Dikelilingi dinding kotor yang berkulat dan menggunakan tandas tanpa dinding, seorang ustaz menunggu masa. Tidak ada jam atau pengumuman, maka dia tidak tahu waktu solat melainkan bertanya kepada pegawai. Makanan di penjara terdiri daripada ikan seluas tiga jari, kangkong, bubur dan kuah yang tawar seperti air paip.

Selepas tiga hari di penjara Sungai Buloh, Ustaz Wan Ji Wan Husin dibenarkan  keluar dengan ikat jamin. Namun dia belum bebas. Kebebasannya akan diperjuangkan di peringkat mahkamah rayuan seterusnya.

Ustaz Wan Ji didakwa pada 10hb September 2014 di bawah Akta Hasutan, (salah satu daripada undang-undang kolonial yang digubal di zaman penjajahan British) atas sebuah video yang dimuat naik ke Facebook pada November 2012, yang dianggap kritikal terhadap Sultan Selangor. New Naratif tidak akan menerbit semula komen tersebut kerana proses undang-undang masih berjalan berkaitan kes ini. Namun, asas kritikan Wan Ji boleh didapati dalam sebuah artikel lama pada tahun 2013, dimana dia menulis, “Islam meletak bahawa perlantikan seseorang pemerintah itu berdasarkan kepada kelayakan, bukan berasaskan keturunan. Nabi Muhamad SAW ada menyatakan yang bermaksud, ‘Apabila disandarkan urusan itu kepada orang bukan berkelayakan, tunggulah saat kehancuran’ (Al-Bukhari, Hadis no: 59).”

Pada 9hb April 2018, Wan Ji didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen dan dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan bulan. Wan Ji memfailkan rayuan terhadap sabitan itu dan pada masa yang sama, pendakwa raya turut memfailkan rayuan balas. Mahkamah Tinggi menyebelahi pihak pendakwa dan menaikkan hukuman penjara Wan Ji kepada satu tahun.

Hukuman tersebut mendapat tentangan hebat dari pemimpin-pemimpin politik dan masyarakat sivil. Presiden Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim, menyifatkan hukuman terhadap Wan Ji sebagai “terlalu keras.” Pemuda Pakatan Harapan yang diketuai Syed Saddiq Abdul Rahman, yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan, mengecam hukuman berat tersebut dan mendesak kerajaan persekutuan memansuhkan Akta Hasutan seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya. Lawyers for Liberty, sebuah organisasi peguam hak asasi manusia, mengeluarkan kenyataan media mengecam hukuman itu sebagai noda terhadap kebebasan bersuara.

Walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan, peguam negara Tommy Thomas, yang dilantik sebulan selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum pada pertengahan 2018, mengatakan bahawa rayuan balas itu dilakukan sebelum perlantikannya, dan memandangkan Wan Ji disabit di dua mahkamah sebelum ini, kuasa dari pihaknya adalah terhad.

Selain dari memberi kuliah agama, Ustaz Wan Ji juga merupakan pengarah akademik SAUDARA, sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk mengeratkan komuniti melalui kajian tentang sosio-budaya dan agama di Malaysia. Organisasi tersebut mula bergerak aktif pada September 2018, empat bulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.

Sebagai seorang ustaz yang progresif dalam sistem yang konservatif, Wan Ji dilihat sesuai bertugas di SAUDARA. Tetapi jawatan dan aktivitinya juga bermakna bahawa dakwaan Akta Hasutan ini bukan kali pertama beliau mendapat perhatian dari pihak berkuasa.

Pengarah eksekutif SAUDARA, Lim Hong Siang berkata bahawa organisasi tersebut ditubuhkan untuk berdialog dengan komuniti masyarakat yang pelbagai. Dalam sebuah emel kepada New Naratif, Lim berkata, “Kami mendapati banyak dasar pembaharuan yang ingin dilaksanakan, berdepan dengan tentangan dari masyarakat sendiri. Usaha untuk berdialog dengan semua segmen dalam masyarakat adalah penting, agar konsensus dicapai, dan tiada komuniti yang menganggap suara dirinya dipinggirkan.” Walau bagaimanapun, buat masa ini, SAUDARA mahu menumpukan perhatian kepada penglibatan dalam wacana – sama ada melalui penulisan, forum, sesi dialog atau kursus.

Dalam tempoh masa satu tahun, organisasi ini telah mengadakan acara-acara yang bertujuan untuk memupuk pemahaman yang lebih baik antara komuniti, seperti menonjolkan pengalaman pelajar Melayu di sekolah vernakular Cina dan mengeratkan hubungan dan komunikasi antara kumpulan Muslim dan bukan Islam.

Sebagai seorang ustaz yang progresif dalam sistem yang konservatif, Wan Ji dilihat sesuai bertugas di SAUDARA. Tetapi jawatan dan aktivitinya juga bermakna bahawa dakwaan Akta Hasutan ini bukan kali pertama beliau mendapat perhatian dari pihak berkuasa. Sebelum ini, Wan Ji pernah dihalang daripada berdakwah di masjid, dan dikutuk kerana mempertahankan tindakan menyentuh anjing dan menzahirkan hasrat untuk sebuah kerajaan sekular yang tidak menghalang sesiapa daripada mengamalkan agama mereka, – sesuatu pendirian yang agak jarang untuk seseorang yang dilahirkan, dibesarkan, dan dididik dalam persekitaran yang konservatif di Malaysia. 

Dari anak buruh ke graduan Al-Azhar

Wan Ji adalah anak kelahiran Kelantan dan cucu kepada Tuan Guru Haji Wan Hassan bin Wan Ismail, agamawan tempatan yang terkenal dan sahabat kepada ayah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Meskipun berasal daripada sebuah keluarga yang berada dan kuat beragama, ayah Wan Ji, yang merupakan anak bongsu kepada isteri keempat ayahnya, tidak mendapat pendidikan dan berkerja sebagai buruh di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sementara ibu Wan Ji membuka sebuah kedai runcit.

Sewaktu berumur lebih kurang 13 tahun, Wan Ji mendapat ilham untuk belajar di sekolah pondok selepas mendengar kisah kawannya yang sedang belajar di sebuah sekolah pondok di Kedah. Kebetulan, tok saudaranya merupakan seorang warden di sebuah sekolah pondok di Kelantan. Segala aturan diselesaikan dengan panggilan telefon, dan Wan Ji mula menghafal al-Quran sebagai persediaan memasuki sekolah pondok agama.

Buat empat tahun seterusnya, Wan Ji menghabiskan masa di sebuah pondok di Pasir Mas, Kelantan. Kehidupan di pondok agama agak intim; para pelajar tinggal bersama-sama dengan tok guru di samping belajar mengkhatam al-Quran.

Sekolah pondok tidak dianggap sebagai sebahagian dari sistem pendidikan formal, dan para pelajar tidak menduduki peperiksaan umum atau menerima sijil selepas tamat persekolahan. Justeru, ia mempunyai risiko dari segi pengiktirafan kelayakan. Namun pada usia 17 tahun, Wan Ji dapat menyambung pengajiannya di Jamiah Farooqia di Karachi, Pakistan. Menurutnya, institusi tersebut mendapat derma dari jutawan Saudi dan dapat menawarkan pendidikan percuma. Dalam temu duga bersama New Naratif, Wan Ji berkata keluarganya hanya perlu menghantar beberapa ratus Ringgit sebulan untuk menampung kos membeli buku dan kehidupan seharian.

Di Karachi, Wan Ji berkata dia terdedah kepada pemikiran agama yang “tegar” dan buat pertama kalinya mengalami ejekan sebagai mazhab yang minoriti.[1] Kebanyakan pelajar di Jamiah Farooqia mengikuti mazhab Hanafi dan mengutuk Wan Ji dan rakan-rakannya yang mengikuti mazhab Shafie. Dari situlah Wan Ji berfikir, “Kenapa selalu kena ikut satu mazhab?”

Selepas tiga tahun di Karachi, Wan Ji menyambung pendidikannya di Universiti Al-Azhar, salah sebuah universiti paling berprestij dalam bidang pengajian Islam, di Mesir. Dia tamat pengajian dengan ijazah sarjana muda dalam bidang Syariah Islamiyah pada tahun berikutnya, tahun 2001. “Antara keistimewaan Al-Azhar adalah di sini, kami belajar mengenai empat mazhab. Di Pakistan, kita belajar satu sahaja.”

Membuka laluan kepada pergaulan berbilang kaum

Selepas Al-Azhar, Wan Ji kembali ke Malaysia dan dilantik sebagai ahli mesyuarat Dewan Ulama PAS Selangor, sebuah sayap yang berpengaruh dalam parti Islamis itu. Tidak lama kemudian, berlaku tsunami politik pada 2008 di mana Barisan Nasional gagal mendapat majoriti dua-pertiga buat pertama kalinya sejak tahun 1969. Pada ketika itu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) di dalam blok pembangkang.

“Terdapat perubahan besar pada tahun 2008 apabila PAS sudah berkawan dengan DAP dan PKR. Memang ia mempengaruhi kehidupan kita sendiri,” menurut Wan Ji. Katanya, pengikut dan akar umbi dalam parti politik selalunya bergaul dalam kelompok mereka sahaja. Tetapi apabila kerjasama politik berlaku, ia menyatukan kumpulan-kumpulan manusia yang sebelum itu hanya bergaul dan bergerak mengikut kaum masing-masing – sesuatu fenomena yang kerap berlaku di Malaysia di mana majoriti parti-parti politik adalah berasaskan kaum.[2]

“Kami (sebahagian besar pengikut PAS ketika itu) mengenali ramai orang bukan Islam buat pertama kalinya. Kita selalu hadir dan anjur program bersama, malah pimpinan PAS mengambil sikap “dakwah”, iaitu kami diajar supaya menunjukkan akhlak yang baik supaya dapat mendakwah kepada orang bukan Islam.”

Tidak semua pemimpin PAS berpuas hati dengan pendekatan yang terbuka itu. “Di luar, mereka kata perlu dakwah kepada orang bukan Islam. Dalam mesyuarat dalaman parti, mereka mengutuk pemikiran orang lain,” menurutnya. Wan Ji bagaimanapun memilih untuk berjumpa dan membina hubungan dengan semua dari pelbagai latar belakang.

“Kalau kita yakin Tuhan buat akal untuk kita fikir, kenapa takut? Dari situ aku kata pada diri aku, aku kena jujur pada diri sendiri dan mengambil sikap apa-apa pun kena belajar dari sesiapa sahaja hataa (walaupun) dari non-Muslim pun. Tuhan telah memberikan akal kepada kita untuk berfikir dengan tenang,” kata Wan Ji, memetik dari sebuah buku yang dikarang Ahmad Wahib dan diterbit oleh Institut Kajian Dasar yang bertajuk, Pergolakan Pemikiran Islam. Dia memberi kredit kepada buku itu kerana membangkitkan persoalan yang telah lama disimpan di dalam hatinya berkaitan soal agama dan pluralisme.

“Kalau kita yakin Tuhan buat akal untuk kita fikir, kenapa takut? Dari situ aku kata pada diri aku, aku kena jujur pada diri sendiri dan mengambil sikap apa-apa pun kena belajar dari sesiapa sahaja hataa (walaupun) dari non-Muslim pun. Tuhan telah memberikan akal kepada kita untuk berfikir dengan tenang.”

Detik itu merupakan permulaan. Sebelas tahun selepas mula berkawan dengan orang bukan Islam, Wan Ji boleh dikatakan mempunyai daya tarikan dalam komuniti bukan Islam – sesuatu yang luar biasa untuk seorang agamawan di Malaysia. Ketika dia ditangkap, aktivis-aktivis berbilang kaum berkumpul untuk menunjukkan solidariti di luar penjara sehinggakan pengawal penjara bertanya pada Wan Ji, “Siapa kamu dan mengapa banyak Cina menyokong kamu?”

Lim Hong Siang, rakan sekerjannya di SAUDARA, mula mengenali Wan Ji pada tahun 2012. “Dia membawa pendekatan yang berbeza daripada pendakwah lain. Wan Ji bersikap jujur ketika mengisahkan sejarah perkembangan Islam, dan keyakinan inilah sebenarnya yang membuatkan Wan Ji dikagumi,” katanya.

“Biasanya ustaz atau agamawan kalau mengisahkan sejarah agama, akan ditonjolkan kegemilangan, atau segala yang baik tentang agamanya. Wan Ji mengambil pendekatan yang berbeza. Jikalau ada peperangan, pertumpahan darah lantaran perebutan kuasa dalam sejarah – beliau mengakuinya secara jujur. Beliau hormati fakta. Beliau tidak mengelak dari fakta ini, ataupun cuba menjustifikasikannya dengan dalil-dalil tertentu. Itu yang membuatkan non-muslim agak yakin dengan apa yang diperkatakan.” 

Bergelut dengan terrorisme dan konservatisme

Wan Ji meninggalkan parti PAS pada tahun 2015 atas beberapa faktor yang berkembang: polemik yang berleluasa, skeptik terhadap gerakan Islam, dan meluat dengan pimpinan elit dan ulama berbicara tentang kuasa dan jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Selepas seketika bersama PKR, dia direkrut oleh SAUDARA untuk mencapai dua misi: memecah monopoli tafsiran konservatif dalam wacana Islam di dalam negara dan memecah imej stereotaip dan prasangka orang bukan Muslim  terhadap Islam.

Sebahagian daripada peranannya di SAUDARA ialah menulis artikel yang diterbitkan dalam dua Bahasa iaitu Mandarin dan Bahasa Melayu. Dia juga menyampaikan kuliah, ceramah, forum, dan menangani kursus pada hujung minggu. Salah satu kursus tersebut, “Mengenali Islam dan Muslim”, mendapat sambutan yang bagus dari kalangan peserta bukan Muslim. 

“Mereka terperanjat dan terkagum dengan tafsiran yang dibawa oleh Wan Ji. Perbezaan itu berpunca daripada faktor yang pelbagai, termasuk budaya, bahasa, dan politik. Akhirnya, kebanyakan peserta sedar di mana masalahnya dan sudi mencari penyelesaiannya,”kata Lim.

Selain daripada kegiatannya sebagai pengarah akademik SAUDARA dan penceramah bebas, Wan Ji juga sedang menyiapkan PhD tentang kajian teks mengenai terrorisme. Ia adalah sebuah topik yang beliau minat selepas beberapa pertemuan dalam hidupnya; dia pernah diajar oleh seorang guru yang merupakan ahli mesyuarat Taliban sewaktu di Pakistan, dan salah seorang kawannya ditangkap di Sri Lanka atas kegiatan terrorisme, yang kemudiannya ditahan di Guantanamo Bay selama dua tahun dan dibawa kembali ke Malaysia, di mana beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA). Wan Ji menemui kawan tersebut selepas dia dibebaskan.

“Ingatkan dia dah berubah. Rupanya masih fikir bahawa orang kafir kena bunuh.” 

Dari situlah, Wan Ji cuba mencari dan mengkaji pendekatan yang berbeza untuk mengubah fikiran sedemikian. “Ramai di antara mereka orang baik, tapi otaknya rosak. Mereka hendak ke syurga, tapi dengar panduan yang salah. Kita harus menggoyangkan cara fikir mereka yang rosak.” Misi ini berdepan masalah tafsiran Islam konservatif yang kini menjadi dominan di Malaysia. Wan Ji berkata antara faktornya adalah kejumudan dalam memahami al-Quran dan hadis.

“Tradisi keilmuan dalam kalangan ulama di Malaysia tidak mempunyai bacaan yang lebih luas daripada pemikiran mazhab Shafie. Sebut sahaja hujah selain dari mazhab Shafie akan dianggap ‘kurang Islam’.”

“Tradisi keilmuan dalam kalangan ulama di Malaysia tidak mempunyai bacaan yang lebih luas daripada pemikiran mazhab Shafie. Sebut sahaja hujah selain dari mazhab Shafie akan dianggap ‘kurang Islam’,” katanya kepada New Naratif. Dia memberi contoh dalam bab sentuh anjing. Mazhab Shafie bukan sahaja kata kena basuh (selepas sentuh anjing), malah ia mengatakan haram padahal itu bukan pendapat umum semua ulama. Beliau bertambah bahawa di Malaysia wacana-wacana yang lain dari kebiasaan susah diterima.

Masalah ini lebih rumit apabila ustaz-ustaz mempunyai pegangan politik masing-masing yang akan disumbatkan dengan autoriti agama, lalu menjadikan agama sebagai isu partisan. “Bayangkan ustaz itu orang PAS, orang ISMA. [Dan kata] Masuk syurga macam ni, macam ni, dan dalam keadaan naif itu, ramai akan ikut. Beragama ikut ustaz.”

Wan Ji menyarankan keperluan dalam wacana agama untuk kurangkan penekanan pada hukum dan lebih kepada nilai. “Apabila [sesuatu itu] sekadar fekah, maknanya menyanggahinya dan berbeda pendapat dengannya tidak salah. Jika dianggap menyanggahi pandangan fekah itu sebagai salah, sudah pasti salah itu berlaku pada ulama-ulama besar. Ini disebabkan oleh Imam Syafie sendiri punyai pendapat yang berbeza dengan Imam Malik. Imam Hanbali berbeza pendapat dengan Imam Abu Hanifa dan sebagainya…Jika fatwa-fatwa daripada badan-badan agama ini dianggap sebagai Syariah, mengapa pandangan yang lahir dari mereka itu berbeda? Yang pasti pandangan itu bukan Syariah tetapi sekadar pandangan fekah.”

Faktor lain yang mungkin menyebabkan tafsiran Islam di Malaysia cenderung konservatif adalah kebatasan golongan agamawan bergaul dengan orang bukan Muslim. Ramai pelajar Malaysia mendapat pendidikan Islam di negara Arab seperti Mesir, Jordan atau Saudi– sama ada melalui tajaan kerajaan atau pembiayaan peribadi – dan kemudian kembali menjadi agamawan, pentadbir jabatan agama, atau penceramah bebas.

Perkara ini diulas Wan Ji, “Kesemua negara ini majoriti besar rakyatnya beragama Islam, maka mereka agak jarang berjumpa dan berkomunikasi dengan non-Muslim…Kesan psikologinya, apabila mereka kembali ke Malaysia, pergaulan mereka agak terbatas. Mereka berasa janggal untuk berkomunikasi dengan masyarakat yang berbeza agama dan bangsa.”

Pergaulan dan komunikasi yang dimaksud Wan Ji bukan sekadar di peringkat tegur-menegur, tetapi bersahabat, bekerjasama, berdialog, belajar bersama, bekerja bersama, dan sebagainya. Kesan daripada kekurangan pergaulan ini wujudnya sedikit prejudis dan pemahaman yang terbatas mengenai orang bukan Muslim dan kehidupan di sebuah negara yang berbilang agama.

Wan Ji mencadangkan agar sebilangan pelajar dihantar belajar ke negara-negara barat, di mana bilangan warga Muslim bukan majoriti. “Tujuannya, untuk mengubah sudut pandang mereka terhadap masyarakat non-Muslim, terutama dari sudut pergaulan dan komunikasi.” 

Pengaruh Ikhwan Muslimin dan Islamis dalam arena politik tempatan

Dalam arena politik Malaysia, kini terdapat usaha gerakan konservatif untuk meraih sokongan dengan mengetengahkan isu agama yang bersifat eksklusif, antaranya kempenBuy Muslim First’ dan kempen Malaysia Negara Islam.

Menurut Wan Ji, untuk memahami kemunculan gerakan Islamis tempatan, kita kena mula dari Ikhwan Muslimin yang lahir dari kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah pada tahun 1928.

Pengasas Ikhwan, Hasan al-Banna, pernah menyatakan, “Islam adalah sistem yang sempurna, mencakupi segenap kehidupan”, dan aspirasi organisasi itu adalah untuk menubuhkan sebuah daulah yang ditadbir oleh undang-undang Syariah. Menurut John Esposito, profesor universiti dan pengarah di Pusat Pemahaman Muslim-Kristian Putera Al-Waleed bin Talal di Universiti Georgetown di Amerika Syarikat, Hasan al-Banna menitik-beratkan “perkembangan organisasi untuk melaksanakan…visi sebuah negara Islam.”

Ramai rakyat Malaysia belajar di Mesir atau negara lain dimana Ikhwan mempunyai pengaruh, dan melalui mereka yang bergaul atau terlibat dengannya, aspirasi Ikhwan dibawa ke Malaysia melalui individu atau pertubuhan gerakan Islam yang terpengaruh dengannya. Sesetengah dari individu terbabit juga telah menjadi pemimpin politik tanah air seperti Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, dan Saari Sungib, ahli politik veteran dan pengasas Jamaah Islah Malaysia (JIM). (JIM kemudiannya berpecah kepada IKRAM dan sebuah lagi kumpulan yang berpolitik haluan kanan, ISMA)

Organisasi sedemikian menjadi platform yang rekrut, latih, dan mempengaruhi ribuan ahli mereka dengan idea dan strategi politik yang dikaitkan dengan Ikhwan.

Wan Ji tidak akan berasa hairan jika ISMA membuat keputusan untuk masuk arena politik pada masa hadapan: “Tak pelik, sebab dia pernah masuk politik melalui parti BERJASA pada PRU13. Sekarang ini, dia nak cari ruang untuk masuk politik seperti langkah IKRAM masuk politik melalui (parti) Amanah atau langkah aktivis yang masuk politik melalui tawaran kerusi Pakatan Harapan seperti Maria Chin. Buat masa ini, dialah yang mengusahakan kempen dan demonstrasi serang PH, dan dia berjaya menentukan wacana menyebabkan parti politik Melayu terikut dengan mereka. Demonstrasi anti-ICERD contohnya, yang mengepalai ialah ISMA. Cuma dia gunakan PAS untuk ramaikan orang [dalam perhimpunan tersebut].”

Hubungan Wan Ji dengan beberapa pertubuhan gerakan Islam, golongan anak muda, dan parti politik agak erat dan tegang pada masa yang sama. Menurut Mohd Jalaluddin dari firma penyelidikan bebas, Ilham Centre, “Apa yang menarik tentang pendekatan Wan Ji ialah beliau mampu memudahkan kefahaman yang kompleks untuk kefahaman orang awam. Beliau juga boleh menulis, memberi pidato dengan baik, serta mampu berdebat dan berforum secara dua hala. Sangat jarang asatizah yang berkemampuan ketiga-tiga sekaligus. Wan Ji ada pengaruh bagi kelompok-kelompok tertentu terutama di kalangan anak muda yang dahagakan ilmu dan pencerahan. Ini ditambah pula pendekatannya yang santai dan mesra anak muda”. 

Hubungan Wan Ji dengan beberapa pertubuhan gerakan Islam, golongan anak muda, dan parti politik agak erat dan tegang pada masa yang sama.

Pendekatan sedemikian yang mesra dengan anak-anak muda dan pelbagai lapisan masyarakat turut diakui oleh seorang cendekiawan muda, yang meminta untuk tidak dinama. Namun menurutnya, yang juga mengaji bidang yang sama seperti Wan Ji, ada yang bersetuju dengannya dan ada yang menentang pandangan Wan Ji. “Disebabkan gopoh dan pandangan politiknya, maka aliran yang berbeza pandangan dengannya menentang keras. Contohnya ISMA dan PAS.” Perkara ini jelas dilihat dalam kes pihak yang mempunyai pendirian yang berbeza dengan Wan Ji, yang tidak menyembunyikan pandangan politiknya, lantang menyeru pihak berkuasa supaya menyekat kebebasannya.

Wan Ji mengaku dia merasai beban dari serangan yang berterusan. “Saya terbeban dengan serangan dari pihak pemerintah terhadap sebarang idea yang saya kemukakan. Seperti saya dihalang berceramah agama oleh jabatan agama Islam di beberapa negeri, malah di Selangor Jabatan Agama Islam pernah menangkap saya sebanyak tiga kali dan dihadapkan ke mahkamah syariah.”

Perkara ini juga ditekan oleh Jalaluddin yang mengatakan bahawa, “Di kalangan golongan establishment, mungkin Wan Ji dilihat terlalu liberal dan terbuka dalam pegangan agama. Masyarakat bukan Muslim [pula] nampaknya semakin meminati beliau. Namun kekurangan Wan Ji terbesar ialah ketidakfasihan beliau untuk berbahasa Inggeris untuk capaian medium pendengar bukan Muslim yang tidak fasih bahasa Melayu.” 

Kebimbangan dalam Malaysia Baru

Walaupun Wan Ji masih menghadapi tindakan undang-undang dan kekangan dari pihak berkuasa selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, dia kekal percaya bahawa ada dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan yang mahu memansuhkan undang-undang zalim dan tidak demokratik seperti Akta Hasutan.

Tetapi ini tidak bermakna beliau sekadar penyokong untuk pentadbiran kini. Dalam temuramah dengan New Naratif, Wan Ji menyampaikan kebimbangannya terhadap kegagalan Pakatan Harapan untuk mencapai keseimbangan kaum dalam polisi kerajaan dan hubungan harmoni antara kaum. “Sebab itu (ramai) Melayu rasa tak secure. Kebimbangan aku pada Pakatan Harapan ialah mereka tak fikir dan mempunyai masalah keyakinan diri. Sekarang ini ramai pemimpin banyak fikir survival politik sahaja.”

Ustaz Wan Ji - New Naratif
Daniel Teoh Tzu Yong

Wan Ji mengambil contoh pembangkang yang memainkan isu perkauman dan agama; Pakatan Harapan yang tidak yakin dengan pegangan undi Melayu terpaksa “menari ke gendang yang dimainkan oleh musuh” untuk cuba menentang naratif mereka. Dalam satu kes, pentadbiran Pakatan Harapan mengetepikan rancangan untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) selepas pembangkang mendakwa bahawa ia akan mengancam hak istimewa kaum Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Tetapi isunya bukan hanya pada pembangkang sahaja; dalam pengalaman Wan Ji bekerja dengan beberapa pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan, dia mendapat gambaran bahawa ada sesetengah yang “nak bermain politik, bukan hendak menyelesaikan masalah.”

Menurutnya, kerajaan perlu menyusun strategi dan menunjukkan bahawa tindakan afirmatif adalah untuk keadilan sosial, bukan dominasi kaum. “Contohnya dengan mengenalkan tindakan afirmatif untuk OKU, kemudian untuk orang miskin, dan seterusnya. Wacana kita kena step-by-step.”

Buat masa ini, Wan Ji sendiri perlu mengharungi cabaran peribadinya satu demi satu. Selepas tiga hari di penjara, dia diikat jamin dengan wang RM 5,000. Namun dia dikehendaki menyerah pasportnya dan disekat pergerakannya. Dia hanya mampu menunggu sehingga tamat perbicaraan rayuannya yang bakal menentukan sama ada dia dapat terus menyampaikan perubahan wacana yang diinginnya, atau diheret kembali ke penjara.

References

[1] Dalam Sunni Islam yang diikuti oleh kira-kira 90% daripada umat Islam seluruh dunia (menurut Pew Forum), terdapat empat mazhab: Hanafi, Shafie, Hanbali, dan Maliki. Penganut mazhab Hanafi kebanyakannya ditemui di beberapa bahagian Asia Selatan, Asia Tengah, dan Timur Tengah. Mazhab Shafie adalah dominan di Asia Tenggara. Menurut Seyyed Hossein Nasr, Profesor Universiti Pengajian Islam di Universiti George Washington, mazhab-mazhab ini mewakili tafsiran yang berbeza mengenai undang-undang Islam berasaskan sumber asas, tetapi perbezaan mereka adalah kecil. Walau bagaimanapun menurut Vincent Cornell, Profesor Timur Tengah dan Pengajian Islam di Universiti Emory, perbezaan di antara mazhab boleh menjadi besar atau isu metodologi, dan berputar di sekitar penilaian terhadap tradisi.

[2] Pimpinan dan akar umbi PAS, sebuah parti Islamis, majoriti besarnya adalah Melayu-Muslim; DAP, walaupun mengangkat kepelbagaian kaum, masih sebahagian besarnya terdiri daripada golongan bukan Melayu; PKR mempunyai keanggotaan yang paling berbagai kaum dan agama walaupun dua pemimpin tertingginya sentiasa merupakan pemimpin Melayu.

 

Author

Ooi Kok Hin

Ooi Kok Hin is Monbukagakusho scholar and research student at the Graduate School of Political Science, Waseda University and research affiliate at Penang Institute.

Now that you're here, we have a favour to ask...

New Naratif is a movement for democracy, freedom of information, and freedom of speech in Southeast Asia (see our manifesto). Our articles report on issues that are often overlooked or suppressed by the mainstream media in Southeast Asia. We rely on our members for their support. Every cent of your membership fee goes to supporting our research, journalism, and community organisation activities. Your support enables us to be editorially independent and to conduct hard hitting independent research and journalism. It allows us to give a voice to the powerless and to hold the powerful accountable. Our members are active participants in our movement, helping us to create content and informing us about important issues, which shapes our coverage and content. Join our movement and let us, together, build a better Southeast Asia. Please subscribe to New Naratif—it’s just US$52/year (US$1/week) or US$5/month—and it only takes a minute. If you’d like to learn more, and read more articles, please start here! Thank you!

Subscribe

Get the Newest Naratif

Sign up for our Weekly Newsletter or join our Telegram Chat to get the scoop on matters concerning Southeast Asia

Join our newsletter

Newsletters go out every Thursday.

Sign Up For Telegram Updates