Hello!

Stay up to date with New Naratif’s latest stories and upcoming events with our weekly newsletter. No spam, just good content.

Apabila Amina pergi ke klinik untuk pemeriksaan pranatal pertama pada bulan Mei, kandungannya telahpun mencecah lapan bulan. 

“Saya merasa tidak sihat, tetapi saya tidak pergi ke hospital kerana saya tidak berdokumen dan tidak mampu membuat bayaran,” kata pencari suaka Somalia tersebut, yang tinggal bersendirian dengan adik perempuannya di Kuala Lumpur. Amina juga kehilangan pekerjaannya sejak permulaan pandemik.

Akibat menghidap tekanan darah tinggi dan keresahan, dia rebah di ruang menunggu dan dibawa dengan ambulans ke sebuah hospital kerajaan. Setelah sebulan di hospital, dia melahirkan anak secara pembedahan Caesarean.

Seperti puluhan ribu pencari suaka dan pelarian yang tidak berdokumen di Malaysia, kehadirannya di hospital mendedahkan Amina kepada kemungkinan ditangkap oleh pihak berkuasa imigresen. Namun mujur untuknya, sebuah kumpulan bantuan masyarakat yang dikendalikan oleh pelarian Somalia campur tangan bagi pihaknya. Mereka menghubungi Agensi Pelarian PBB, UNHCR, dan mengajukan petisyen untuk mendapatkan surat yang mengesahkan bahawa permohonannya untuk menerima status pelarian sedang dipertimbangkan, lantas melindunginya dari tangkapan. Surat itu juga membolehkan Amina mengakses potongan 50% untuk perkhidmatan perubatan kerajaan yang diberikan kepada pelarian yang diiktiraf UNHCR.

Walaupun begitu, bil hospitalnya yang berjumlah sebanyak RM 10,000 (AS$2,500), dibiayai oleh gabungan dana kecemasan UNHCR dan sumbangan dari pelarian Somalia.

Bercakap dengan syarat anonimiti, seorang wakil Komuniti Pelarian Somalia Malaysia memberitahu New Naratif bahawa dia telah melihat banyak kes yang serupa dengan Amina. “Mereka tidak pergi ke hospital sehingga lapan atau sembilan bulan … sehingga mereka mempunyai kes kecemasan dan menderita,” katanya.

New Naratif menemu ramah lima wanita pencari suaka dan pelarian yang bersalin semasa pandemik COVID-19. Masing-masing menghadapi bil perubatan setara dengan jumlah gaji mereka selama beberapa bulan, tetapi dengan sedikit atau tanpa sebarang simpanan untuk menampung kos tersebut, mereka terpaksa bergantung pada wang derma atau meminjam wang. Kedesakan kewangan dan dikhuatiri ditahan, ditambah buruk lagi dengan sekatan pergerakan dan tindakan keras imigresen, telah mencegah atau menghalang wanita-wanita ini daripada mendapatkan perkhidmatan perubatan yang mereka perlukan untuk diri mereka sendiri atau bayi mereka.

Takut Ditahan

Setakat bulan Disember 2020, hampir 180,000 orang, kebanyakannya dari Myanmar, telah didaftarkan dengan UNHCR di Malaysia, di mana satu pertiga daripadanya adalah wanita. Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB, dan tidak menawarkan sebarang perlindungan rasmi kepada pelarian, tetapi mereka yang berdaftar dengan UNHCR biasanya dikecualikan daripada penahanan yang berkaitan dengan imigresen.

Namun, pemimpin-pemimpin masyarakat pelarian memberitahu New Naratif bahawa puluhan ribu lagi masih menunggu janji pendaftaran dengan UNHCR, sering selama bertahun-tahun. Sehinggalah mereka berdaftar dengan agensi tersebut, mereka akan tetap terdedah kepada risiko tangkapan sebagai pendatang tanpa dokumen.

Harga [klinik] lebih tinggi daripada harga di hospital kerajaan, tetapi saya tidak ada pilihan lain.

Muna*, seorang wanita Rohingya dari Myanmar yang tiba di Malaysia pada bulan Ogos 2019, masih lagi menunggu janji temunya untuk pendaftaran UNHCR. Suaminya, Zubair, yang telah berdaftar, tahu akan risiko akibat tidak berdokumen; dia telah menghabiskan hampir tiga tahun dalam tahanan imigresen sebelum ketibaan Muna di Malaysia. Pasangan itu, yang tinggal di negeri Perak, membuat keputusan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan ibu untuk Muna di sebuah klinik swasta kerana statusnya yang tidak berdokumen.

“Harga [klinik] lebih tinggi daripada harga di hospital kerajaan, tetapi saya tidak ada pilihan lain,” kata Zubair, yang kehilangan pekerjaannya di sebuah pasar ikan pada bulan Mac dan sejak itu telah membuat kerja tidak tetap memuat dan memunggah sayur-sayuran di sebuah pasar. “Oleh kerana [Muna] tidak mempunyai kad [UNHCR] untuk keselamatannya, saya terpaksa membawanya ke klinik swasta.”

Pada bulan Mei 2020, apabila kawasan-kawasan kejiranan mula keluar dari sekatan pergerakan koronavirus, kerajaan melakukan serbuan imigresen di Kuala Lumpur. Lebih daripada 2,000 pendatang tanpa dokumen telah ditahan, banyak di antara mereka pencari suaka. Menteri pertahanan menggambarkan operasi tersebut sebagai usaha berterusan untuk menyingkirkan orang asing yang tidak berdokumen.

Kerajaan Malaysia juga melancarkan serbuan di tempat kerja dan memberi amaran kepada perniagaan agar tidak mengupah atau menyewa pangsapuri kepada pendatang tanpa dokumen. Pada masa yang sama, suara benci berbaur xenofobik tersebar pesat dalam talian, kebanyakannya menyasarkan pelarian Rohingya.

Memandangkan suami-suami mereka ditahan di depan mereka, mereka takut untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Thuzar Maung, yang mengendalikan kumpulan sukarelawan bantuan masyarakat yang dipanggil Komuniti Pelarian Muslim Myanmar (MMRC), memberitahu New Naratif bahawa ratusan orang Muslim Myanmar telah ditahan semasa serbuan-serbuan yang dilaksanakan pada bulan Mei, termasuk suami-suami kepada beberapa wanita yang hamil. 

“Memandangkan suami-suami mereka ditahan di depan mereka, mereka takut untuk mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Tambahnya, semasa wabak pandemik, kira-kira 20 wanita hamil menghubungi MMRC untuk mendapatkan bantuan sosial atau kewangan, walaupun kumpulannya lebih tertumpu kepada perkhidmatan pendidikan dan rujukan kepada perkhidmatan-perkhidmatan lain, yang kebanyakannya tidak tersedia untuk pencari suaka tanpa dokumen.

Walaupun MMRC dapat mengajukan petisyen untuk surat pertimbangan dari UNHCR untuk empat atau lima wanita yang mengalami keadaan perubatan kritikal, Thuzar Maung berkata kebanyakan mereka tidak mempunyai pilihan selain pergi ke klinik swasta atau, bagi mereka yang tidak mampu, bersalin di rumah.

Lahir di Rumah

Van Van *, seorang pelarian Chin dari Myanmar, bekerja sebagai pengimpal sambilan di Kuala Lumpur. Selain melakukan kerjanya, dia telah menghabiskan 10 tahun sebelum ini untuk membantu pencari suaka dan pelarian secara sukarela, ini juga termasuk menemani mereka untuk mendapatkan janji temu perubatan dan berunding dengan polis ketika mereka ditahan.

“Saya membantu mereka yang tidak mempunyai tempat lain dan tidak ada sesiapa untuk membantu mereka,” katanya.

Dia berkata dia telah menemani lebih daripada 100 pendatang wanita semasa mereka melahirkan anak mereka di hospital dan klinik, di mana pihak berkuasa telah meminta rasuah daripada mereka.

“Kadang kala, apabila saya menemani wanita hamil tanpa dokumen ke hospital, pihak berkuasa telah mengancam untuk menahan mereka,” kata Van Van. “Kadang kala, mereka meminta duit kopi, kemudian mereka melepaskan kami.”

Walaupun dia tidak mempunyai latar belakang perubatan, dia berkata bahawa selama tempoh dua tahun yang lepas, dia juga telah membantu dua wanita tanpa dokumen untuk melahirkan anak di rumah.

Kes pertama berlaku pada bulan Mei 2019, apabila dia menemani seorang wanita yang sakit bersalin di hospital kerajaan, Hospital Sungai Buloh, di mana kemasukannya ditolak kerana ketiadaan dokumen. Jadi Van Van membantunya bersalin di rumah, menurut ulasannya. Dia tidak menjangka bahawa pengalaman ini akan berulang semula, tetapi pada bulan Jun 2020, dia menemani seorang lagi wanita tanpa dokumen yang sakit bersalin yang juga ditolak kemasukannya di hospital yang sama. Pada ketika itu, suaminya berada di bawah tahanan imigresen, dan dia hanya mempunyai RM 500 (AS$123), iaitu jumlah yang tidak cukup untuk menampung kos persalinan di hospital itu atau di klinik swasta. Ini akhirnya mendorong Van Van untuk membuat keputusan terdesak.

“Saya tidak mempunyai sebarang peralatan perubatan. Satu-satunya perkara yang saya ada ialah kedua-dua tangan saya,” Van Van memberitahu New Naratif. “Ia mengambil masa enam jam. …Dia bersalin secara berdiri setelah mencuba pelbagai kedudukan. Saya benar-benar berdoa kepada Tuhan, dan Tuhan membantu. Ia sangat berbahaya.” 

Van Van berkata dia tahu dia boleh dipertanggungjawabkan sekiranya ibu atau bayi mengalami komplikasi semasa bersalin di rumah ini, tetapi dia berasa dia tidak mempunyai pilihan lain. “Bagi saya, ia sangat berbahaya dan mencabar untuk membantu,” katanya. “Tetapi, jika saya tidak membantu, mereka mungkin akan menghadapi lebih banyak masalah. Oleh itu, saya mengambil risikonya.”

Hospital Sungai Buloh enggan menjawab pertanyaan yang diajukan oleh New Naratif melalui telefon.

Van Van dan lain-lain yang ditemuramah oleh New Naratif berkata tidak ada cara untuk mengetahui berapa ramai wanita yang melahirkan anak di rumah semasa wabak pandemik, tetapi mereka bimbang bahawa ada lebih ramai lagi wanita yang tidak dapat mengakses penjagaan kesihatan yang diperlukan akibat faktor-faktor kemiskinan, rintangan bahasa dan takut ditahan.

“Pandemik ini telah membawa kesan buruk terhadap kesejahteraan ibu-ibu dalam kalangan pelarian dan pendatang, dan terutama wanita hamil yang tidak berdokumen,” kata Van Van. 

“Saya Takut Doktor Akan Minta Lebih Banyak Wang”

Malah dalam kes-kes di mana pelarian wanita tanpa dokumen dapat mengakses perkhidmatan perubatan, khidmat-khidmat ini sering tertangguh atau mengakibatkan mereka menanggung hutang yang banyak untuk menampung kos-kos tersebut.

Pelarian dinafikan hak yang sah untuk bekerja di Malaysia, memaksa mereka, bersama dengan pencari suaka dan pendatang tanpa dokumen, untuk bekerja di sektor tidak rasmi. Eksploitasi dan serbuan imigresen kerap dilakukan. Kelima-lima isi rumah yang ditemuramah oleh New Naratif telah kehilangan sumber pendapatan utama atau jam bekerja mereka dikurangkan dengan ketara semasa pandemik ini.

Kebanyakan masa, saya tidak memberitahu doktor tentang penyakitnya kerana saya takut doktor akan meminta wang.

Walaupun Muna, wanita Rohingya yang bersalin pada bulan Januari, menghidapi penyakit asma, dia dan suaminya Zubair mengelak daripada menyebut mengenainya semasa lawatan pranatal.

“Kebanyakan masa, saya tidak memberitahu doktor tentang penyakitnya kerana saya takut doktor akan meminta wang yang lebih,” Zubair memberitahu New Naratif tiga minggu sebelum Muna bersalin.

Pada mulanya, Muna juga ditolak kemasukan ke klinik itu ketika sakit bersalin kerana dia dan suaminya tidak mampu membayar deposit.

“Apabila saya membawanya ke klinik, doktor meminta saya untuk membayar RM 3,000 (AS$740) sebagai deposit, tetapi saya hanya mempunyai RM 2,000 (AS$495). Doktor itu berkata mereka tidak dapat menerimanya masuk… Mereka membiarkannya menunggu,” kata Zubair. Dia akhirnya berjaya berunding agar harga diturunkan ke RM 2,500 dan meminjam baki yang diperlukan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia menasihatkan wanita untuk tinggal di kemudahan kesihatan untuk sekurang-kurangnya 24 jam selepas bersalin, tetapi Muna keluar dari hospital dalam masa 12 jam.

“Mereka meminta saya membayar RM 1,500 (AS$370) untuk satu malam sahaja. Saya memberitahu mereka ia sangat mahal dan saya tidak mampu membayarnya, jadi lebih baik jika mereka membenarkan isteri saya keluar hospital,” kata Zubair. Biarpun tidak dikenakan caj semalaman, bil yang diterima berjumlah RM 3,387 (AS$840). Zubair meminjam lebih kurang separuh daripada jumlah itu dari rakan-rakannya.

Dia memberitahu New Naratif bahawa kegembiraannya untuk menjadi seorang ayah dicemari rasa kesedihan. Zubair berharap bayinya dapat memperoleh peluang ke sekolah, tidak seperti diri dan isterinya, tetapi dia tahu perkara ini tidak mungkin berlaku di Malaysia.

“Melahirkan anak di Malaysia adalah suatu kerugian kerana anak kami tidak mempunyai masa depan di sini,” katanya.

Diusir Akibat Harga

Bagi mereka yang berdaftar dengan UNHCR atau memiliki surat pertimbangan dari agensi tersebut, kos hospital kerajaan setelah diskaun 50% untuk pelarian lebih rendah daripada di klinik swasta, tetapi khidmat ini masih tidak dapat dicapai ramai akibat sistem dua harga berdasarkan kewarganegaraan.

Kemasukan untuk bukan warganegara Malaysia ke dalam wad bersalin kelas ketiga di Hospital Kuala Lumpur memerlukan deposit RM 2,800 (AS$700) dan RM 160 (AS$40) sehari untuk bayaran wad, menurut laman web hospital tersebut. Untuk warganegara Malaysia, harganya masing-masing RM 15 (AS$4) dan RM 3 (kurang daripada AS$1). Bayaran untuk khidmat kelahiran anak tidak diterbitkan di dalam laman web hospital itu, dan hospital tersebut tidak menjawab pertanyaan telefon atau e-mel dari New Naratif. Menurut laman web pihak ketiga, persalinan tanpa komplikasi di dalam wad kelas ketiga di hospital kerajaan berharga RM 2,593 (AS$640) untuk orang asing dan RM 10 (AS$) untuk warganegara Malaysia.

“Terdapat perbezaan besar dari segi kos persalinan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan,” kata Tini Zainuddin, seorang pembela hak asasi kanak-kanak dan pengasas bersama Yayasan Chow Kit, sebuah pertubuhan bukan untung yang memperjuangkan kebajikan kanak-kanak.

“COVID-19 mengetengahkan lagi perbezaan tersebut,” tambahnya.

Rukia, seorang Rohingya di Kuala Lumpur yang berdaftar dengan UNHCR, mendapati bahawa kemampuannya untuk membayar menentukan perkhidmatan yang diterimanya di hospital kerajaan di mana dia mendapatkan rawatan selepas bersalin. Dia melahirkan anak secara pramatang di rumah pada bulan Februari dan pergi ke hospital untuk mendapatkan jahitan, tetapi dia berkata dia dinafikan kemasukan sehingga suaminya berjaya meminjam wang untuk membayar deposit, walaupun dia tiba di hospital dalam kesakitan dan mendukung bayi baru lahir. 

“Doktor enggan memasukkan isteri saya ke dalam wad,” kata suaminya Shahidur. “Dia berkata sekiranya saya tidak mampu membayar RM 1,600 (AS$400), mereka tidak akan memberi isteri saya sebarang ubat atau rawatan.

Bagi Hannah, seorang pencari suaka Kachin dari Myanmar, kekurangan dana telah memaksanya untuk mengabaikan sama sekali sebarang rawatan selepas bersalin. Walaupun dia mempunyai surat pertimbangan yang dikeluarkan oleh UNHCR semasa kehamilannya sebelum ini, yang masih lagi sah dan membolehkannya mendapat rawatan di hospital kerajaan, dia masih tidak mempunyai sebarang cara untuk membuat bayaran apabila dia melahirkan anak ketiganya pada bulan Ogos. Gerai makanan jalanan di mana suaminya berkerja telah mengurangkan waktu kerjanya dan upahnya sebanyak RM 30 (AS$7) sehari menyebabkan empat sekeluarga itu bergantung kepada derma dan pinjaman dari pelarian lain sebelum Hannah bersalin pada bulan Ogos.

Disebabkan hutang yang bertambah akibat kos bersalin Hannah sebanyak RM 2,200 (AS$550), pasangan ibu bapa itu mengelak daripada membawa bayi mereka untuk temujanji perubatan susulan.

“Kebimbangan terbesar saya terhadap bayi saya adalah bahawa, hingga kini, kami tidak dapat membawanya ke klinik untuk vaksinasi,” kata Zau Du, suami Hannah.

Tini, aktivis hak kanak-kanak, mengatakan bahawa dia mahu Malaysia mengambil pendekatan pengurangan kemudaratan terhadap penjagaan kesihatan ibu untuk semua wanita, tanpa mengira status imigrasi. Sebagai permulaan, ini memerlukan pengampunan dari penahanan yang berkaitan dengan imigresen terhadap wanita yang mendapatkan penjagaan kesihatan ibu. Dia juga menyokong agar ibu bapa dibenarkan membayar secara ansuran untuk penjagaan kesihatan ibu; agar semua lapisan masyarakat dapat mengakses maklumat dan perkhidmatan perancang keluarga; dan bagi kerajaan untuk meningkatkan usaha mempromosi vaksinasi untuk bayi yang baru lahir.

“Lebih-lebih lagi sekarang, semasa pandemik COVID-19, disebabkan peningkatan xenofobia dan polisi yang tegas, ramai ibu-ibu memilih untuk bersalin di rumah atau klinik swasta, di mana mereka kurang takut dengan kemungkinan mereka dilaporkan,” dia memberitahu New Naratif.

“Tidak ada sebarang perlindungan untuk ibu mengandung yang tidak mempunyai wang, dan tidak mempunyai hubungan dan tidak tahu ke mana untuk pergi.” 

Laporan tambahan oleh Nu Nu Lusan

Artikel ini dibantu dengan geran dari ARTICLE 19 di bawah Voices for Inclusion, sebuah projek yang dibiayai Kementerian Luar Negeri Belanda.

*Disebabkan status imigrasi mereka yang tidak berdokumen di Malaysia, nama samaran atau nama panggilan digunakan untuk semua ibu dan bapa yang disebut dalam artikel ini untuk melindungi identiti mereka. 

Ajakan untuk Bertindak: Bagi sesiapa yang berminat untuk menyumbang, berikut ialah laman web beberapa organisasi yang membantu ibu-ibu dalam kalangan pendatang, pelarian dan pencari suaka untuk mengakses penjagaan kesihatan ibu atau menyokong inisiatif wanita pendatang, pelarian dan pencari suaka secara lebih meluas:

Yayasan Chow Kit: Pusat krisis dan singgah masuk 24 jam yang menyediakan makanan, aktiviti, terapi, pengurusan kes dan program pendidikan untuk kanak-kanak dan remaja berisiko di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Refugee Emergency Fund: Inisiatif pendanaan awam bukan untung untuk kes kecemasan, termasuk perubatan, sewa, makanan dan pendidikan, yang dihadapi oleh pelarian dan sesetengah pendatang di Malaysia.

Tenaganita: Melindungi dan mempromosikan hak wanita, pendatang dan pelarian, termasuk inisiatif anti pemerdagangan manusia dan sebuah tempat perlindungan bagi wanita dalam krisis.

Rohingya Women’s Development Network: Organisasi komuniti yang dipimpin wanita Rohingya untuk memperkuat dan mengembangkan komuniti Rohingya melalui pendidikan, latihan kemahiran dan pembelaan hak.

Ang Hui Qing

Ang Hui Qing is an illustrator and concept artist from Malaysia. They’ve worked in animation, children’s books, apps and marketing content. Their main loves are light, colour and story. Their art seeks to explore the fantastical in the mundane, and the mundane in the fantastical. Say hi on Instagram @chickensaredoodling and Twitter @BurdHQ, or e-mail at huiqing.art@gmail.com.

Ang Hui Qing adalah ilustrator dan artis konsep dari Malaysia. Dia bekerja di dalam bidang animasi, buku kanak-kanak, aplikasi dan kandungan pemasaran. Cinta utamanya adalah cahaya, warna dan cerita. Seninya bertujuan untuk meneroka sifat fantastis dalam perkara yang duniawi, dan sifat duniawi dalam fantasi. Sampaikan khabar di Instagram @chickensaredoodling dan Twitter @BurdHQ, atau e-mel di huiqing.art@gmail.com.

Tina Carmillia

Tina Carmillia adalah seorang wartawan sains dan penerbit bebas. Dia juga seorang penyelidik yang mengkaji penyebaran maklumat salah, dengan fokus pada ruang dalam talian berbahasa Melayu dan persimpangannya dengan data dan demokrasi, serta status amalan pemeriksaan dan pengesahan fakta di media Malaysia.