Sepanjang hidupnya, Wong Kueng Hui bermimpi untuk membawa muziknya ke luar negara bersama sebuah kumpulan muzik hardcore punk. Namun, setiap pagi, dia bangun untuk berhadapan dengan realiti yang sama: dia tidak bernegara, dan dia mungkin tidak dapat meninggalkan Malaysia.

Dilahirkan dan dibesarkan di Keningau, di negeri Sabah di Malaysia, Wong terpaksa melakukan pekerjaan eksploitatif, contohnya apabila dia bangun setiap hari sebelum subuh selama setahun untuk bekerja sebagai konduktor untuk sebuah perjalanan bas selama tiga jam dari Tenom ke Keningau ke Kota Kinabalu. Dia melakukan perjalanan ini tiga kali sehari, dan hanya habis kerja setelah mencuci bas. Kadang kala, dia bekerja selama 20 jam sehari, dan dia hanya mendapat dua hari cuti kerja setiap bulan.

Apabila dia menerima pekerjaan itu, Wong dijanjikan gaji bulanan sebanyak RM 800 (AS$195), tetapi majikannya, yang mendakwa telah memotong elaun makan Wong, hanya membayarnya RM 500 (AS$120)—kurang dari separuh daripada gaji minimum Malaysia. 

“Saya rasa majikan saya mengambil kesempatan ke atas saya, tetapi saya terpaksa menerimanya kerana saya orang yang tidak bernegara dan saya tidak mempunyai [IC],” kata Wong, 26, merujuk kepada kad pengenalan yang dikeluarkan oleh kerajaan yang memberikan semua pemegang kad tersebut hak kewarganegaraan Malaysia.

“Mereka cuma lihat warganegara ibu dan sijil kahwin. Dan saya juga ditanya kenapa kulit saya gelap,”

Tanpa IC, orang tidak bernegara seperti Wong tidak boleh bekerja secara sah, mengakses pendidikan dan penjagaan kesihatan awam, mendaftar untuk kad SIM, membuka akaun bank atau mengundi. Mereka juga sentiasa hidup dalam ketakutan akibat risiko penahanan dan pengusiran.

“Semua ni kesulitan yang orang stateless berhadapan dengan hari-hari, tetapi orang di luar tak nampak. Dia cuma lihat kita sebagai pendatang.”

Konvensyen Berkaitan dengan Status Orang Tidak Bernegara mentakrifkan orang tidak bernegara sebagai “seseorang yang tidak dianggap sebagai warganegara oleh mana-mana Negara di bawah operasi undang-undangnya.” Oleh itu, orang tersebut tidak dilindungi oleh negara itu dan tidak mempunyai hak asasi yang dijamin kepada setiap warganegara. 

Menurut sebuah laporan yang dikeluarkan pada tahun 2019 oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), dianggarkan bahawa terdapat 10 juta orang tidak bernegara di seluruh dunia.

Sabah mempunyai kadar bilangan penduduk tanpa kewarganegaraan yang tertinggi di antara 13 negeri di Malaysia. Wong adalah seorang daripada sekitar 800,000 orang tidak bernegara di Sabah, daripada jumlah keseluruhan penduduknya yang sebanyak 3.9 juta orang. Terdapat pelbagai sebab untuk kadar orang tidak bernegara yang tinggi di Sabah: sebilangan orang tidak bernegara adalah keturunan pelarian Filipina dan pendatang Indonesia; yang lain pula merupakan golongan nomad Bajau laut atau orang asal lain yang merupakan warganegara yang sah tetapi tidak mendapatkan dokumentasi. 

Kemudian ada juga sesetengah orang yang, atas pelbagai sebab, jatuh di antara celah-celah—seperti Wong.

Asal-Usul Yang Tidak Diketahui

Wong dilahirkan pada tahun 1995 di daerah Keningau, di Bahagian Pedalaman Sabah. Ayahnya seorang warganegara Malaysia, dan ibunya berketurunan Bugis, bermakna dia kemungkinan berasal daripada bahagian selatan kepulauan Sulawesi di Indonesia. Namun, kewarganegaraannya masih tidak diketahui. Inilah antara sebab mengapa Wong masih tidak bernegara; di bawah undang-undang Malaysia, kewarganegaraannya akan mengikut taraf kerakyatan ibunya, yang dia berusaha tetapi gagal untuk mengesahkannya. 

Kedua-dua ibu bapa Wong meninggal dunia akibat penyakit ketika dia masih kanak-kanak. Ayahnya meninggal dunia ketika dia berusia 9 tahun, dan tahun berikutnya, ibunya menghantarnya untuk tinggal bersama sebuah keluarga angkat yang berdekatan supaya dia boleh meneruskan pekerjaannya di sebuah kilang kayu. Dia meninggal dunia ketika Wong berusia 17 tahun.

Pada tahun 2007, sebelum kematian ibunya, Wong pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di ibu negeri, Kota Kinabalu, untuk memohon untuk kad pengenalan, seperti yang harus dilakukan oleh semua rakyat Malaysia apabila mereka mencapai usia 12 tahun.

Kakak tirinya daripada perkahwinan pertama ayahnya membawa sijil kelahiran Wong dan sijil kematian ayah mereka bersama mereka. Memandangkan ibu bapanya tidak berkahwin, dia didaftar sebagai “anak luar nikah” dan diberitahu bahawa kewarganegaraannya harus mengikut kewarganegaraan ibunya. Setahu pihak negeri, Wong bukan warga Malaysia.  

“Mereka cuma lihat warganegara ibu dan sijil kahwin. Dan saya juga ditanya kenapa kulit saya gelap,” dia memberitahu New Naratif.

Permohonan IC Wong ditolak serta merta kerana dia dianggap bukan warganegara. Dia diarahkan untuk memohon kewarganegaraan Malaysia, biarpun dilahirkan di negara tersebut dan tidak pernah tinggal di tempat lain. 

“Pada masa tersebut saya ada merasa sedikit hairan mengapa surat kelahiran saya ditukar menjadi ‘bukan warganegara’, tapi saya ingatkan mungkin sementara sebab waktu itu [saya] baru mahu memohon IC, [dan] mungkin akan menjadi warganegara selepas mendapat IC,” kata Wong, yang tidak mengetahui bahawa dirinya tidak bernegara ketika itu. 

Wong Kueng Hui di Kuala Lumpur pada bulan Mac 2021. Credit: Chen Yih Wen

Ibu angkat Wong di Sabah menghadapi kesukaran untuk mengingati sejarahnya. Dia berkata dia seorang budak yang baik, dan merupakan anak bongsu daripada 10 anak-anaknya. Dia tidak pernah mengambilnya sebagai anak angkat secara sah kerana terlalu terbeban oleh proses undang-undang. 

Memilih untuk tidak berkongsi namanya, dia berkata: “Cuma kesian juga dia, aku tidak tahu macam mana penyelesaiannya. Kita mahu hantar dia ke sana [Kuala Lumpur]. Mana ada bukti dia anak orang [Indonesia]? Bapanya memang orang Sarawak, [bangsa] Cina, kan?” 

Pada usia hanya 12 tahun, Wong menuruti saranan JPN dan memohon kewarganegaraan pada hari yang sama di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang membenarkan kerajaan persekutuan untuk memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak di bawah usia 21 tahun.

Namun untuk tujuh tahun berikutnya, Wong tidak mendengar sebarang berita daripada jabatan pendaftaran tersebut. Sementara menunggu keputusan permohonannya, dia masih boleh menghadiri sekolah rendah, tetapi pada usia 15 tahun, Wong hampir gagal menduduki ujian Penilaian Menengah Rendah kerana dia tidak mempunyai kad pengenalan. Ujian ini merupakan prasyarat untuk Sijil Pelajaran Malaysia, setaraf dengan diploma sekolah menengah, yang merupakan syarat pendidikan minimum untuk pekerjaan formal di Malaysia.

Mujurnya, guru-guru Wong campur tangan bagi pihaknya, seperti yang biasa dilakukan oleh guru-guru di Sabah bagi pihak pelajar-pelajar mereka yang tidak bernegara. Namun, dia kurang bernasib baik apabila dia cuba untuk maju ke sekolah menengah atas pada usia 16 tahun. Pengetua dan guru-gurunya merujuk Wong kepada Jabatan Pendidikan untuk mendapatkan nasihat mengenai bagaimana untuk melanjutkan pelajarannya. 

Proses itu memerlukan campur tangan penjaga yang sah, Wong mengimbas kembali. Ibunya masih lagi hidup ketika itu, tetapi dia merasakan proses itu terlalu menjemukan untuk dilaksanakan. Jadi, Wong yang masih remaja ketika itu menghentikan pendidikan formalnya.  

“Rasa menyesal tu mustahil lah tiada kan, tapi ianya tidak menghalang saya menimba ilmu pada hari ini. Dengan adanya teknologi zaman kini, saya dapat menambah ilmu serba sedikit biarpun saya tahu ianya tidak sama dengan taraf pendidikan tinggi,” kata Wong.

Pada usia 16 tahun, dia tidak bersekolah, sebaliknya, Wong mencari kerja. Tanpa dokumentasi sah, dia hanya mampu mencari kerja tidak formal, yang membayar upah di bawah kadar kemiskinan sekitar RM 500 sebulan dan mendedahkannya kepada keadaan kerja yang tidak selamat. Di sebuah bengkel kaca dan aluminium, pekerja-pekerja kerap menghiris tangan mereka sendiri. Dia mengimbas kembali tentang sebuah insiden di mana dia melihat sekeping panel kaca jatuh dan mencederakan seorang rakan sekerja migran secara serius, yang tidak menerima sebarang pampasan. 

Wong berhenti kerja sejurus selepas kejadian itu. “Saya fikir kalau saya cedera, apa yang akan jadi pada saya? Kami tak ada dokumen atau kontrak. Mungkin syarikat boleh kata kita bukan stafnya dan tak bagi kita pampasan,” katanya. 

Pada tahun 2014, apabila Wong berusia 19 tahun dan masih tanpa IC, dia dan abang tirinya kembali ke Jabatan Pendaftaran Negara di Kota Kinabalu. Pegawai-pegawai di sana tidak memberi keputusan permohonan pertamanya, sebaliknya, mereka menasihati Wong untuk memulakan semula proses itu dan memfailkan permohonan kewarganegaraan kali kedua. 

Orang Tidak Bernegara di Sabah

Dikenali sebagai Borneo Utara sebelum Perang Dunia Kedua, apabila Sabah dikuasai Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, negeri itu merupakan sebuah pusat komersial dan perdagangan utama, dan juga tempat kediaman untuk ramai hartawan balak. 

Negeri ini berkongsi tanah daratan dengan Indonesia dan Brunei, dan sempadan maritim dengan Filipina. Sempadan-sempadan era penjajah ini dari sudut sejarahnya amat mudah ditembusi, membenarkan orang keluar masuk dan menetap dengan bebas. Tetapi dengan penubuhan sempadan keras selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, sesiapa yang telah menyeberangi garis sempadan terpaksa kekal di mana mereka berada. Kanak-kanak yang dilahirkan di seberang tempat kelahiran ibu bapa mereka akhirnya menjadi tidak bernegara, dan sekiranya mereka tidak mencari dan mendapatkan kewarganegaraan dari pihak berkuasa Malaysia, status tidak bernegara mereka akan diwarisi oleh keturunan mereka. 

Isu orang tidak bernegara sangat meluas di Sabah sehinggalah bilangan orang tidak bernegara melebihi jumlah populasi setiap kumpulan etnik di negeri itu. Ini telah menyebabkan status mereka dipolitikkan dengan skandal seperti “Projek IC”, di mana parti-parti politik didakwa telah memberikan kewarganegaraan secara besar-besaran untuk mendapat undi mereka. Skandal-skandal seperti ini telah mencetus kebencian berbaur xenofobia dalam kalangan rakyat tempatan Sabah.

Jika anda seorang ibu atau bapa dan juga pekerja yang menerima upah harian, sekiranya anda pergi ke pejabat kerajaan untuk mendapatkan IC anak anda, ia bermakna anda akan kehilangan gaji sehari.

Menurut Anne Baltazar, pengasas Advocates for Non-discrimination and Access to Knowledge (ANAK), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpusat di Sabah, terdapat salah tanggapan umum bahawa semua orang tidak bernegara di Sabah adalah pendatang tanpa dokumen.

“Ramai yang lahir di sini [di Sabah], dan ada juga, seperti Wong, yang mempunyai ibu atau bapa yang berwarganegara Malaysia. 

Dalam sesetengah kes, orang yang berwarganegara Malaysia kerana dilahirkan di sini menjadi tidak bernegara disebabkan ibu bapa mereka yang tinggal di komuniti-komuniti terpencil dan tidak mendaftar anak-anak mereka dengan JPN, menurut Vilashini Somiah, seorang pensyarah kanan di Universiti Malaya yang membuat penyelidikan mengenai orang tidak bernegara dan pendatang tanpa izin sejak sedekad yang lalu. 

Vilashini juga mengulas tentang bagaimana ramai anggota masyarakat luar bandar ini menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan harian, dan oleh kerana itu, tidak berasa terdesak untuk mendapatkan dokumen kewarganegaraan.

“Jika anda seorang ibu atau bapa dan juga pekerja yang menerima upah harian, sekiranya anda pergi ke pejabat kerajaan untuk mendapatkan IC anak anda, ia bermakna anda akan kehilangan gaji sehari,” katanya.   

“[Isu-isu] ini kemudiannya mula menjadi rumit dalam kehidupan anak itu, apabila ia melibatkan pendidikan dan masa hadapan mereka.”

Malaysia tidak menandatangani dua konvensyen antarabangsa berkaitan orang tidak bernegara—Konvensyen mengenai Pengurangan Orang Tak Bernegara dan Konvensyen PBB berkaitan Status Orang Tak Bernegara

Tambahan lagi, Akta Imigresen Malaysia 1959/1963 tidak membezakan antara pencari suaka, pelarian, pendatang tanpa izin, dan orang yang tidak berdokumen atau orang tidak bernegara. Sebaliknya, mereka semua dianggap pendatang tanpa dokumen dan menghadapi risiko ditangkap. 

Tanpa Pilihan di Tempat Asal

Selepas menyerahkan permohonan kewarganegaraan buat kali kedua pada tahun 2014, Wong menaiki bas selama 2.5 jam dari kampung halamannya di Keningau ke Kota Kinabalu hampir setiap bulan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada JPN. Namun begitu, setiap kali, dia akan mendapat jawapan yang sama—permohonannya masih diproses. 

“Perasaan saya sangat sedih, marah, penat, dan kadangkala perasaan ingin berputus asa pun ada. Saya tidak nampak cahaya harapan di masa hadapan,” katanya. 

Ketika Wong berumur 20 tahun, pegawai imigresen menyerbu sebuah kelab malam di mana dia bekerja sebagai DJ. Mereka menahannya selama dua jam kerana tidak mempunyai kad pengenalannya, sejenis dokumen yang harus dibawa bersama setiap rakyat Malaysia pada bila-bila masa. Dia hanya dilepas selepas salah seorang anggota keluarga angkatnya membawa permohonan JPNnya ke Jabatan Imigresen.

“[Walaupun] tidak lebih sejam pun masa saya dalam lokap, masa dalam lokap tu perasaan saya sedih dan takut. Saya tidak dapat bayangkan macam mana hidup saya jikalau saya betul-betul ditahan dalam lokap dalam jangka masa yang panjang,” katanya.

Selepas sia-sia menunggu selama tiga tahun untuk pihak JPN di Sabah untuk memproses permohonan kerakyatannya, Wong membuat keputusan untuk mendapatkan jawapan terus dari Kementerian Dalam Negeri di Kuala Lumpur. Untuk mendapat permit perjalanan ke ibu kota, dia memberitahu Jabatan Imigresen Sabah bahawa dia hendak pergi melancong. Pada 1hb Disember 2017, dengan wang secukupnya untuk satu tiket kapal terbang dan sedikit wang saku daripada keluarga angkatnya, Wong menaiki penerbangan pertamanya dan meninggalkan Sabah buat kali pertama dalam kehidupannya. 

Setelah tiba di Kuala Lumpur, dia mengambil peluang untuk bersiar-siar di bandaraya itu. Wong berada di sebuah kedai muzik ketika dia bertemu Cichan, seorang peminat punk sepertinya. Kedua-dua peminat muzik itu mula berbual, dan Wong menceritakan mengenai keadaannya yang terdesak. 

Cichan memperkenalkan Wong kepada seorang peguam, Haijan Omar, yang memutuskan untuk mengambil kes Wong kerana dia percaya bahawa tiada manusia harus dilayan sebagai ‘haram’ atau dibiarkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri—lebih-lebih lagi seseorang yang dilahirkan di Malaysia.

“Kerajaan mempunyai tanggungjawab utama untuk melindungi orang [tanpa kewarganegaraan] dan memberikan mereka dokumen pengenalan diri supaya mereka dapat memperoleh peluang dan hidup biasa seperti orang lain tanpa rasa takut akan ugutan,” kata Haijan.

Perwakilan guaman memberi Wong keyakinan baru dalam usahanya selama bertahun-tahun untuk menjadi warganegara Malaysia.

“Saya faham juga tidak semua orang bernasib baik seperti saya yang dapat mengenali peguam, dan dulu semasa saya di Sabah tidak pernah terfikir pun mahu cari peguam. Semasa kenal dengan Haijan baru saya sedar serba sedikit [pasal hak dan implikasi situasi saya],” katanya.

Sherzali Asli, seorang peguam dari Sabah dan presiden Pusat Hak Asasi Manusia Sabah, berkata tidak ada sumber bantuan guaman yang mencukupi untuk orang tidak bernegara di Malaysia kerana kurangnya kesedaran akan keadaan mereka, kurangnya kemahuan politik untuk membantu mereka dan peningkatan xenofobia terhadap mereka.

Pada tahun 2018, beberapa bulan selepas ketibaannya di Kuala Lumpur, Wong menerima berita bahawa pemohonan kewarganegaraannya ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri. Tiada sebab diberikan. 

Sinar Harapan

Enggan menerima nasibnya, dan dengan bantuan Haijan, Wong membawa kes dia ke mahkamah pada pertengahan tahun 2019. Pada ketika itu, Wong sudah menjangkau umur 21 tahun dan oleh kerana itu, dia sudah tidak layak untuk memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15A di bawah perlembagaan.

Vilashini, seorang pensyarah, berkata walaupun Wong telah memohon untuk kewarganegaraan sebagai seorang kanak-kanak, pemohonan itu lebih cenderung ditolak oleh pihak berkuasa kerana sekarang dia sudah dewasa.

“Budaya berterusan di kalangan komuniti [tidak bernegara] ini adalah bahawa mereka tidak mempunyai sebarang hak sebagai bukan warganegara ‘haram’, jadi mereka tidak melibatkan diri atau berhadapan dengan undang-undang. Saya rasa biasanya, pihak negeri pun tidak layan [mereka] juga,” kata Vilashini. 

Dia menjelaskan bahawa Wong merupakan “kes yang jarang berlaku” kerana dia mempunyai rangkaian sokongan, sedangkan kebanyakan orang tidak bernegara tidak dapat memperjuangkan hak mereka di mahkamah.

“Dia salah seorang daripada begitu sedikit orang yang mampu melakukannya. Ia memerlukan keberanian dan tahap pemahaman tentang hak seseorang untuk melakukannya,” tambah Vilashini.

Saya cuma berharap pada suatu hari nanti saya akan melangkah keluar dari mahkamah sebagai seorang warganegara Malaysia.

Atas nasihat Haijan, Wong mencari rekod ibunya di kedutaan Filipina dan Indonesia di Kuala Lumpur. Kedua-dua kedutaan itu tidak mempunyai sebarang rekod tentang ibunya, menunjukkan bahawa ibunya sendiri mungkin tidak memiliki kewarganegaraan.

“Pemeriksaan dengan kedua-dua kedutaan itu menunjukkan bahawa kewarganegaraan ibunya tidak diketahui atau tidak dapat dikesan. Oleh itu, dia tidak dapat memohon untuk kewarganegaraan dari negara-negara ini,” kata Haijan, sambil menambahkan bahawa mahkamah Malaysia sekarang harus membuat keputusan tentang kewarganegaraan Wong kerana dia tidak boleh dibiarkan tanpa kewarganegaraan.

Haijan memohon untuk kewarganegaraan Wong berdasarkan Perkara 14(1)(b) di bawah Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa setiap orang yang dilahirkan di Malaysia yang bukan rakyat negara lain boleh memohon untuk menjadi warganegara.

Setelah lebih sedekad menunggu, dan hampir dua tahun tinggal di ibu kota dalam keadaan takut ditangkap, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan kewarganegaraan kepada Wong pada 21hb Oktober 2019 dan memerintahkan JPN untuk mengeluarkan kad pengenalannya.

Di luar ruang mahkamah, Wong yang biasanya bersifat dingin dan tenang  sebaliknya menangis, sambil memeluk peguamnya dan mengucapkan terima kasih atas pertolongan mereka.

“Pada ketika itu saya rasa macam mimpi,” kata Wong ketika itu. “Penantian selama 11 tahun akhirnya mendapat hasil yang sangat berbaloi. Saya cuma berharap pada suatu hari nanti saya akan melangkah keluar dari mahkamah sebagai seorang warganegara Malaysia. Saya tidak sangka pada hari itu jugalah harapan saya menjadi kenyataan.”

Dia segera menyampaikan berita baik itu kepada keluarga angkat dan rakan-rakannya.

Kembali dalam Keadaan Terawang-awang

Kegembiraan Wong tidak kekal lama. Tiga minggu selepas keputusan Mahkamah Tinggi itu, kerajaan Malaysia memohon untuk menangguhkan pelaksanaan perintah untuk memberikan kewarganegaraannya. Mereka membuat hujah bahawa pemberian IC kepada Wong akan mencipta suatu duluan kehakiman bagi kanak-kanak lain yang terhasil daripada seorang bapa berwarganegara Malaysia yang belum berkahwin bersama seorang ibu bukan warganegara untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui Perkara 14(1)(b). Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan itu.

Haijan berhujah bahawa tidak akan wujud duluan kehakiman seperti itu; situasi Wong merupakan kes khas di mana kewarganegaraan ibunya tidak diketahui, dan oleh itu dia tidak boleh mendapatkan kewarganegaraan di tempat lain.

Perbicaraan rayuan sepatutnya diadakan pada bulan April 2020, tetapi Malaysia melaksanakan sekatan pergerakan pada 18hb Mac 2020 kerana wabak COVID-19.

Namun, Wong tetap bertekad untuk mengatasi halangan-halangan undang-undang ini. Walaupun dia berjauhan dari keluarga angkatnya di Sabah selama lebih dari tiga tahun, dia berkata dia tidak akan pulang sehinggalah dia mendapat kewarganegaraannya.

Pada bulan Januari 2021, dia mendapat tahu bahawa ibu angkatnya jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. “Pada masa itu saya sangat risau dan perasaan saya ingin balik itu sangat kuat,” kata Wong, sambil menambah bahawa semenjak itu, dia telahpun pulih.

Dia juga merindui kehidupan di kampung halamannya dan menghabiskan cuti bersama keluarga dan rakan-rakannya.

“Mungkin agak memakan masa yang lama sedikit disebabkan MCO tapi tidak apalah saya faham situasi ini, daripada dulu belum wujudnya MCO tapi kena tunggu 11 tahun baru dapat jawapan,” tambahnya, merujuk kepada penangguhan mahkamah akibat daripada pandemik.

Wong meratapi proses permohonan kewarganegaraan yang tidak jelas, dan bagaimana jawapan yang berbeza-beza diberikan oleh pegawai yang berbeza ketika dia bertanya mengenai status permohonannya. Namun, satu tindak balas dari pihak berkuasa sentiasa konsisten, katanya. Selama lebih dari satu dekad, Wong sentiasa diberitahu bahawa permohonannya sedang diproses.

Tanda yang boleh dilihat di lobi ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri menyatakan bahawa keputusan akan dibuat mengenai permohonan kewarganegaraan yang diluluskan oleh menteri dalam 40 hari bekerja.

Tiada Kemahuan Politik

Pada bulan Disember 2020, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mengumumkan bahawa kementeriannya akan memberi orang tanpa kewarganegaraan tempoh satu tahun untuk mendaftar dengan dokumentasi yang betul.

Bercakap lebih senang daripada melakukannya, kata para pejuang hak orang tidak bernegara.

Presiden Pusat Hak Asasi Manusia Sabah Sherzali mengatakan lebih banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi tanggapan salah bahawa orang tidak bernegara adalah pendatang tanpa dokumen. Dia mengesyorkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang orang tidak bernegara, memanusiakan masalah ini dan memberi penjelasan bahawa sebilangan orang tidak bernegara sebenarnya adalah anak kepada seorang ibu atau bapa yang berwarganegara Malaysia.

“Dengan cara itu, kita boleh membasmi xenofobia yang berkembang dan mula bergerak ke hadapan dan bukannya mundur,” katanya. 

Sambil menyambut baik tindakan Kementerian Dalam Negeri, Vilashini, seorang pensyarah, berkata isu-isu seperti kontroversi Projek IC harus ditangani dahulu untuk mententeramkan kegelisahan rakyat lain tentang kehilangan keistimewaan mereka. 

Bagi Baltazar, seorang pejuang anti diskriminasi, salah satu penyelesaian pertama adalah untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak yang mempunyai sekurang-kurangnya satu ibu atau bapa berwarganegara Malaysia, tanpa mengira jantina ibu bapa itu atau sama ada ibu bapa mereka sudah berkahwin.

New Naratif membuat beberapa permintaan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan komen mengenai permohonan kewarganegaraan, namun tidak menerima jawapan.

Sejak awal bulan Mei, Wong masih lagi menantikan perbicaraan rayuannya, yang dijangka akan berlangsung akhir bulan ini.

Di sebuah rumah pangsa biasa di utara Kuala Lumpur pada bulan Mac, jejaka berusia 26 tahun itu bersenandung lembut sambil bermain gitar bes. Sejak berpindah ke ibu kota, dia telah menubuhkan sebuah kumpulan muzik, dan masih berharap mereka dapat bermain muzik mereka di luar negara suatu hari nanti. Tetapi tanpa IC, dia tidak boleh membuat pasport.

Setelah hampir mendapatkan kewarganegaraannya di Malaysia, hanya untuk pihak kerajaan melangkah masuk dan menafikannya pada saat-saat terakhir, Wong bersimpati dengan ratusan ribu orang tidak bernegara di Sabah, yang kebanyakannya merupakan generasi ketiga dan keempat.“Dan bukanlah salah/dosa anak-anak ini sehingga mereka di hukum akibat kecuaian ibu bapa mereka,” katanya. “Tiada manusia dalam dunia ini yang mahu dilahirkan sebagai stateless.”

Chen Yih Wen

Chen Yih Wen ialah pembikin filem dokumentari dan wartawan Malaysia.

Tina Carmillia

Tina Carmillia is a freelance science journalist and producer. She is also a researcher studying misinformation, focusing on Malay-speaking online spaces, its intersection with data and democracy, as well as the state of fact-checking and verification practices in the Malaysian media.

Tina Carmillia adalah seorang wartawan sains dan penerbit bebas. Dia juga seorang penyelidik yang mengkaji penyebaran maklumat salah, dengan fokus pada ruang dalam talian berbahasa Melayu dan persimpangannya dengan data dan demokrasi, serta status amalan pemeriksaan dan pengesahan fakta di media Malaysia.