
Hello!
Stay up to date with New Naratif’s latest stories and upcoming events with our weekly newsletter. No spam, just good content.
Apa yang berlaku seakan-akan ajaib. Pada 23 Mei, Mahkamah Rayuan Singapura mengisytiharkan penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas Pannir Selvam. Jika para peguam yang tampil ke hadapan untuk mewakilinya pada saat akhir lewat sehari sahaja, tiada harapan untuk Pannir.
Tiga tahun lalu, Kho Jabing, warga Sarawak berusia 32 tahun, telah digantung sampai mati pada 20 Mei 2016, sejurus selepas permohonan terakhirnya telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan. Kesnya merupakan kes hukuman mati terakhir di mana saya giat berkempen, turut bercakap di sidang media bersama kakaknya Jumai dan ibunya Lenduk, menulis petisyen, memanggil pegawai kedutaan dan melobi ahli politik. Usaha kami memberi Jabing sedikit masa tambahan….tetapi akhirnya tidak memadai.
Semenjak Jabing digantung, aktivisme menentang hukuman mati semakin menghadapi kesukaran
Semenjak Jabing digantung, aktivisme menentang hukuman mati semakin menghadapi kesukaran. Keluarga Jabing telah menerima khabar penolakan rayuannya atas dasar belas kasihan beberapa minggu sebelum pihak penjara menetapkan tarikh hukuman—tempoh masa tambahan memberi kami ruang untuk bergegas mencari peguam yang boleh memfailkan permohonan bagi pihak Jabing. Kami juga mempunyai lebih masa untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kesnya, dan membina momentum kempen yang kukuh di Singapura, Kuala Lumpur dan Kuching.
Selepas kes Jabing, saluran untuk berkempen sedemikian semakin lenyap. Tempoh masa antara penolakan rayuan dan penetapan tarikh hukuman semakin singkat—pihak keluarga yang menghubungi aktivis menentang hukuman mati melaporkan bahawa penolakan rayuan dan pelaksanaan hukuman berlaku berturut-turut dalam selang masa yang sangat pendek. Kementerian Dalam Negeri telah mengiyakan bahawa ini merupakan prosedur semenjak 2016, walaupun pihak Kementerian turut menyatakan bahawa proses tersebut sedang diteliti semula.
Jika dalam kes Kho Jabing, kami mempunyai beberapa minggu untuk menggembleng tenaga dan bertindak untuk membantunya, kami kini melalui situasi “normal baharu” yang mengizinkan kami seminggu, atau hanya tiga sehingga empat hari. Dengan masa yang begitu singkat, tidak banyak yang kami boleh lakukan selain daripada mendokumentasikan kes, dan memberi sokongan moral. Dalam tiga tahun selepas kematian Kho, saya menghadiri begitu banyak pengebumian sehingga saya tidak ingat bilangannya. Untuk beberapa banduan dan keluarga mereka, itu sahaja yang mampu saya lakukan.
Hukuman mati berkaitan dadah di Singapura
Singapura terkenal dengan pendirian yang tegas dan tidak berdolak-dalih berhubung dadah. Sebelum mendarat di Lapangan Terbang Changi, pengumuman di dalam kapal terbang memaklumkan pelawat bahawa mengedar dadah boleh dikenakan hukuman mati. Di Penjara Changi pula, orang yang dihukum atas kesalahan berkaitan dadah adalah majoriti banduan. Menurut laporan Perkhidmatan Penjara Singapura 2018, terdapat 6,030 pesalah berkaitan dadah di dalam penjara, setakat 31 Disember 2018. (Sebagai perbandingan, kelompok kedua terbesar dalam kalangan banduan di penjara terdiri daripada mereka yang didapati bersalah mencuri harta benda, seramai 970 orang.)
Keadaan tidak dijangka berubah dalam masa akan datang. Negara bandar tersebut tetap bertegas meskipun negara-negara lain mempertimbangkan untuk menjadikan penggunaan dadah bukan lagi jenayah, atau mengizinkan penggunaan dadah tertentu (seperti cannabis.) Meskipun negara jiran Malaysia sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan hukuman mati atau menjadikan penggunaan dadah untuk kegunaan peribadi bukan lagi jenayah, Singapura tidak dilihat akan mengubah pendirian.

Menteri undang-undang dan hal ehwal dalam negeri Singapura, K Shanmugam, mungkin bergelar penyokong paling tegar hukuman mati atas kesalahan berkaitan dadah. Dia sudah berulang kali menyatakan bahawa hukuman mati adalah pencegah yang berkesan menentang pengedaran dadah, dan berjaya menyelamatkan nyawa dengan melindungi masyarakat daripada jenayah berkaitan dadah. “Setiap pengedar dadah adalah penyebar kematian,” laungnya.
Namun, meskipun Shanmugam telah mempertahankan pendirian Singapura sebagai berdasarkan bukti dan bukan ideologi, analisis dari pihak seperti Harm Reduction International telah mengkritiknya kerana “melakukan dakwaan yang tidak berdasarkan pengetahuan serta membahayakan berhubung dasar terhadap dadah,” serta menekankan bahawa terdapat kekurangan data dari sumber bebas dan boleh diperakui tentang kadar penggunaan dadah.
Dari zaman kanak-kanak sehingga meningkat dewasa, rakyat Singapura sering diberitahu bahawa dadah berbahaya dan hukuman mati menyelamatkan kita daripada bahana penagihan, penyalahgunaan dan jenayah
Shanmugam boleh dikatakan berjaya dalam satu bidang: pendapat awam. Survei pendapat awam yang komprehensif oleh National University of Singapore mendapati bahawa 86.9% warga Singapura yang ditanya menyokong hukuman mati untuk kesalahan berkaitan dadah. 32.7% menyokong hukuman mati mandatori untuk kesalahan berkaitan dadah di mana hakim tiada pilihan lain tetapi menjatuhkan hukuman mati, manakala 54.2% lebih menyokong hak hakim untuk menjatuhkan hukuman mengikut budi bicara masing-masing.
Dari zaman kanak-kanak sehingga meningkat dewasa, rakyat Singapura sering diberitahu bahawa dadah berbahaya dan hukuman mati menyelamatkan kita daripada bahana penagihan, penyalahgunaan dan jenayah. Konteks di sekitar rantau menambahkan kegelisahan ini. Pejabat PBB tentang Dadah dan Jenayah telah menggambarkan pembuatan dan pengedaran dadah methamphetamine sebagai mencecah “tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini dan berbahaya dalam beberapa tahun lalu,” di samping pengedaran heroin, isu yang sudah lama wujud. Penyokong reformasi dasar berkaitan dadah berhujah bahawa industri dadah haram yang berleluasa di Asia Tenggara menunjukkan kegagalan “Perang Melawan Dadah”—jika dasar ini berjaya mencegah, kata mereka, mengapa pengedaran dadah masih menjadi masalah besar di rantau ini? Tetapi sebaliknya, kewujudan perdagangan dadah yang lumayan ini telah, dan masih digunakan untuk berhujah bahawa kita perlu lebih giat melaksanakan pendekatan “toleransi sifar” ini.
Sijil Bantuan Substantif yang begitu utilitarian
Pannir diberi penangguhan pelaksanaan hukuman oleh Mahkamah Rayuan supaya diberi masa untuk melawan penolakan petisyen rayuan atas dasar belas kasihan, berdasarkan hujan prosedur. Keputusan ini memberi sedikit sinar harapan untuk dia sekeluarga untuk memperoleh peluang kedua dalam kehidupan. Tetapi kes Pannir juga mengenengahkan isu-isu yang ditentang oleh aktivis pemansuhan hukuman mati berkaitan dadah di Singapura.
Pannir menjadi banduan akhir setelah permohonannya untuk Sijil Bantuan Substantif ditolak, dokumen yang mengizinkan hakim untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan sebat, bukan hukuman mati. Sistem sijil tersebut diperkenalkan pada 2012 apabila People’s Action Party meminda Akta Penyalahgunaan Dadah. Dahulu, sesiapa yang didapati bersalah atas pengedaran dadah dijatuhkan hukum gantung—bawah undang-undang, hakim hanya diizinkan untuk menjatuhkan hukuman mati sahaja, dan faktor peringanan hukuman tidak diambil kira. Seksyen 33B dalam Akta tersebut mengubah keadaan ini, dengan mengubah rejim hukuman mati mandatori dan membenarkan pesalah untuk mengelakkan tali gantung sekiranya memenuhi beberapa kriteria ketat.
Pertama, tertuduh mesti berperanan sebagai penghantar, dan hanya mengangkut dadah semata-mata. Kedua, Pendakwa Raya (iaitu Pejabat Peguam Negara) mesti mengeluarkan Sijil Bantuan Substantif, yang diberi kepada mereka yang telah “membantu Biro Narkotik Pusat dalam mengganggu aktiviti pengedaran dadah di dalam atau di luar Singapura.” Selain daripada dua syarat ini, satu-satunya talian hayat wujud sekiranya orang tertuduh mempunyai “keadaan minda yang abnormal” yang berupaya “mengganggu dengan ketara tanggungjawab mental ke atas tingkah lakunya.”
Meskipun perubahan ini telah menyelamatkan nyawa beberapa orang yang didapati bersalah mengedar dadah, ia turut menimbulkan pelbagai masalah. Pada peringkat paling asas, dua syarat yang termaktub boleh saling bercanggah. Jika seseorang itu hanya menjadi penghantar—maksudnya, memainkan peranan terendah dalam sindiket—apakah kemungkinan mereka akan mempunyai maklumat yang mencukupi untuk mengganggu rantaian pengedaran dadah yang kompleks?
Sistem Sijil Bantuan Substantif merendahkan kehidupan manusia dan menjadikannya sebagai sekadar kaedah memenuhi keperluan utilitarian
Di sebalik soalan praktikal ini terdapat isu yang lebih utama: sistem Sijil Bantuan Substantif merendahkan kehidupan manusia dan menjadikannya sebagai sekadar kaedah memenuhi keperluan utilitarian. Jika sijil adalah kunci kepada kuasa hakim untuk menggunakan budi bicara yang terhad, sistem sebenarnya menyatakan bahawa seorang manusia layak hidup atau mati berdasarkan betapa bergunanya mereka kepada pihak berkuasa. Mungkin ada yang menganggapnya langkah “pragmatik” untuk menumpaskan rangkaian jenayah, tetapi kita perlu mempersoalkan moraliti di sebalik penghitungan kejam ini.
Kemudian terdapat juga persoalan proses wajar: keputusan untuk mengeluarkan sijil (atau tidak) berada sepenuhnya dalam tangan pihak pendakwa. Tidak jelas bagaimana keputusan ini diambil, dan syarat minimum untuk membantah keputusan ini di mahkamah tersangat tinggi. Dalam konteks ini, pendakwa raya boleh memegang kuasa yang amat besar ke atas kehidupan seseorang, tanpa ketelusan dan pengawasan yang sewajarnya.
Perjalanan masih jauh…
Penangguhan pelaksanaan hukuman Pannir menjadi tanda harapan yang berharga buat keluarga dan pasukan peguamnya. Tetapi Pannir bukanlah satu-satunya banduan akhir di Singapura, dan fakta yang terbentang kelihatan kelam.
Dalam beberapa tahun yang lalu, hukuman mati dilaksanakan dengan lebih kerap. Pada 2016, empat orang telah dibunuh di Penjara Changi. Pada 2017, nombor tersebut berganda menjadi lapan—semua untuk kesalahan berkaitan dadah. Nombor tersebut melonjak sekali lagi kepada 13 (11 digantung atas kesalahan berkaitan dadah, dua untuk kesalahan membunuh). Ini kali pertama, dalam 10 tahun semenjak saya bergiat dalam isu hukuman mati di Singapura, yang saya melihat bilangannya mencecah dua digit.

Trend meningkat ini mungkin berterusan. Menurut maklumat daripada banduan akhir sendiri—selalunya melalui perkhabaran kepada ahli keluarga yang melawat dan kemudian berkongsi maklumat kepada pihak lain—petisyen oleh banduan-banduan lain untuk mengurangkan hukuman atas dasar belas kasihan telah ditolak semenjak mahkamah mengizinkan penangguhan pelaksanaan hukuman Pannir.
Lawyers for Liberty, organisasi hak asasi manusia di Malaysia, mendakwa dalam kenyataan bertarikh 12 Julai 2019 bahawa seramai 10 orang banduan akhir telah mendapati rayuan belas kasihan mereka telah ditolak oleh Presiden Singapura (yang bertindak mengikut nasihat Kabinet). Meskipun kenyataan menyangkal oleh Kementerian Dalam Negeri telah dilaporkan di media, tiada maklumat berhubung bilangan rayuan atas dasar belas kasihan yang telah ditolak. Saya telah menulis kepada Perkhidmatan Penjara Singapura pada 14 Julai 2019 untuk mendapat penjelasan, dan turut membuat pertanyaan susulan pada 19 Julai. Sehingga masa makalah ini ditulis, saya belum lagi menerima respons.
Keadaan samar-samar ini sinonim dengan rejim hukuman mati di Singapura. Pegawai penjara, kaunselor, dan pegawai pelaksana hukuman mati yang berinteraksi dengan banduan akhir diarahkan, bawah Akta Rahsia Rasmi, untuk tidak berkongsi tentang pengalaman mereka. Tiada undang-undang, seperti Akta Kebebasan Maklumat, yang mengharuskan agensi kerajaan untuk memberi jawapan yang jujur kepada pertanyaan daripada orang awam. Kementerian dan agensi kerajaan boleh memilih untuk tidak mengendahkan pertanyaan atau mengeluarkan kenyataan yang ringkas dan tidak mengandungi maklumat yang berguna. Oleh itu, tindakan dashyat seperti hukuman mati boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi pihak rakyat Singapura dan dicanang sebagai kunci kepada keselamatan di Singapura, tanpa sebarang kebertanggungjawapan atau ketelusan.

Apabila kami mempersoalkan kekurangan ketelusan dan menyuarakan masalah yang wujud berhubung hukuman mati, aktivis pro-pemansuhan seperti saya sering dituduh menyebelahi penjenayah, atau tidak mengendahkan nasib mangsa penyalahgunaan dadah dan jenayah. Kami dituduh berhasrat meningkatkan kadar kematian dan kebinasaan yang disebabkan oleh dadah haram dalam masyarakat, seolah-olah kami berkempen untuk pemansuhan dengan niat menghancurkan kehidupan ramai orang.
Namun, hujah kami tidak pernah bersangkut paut dengan persoalan sama ada bilangan jenayah dan kematian berkaitan dadah perlu dikurangkan. Sebenarnya, pengurangan bilangan tragedi sebegini sentiasa menjadi matlamat yang diterima pakai dan tanpa kontroversi.
Cara kita mencapai matlamat ini yang sebenarnya menjadi persoalan.
Klik di sini untuk membaca rayuan peribadi oleh kakak Pannir, Sangkari.