMNO. Berbeza daripada pengukuhan kuasa (yang diramalkan oleh majoriti pemerhati sehari sebelum itu), Mahathir menyerahkan surat perletakan jawatan Perdana Menteri kepada Yang Dipertuan Agong. Meskipun Mahathir berdiam diri tentang sebab di sebalik tindakannya, Anwar serta Lim Guan Eng dari DAP menyatakan bahawa tindakan Mahathir merupakan penolakan UMNO. Tidak lama kemudian, Mahathir juga meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BERSATU, sejam selepas Presiden parti tersebut mengumumkan BERSATU keluar dari Pakatan Harapan. Meskipun Yang Dipertuan Agong menerima perletakan jawatan Mahathir, baginda telah melantik Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim, sebelum Perdana Menteri baharu dilantik.

Jadi sekarang, tiada Perdana Menteri. Apa pula terjadi kepada Kabinet dan kerajaan?

Ketua Setiausaha Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Kabinet Malaysia telah dibubarkan dengan serta merta, seiring dengan perletakan jawatan Perdana Menteri. Ini bermaksud kesemua Menteri telah dilepaskan tugas, dan tidak wujud Kabinet Malaysia buat masa ini. 

Sementara itu, Mahathir akan bertindak sebagai Perdana Menteri Interim untuk memandu jentera kerajaan dan penjawat awam dalam melayari bahtera yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Situasi ini bukan luar biasa dalam demokrasi parlimen Westminster—kerajaan sementara dan pemangku sering kelihatan, khususnya apabila ketua kerajaan tiba-tiba meninggal dunia, atau apabila pilihan raya umum diadakan. 

Selepas Perdana Menteri meletak jawatan, adakah Parlimen akan dibubarkan? Adakah rakyat Malaysia akan ke peti undi sekali lagi?

Tidak semestinya.

Apabila Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti, terdapat dua pilihan. Beliau boleh meletak jawatan, dan terserah kepada Yang Dipertuan Agong untuk melantik pengganti. Selain itu, beliau boleh memohon agar Yang Dipertuan Agong membubarkan Parlimen—namun, Yang Dipertuan Agong memiliki kuasa untuk bersetuju dengan pembubaran, atau menolak permohonan dan kemudian meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Walaupun kemungkinan adalah tipis, pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum baharu tidak boleh ditolak sepenuhnya.

Masih kurang diketahui tentang apa yang berlaku di sini: jika Mahathir sekadar menyerahkan surat perletakan jawatan, atau jika beliau mengesyorkan agar Parlimen dibubarkan, dan kemudian diminta meletak jawatan. Difahamkan, Yang Dipertuan Agong kini sedang menilai siapa yang layak menjadi Perdana Menteri seterusnya. Oleh itu, pembubaran Parlimen tidak dijangka berlaku buat masa sekarang. Masih samar dari segi perundangan, sama ada Perdana Menteri Interim boleh memohon pembubaran Parlimen, jika individu yang memperoleh sokongan majoriti ahli parlimen gagal dikenalpasti. 

Pendek kata: Walaupun kemungkinan adalah tipis, pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum baharu tidak boleh ditolak sepenuhnya.

Bolehkah Yang Dipertuan Agong membubarkan Parlimen atas keputusan sendiri?

Tidak. Sama seperti semua raja berperlembagaan, hampir setiap kali, Yang Dipertuan Agong wajib bertindak di atas nasihat Perdana Menteri. Hanya dengan nasihat Perdana Menteri, Yang Dipertuan Agong boleh membubarkan Parlimen.

Bagaimana Yang Dipertuan Agong memilih Perdana Menteri?

Menurut Perkara 43(2) dalam Perlembagaan Persekutuan, Yang Dipertuan Agong harus memilih individu yang baginda percaya mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen. Menurut undang-undang Malaysia, undi dalam Parlimen tidak diperlukan untuk menentukan siapa yang disokong majoriti Ahli Parlimen. Keadaan ini boleh ditentukan melalui cara lain, seperti pengisytiharan statutori, dsb.

Percaturan nombor: siapa layak membentuk kerajaan baharu?

Memandangkan Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi, majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan adalah sekurang-kurangnya 112 kerusi.

Baki Pakatan Harapan—khususnya puak Anwar Ibrahim dalam PKR, DAP serta Amanah—serta parti sekutu dari Sabah, Warisan, merangkumi 101 kerusi.

UMNO (serta beberapa parti komponen kecil Barisan Nasional), PAS, dan baki BERSATU serta puak Azmin di PKR memiliki 97 kerusi.

Ini menjadikan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dengan 18 kerusi, serta beberapa parti politik yang lain dari Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai ‘kingmaker’ atau penentu utama dalam politik Malaysia. 

Tidak ditolak juga kemungkinan BERSATU bekerjasama semula dengan PKR, DAP dan Amanah—pada mesyuarat tergempar BERSATU pada 24 Februari, parti “menolak” perletakan jawatan Mahathir dan kelihatan masih setia kepada beliau.

Dalam beberapa hari mendatang, kita akan melihat persaingan sengit untuk meraih sokongan serta usaha menubuhkan koalisi.

Dalam beberapa hari yang akan datang, kita akan melihat persaingan sengit untuk meraih sokongan serta usaha menubuhkan koalisi. Kisah ini masih berubah-ubah dan sukar untuk meramal pihak yang berjaya dan mana pula yang terpinggir. Adakah Mahathir akan kekal sebagai Perdana Menteri dalam koalisi yang serba baharu? Mungkinkah UMNO dan pemimpin parti merampas kembali kuasa di Putrajaya? Adakah Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri akhirnya?

Buat masa ini, tiada siapa yang tahu.

Apakah erti semua ini buat rakyat Malaysia?

Bak kata pepatah, “Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.” Pepatah ini mungkin menyimpulkan perasaan rakyat Malaysia ketika ini.

Dalam situasi ekonomi yang lemah, penularan wabak COVID-19 dan perhubungan antara kaum yang rapuh, permainan catur politik terbaharu adalah perkara yang tidak diperlukan oleh negara. Buat ramai orang, ini adalah pengkhianatan kepada titik peluh dan kudrat yang dicurahkan dalam pilihan raya umum yang lalu untuk menewaskan UMNO dan Barisan Nasional. Kelompok minoriti turut gelisah membayangkan pembentukan koalisi yang dikuasai gagasan politik Melayu-Islam, sebagai pengganti koalisi Pakatan Harapan yang berbilang kaum. Apa yang berlaku dalam beberapa hari yang akan datang bakal menentukan nasib Malaysia dalam tahun-tahun mendatang.

Penulis Lim Wei Jiet
Penterjemah Adriana Manan

 

Wei Jiet Lim

Wei Jiet is a constitutional lawyer based in Kuala Lumpur, the Secretary-General of the National Human Rights Society (HAKAM) and Malaysia's National Representative to the International Bar Association (IBA)'s Young Lawyers Committee. He is the author of Halsbury’s Laws of Malaysia on Constitutional Law (2019 Reissue) and the Annotated Statutes on the Federal Constitution of Malaysia. All the views herein are his own.

Adriana Manan

Adriana Nordin Manan is a writer, playwright, translator and researcher. She was born, raised, and is based in Kuala Lumpur. With a Masters in Political Economy from New York University, Adriana is passionate about languages, culture and diversity in stories.

Now that you're here, we have a favour to ask...

Join our movement for a better Southeast Asia

New Naratif is a movement for democracy, freedom of information, and freedom of speech in Southeast Asia (see our manifesto). Our articles report on issues that are often overlooked or suppressed by the mainstream media in Southeast Asia. We are rely on our members for their support. Every cent of your membership fee goes to supporting our research, journalism, and community organisation activities. Your support enables us to be editorially independent and to conduct hard hitting independent research and journalism. It allows us to give a voice to the powerless and to hold the powerful accountable. Our members are active participants in our movement, helping us to create content and informing us about important issues, which shapes our coverage and content. Join our movement and let us, together, build a better Southeast Asia. Please subscribe to New Naratif—it’s just US$52/year (US$1/week) or US$5/month—and it only takes a minute. If you’d like to learn more, and read more articles, please start here! Thank you!