Dalam masa setahun yang lalu, kemiskinan dan ketidaksetaraan telah menjadi semakin ketara menerusi kesedaran orang awam. Banyak yang telah diperkatakan mengenai pendidikan dan mobiliti sosial, peruntukan sosial dan pengurangan kemiskinan, dan cabaran rumit yang dihadapi apabila hidup dengan pendapatan yang rendah. Memandangkan persetujuan yang padu dan luas bahawa kita mempunyai masalah-masalah rumit yang perlu ditangani, masanya adalah tepat untuk kita menumpukan perbincangan ke arah mengenalpasti apakah yang membentuk kehidupan yang memuaskan di Singapura.

Cara menetapkan garis dasar ini bukanlah persoalan yang mudah untuk diselesaikan. Apakah itu keperluan asas? Apakah yang dimaksudkan apabila kita mengatakan bahawa semua orang harus mempunyai taraf kehidupan yang asas? Bagaimanakah kita dapat menjawab soalan-soalan ini?

Apakah itu keperluan asas? Apakah yang dimaksudkan apabila kita mengatakan bahawa semua orang harus mempunyai taraf kehidupan yang asas?

Sebagai saintis sosial, kami berpendapat bahawa soalan-soalan ini harus dan boleh diselidik secara sistematik dan empiris. Berlandaskan perkaedahan yang dipelopori di UK, yang dikenali sebagai pendekatan Standard Pendapatan Minimum (MIS), kami menjalankan penyelidikan pada 2017-18 untuk mengetahui bagaimana ahli masyarakat biasa berfikir tentang apakah yang merangkumi keperluan asas.  Dalam pusingan penyelidikan kali ini, kami menumpukan perhatian terhadap keperluan isi rumah mereka yang sudah berusia.

Penyelidikan kami menghasilkan dua kumpulan dapatan: pertama, data kualitatif yang memaklumkan kepada kami tentang bagaimana orang biasa berfikir tentang pengertian “asas”; kedua, senarai barang-barang dan perkhidmatan, beserta belanjawan, yang diperlukan untuk mencapai taraf kehidupan asas.

Menerusi perbincangan kumpulan berfokus, kami mengamati bahawa ahli masyarakat biasa, apabila diberi peluang untuk meluahkan pandangan mereka secara bebas dan bersetuju dan bertentangan pendapat di antara satu sama lain secara hormat, dapat mencapai persetujuan mengenai penetapan garis dasar yang tidak harus ada mana-mana anggota masyarakat Singapura dibawahnya.

Para peserta sedar bahawa tugas mereka adalah untuk mengenalpasti cara untuk memenuhi keperluan-keperluan yang munasabah, dan untuk mengelakkan keborosan. Mereka menjelaskan dan memberikan alasan kepada satu sama lain tentang mengapa setiap item atau aktiviti merupakan keperluan, dan jika mereka tidak dapat mencapai persetujuan mengenainya, ia tidak disertakan di dalam belanjawan tersebut. Ini membangkitkan perbincangan yang teliti dan terperinci dan senarai terakhir adalah berdasarkan persetujuan yang teguh.

Mereka menyuarakan dengan lantang dan tekal bahawa keperluan asas haruslah melangkaui hanya kemampuan untuk bertahan semata-mata—keperluan asas sepatutnya membolehkan “kehidupan bermutu”. Mereka menekankan kepentingan kemerdekaan dan autonomi; ini bermakna tidak menjadi beban kepada orang tersayang, dan mampu melaksanakan kecenderungan dan pilihan-pilihan mereka.  Mereka juga menekankan bahawa manusia merupakan makhluk sosial, dan keperluan asas harus merangkumi penglibatan sosial dan hubungan dengan orang lain.

Salah satu matlamat utama menerusi pendekatan MIS adalah untuk menterjemahkan keperluan yang pada mulanya mungkin kelihatan abstrak menjadi perkara-perkara nyata yang boleh diperuntukkan secara jelas dan teliti

Salah satu matlamat utama menerusi pendekatan MIS adalah untuk menterjemahkan keperluan yang pada mulanya mungkin kelihatan abstrak—sebagai contoh, keperluan untuk kebebasan atau hubungan—menjadi perkara-perkara nyata yang boleh diperuntukkan secara jelas dan teliti.  Klise yang kerap diulangi, iaitu “wang tidak dapat menjamin kebahagiaan” mungkin benar apabila dilihat dalam bentuknya yang paling tersurat dan mudah, namun perbincangan para peserta kami menunjukkan bahawa terdapat banyak perkara konkrit dan materi—juga memerlukan sejumlah wang tertentu—yang diperlukan untuk memenuhi keperluan orang ramai. Walaupun perkara-perkara materi ini tidak dapat menjamin sesuatu yang subjektif seperti “kebahagiaan”, ianya tetap berhubungan erat dengan kesejahteraan dan merupakan prasyarat penting untuk kebahagiaan.

Bagaimanakah konsep-konsep abstrak mengenai keperluan diterjemahkan menjadi belanjawan konkrit untuk barangan dan perkhidmatan?

Para peserta menyatakan bahawa keperluan asas adalah lebih daripada sekadar bertahan, dan dengan itu mereka melakar belanjawan yang membolehkan orang ramai berkembang maju.  Mereka berbincang tentang barangan yang membawa kebanggaan, keseronokan dan kegembiraan. Sebagai contoh, semasa menyenaraikan barangan untuk rumah, mereka menekankan estetika: “Kami ingin menjalani kehidupan yang baiklah… [Menghias rumah] merupakan peluang untuk kelihatan berlainan [supaya] seseorang itu [boleh] berbangga dengan rumah mereka.” Para peserta menyertakan belanjawan  bagi isi rumah untuk menggantikan atau menukar barang-barang lama demi menghidupkan semula suasana rumah supaya perabot di rumah akan kelihatan “terkini”. Dari segi makanan, para peserta berbincang tentang kepentingan mempunyai pilihan untuk makan di rumah serta makan di luar, dan belanjawan yang akan membolehkan orang ramai untuk sekali-sekala menikmati hidangan istimewa bersama orang tersayang di restoran-restoran.

Dalam menekankan keperluan untuk kebebasan, mereka melakarkan hubungan antara kehidupan berdikari dan barangan isi rumah yang dapat memastikan keselamatan diri. Sebagai contoh, mereka menyertakan bangku di dalam belanjawan isi rumah, supaya orang (yang lebih berumur) dapat duduk untuk memakai kasut mereka. Kehidupan berdikari juga melibatkan kebolehan mengekalkan barangan rumah dalam keadaan baik. Oleh itu, mereka menyertakan belanjawan untuk membayar bagi kerja penyelenggaraan di rumah (cth. menggantikan alang langsir, menukar lampu, memanjat tangga).

Penekanan terhadap keperluan untuk berdikari dan berautonomi tidak bermakna para peserta berfikir bahawa orang  ramai harus hidup secara terasing.  Belanjawan mereka juga mencerminkan keperluan orang ramai untuk hubungan sosial dan akses kepada aktiviti-aktiviti yang mengesahkan harga diri, kehormatan dan berasa sebahagian daripada masyarakat. Para peserta menekankan kehadiran di acara-acara seperti majlis hari lahir dan majlis perkahwinan sebagai keperluan asas. Mereka berbincang tentang kewajipan sosial seperti menghadiri pengebumian dan melawat rakan-rakan dan keluarga apabila mereka jatuh sakit. Oleh itu, mereka menyertakan belanjawan bagi hadiah (untuk hari lahir) atau hadiah tunai (untuk majlis perkahwinan dan pengebumian). Menghadiri acara-acara sosial adalah penting untuk memberikan penghormatan terhadap rakan-rakan atau saudara mara dan untuk mengelakkan daripada dipandang serong.  Belanjawan ini diperlukan kerana kehadiran yang diiringi tangan kosong bukanlah sesuatu yang boleh diterima.  Seperti yang dikatakan seorang peserta, “anda menghadiri majlis, anda tidak membawa hadiah, anda tidak dialu-alukan, tahu tak.” Hadiah-hadiah tidak semestinya mahal, terutamanya jika ingin diberikan kepada kanak-kanak, tetapi perlulah “elok” untuk mengelakkan daripada jatuh air muka.

Semasa menjalakan kajian ini, kami berasa tersentuh disebabkan kebijaksanaan orang-orang biasa

Semasa menjalakan kajian ini, kami berasa tersentuh disebabkan kebijaksanaan orang-orang biasa—pendekatan pragmatik dan sederhana mereka demi menentukan keperluan asas mereka; keupayaan mereka untuk berbincang, bertentangan pendapat, berkompromi, dan mencapai persetujuan; pengiktirafan mereka terhadap kepentingan keperluan bagi autonomi dan hubungan sosial; dan keprihatinan mereka bahawa di Singapura pada hari ini, masih ada mereka yang tidak dapat memenuhi keperluan asas. Merujuk kepada perkara yang terakhir, seorang peserta mengingatkan kami: “Apabila anda menentukan tahap minimum, anda perlu mengambil kira mereka yang telah berjaya mengejar kemajuannya dan mereka yang masih ketinggalan.  Terdapat [se]kumpulan besar orang yang masih ketinggalan… Bagaimanakah dapat kita merapatkan jurang dengan kumpulan ini dan bagaimanakah dapat kita menentukan piawai minimum? Ini akan mengambil masa dan usaha yang banyak.”

Memastikan bahawa semua orang dapat mencapai taraf asas kehidupan tentu sekali akan memerlukan masa dan usaha. Kami berharap yang kajian ini, dalam menunjukkan garis dasar yang mencerminkan pemahaman orang ramai tentang apa itu keperluan asas, akan membawa kita satu langkah lebih dekat terhadap memastikan bahawa semua orang di Singapura pada hari ini bukan sahaja dapat terus hidup, tetapi berkembang maju.

Maklumat lanjut mengenai MIS Singapura di: https://whatsenoughsg.wordpress.com

Artikel ini pertama kali diterbitkan oleh Today Online, 4 Juni 2019.

Ng Kok Hoe is Assistant Professor at the Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University of Singapore, and editor of They told us to move: Dakota--Cassia (Ethos Books, 2019).

Teo You Yenn is Associate Professor and Provost’s Chair in Sociology at the Nanyang Technological University and author of This Is What Inequality Looks Like (Ethos Books, 2018). More information about her work at: https://teoyouyenn.sg