Nama saya Sangkari Pranthaman, kakak kepada Pannir Selvam yang kini bergelar banduan akhir di Penjara Changi, setelah dijatuhkan hukuman membawa masuk ubat seks yang kemudian dikenalpasti sebagai dadah heroin.
Setiap hari yang saya lalui apabila mengetahui bahawa adik lelaki saya yang baik hati akan mati bila-bila sahaja, adalah satu penyeksaan. Ketenteraman dan keriangan kini tiada, kerana saya sekeluarga telah berdepan dengan situasi ini selama lima tahun. Setiap hari, kami merindui adik kesayangan kami.
Pengalaman membesar, dan kecuaian anak muda
Kami berenam membesar bersama-sama bawah pengawasan tegas ibu bapa. Seperti ramai ibu bapa yang lain, ibu dan bapa mengajar kami untuk berbuat baik dan berpegang kepada agama. Pada setiap Ahad, kami ke gereja dan bergiat dalam kebanyakan aktiviti di gereja. Terdapat begitu banyak kenangan manis dari zaman saya membesar di sisi Pannir dan adik-beradik yang lain. Kami sudah amat mengenali Pannir sebagai seorang yang berhati mulia, dan tidak berfikir dua kali untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Malah, semenjak dia masih kecil, Pannir selalu mengaku bersalah atas sebarang kesilapan, walaupun ini menyebabkan dia dirotan oleh bapa kami atas kesilapannya.
Saya sendiri pernah melihat adik saya begitu bermurah hati dengan semua orang. Apabila melihat pekerja pembinaan yang berkerah tenaga bawah sinar matahari, Pannir akan membeli minuman untuk mereka. Apabila motosikalnya dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta, dia bangun dan mengucapkan “Selamat Hari Bapa” kepada pakcik berbangsa Cina yang melanggarnya, dan tidak memperbesar-besarkan situasi. Di sekolah, dia juga aktif bersukan—dia mewakili ACS Ipoh dalam acara lumba lari. Lebih daripada itu, Pannir ialah pemuzik berbakat yang bermain dram, gitar dan keyboard di pancaragam gereja ketika remaja.

Setahun selepas tamat sekolah menengah, adik saya berpindah ke Johor untuk bekerja sebagai pembantu gudang. Usaha gigihnya berbaloi, dan dia telah dinaikkan pangkat selepas hanya tiga bulan. Tetapi, dia tidak mempunyai ramai kawan. Dia menghabiskan masa dengan bekerja sahaja, dan bekerja sehingga dua atau tiga syif untuk menambah pendapatan.
Wang yang dimiliki bukan untuk dirinya sahaja, tetapi turut diberi kepada keluarga dan orang lain. Pannir menderma kepada Yayasan Jantung Singapura. Dia juga memberi elaun bulanan kepada adik perempuan kami yang menuntut di peringkat ijazah di Kuala Lumpur, dan turut membelikan adik kami kereta terpakai agar dapat berulang alik dengan selamat.
Adik saya kemudian berpindah ke Singapura untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan. Saya memanggilnya setiap minggu. Saya percaya yang mulai saat itu apabila dia berjauhan dari rumah dan keluarga, situasinya semakin merosot.
Kini dipenjarakan di Penjara Changi di Singapura, Pannir berasa bersalah kerana meletakkan keluarga kami dalam situasi ini. Saya telah memberitahunya bahawa kami akan berusaha sedaya upaya untuk memperoleh peluang kedua untuknya
Pada Ogos 2014, Pannir telah mengambil cuti sebulan dari bekerja, untuk memperbaharui pasportnya yang menghampiri tarikh luput ketika itu. Pada masa yang sama, dia telah berkenalan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai “Anand,” di sebuah pusat perjudian. Kecuaian anak muda menyebabkan Pannir terus percaya bulat-bulat kepada orang yang baru dikenali selama tiga minggu.
Anand meminta Pannir menyeludup barang yang dikatakan ubat seks yang terlarang, ke dalam Singapura. Tetapi rupa-rupanya semuanya tipu belaka—yang dikatakan ubat seks sebenarnya heroin, bahan yang diklasifikasikan sebagai dadah.. Adik saya telah disabitkan kesalahan menyeludup 51.84g diamorfin (nama lain untuk heroin) dan dijatuhkan hukuman mati.
Hanya disebabkan satu kesilapan, adik saya mungkin akan kehilangan nyawa. Kini dipenjarakan di Penjara Changi di Singapura, Pannir berasa bersalah kerana meletakkan keluarga kami dalam situasi ini. Kami melawatnya setiap bulan. Saya telah memberitahunya bahawa kami akan berusaha sedaya upaya untuk memperoleh peluang kedua untuknya.
Waktu di dalam penjara
Semenjak ditahan dan kemudian dijatuhkan hukuman, Pannir giat menimba ilmu. Dia menulis surat dan melukis kad hari jadi untuk kami. Meskipun sel penjara yang dihuninya gelap dan terasing, dia tetap menasihati kami agar menjadi penganut Kristian yang terpuji, warganegara yang setia serta membantu mereka yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan. Dia memaklumkan kami tentang isu-isu sosial semasa di dunia, terutamanya di Malaysia dan Singapura. Apabila kami melawatnya, Pannir bercerita tentang Bitcoin, teknologi CRISPR (alat untuk menyunting genom), teknologi AI, dan banyak lagi.
Situasi sebagai banduan di dalam penjara tidak memadamkan hasratnya untuk membantu orang lain. Dia membantu banduan akhir yang lain untuk menulis surat kepada keluarga mereka, menjelaskan istilah undang-undang dan memberi nasihat berkenaan langkah menulis surat rayuan. Kepada mereka yang sudi, dia berkongsi kasihnya kepada Jesus dan berdoa untuk mereka. Sebagai rakyat Malaysia, dia bangga menyaksikan perubahan kerajaan secara aman tahun lalu—tetapi turut berasa bersalah kerana gagal berkhidmat kepada negaranya.
Adik saya masih boleh berbakti kepada masyarakat dengan pelbagai cara. Namun, masa semakin suntuk.

Pada Mei 2019, keluarga saya menerima notis daripada pejabat Presiden Republik Singapura dan pihak penjara, yang memaklumkan bahawa rayuan atas dasar belas kasihan oleh Pannir telah ditolak, dan tarikh hukuman matinya sudah ditetapkan. Pada minggu itu, kami dibenarkan melawatnya setiap hari (berbeza dengan situasi kebanyakan banduan akhir yang diizinkan lawatan mingguan sahaja.)
Apabila kami bersua muka dengannya, adik saya seolah-olah menerima hakikat bahawa dia akan dibunuh, dan cuba memujuk kami agar bertenang meskipun menangis dan meratapi keadaan keluarga kami. Dia meminta untuk dilawati oleh pegawai kedutaan Malaysia di Singapura. Dia memohon bantuan mereka untuk meningkatkan kesedaran awam dalam kalangan anak-anak muda Malaysia, supaya tidak melakukan kesilapan yang sama.
Kasih sayang keluarga
Jika kasih sayang dan dedikasi boleh dihitung, ia terdapat dalam lawatan kami, dari Kuala Lumpur ke Penjara Changi di Singapura, setiap bulan tanpa gagal sepanjang lima tahun kebelakangan ini. Saya kini sudah menghafal jadual dan laluan pengangkutan awam Singapura. Kami telah menjual lori dan motosikal milik keluarga untuk menampung perbelanjaan perjalanan serta yuran peguam. Dulu, kami merupakan keluarga kelas menengah yang cukup sederhana. Kini, kami jauh lebih miskin dan sedikit retak.
Sebagai kakak Pannir, saya tahu yang selagi nyawa dikandung badan, saya akan dihantui fikiran yang saya tidak boleh menyelamatkan adik saya. Tidak ada hari yang berlalu tanpa saya memikirkan apa lagi yang boleh saya lakukan untuknya. Seluruh jiwa dan raga saya dilanda kesedihan dan kelukaan.
Dulu, kami merupakan keluarga kelas menengah yang cukup sederhana. Kini, kami jauh lebih miskin dan sedikit retak
Hukuman mati ke atas Pannir bukan sahaja hukuman untuk dirinya, tetapi untuk seluruh keluarga kami. Walaupun sudah lima tahun berlalu, ibu bapa saya masih terkejut.
Bapa saya, Pranthaman, berusia 56 tahun dan merupakan paderi perintis di gereja. Dia antara orang paling gigih bekerja yang pernah saya kenali. Semenjak kecil, kami diajar olehnya untuk selalu mengingati Pencipta kami dan bersyukur kepada-Nya tidak kira situasi yang kami hadapi.
Ibu saya, Sarah, juga berusia 56 tahun. Dia seorang yang bersederhana dan baik hati, serta sangat warak. Berat badannya telah banyak menyusut. Dia dihimpit kesukaran yang paling dashyat untuk seorang ibu apabila mengetahui bahawa nyawa anaknya akan dilucutkan. Emak saya kini semakin kuat berdoa, siang dan malam, agar Tuhan menyelamatkan nyawa anaknya. Setiap kali dia teringat bahawa Pannir tidak akan dapat menikmati kari kambing yang dimasaknya—juadah kegemaran adik saya—dia akan menangis.
Ini merupakan kali pertama Pannir pernah didapati melanggar undang-undang, dan kami percaya sepenuh hati bahawa dirinya yang berhati baik dan naif telah diambil kesempatan. Sebelum Pannir dijatuhkan hukuman, Pejabat Peguam Negara enggan mengeluarkan Sijil Bantuan Substantif untuknya, dokumen yang mengizinkan hakim untuk memilih untuk tidak menjatuhkan hukuman mati ke atasnya, disebabkan Pannir tidak mempunyai maklumat yang boleh membantu pihak penyiasat. Untuk membantunya, saya mengambil tugas penyiasat, mengumpul maklumat tentang golongan yang mencari dan melantik keldai dadah, serta mencari “Anand.” Kami menyerahkan semua maklumat yang diperoleh kepada pihak berkuasa di Singapura, dengan harapan maklumat tersebut boleh membantu adik saya untuk layak menerima Sijil Bantuan Substantif. Adik saya juga menulis petisyen pengampunan atas dasar belas kasihan sepanjang 27 muka surat yang diutuskan kepada Presiden Singapura, Halimah Yaacob, dengan bantuan saya yang berjaga sepanjang malam untuk menaip petisyen tersebut sebelum dikirimkan.
Permohonan kami untuk Sijil Bantuan Substantif dibalas dengan penolakan bertulis oleh Pejabat Peguam Negara pada April 2019.
Sedikit sinar harapan
Hukuman mati ialah tindakan yang tidak boleh berpatah balik dan melanggar hak manusia kepada kehidupan. Kami sangat kecewa apabila mendapat tahu bahawa ikhtiar kami untuk menyelamatkan Pannir tidak berkesudahan dengan pengeluaran Sijil Bantuan Substantif. Tetapi saya percaya bahawa kemurahan dan kebaikan hati Pannir telah dibalas sedikit sebanyak.
Pada saat akhir, sehari sebelum Pannir dijadualkan untuk dijatuhkan hukuman mati, dua orang peguam di Singapura hadir di mahkamah untuk mewakilinya. Tanpa mereka, adik saya tidak akan diwakili di mahkamah. Kemudian, satu lagi keajaiban berlaku: Mahkamah Rayuan Singapura mengizinkan penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas adik saya. Penangguhan ini memberi adik saya peluang di saat akhir untuk memperoleh nasihat undang-undang dan memfailkan bantahan terhadap proses mempertimbangkan rayuan atas dasar belas kasihan.
Usaha untuk menyelamatkan Pannir masih berterusan. Jika diberi peluang kedua dalam kehidupan, dia ingin bekerja dengan pegawai outreach di penjara untuk mengajar orang lain tentang cara mencegah penyalahgunaan dadah dan bekerja untuk menyokong program pemulihan di penjara. Adik saya baru berusia 32 tahun—masih jauh perjalanan hidupnya jika diberi kesempatan. Peluang kedua untuk Pannir boleh menyelamatkan lebih ramai anak-anak muda di luar sana, sebelum terlambat.
Jika anda percaya bahawa membunuh seseorang atau melucutkan nyawa mereka adalah perbuatan keji, anda tidak sepatutnya menyokong hukuman mati. Saya sekeluarga memohon maaf kepada rakyat Singapura atas kesilapan adik saya, dan menggesa kerajaan Singapura untuk memberinya Sijil Bantuan Subtantif yang boleh menyelamatkan nyawanya.
Anda dipersilakan untuk menandatangani petisyen berikut kepada Presiden Singapura dan menyuarakan sokongan anda kepada Pannir Selvam: http://chng.it/d4YBRrYq
Penterjemah: Adriana Manan