“Survival” Fiksyen Melayu di Singapura

Author: Okky Madasari, Dianna Sa'ad, Clarence Kuna
Published:

Di satu petang hari Sabtu, sebuah bilik di Perpustakaan Wilayah Woodlands dipenuhi mereka yang ingin bergelar penulis, penulis-penulis baharu dan juga beberapa penulis yang berpengalaman. Agenda mereka ialah perbincangan tentang pelbagai isu yang dihadapi oleh penulis Melayu Singapura.

Di negara asal saya iaitu Indonesia, perjumpaan yang melibatkan penulis di mana-mana bahagian kepulauan kebanyakannya terdiri dari golongan millenia dari kelompok usia 15-25 tahun. Di Singapura pula, perjumpaan yang berlangsung di bahagian utara pulau ini dihadiri oleh kumpulan yang terdiri dari golongan dewasa pertengahan umur dan warga emas, dan kebanyakannya memiliki kerjaya tetap dalam bidang lain.

Sudah sedia maklum bahawa perjumpaan ini ialah perjumpaan penulis Melayu Singapura yang menulis dalam Bahasa Melayu di negara yang kebanyakannya terdiri daripada warga berbangsa Cina. Namun ia masih menunjukkan bahawa penulisan dalam Bahasa Melayu di bandar-negara yang masih mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah sesuatu yang sering diketepikan. Walaupun perjumpaan ini dihadiri oleh nama-nama yang tidak asing lagi seperti Suratman Markasan, pemenang Anugerah Penulis S.E.A dan Pingat Kebudayaan, dan Hamed Ismail, pemenang Anugerah Persuratan sebanyak tiga kali—perjumpaan ini gagal menarik minat generasi muda. Maka dengan itu, timbul kebimbangan bahawa seni penulisan dalam Bahasa Melayu makin pudar.

Dalam perkiraan saya, hanya kurang daripada 10 buku dalam Bahasa Melayu yang diterbitkan dalam tempoh dua tahun yang lepas

Apabila Majlis Buku Nasional menjemput saya untuk menjadi hakim bahagian Bahasa Melayu untuk Hadiah Sastera Singapura pada tahun 2018, saya tidak menaruh harapan tinggi terhadap karya fiksyen yang akan ditunjukkan kepada saya. Selain daripada beberapa penulis veteran seperti Isa Kamari, saya tidak tahu jika ada penulis-penulis Bahasa Melayu lain yang berkaliber.

Dengan berat hati saya menerima pelawaan tersebut, namun begitu saya teruja kerana mungkin juga ada kumpulan penulis cereka dalam Bahasa Melayu di Singapura yang agak besar sehinggakan Majlis Buku Singapura memperuntukkan anugerah istimewa untuk kategori Bahasa Melayu. Namun, apabila saya mendekati karya dari negara ini, kesangsian yang saya rasai sebelum ini berkenaan jumlah buku-buku yang ditulis dalam Bahasa Melayu terbukti benar. Karya cereka dalam Bahasa Inggeris ternyata banyak dan laris terjual di kedai-kedai buku di seluruh negara, tetapi penulis dalam Bahasa Melayu pula sangat kurang. Bukan itu sahaja, jumlah karya dalam Bahasa Melayu ternyata kurang daripada jumlah yang saya jangkakan. Dalam perkiraan saya, hanya kurang daripada 10 buku dalam Bahasa Melayu yang diterbitkan dalam tempoh dua tahun yang lepas.

Pasaran yang mencabar

Hasil karya penulis Melayu Singapura bertimbun di atas meja di acara tersebut, dengan harapan ianya dapat menarik minat orang ramai supaya mereka akan membeli senaskah dua. “Selain dari menjadi ruang perbincangan, perjumpaan ini merupakan peluang untuk menjual buku kami kepada satu sama lain,” kata seorang penulis yang mengaku bahawa kesukaran memang wujud dalam usaha menjual buku-buku Bahasa Melayu di pasaran Singapura.

Annaliza Bakri, seorang penulis dan penterjemah yang namanya makin disebut ramai, mengutarakan isu ini dalam satu temu ramah dengan New Naratif, dan beliau menyalahkan sikap pembaca dan kurangnya usaha pemasaran karya Melayu yang berkesan. Profil bahasa di kalangan generasi muda Singapura —di mana sebahagian besar dari mereka mengikuti pembelajaran dalam Bahasa Inggeris di sekolah—juga merupakan satu faktor. “Pembaca muda biasanya lebih cenderung untuk membaca buku-buku yang ditulis dalam Bahasa Inggeris, dan oleh itu, lebih menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama mereka.”

Annaliza, yang sebelum ini telah menyunting himpunan puisi Inggeris-Melayu bertajuk “Sikit Sikit Lama Lama Jadi Bukit, berkata bahawa terdapat ramai penulis Melayu Singapura yang berbakat. Tetapi kebanyakannya terpaksa bersikap pragmatik dan melupakan hasrat mereka untuk meneruskan kerjaya dalam kesusasteraan Melayu.

“Masyarakat Melayu di sini sememangnya berbakat tetapi saya rasa lazimnya semua orang perlu menjaga periuk nasi mereka dan perlu memastikan semua keperluan asas mereka terjaga”

“Dari pantauan terhad saya, masyarakat Melayu di sini sememangnya berbakat tetapi saya rasa lazimnya semua orang perlu menjaga periuk nasi mereka dan perlu memastikan semua keperluan asas mereka terjaga,” katanya lagi. “Tata tingkat keperluan, di mana keperluan untuk menyara hidup perlu diberi keperluan, mungkin mengehadkan bilangan kami di rantau ini.”

Ini juga menjelaskan sebab kebanyakan penulis Bahasa Melayu, terutamanya dari golongan muda, mungkin memilih untuk menulis dalam Bahasa Inggeris. “Mereka berharap yang mereka akan dapat perhatian dari pembaca, terutamanya dari golongan bukan Melayu, dan seterusnya mengharapkan lebih pendedahan dan jualan yang besar,” kata Annaliza, sambil menerangkan bahawa membaca dan menulis dalam Bahasa Inggeris mungkin juga dilihat sebagai lebih berprestij dan dipandang tinggi berbanding Bahasa Melayu.

Perihal dahulu, kini dan masa depan

Aspek paling menarik dalam karya Melayu Singapura terkini adalah kekayaan karya Melayu Singapura dari segi tema, yang menunjukkan kedalaman dan keluasan perspektif dan idea dari penulis Melayu Singapura. Dari segi puisi dan prosa, penulis Melayu semasa bukan sahaja mencerminkan identiti mereka, tetapi juga menyerlahkan pembabitan mereka dengan realiti kini dan kemungkinan masa hadapan.

Hamed Ismail merupakan penulis veteran yang telah meluaskan sayapnya ke dalam kerjaya televisyen—produk semasa yang menarik lebih ramai pengikut berbanding dari karya buku. Beliau telah berjaya mengadaptasikan satu rancangan TV ke dalam sebuah buku, tanpa menjejaskan kualiti sastera dari segi keindahan bahasa dan konteks.

Dalam adaptasi “Bunga Tanjong”, Hamed mengisahkan cerita di Singapura pada tahun 1950an dan 60an, di mana watak utamanya adalah seorang wanita yang bekerja di kelab tari. Kisah ini menggambarkan pelbagai masalah sosial dari isu kemiskinan sehinggalah isu sistem patriarki, bermula dari tahap peribadi sehingga ke tahap nasional. Jika dibaca pada masa kini, ianya bukan sahaja membawa kita ke era tersebut, tetapi juga membangkitkan persoalan seperti sejauh mana masyarakat Melayu—dan masyarakat Singapura—telah berkembang dan berubah dengan meluas. Adakah masyarakat sekarang berada dalam situasi yang lebih baik dari dulu?

Jika Hamed membawa kita ke masa lampau, Farihan Bahron dan Hassan Hasaa’ree Ali pula membawa kita ke masa depan, ke zaman tanpa identiti dari segi bangsa, agama, etnik, kewarganegaraan atau seksualiti. Buku Farhan berjudul “Kesumat Sang Avatar”, diterbitkan pada tahun 2017, manakala novel Hassan berjudul “Souvenir Dari Angkasa Lepas” diterbitkan pada tahun 2016.

Malay Fiction in Singapore - New Naratif
Dianna Sa'ad

Farihan dan Hassan merupakan penulis yang berasal dari generasi yang membesar dengan teknologi. Mereka tidak mengehadkan karya mereka dengan hanya mengutarakan persoalan identiti atau hubungan etnik walaupun mereka sendiri tergolong dari kumpulan etnik minoriti. Sebaliknya mereka melintasi batas ini dan mula berdepan dengan isu sedunia dan persoalan sejagat, dan meletakkan diri mereka sebagai sebahagian dari masyarakat global walaupun mereka memilih untuk menulis dalam Bahasa Malaysia.

Razif Bahari, seorang ahli akademik dan ketua hakim untuk bahagian Bahasa Melayu untuk Hadiah Sastera Singapura pada tahun 2018, berkata bahawa karya-karya ini boleh menarik perhatian golongan pembaca muda yang arif tentang teknologi. “Kita perlukan semua jenis bantuan dan dorongan yang boleh membantu kita untuk menarik minat pembaca muda untuk giat membaca—terutamanya karya-karya Bahasa Melayu,” katanya. Buat masa ini, karya- karya Farihan dan Hassan hanya boleh didapati dalam Bahasa Melayu.

Namun, menumpukan imaginasi kepada masa hadapan tidak bermakna penulis-penulis ini menerima realiti dan melupakan masalah yang berkaitan dengan identiti dan persekitaran mereka. Sebagai contoh, walaupun buku Hassan menceritakan kisah futuristik, ia juga menceritakan kisah menyayat hati tentang pelajar Melayu yang hidup daif, dan generasi pejuang Melayu tua yang berjuang untuk kekal relevan.

Walaupun kebanyakannya bersetuju bahawa generasi baru penulis Melayu Singapura menulis tentang tema relevan dan isu yang berkaitan dengan masyarakat Melayu muda, ada juga pihak yang merasakan yang sesetengah penulis veteran gagal memberi kesan dengan pembaca alaf baru.

Azhar Ibrahim, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura berkata bahawa ketidaksinambungan yang berlaku antara penulis veteran dan pembaca muda adalah kerana jurang sejarah dan pengalaman sosial, yang membawa kepada jangkaan berbeza.

“Penulis veteran menulis dengan nada nasionalisme yang kuat, manakala sebahagian dari mereka pula [masih] menulis dengan cara tradisional, di mana budaya tradisional atau agama masih merupakan satu-satunya jawapan kepada keadaan semasa,” kata Azhar. Sebagai contoh, karya penulis veteran masih berkisar di sekeliling isu-isu seperti perjuangan terhadap jajahan British, atau rasa bangga sebagai Melayu Muslim dan isu identiti yang berkenaan.

“Meskipun penulis terkenal masih lagi mengulas tema lazim—dan ini bukanlah satu perkara buruk—pembaca muda tidak dapat memahami gaya penulisan sebegini yang selalunya sarat dengan gaya memberi pengajaran dan syarahan moral.”

Walau bagaimanapun, Azhar juga menerangkan bahawa ianya tidak adil untuk memperkatakan bahawa kekurangan ini datang dari penulis veteran secara keseluruhannya. “Dengan kehidupan di bandar besar dikuasai oleh Bahasa Inggeris, maka tidak hairanlah jika generasi muda semakin terpisah dari sumber budaya masyarakat mereka.”

Memperluaskan bilangan pembaca

Sebagai penulis dan pembaca dari Indonesia, saya tertakjub melihat karya Bahasa Melayu dari Singapura yang setanding dengan karya-karya yang diterbitkan di Indonesia dan Malaysia.

Annaliza bersetuju dengan pendapat saya: “Dari segi mutu karya, saya berasa bahawa penulis Singapura mampu bersaing dan ini terbukti di kebanyakan peringkat melalui karya-karya yang diterbitkan oleh Masuri SN, Noor SI, Mohamed Latiff Mohamed, Farihan Bahron, Faridah Taib, Khair Yasin, Aqmal Noor dan Zulfadli Rashid.”

Jika dilihat dari sudut pelbagai cabaran yang merumitkan karyawan dalam kesusasteraan Melayu di Singapura, maka ianya amat mengagumkan.

Dalam keadaan semasa, pasaran Singapura untuk karya-karya Bahasa Melayu adalah terlalu kecil. Tiada banyak penerbit buku yang menerbitkan buku-buku bahasa Melayu. Walaupun terdapat pilihan untuk penulis menerbitkan buku mereka dengan sendiri ataupun bekerjasama dengan penerbit bebas yang kurang berkisarkan keuntungan, namun capaian pilihan- pilihan sebegini terbatas dari segi pengiklanan dan pengedaran buku. Pendek kata, kerjaya menulis dalam Bahasa Melayu di Singapura tidak sama sekali menjanjikan masa depan yang cerah.

Annaliza menerangkan bahawa penulis Bahasa Melayu di Singapura tidak mementingkan keuntungan dari segi kewangan ataupun menulis untuk meraih populariti. “Populariti di sini amat subjektif dan harus saya tekankan di sini bahawa penulis Bahasa Melayu tidak mengidamkannya. Sebaliknya mereka amat peka terhadap peranan mereka dalam masyarakat. Oleh itu, karya-karya diterbitkan tanpa menekankan populariti.”

Pemerhatian Annaliza mungkin benar pada ketika ini, namun ianya bukan satu situasi yang boleh berkekalan. Satu hari nanti, bilangan penulis Bahasa Melayu akan berkurangan, kerana penulis berbakat akan terpaksa mencari sumber pendapatan yang lain untuk menanggung perbelanjaan harian. Ianya satu hakikat yang akan membawa kepada kejatuhan bilangan pembaca, dan kelak menolak keluar penerbit dari industri ini.

Walaupun industri karya Bahasa Melayu di Singapura mempunyai potensi baik dan berkualiti, apa yang membimbangkan di sini adalah ia mungkin akan pupus.

Persoalannya, meluaskan pasaran untuk karya-karya Bahasa Melayu dari Singapura bukannya persoalan pilihan, malah lebih berkisarkan “survival”

Satu cara untuk memperbaiki keadaan ini adalah dengan meluaskan pasaran ke negara jiran. Dengan jumpah penduduk seramai hampir 300 juta orang, Indonesia merupakan satu pasaran yang berpotensi untuk penulis cereka Bahasa Melayu di Singapura. Sayangnya, walaupun bergelar negara jiran dan ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang memungkinkan kerjasama serantau, namun karya-karya Bahasa Melayu dari Singapura masih belum dapat menembusi pasaran ekonomi terbesar rantau ini.

Persoalannya, meluaskan pasaran untuk karya-karya Bahasa Melayu dari Singapura bukannya persoalan pilihan, malah lebih berkisarkan “survival”.

Selain itu, situasi sekarang mungkin memerlukan bantuan dari Kerajaan Singapura yang boleh menyumbang dengan memberi sokongan penuh kepada penulis dan penerbit dalam industri buku Bahasa Melayu. Lagipun jika kerajaan memandang serius dalam mempromosikan konsep dwibahasa, maka mereka harus memastikan bahawa industri buku Bahasa Melayu di Singapura tidak pupus.

“Penulis Bahasa Melayu dari Singapura harus diiktiraf sebagai penulis Singapura. Mereka bukan sahaja menulis dengan indah, malah kegiatan intelek dan penghayatan kendiri dan jiwa mereka sering dipandang enteng,” kata Annaliza.

Sedang saya menelaah buku-buku yang ditulis oleh Farihan Bahron, Hassan Hasaaree Ali dan yang lain-lain lagi, saya tidak dapat membayangkan satu hari di masa depan, di mana Singapura sedar yang ia tidak lagi menyumbang sebarang buku yang ditulis dalam Bahasa Melayu.

 

Okky Madasari

Okky Madasari is an Indonesian novelist, judge of the Singapore Literature Prize 2018, and resident writer/visiting fellow at Malay Studies Department NUS 2018.

Dianna Sa'ad

Dianna is an illustrator from Sunny Singapore. Aside from pushing pixels as a digital creative at Tangent Design & Advertising, she spends her time exploring different perspectives with her illustrative work. Primarily working with simple shapes, characters, bright colours and textures, she enjoys condensing big ideas into light-hearted visuals. Say hi at diannaetc@gmail.com or head to diannaetc.work for more.

Clarence Kuna

Clarence Kuna is an IT practitioner with over 15 years of field experience. He is also a theatre and movie actor who has worked under experienced directors and in renown productions.

Now that you're here, we have a favour to ask...

Join our movement for a better Southeast Asia

New Naratif is a movement for democracy, freedom of information, and freedom of speech in Southeast Asia (see our manifesto). Our articles report on issues that are often overlooked or suppressed by the mainstream media in Southeast Asia. We are rely on our members for their support. Every cent of your membership fee goes to supporting our research, journalism, and community organisation activities. Your support enables us to be editorially independent and to conduct hard hitting independent research and journalism. It allows us to give a voice to the powerless and to hold the powerful accountable. Our members are active participants in our movement, helping us to create content and informing us about important issues, which shapes our coverage and content. Join our movement and let us, together, build a better Southeast Asia. Please subscribe to New Naratif—it’s just US$52/year (US$1/week) or US$5/month—and it only takes a minute. If you’d like to learn more, and read more articles, please start here! Thank you!