Ketika kartunis Malaysia, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque berumur 17 tahun, karya kartun beliau yang diterbitkan untuk majalah sekolah diharamkan buat kali pertama, kerana ia mengkritik guru sekolahnya yang gagal dalam menjalankan tugas. Tanpa disedari beliau, kejadian ini menjadi satu petanda kepada masa depannya.
Kartunis yang lebih dikenali dengan nama penanya Zunar, kini berumur 56 tahun dan merupakan kartunis bertemakan politik (mungkin juga satu-satunya) yang terkenal di Malaysia, yang lantang mengkritik kerajaan dan tokoh politik yang gagal dalam tugas mereka.
Ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, pertuturan dan perlakuan Zunar yang riang dan lemah-lembut bercanggah dengan perwatakan aktivis penuh semangat yang lebih dikenali ramai. Beliau tidak pernah kedekut senyum, dan sering kali memenuhi ruang sekelilingnya dengan gelak ketawa yang penuh ceria, terutamanya apabila rakannya menggeletek beliau ataupun ketika beliau membelek senarai tajuk filem terbaru yang telah beliau gunakan sebagai mainan kata berdasarkan politik Malaysia. Sebagai contoh, dua karya beliau yang dipetik dari filem-filem terkenal adalah “Sapuman: Man of Steal” dan “Steal Wars: The Teruk One”.

“Lawak jenaka adalah satu bentuk bantahan yang paling berkesan untuk Malaysia”, kata beliau. “Rakyat takutkan kerajaan, takut hilang kerja ataupun biasiswa mereka. Kalau kita ajak mereka berdemonstrasi, mereka takkan ikut. Tapi cuba ajak mereka untuk gelakkan PM, pasti mereka akan turut serta. Isteri PM tidak kurang juga, malah mereka akan ketawa lebih kuat untuk dia.”
“Ini pendekatan saya. Mereka tak boleh kacau saya sebab tidak ada undang-undang yang melarang kita dari ketawa. Mereka boleh menentang saya, tetapi mereka tidak boleh menahan saya.”
Mangsa penindasan
Ini semua bukannya andaian bagi Zunar, kerana karya beliau telah ditindas oleh kerajaan Malaysia berkali-kali. Selain dari beberapa serbuan, rampasan dan pengharaman karya-karya beliau, kini beliau menghadapi sembilan tuduhan di bawah Akta Hasutan yang boleh membawa hukuman penjara lebih dari 40 tahun untuk beliau. Beliau juga telah diletakkan di bawah larangan ke luar negara sejak tahun 2016, di mana baru-baru ini beliau telah mencabar kesahihan undang-undang tersebut di Mahkamah Persekutuan.
Sejak dua dekad lalu, Zunar telah menjadi pengkritik lantang Kerajaan Malaysia yang diperintah oleh parti Barisan Nasional semenjak kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957. Pada mulanya karya beliau diterbitkan di media cetak, tetapi kini pengaruhnya lebih meluas sejak kebangkitan era Internet dan media sosial yang memberi penyebaran yang lebih luas dan perkongsian yang lebih mudah kepada karya-karya beliau.
Karya Zunar yang penuh dengan sendaan (satire) mencabar batas di Malaysia
Lima buah bukunya telah pun diharamkan, namun karya Zunar masih dikongsi secara meluas dalam talian (online) dan sering dikongsi dalam ribuan angka di laman-laman sosial. Keengganan beliau untuk mengundur diri meskipun banyak cubaan oleh kerajaan untuk menapis karya beliau telah menjadikan beliau satu ikon, dan juga salah satu suara penting yang lantang menyeru perubahan dalam kerajaan.
Karya Zunar yang penuh dengan sendaan (satire) mencabar batas di Malaysia, di mana kebebasan bersuara dihadkan oleh kerajaan melalui pelbagai cara, termasuk mengongkong media tradisional dan memperkenalkan undang-undang yang menghukum kenyataan dan perhimpunan aman. Beliau sering mengetengahkan isu politik semasa dengan menggunakan karikatur luas dan tanda-tanda yang tertentu yang difahami rakyat Malaysia. Karya beliau mengandungi butiran yang terperinci, dengan tanda-tanda dan kiasan yang merujuk kepada individu tertentu ataupun skandal terkini di dalam semua panelnya.
Tumpuan kepada Najib dan Rosmah
Sejak kebelakangan ini, karya-karya beliau banyak merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia DS Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, terutamanya berkaitan isu-isu seperti rasuah dan kegagalan dalam pemerintahan.
Semenjak menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009, DS Najib telah mendapat tentangan sengit dari pihak pembangkang yang mengakibatkan partinya hilang dua pertiga majoriti di parlimen. Kemenangan tipis dalam pilihan raya 2013 turut membawa tanda tanya dalam pimpinannya.

Keadaan menjadi lebih genting apabila pada tahun 2015, laporan skandal 1MDB diterbitkan di akhbar Wall Street Journal. Akhbar tersebut melaporkan bahawa sebanyak RM2.6 billion (USD700 juta) telah disalurkan dari dana syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Bank (1MDB) ke akaun bank peribadi Najib. Najib telah menafikan semua tuduhan ini namun siasatan berkaitan dengan skandal ini masih dijalankan oleh beberapa pihak berkuasa luar negara, termasuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (United States’ Department of Justice).
Kerajaan pimpinan Najib juga telah bertindak dalam mengawal keadaan dengan mendiamkan para penentang menerusi Akta Hasutan – iaitu undang-undang era jajahan yang menghukum segala bentuk kenyataan yang mempunyai ‘kecenderungan hasutan’, seperti kenyataan yang membangkitkan perasaan benci atau tidak suka terhadap kerajaan atau yang mengembangkan permusuhan di antara kaum. Dalam pada itu, pengkritik dalam parti seperti bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah disingkir dari parti dan diganti dengan calon yang lebih ‘setia’ kepada parti.
Bagi Zunar, kesemua peristiwa 1MDB, dakwaan gaya hidup mewah Najib dan Rosmah, pembelian barangan mewah oleh mereka dan kaitan mereka dengan Hollywood memberi peluang kepada beliau untuk menumpukan perhatian kepada butiran yang terperinci dan melakarkan semua ini dalam bentuk yang mudah difahami oleh pembaca dari seluruh lapisan masyarakat, terutamanya apabila rakyat Malaysia sekarang menghadapi masalah kegelutan ekonomi yang semakin tidak menentu.

Penampilan Rosmah dalam karya Zunar adalah amat ketara, sehinggakan hampir sama dengan penampilan suaminya. Rosmah sering digambarkan sebagai pemain di sebalik tabir di dalam semua senario, dan Zunar sering memaparkan ciri-ciri Rosmah yang didakwa boros berbelanja dan tidak mengambil endah isu sebenar rakyat biasa.
Namun itu, Zunar menegaskan bahawa beliau hanya memberi tumpuan kepada penglibatan Rosmah dalam politik, dan bukan hal-hal peribadinya.
“Semua orang tahu yang Rosmah mengawal semuanya, sama seperti yang berlaku dalam kes Imelda Marcos. Bila saya memilih subjek saya, inilah yang saya fikirkan. Jika semua ini berlaku dalam keluarga mereka, kita tak kisah, tapi kalau ia melibatkan urusan pentadbiran negara, ia akan menjadi masalah kita juga. Dan sebagai seorang kartunis, saya dapati Rosmah amat sesuai sebagai subjek kartun. Dia sentiasa memberi pandangannya, dan dia tak fikir langsung sebelum dia bercakap!”
Kartun untuk semua rakyat Malaysia
“Saya mahu kartun saya dihayati oleh semua lapisan masyarakat, dari A sampai Z,” kata Zunar. “Untuk itu, saya perlu faham kehendak pembaca, dari segi subjek, objek, persembahan dan visual. Saya mahu semua orang faham semua ini, tanpa mengorbankan huraian, pandangan dan kedudukan saya.”
Sempena hari pilihan raya yang semakin hampir, Zunar telah meningkatkan usaha beliau dengan menerbitkan satu kartun setiap hari. Penglibatan beliau tidak semestinya atas sebab komersial, malah beliau menyifatkan karyanya sebagai satu bentuk khidmat masyarakat.
“Bagi saya, bakat saya bukannya satu anugerah, tetapi satu tanggung jawab”
“Karya saya bebas dari hak cipta sehingga kita dapa lihat perubahan rejim. Bagi saya, bakat saya bukannya satu anugerah, tetapi satu tanggung jawab.
Penerbitan karya yang lucu dan boleh diterima bukan satu kerja mudah. Setiap karya kartun mengambil masa di antara lapan sehingga sepuluh jam untuk dihasilkan, dan ia juga melibatkan penyelidikan yang menyeluruh. Untuk memastikan kesinambungan penghasilan karya, Zunar telah melakar satu jadual kerja yang rapi: beliau mula melukis pada pukul 6 pagi sehingga waktu makan tengah hari. Selepas waktu makan, beliau meneruskan kerja dengan melakukan penyelidikan dan juga bacaan. Sebelum makam malam pada jam 6 petang, beliau berehat seketika dengan mendengar muzik atau menonton televisyen. Harinya pula berakhir pada pukul 10 malam. Zunar mengaku bahawa beliau amat tegas dengan aktiviti hariannya yang teratur dan tidak gemar melakukan aktiviti lain yang mengganggu jadualnya.
“Saya tak suka nombor dan angka, saya tak suka bagi arah perjalanan dan saya tak suka cari tempat letak kereta ataupun beratur. Semua ini merumitkan saya kerana akal saya ini bekerja sepenuh masa berfikir, dan aktiviti seperti di atas ini mengganggu saya.” katanya.
Berdarah kartunis
Anak kelahiran Kedah, Malaysia ini mula melukis kartun sejak kecil lagi, dan kartun beliau diterbitkan buat kali pertama pada usia 12 tahun di dalam majalah kanak-kanak Bambino.
“Melukis ini sudah ada dalam darah daging saya, Di sekolah, saya melukis kartun dalam buku latihan dan di dinding sekolah. Cikgu di sekolah semuanya marah saya!”
Walaupun Zunar mempunyai bakat semula jadi melukis kartun, beliau masih ingat yang bidang ini bukannya satu pilihan kerjaya yang berpotensi. “Saya tak pernah belajar seni lukis. Saya ambil subjek sains sampai universiti. Di zaman 70an, kalau kita beritahu ibu bapa kita yang kita nak jadi kartunis, mereka pasti akan tanya macam mana nak cari makan dengan kerjaya itu?”
Zunar merupakan seorang kartunis yang belajar melukis dengan sendiri sepenuhnya, dan sumber inspirasi beliau adalah kartunis rencana Amerika (American editorial cartoonist), terutamanya Thomas Nast yang rata-rata digelar sebagai “Bapa Kartun Amerika”. Zunar masih ingat betapa terdesaknya beliau untuk belajar dengan lebih lanjut tentang kartun rencana sehinggakan sanggup mencuri majalah Timesemasa beliau dalam usia 20an.
“Masa itu mereka terbitkan rencana empat muka surat tentang kartun rencana! Ketika itu saya tak mampu untuk beli majalah tersebut, jadi saya curi. Saya selalu berpendapat yang saya curi majalah tersebut untuk buat satu kebaikan.” kata beliau.
Beliau meninggalkan pengajiannya di universiti selepas satu tahun dan menyandang beberapa pekerjaan sambilan sebelum menjadi seorang pembantu makmal di sebuah hospital. Dalam pada itu beliau sudah pun mempunyai ruang kartun di majalah komik remaja Gila-Gila. Dan pada tahun 1986, Zunar mengambil keputusan untuk menjadi kartunis sepenuh masa, namun beliau merasai ada sesuatu yang tidak kena.
“Bahkan pada usia 17 tahun lagi, saya sudah pun mula berfikir yang seni kartun bukan sekadar lawak jenaka”
“Bahkan pada usia 17 tahun lagi, saya sudah pun mula berfikir yang seni kartun bukan sekadar lawak jenaka. Kita perlu menyampaikan fikiran kita, dan juga selitkan mesej kepadanya. Bila saya bekerja untuk Gila-Gila, saya cuba buat semua itu, tetapi ia tak kena kepada pembaca masa itu.” kata beliau.
Zunar menyertai akhbar Berita Harianpada awal 90an untuk memberi tumpuan kepada kartun politik, di mana beliau memiliki ruangnya tersendiri. Pada tahun 1992 beliau merasa kontroversi sebenar beliau yang pertama apabila salah satu kartunnya – iaitu ulasan mengenai kekerapan kemalangan helikopter Nuri – menimbulkan kemarahan Kementerian Pertahanan, dan oleh kerana itu beliau digantung pekerjaan selama seminggu.
Zunar berkhidmat di Berita Harianselama empat tahun lagi sebelum meninggalkan akhbar itu pada tahun 1996 ekoran rasa tidak puas hati beliau terhadap penapisan semua karyanya oleh mereka. Namun hakikat ini masih sama di tempat lain kerana kawalan ketat yang dikuatkuasakan ke atas media di Malaysia. Zunar membuat keputusan untuk berhenti melukis kartun dan menumpukan perhatian dalam kerja-kerja ilustrasi dan menjadi pensyarah selama dua tahun berikutnya untuk menampung perbelanjaan.
Reformasi 1998
Pergerakan Reformasi 1998 merupakan satu detik perubahan yang besar untuk Malaysia, dan begitu juga untuk Zunar sendiri. Apabila Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad memecat dan memenjarakan timbalannya Anwar Ibrahim, mencetuskan satu pergerakan yang besar menentang kerajaan Barisan Nasional yang diikuti pula dengan beberapa demonstrasi dan perhimpunan. (Semenjak itu Anwar telah menjadi ketua kumpulan pembangkang yang sekarang dikenali dengan nama Pakatan Harapan).
“Saya dapat kebebasan untuk melakukan apa yang saya ingini, dan ia membenarkan saya untuk membuat yang terbaik”
Sebagai satu ekspresi perpaduan, Zunar mula menerbit dan mengedar kartun beliau di semua perhimpunan yang dianjurkan di perkarangan rumah Anwar dan di mahkamah. Atas galakan rakannya, Zunar menghantar karyanya kepada Harakah, akhbar milik Parti Islam Se Malaysia (PAS) di mana pada masa itu akhbar tersebut menjadi semakin popular sebagai media alternatif. Dan semenjak tahun 1999, Zunar kemudiannya mula menerbitkan kartunnya di akhbar tersebut.
“Semua orang mula bercakap tentang saya, dan saya tak sangka itu semua akan berlaku. Saya mula dengar orang berkata ‘Eh, Zunar cakap apa pula hari ini?’ Inilah impian seorang artis,” katanya. “Mungkin sebelum ini, masanya tak sesuai, tetapi sekarang, ia kena pada tempatnya. Saya mendapat kebebasan untuk melakukan apa yang saya ingini, dan ia membenarkan saya untuk membuat yang terbaik.”
Semenjak itu popularitinya mula meningkat dan beliau mula mendapat banyak lagi peluang, termasuklah penerbitan siri-siri buku dan penglibatan dalam portal media atas talian (online) alternatif Malaysiakini. Dalam pada masa itu juga pertelagahan beliau dengan pihak berkuasa semakin menjadi-jadi, ini termasuk rampasan buku-buku dan serbuan ke atas pencetak terbitan beliau.
Masa Depan
Zunar pernah dianugerahkan dengan Anugerah Hak Asasi Manusia Hellman/Hammett (Human Rights Watch Hellman/Hammett Award), anugerah Kebebasan Akhbar Antarabangsa (International Press Freedom Award) dan anugerah Keberanian dalam Melukis Kartun Editorial (Cartooning for Peace Award). Lewat tahun lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) juga menggesa supaya semua tuduhan hasutan ke atas Zunar digugurkan dan perintah larangan ke luar negara ditarik balik, namun begitu kerajaan Malaysia tidak mengambil apa-apa tindakan.
“Saya tak nak fikir tentang semua tuduhan ini,” kata beliau. “Apa musuh utama seseorang artis? Ia bukannya kerajaan ataupun undang-undang, tetapi penapisan yang dilakukan oleh artis itu sendiri. Untuk elakkan semua itu, saya tak berfikir tentang apa yang akan berlaku selepas ini; saya hanya nak beri tumpuan kepada apa yang perlu saya lakukan sekarang.”
Untuk masa ini, ia berkaitan dengan pilihan raya yang akan datang, yang sudah pun penuh dengan dramanya tersendiri semenjak beberapa bulan kebelakangan ini – di mana baru-baru ini, yang paling mengundang kontroversi adalah kerjasama di antara Pakatan Harapan dengan Mahathir (yang berumur 92 tahun). Mahathir juga dilantik sebagai calon perdana menteri dalam cubaan mereka untuk menjatuhkan Najib. Kepada yang masih ingat akan peranan Mahathir yang bertanggungjawab ke atas pembentukan kerajaan Barisan Nasional seperti yang dilihat pada hari ini ,ia merupakan satu peristiwa yang agak sukar diterima oleh mereka.

Apabila ditanya mengenai pendapat beliau mengenai keputusan pembangkang, Zunar yang pernah menjadi pengkritik lantang Mahathir, terus mengambil pen dan kertasnya dan dengan pantas membuat lakaran padang bola sepak dengan dua tiang gol yang tidak sama luasnya; satu petanda bagaimana Barisan Nasional bermain dengan politik.
“Saya penyokong tegar Pakatan Harapan,” kata beliau. “Ini kerana pilihan raya ini bukan bertujuan untuk menukar kerajaan, tetapi ia bertujuan untuk menukar rejim. Saya mahukan reformasi, dan saya adalah salah satu alat untuk pergerakan ini. Kita perlukan penulis, artis dan aktivis untuk bergerak bersama-sama ke arah satu jalan.
Kita perlukan satu parti politik, bukannya seorang individu. Saya tak kisah kalau pemimpin parti itu Mahathir sama sekali, asalkan kita semua bergerak ke satu arah bersama-sama.”
“Kita perlukan lebih banyak ahli. Semua institusi kita dah hilang. Banyak rasuah. Sistem pendidikan kita pula terumbang –ambing. Dan kita dah tak boleh buat apa-apa. Kalau kita nak lihat Malaysia yang lebih sejahtera, kita perlu tukar rejim. Inilah pendirian saya.”
Tetapi apabila ditanya tentang pembentukan Malaysia yang ideal, dengan pantas beliau menjawab:
“Lima institusi yang penting perlu dirombak: kehakiman, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Pejabat Pendakwa Raya dan media. Mereka ini perlu berfungsi secara profesional dan juga melalui Parlimen, bukannya PM. Dengan cara ini, rakyat boleh pantau dan lihat cara kerja mereka. Baru kita boleh nampak satu kerajaan yang cekap.”
Menurut beliau, kerjayanya sebagai seorang kartunis di Malaysia bukannya seperti kartunis di Eropah ataupun Amerika Syarikat. “Di sana, mereka mengkritik kerajaan semasa. Tetapi di sini kita nak ubah rejim. Bila Pakatan Harapan menang nanti dan membentuk kerajaan, saya akan jadi kartunis yang mengkritik kerajaan semasa.”
Jika anda suka artikel ini dan ingin menyertai pergerakan kami untuk mewujudkan ruang untuk penyelidikan, dialog dan tindakan di Asia Tenggara, sila sertai New Naratif sebagai ahli – hanya US $ 52 / tahun (US $ 1 / minggu)!