Pindaan Perlembagaan Secara Diam-diam Berpotensi Memburukkan Situasi Tiada Kerakyatan di Malaysia

Kabinet Malaysia  bercadang untuk membentangkan beberapa pindaan perlembagaan  dalam sesi parlimen pada akhir tahun ini. Salah satu daripada pindaan yang  dicadangkan akan menjamin hak kerakyatan untuk  anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu berwarganegara Malaysia. Namun demikian, lima cadangan pindaan lain berpotensi memburukkan lagi situasi tiada kerakyatan di Malaysia. Apakah yang sedang berlaku? Hak apa yang terlibat dalam pindaan-pindaan tersebut? Apakah yang sedang dipertaruhkan? 

Amaran kandungan: Penderaan kanak-kanak, fikiran bunuh diri

Pada tahun lepas, setelah berjuang selama lima belas tahun untuk mendapatkan hak kerakyatan, Wong Kueng Hui dari Sabah akhirnya berjaya menuntut hak kewarganegaraan Malaysia.

Dua permohonan kerakyatan yang ditolak dan pertaruhan hingga ke mahkamah rayuan negara

Itulah mimpi ngeri yang  dihadapi oleh Wong sebelum Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akhirnya dipaksa untuk mengiktirafnya  sebagai warganegara Malaysia.

Hak Wong untuk menjadi warganegara Malaysia akhirnya ditentukan atas hujah undang-undang para hakim dan peguam tentang makna dan cara penggunaan Seksyen 1(e) dalam Perlembagaan, yang merupakan  jaring keselamatan untuk mengelakkan situasi tiada kerakyatan.  

Seksyen 1(e), yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan oleh parlimen Malaysia pada tahun 1963, menerangkan bahawa semua orang kelahiran Malaysia yang tidak mempunyai kewarganegaraan dari mana-mana negara lain akan terus menjadi warganegara Malaysia. Jaring keselamatan inilah yang telah menyelamatkan Wong daripada situasi tiada kerakyatan.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri telah mencadangkan beberapa pindaan perlembagaan yang akan memusnahkan jaringan keselamatan tersebut, lalu melenyapkan sebuah jalan kehakiman yang penting bagi komuniti tiadanegara kelahiran Malaysia.  Ternyatalah bahawa jalan yang sedia ada memang merupakan sebuah proses yang renyah dan rumit (dan boleh dikatakan hampir mustahil) dalam landskap birokrasi sistem perundangan di Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri juga telah mencadangkan pindaan-pindaan yang akan memansuhkan hak kerakyatan kanak-kanak terbiar dan anak-anak pemastautin tetap, mengurangkan tempoh masa bagi permohonan kerakyatan kanak-kanak, dan menyebabkan isteri-isteri warga asing menghadapi risiko kehilanganhak kerakyatan.

Pindaan-pindaan tersebut bukan sahaja memburukkan lagi situasi  tiada kerakyatan yang sedia ada, tetapi juga bakal mewujudkan generasi-generasi baru komuniti tanpa kerakyatan.

Izinkan kami memberikan anda sepetik penerangan. Bagaimanakah keadaan ini terjadi?

Helah Regresif, Topeng Progresif

Pada 17 Februari 2023, Menteri Undang-Undang Azalina Othman dan Menteri Dalam Negeri Saifudin Nasution mengumumkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya ibu-ibu berwarganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing akan dapat mewariskan hak kerakyatan secara automatik kepada anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Ini bermakna suatu perubahan terhadap klausa perlembagaan yang selama ini hanya berpihak kepada para bapa dalam mewariskan kerakyatan Malaysia kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara. Terma “bapa” akan dipinda menjadi “salah seorang daripada ibu bapanya”.

Sebagai satu langkah progresif ke arah kesaksamaan gender, ia amat dialu-alukan oleh Family Frontiers, sebuah organisasi pembela hak ibu-ibu Malaysia yang telah berusaha untuk mendapatkan hak kerakyatan yang sama rata bagi wanita warga Malaysia. Suri Kempe, Presiden Family Frontiers, mengatakan bahawa langkah tersebut “menggembirakan” dan Sim Tze Tzin, ahli Parlimen Bayan menulis di Twitter bahawa langkah tersebut merupakan “lonjakan besar bagi kesaksamaan gender”.

Harapan, lega, dan bagai sejarah sedang dicipta. 

Itulah sentimen yang berlegar di awang-awangan pada masa itu, terutama sekali kerana Malaysia merupakan salah satu daripada 24 negara di dunia yang menafikan hak wanita untuk mewariskan warganegara mereka kepada anak-anak mereka sama seperti lelaki. Ini  suatu ketidakadilan  yang para aktivis dan ahli politik sedang cuba untuk perbetulkan sejak awal abad ke-21 ini. 

Tetapi pengumuman pada bulan Februari itu tidak memberi maklumat menyeluruh tentang pindaan yang dicadangkan oleh Kabinet.

Menurut Malay Mail, Kabinet mengumumkan bahawa sebuah kajian terperinci akan dijalankan tentang aspek-aspek lain berkenaan peruntukan kerakyatan, dan kajian tersebut akan mengambil kira penglibatan bersama semua pihak berkepentingan.

Namun,empat bulan kemudian,  pada 14 Jun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution telah membuat pengumuman mengejut: beliau sedang memuktamadkan sebuah cadangan “komprehensif” untuk mendapat perkenan diraja dari Majlis Raja-Raja.

Ternyata cadangan “komprehensif” tersebut mengandungi elemen-elemen baru yang cuba diselitkan secara diam-diam, yang akan mengekang hak kerakyatan bagi beberapa kelompok komuniti orang tanpa warganegara.  

Walaupun ada beberapa perbincangan awal yang telah dijalankan antara Jawatankuasa Khas Kementerian Dalam Negeri dengan beberapa pertubuhan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Family Frontiers, dan Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Luar Bandar (DHRRA), ramai pihak tidak dimaklumkan  sepenuhnya tentang kandungan dan ruang lingkup cadangan tersebut.

“Apa-apa cadangan yang menyekat atau memansuhkan mana-mana hak dan kebebasan asas, termasuk hak kerakyatan, tidak sepatutnya dilakukan dalam kerahsiaan dan tanpa rundingan yang sewajarnya,” tegas lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis-aktivis dalam sepucuk surat terbuka.

Seolah-olah perundingan dengan “semua pihak berkepentingan” tidak dilakukan dengan bermakna. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai hubunganerat dengan komuniti-komuniti tanpa kerakyatan atau yang berpotensi mengalami situasi tersebut. 

Pada 23 Jun, sebagai respons kepada kritikan yang dilemparkan, jawatankuasa khas Kementerian Dalam Negeri telah bergegas menyediakan sebuah taklimat selama dua jam tentang cadangan-cadangan tersebut. Lebih kurang 20 orang wakil daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan telah diberi ruang untuk membangkitkan persoalan dan kegusaran mereka, tetapi tiada sebarang dialog atau penerangan lanjut dibuat tentang isu-isu yang dibangkitkan.  

Harapan dan kelegaan awal lama-kelamaan berubah menjadi kerisauan, kritikan dan kekecewaan yang mendalam.

“Jelas bahawa [pindaan tersebut adalah] pindaan terburuk terhadap undang-undang kewarganegaraan sejak zaman Merdeka”, ujar Zaid Malek, Pengarah Lawyers for Liberty kepada Malaysia Now.

Sekarang, marilah kita meneliti  lima pindaan perlembagaan tersebut: apakah isi kandungan mereka? 

Ilustrasi oleh Xiao Ming Tang

Pindaan Perlembagaan Secara Diam-diam: Lima Cadangan yang akan Memburukkan Situasi Tiada Kerakyatan

Menghapuskan Jaring Keselamatan untuk Kanak-Kanak Tanpa Kerakyatan yang Lahir di Malaysia: Seksyen 1(e) 

“… tiap-tiap  orang  yang  lahir  di  Persekutuan  dan  pada  masa  dia  lahir  tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan  ini.”

Seksyen 1(e), Bahagian II, Jadual Kedua, 
menerangkan siapa yang dianggap sebagai warganegara melalui pelaksanaan undang-undang 

Sebagaimana  yang diterangkan dalam kisah Wong Kueng Hui, perubahan pertama yang dicadangkan adalah pindaan kepada Seksyen 1(e) – sebuah jaring keselamatan bagi orang tanpa kerakyaktan yang membenarkan mahkamah untuk akhirnya mengisytiharkan Wong sebagai warganegara Malaysia. 

Seksyen tersebut dengan jelas mengatakan bahawa kanak-kanak yang lahir di Malaysia dan “pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara lain” akan mendapat kewarganegaraan Malaysia melalui pelaksanaan undang-undang.

Apabila kewarganegaraan diklasifikasikan sebagai “perlaksanaan undang-undang”, ia dianggap sebagai hak automatik, diwajibkan undang-undang dan hak yang tidak memerlukan budi bicara; ia sesuatu yang perlu ditegakkan oleh kerajaan berdasarkan pengesahan fakta yang mudah. Jika hak ini dicabuli, tindakan undang-undang sivil boleh diambil.

Pada masa ini, Kementerian Dalam Negeri mencadangkan untuk mengubah perkataan “pelaksanaan undang-undang” kepada “pendaftaran”. Ini bermaksud kewarganegaraan untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan yang lahir di Malaysia akan menjadi sebuah proses yang bukan automatik, dan memerlukan permohonan dan budi bicara kementerian. Mahkamah akan hilang kuasa dalam apa-apa ketidakpatuhan klausa ini, seperti yang terjadi di dalam kes Wong.

Ini juga secara tidak langsung memansuhkan jaring keselamatan bawah Seksyen 1(e) kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak menguatkuasakan Seksyen 1(e) dalam operasi pemberian kewarganegaraan seharian walaupun mereka diwajibkan untuk berbuat demikian oleh Perlembagaan. Pada masa sekarang, perlindungan tersebut hanyalah dikuatkuasakan melalui mahkamah.

Klausa 1(e) diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1963 dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan melalui sebuah Akta Parlimen bersama beberapa pindaan lain yang mengubah dan mengetatkan peruntukan kewarganegaraan jus soli. Ia dibuat oleh parti pemerintah pada masa itu, yang diketuai Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak, 

Pada tahun-tahun awal selepas Merdeka, kanak-kanak yang lahir di Malaya telah diberikan kewarganegaraan jus soli tanpa syarat, tetapi pindaan-pindaan baru tersebut mensyaratkan “ikatan tulen dan benar dengan Persekutuan” (seperti yang dikatakan oleh Tun Abdul Razak) bagi kanak-kanak yang baru lahir. Ini dilakukan untuk menghalang anak-anak pelawat sementara – orang yang dipanggil “burung penyinggahan” – untuk mendapat kewarganegaraan. Sejak itu, salah seorang dari ibu bapa kanak-kanak yang baru lahir itu harus mempunyai kewarganegaraan ataupun adalah seorang pemastautin tetap, untuk layak mendapat kewarganegaraan melalui pelaksanaan undang-undang.

Pada masa yang sama, terdapat juga kesedaran dan perbincangan tentang bagaimana syarat-syarat kerakyatan baru tersebut boleh membawa kepada masalah kanak-kanak tanpa warganegara. Konteks ini yang membentuk Seksyen 1(e) dan beberapa perlindungan lain yang diperkenalkan ke dalam Pelembagaan untuk mencegah masalah orang tanpa kewarganegaraan. 

“Perubahan prinsip jus soli […] tidak akan terpakai kepada mana-mana situasi di mana seorang kanak-kanak akan menjadi orang tanpa kerakyatan sebagai akibatnya,” kata Tunku Abdul Rahman semasa sesi debat parlimen pada tahun 1962.

Meskipun niat asal kerajaan  bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman adalah untuk mencegah isu orang tanpa kerakyaktan dengan memperkenalkan seksyen 1(e) dan perlindungan-perlindungan lain, ia tidak digunakan secara proaktif oleh JPN untuk mengelakkan  situasi tiada kerakyatan yang meluas di Malaysia.

Sebagai konteks tentang sejauh mana masalah orang tanpa kerakyatan masih belum ditangani, pertubuhan Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Luar Bandar (DHRRA) telah mengenal pasti 16,392 orang tanpa warganegara di Semenanjung Malaysia melalui sebuah kajian yang dilakukan dari tahun 2016 hingga bulan Jun 2023.

Dengan bantuan DHRRA, 7,000 orang telah mendapat kewarganegaraan Malaysia, tetapi 9,392 orang masih terumbang-ambing  dalam situasi  tanpa warganegara.

Data ini hanya menunjukkan sebahagian kecil masalah tiada kerakyatan. Skala situasi tiada kerakyatan yang sebenar mungkin lebih tinggi kerana DHRRA tidak mendaftarkan komuniti Orang Asli yang tanpa kerakyatan atau orang tanpa negara di Sabah, Sarawak dan Labuan disebabkan kekurangan sumber.

Keengganan pihak kerajaan untuk menggunakan seksyen 1(e) atau  jalan lain untuk menyelesaikan masalah tiada kerakyatan, membuat anak kelahiran Sabah bernama Wong Kueng Hui terpaksa membawa kes kerakyatannya ke mahkamah. 

Dilahirkan luar nikah kepada bapan warganegara Malaysia dari Sarawak dan ibu keturunan Bugis yang berkemungkinan besar warganegara Indonesia, Wong tidak layak mendapat kewarganegaraan Malaysia secara automatik meskipun  tinggal di Malaysia seumur hidupnya.

Kes Wong juga bertambah rumit kerana  kanak-kanak kelahiran luar nikah antara bapa warganegara Malaysia dan ibu warga asing dianggap sebagai anak “tak sah taraf” dan harus mengikut kewarganegaraan ibu mereka.

Malaysia ialah salah satu daripada dua negara di dunia yang mendiskriminasi lelaki yang tidak berkahwin dengan menafikan hak mereka untuk mewariskan hak kewarganegaraan kepada anak mereka.

Nota: Infografik Kelayakan Kewarganegaraan JPN 2021 dalam Bahasa Melayu. Tiga perkara penting: (a) kanak-kanak kelahiran luar nikah kepada ayah warganegara Malaysia dan ibu warga asing tidak layak mendapat kewarganegaraan secara automatik, (b) kanak-kanak yang menjadi anak angkat tidak layak mendapat kewarganegaraan secara automatik, seperti yang diterangkan dalam *nota, (c ) tiada kegunaan Seksyen 1(e) bagi kanak-kanak tanpa warganegara untuk mendapat kewarganegaraan.

Pada umur 12 tahun, Wong telah membuat permohonan kewarganegaraan di  JPN, tetapi ia ditolak sebanyak dua kali. Kerajaan tidak membangkitkan seksyen 1(e) secara automatik dalam proses penentuan kewarganegaraannya walaupun dia tidak pernah mempunyai kewarganegaraan dari mana-mana negara lain. Hanya selepas dia melawan peguam-peguam Kementerian Dalam Negeri hingga ke Mahkamah Rayuan, dia akhirnya diisytiharkan sebagai warganegara Malaysia melalui pelaksanaan undang-undang berdasarkan Seksyen 1(e).

Sejak beberapa tahun ini, bukan sahaja Wong yang terpaksa melawan di mahkamah untuk kewarganegaraan mereka.

“Terdapat satu perkembangan kehakiman di mana mahkamah Malaysia akan mengisytiharkan individu-individu tersebut sebagai warganegara Malaysia  bawah seksyen 1(e), selagi mereka lahir di Malaysia dan tidak mendapat kewarganegaraan dari negara lain,” Jasmine Wong, Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Wanita (AWL) memberitahu  New Naratif tentang laluan mahkamah yang  melindungi orang tanpa warganegara. Beliau  telah mengendalikan lebih daripada 50 kes mahkamah  bawah seksyen 1(e) sejak dua tahun lepas.

“Jika Seksyen 1(e) dimansuhkan, situasi tiada kerakyatandi Malaysia tidak akan dibanteras, malahan akan bertambah teruk,” kata Jasmine Wong.

Memansuhkan Hak Kerakyatan bagi Kanak-Kanak Terbiar: Seksyen 19(b)

“…mana-mana  kanak-kanak  baru lahir yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan di mana-mana tempat hendaklah  dianggap,  sehingga  dibuktikan  sebaliknya,  telah  lahir  di  tempat  itu  dan  ibunya  bermastautin  secara  tetap  di  tempat  itu…”

Seksyen 19(b), Bahagian III, Jadual Kedua, memberi panduan tambahan tentang siapa yang dianggap sebagai warganegara melalui pelaksanaan undang-undang

Seksyen 19(b) menyatakan bahawa kanak-kanak baru lahir yang dijumpai ditinggalkan di mana-mana tempat–dalam erti kata lainnya, kanak-kanak terbiar–akan dianggap sebagai dilahirkan oleh ibu yang berstatus pemastautin tetap Malaysia hingga dibuktikan sebaliknya. Menurut Perlembagaan, kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu pemastautin tetap Malaysia adalah berwarganegara Malaysia melalui pelaksanaan undang-undang.

Seperti langkah regresif terhadap Seksyen 1(e), Kementerian Dalam Negeri telah mencadangkan untuk mengubah kata-kata “melalui pelaksanaan undang-undang” kepada “melalui pendaftaran”. Kesannya, hak kerakyatan kanak-kanak terbiar  akan tertakluk kepada budi bicara Kementerian, tanpa pengawasan mahkamah.

Apa yang dipertaruhkan dengan cadangan pindaan ini adalah hak kerakyatan automatik bagi kanak-kanak tanpa negara yang terbiar, yang diperdagangkan atau yang dijual.

Malangnya, kita tidak dapat memberi anggaran tepat jumlah kanak-kanak terbiar yang tiada warganegara di Malaysia, kerana kerajaan tidak mempunyai data berkenaan orang tanpa warganegara. Apa yang kita tahu adalah di Malaysia, secara purata, seorang bayi akan ditinggalkan setiap tiga hari.

Lebih daripada 1,250 bayi telah dilaporkan sebagai ditinggalkan antara tahun 2010 hingga 2022, dan lazimnya mereka akan ditinggalkan di dalam kotak perlindungan bayi atau di ruang-ruang seperti longkang, tandas awam, dan tempat buang sampah.

Setakat 31 Disember 2021, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melaporkan sebanyak 1,726 kanak-kanak yang tinggal di 15 rumah perlindungan mereka, tetapi kita tidak tahu berapa ramai daripada mereka adalah kanak-kanak terbiar tanpa warganegara. Tambahan pula, bukan semua kanak-kanak dapat membesar di rumah perlindungan, kerana sebahagian daripada mereka mungkin dibesarkan oleh keluarga angkat warga Malaysia dan hidup dalam keadaan tanpa warganegara. 

Perubahan kepada Seksyen 19(b) tidak memulihkan zaman kanak-kanak yang direnggut trauma, sebaliknya ia akan merampas hak asasi kanak-kanak terbiar untuk mendapat kerakyatan–hak yang memberikan mereka hak-hak lain dan juga membuka laluan kepada keperluan-keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Jauh daripada mengubati duka kanak-kanak ini, malah ia seperti menabur garam pada luka mereka.

Cadangan pindaan ini juga membatalkan sebuah keputusan mercu tanda Mahkamah Persekutuan pada tahun 2021 yang mengesahkan perlindungan bagi kanak-kanak terbiar kelahiran Malaysia. Panel yang terdiri daripada lima Hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes CCH dan Anor telah sebulat suara mendukung Seksyen 19(b) dalam menjamin kewarganegaraan kanak-kanak terbiar di Malaysia.

Kes tersebut melibatkan seorang bayi yang lahir pada tahun 2004 di Cheras, Malaysia. Diberi nama samaran CYM di mahkamah, dia telah ditinggalkan semasa lahir di hospital dan identiti ibu bapa kandungnya tidak diketahui. Setelah mendengar berita tentang CYM, satu pasangan berwarganegara Malaysia telah mengambilnya  sebagai anak angkat mereka. 

Tetapi apabila CYM berusia 12 tahun, kewarganegaraannya telah dinafikan apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) enggan memberikannya kad pengenalan biru atau MyKad. Hal ini demikian kerana CYM tiada pertalian darah dengan ibu bapa angkatnya. 

Kemudian, JPN juga mengeluarkan dua sijil lahir baru berturut-turut untuk CYM, sijil pertama mengubah status kewarganegaraannya daripada “warganegara Malaysia” kepada “masih belum ditentukan” dan sijil kedua mengubah statusnya kepada “bukan warganegara”.

Dalam konteks tersebut, ibu bapa angkat CYM telah mengambil tindakan mahkamah terhadap JPN ke tiga peringkat mahkamah–Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan–dengan membawa hujahan bahawa CYM adalah warganegara Malaysia melalui pelaksanaan undang-undang.

Pada mulanya, ibu bapa CYM menggunakan hujahan berdasarkan Seksyen 1(e), tetapi Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan sebulat suara yang CYM ialah warganegara Malaysia melalui pelaksanaan undang-undang mengikut Seksyen 19(b).

Mereka mendapati CYM telah “dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan”, seperti yang tertulis di  Seksyen 19(b), di mana mereka berpendapat maksudnya ialah “kanak-kanak yang ditinggalkan di tempat lahir mereka oleh ibu kandung yang identitinya tidak diketahui”.

Keputusan ini adalah sebuah keputusan mercu tanda kerana buat julung kalinya, para hakim telah menggunakan seksyen 19(b) untuk melindungi dan mendukung hak kewarganegaraan automatik bagikanak-kanak terbiar. 

Malangnya, Kementerian Dalam Negeri masih belum mengubah amalan harian JPN untuk memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada kanak-kanak terbiar.  Malah, cadangan pindaan Kementerian untuk mengubah “melalui pelaksanaan undang-undang” kepada “pendaftaran” akan meleraikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang diperolehi dengan susah payah dan menerbalikkan hak kerakyatan kanak-kanak terbiar seperti CYM.

Memansuhkan Hak Kerakyatan bagi Anak-anak Pemastautin Tetap: Seksyen 1(a)

“Tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara atau bermastautin secara tetap di Persekutuan.”

Seksyen 1(a), Bahagian II, Jadual Kedua,
berkenaan siapa seorang warganegara melalui pelaksanaan undang-undang
Ilustrasi oleh Xiao Ming Tang

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, kanak-kanak yang lahir di Malaysia dan sekurang-kurangnya satu daripada ibu bapanya pemastautin tetap adalah warganegara Malaysia melalui pelaksanaan undang-undang.

Pada masa ini, Kementerian Dalam Negeri ingin menghapuskan frasa “bermastautin secara tetap” untuk menarik balik hak kewarganegaraan automatik bagi anak-anak pemastautin tetap. Sepertimana kumpulan-kumpulan yang terjejas oleh pindaan kepada 1(e) dan 19(b), sekali lagi ia bermakna laluan mereka untuk mendapatkan kewarganegaraan adalah dengan budi bicara kementerian.

Walaupun pindaan ini akan memberi kesan kepada anak-anak pemastautin tetap dari pelbagai budaya dan latar belakang sosio-ekonomik, ia  perkembangan yang membimbangkan, khususnya bagi generasi baharu komuniti tanpa kerakyatan  yang sudah tinggal di Malaysia sejak sebelum tahun 1957, dan juga bagi komuniti-komuniti orang asal.

Di Semenanjung Malaysia, kebanyakan  mereka ialah anak-anak komuniti India-Tamil yang membesar di estet-estet terpencil di luar bandar, tetapi mereka juga mungkin termasuk komuniti keturunan Cina dan Siam. Di Sabah dan Sarawak, pindaan ini akan memberi kesan kepada komuniti orang asal atau komuniti campuran orang asal yang telah membesar dalam konteks sejarah pulau Borneo yang kaya dan kompleks, penuh dengan pergerakan maritim, perkahwinan bercampur, dan pertukaran antara budaya.

Kerana tinggal di kawasan yang terpencil, kurang kesedaran, atau kemiskinan, komuniti-komuniti pra-Merdeka atau pra-Malaysia ini tidak mendaftar untuk sijil kelahiran atau sijil perkahwinan.

Di Semenanjung Malaysia, DHRRA pada masa ini sedang membantu lebih kurang 1,000 individu-individu pra-Merdeka tanpa warganegara untuk mendapat kewarganegaraan mereka.

Pihak berkuasa Malaysia tidak memberi kewarganegaraan kepada komuniti-komuniti ini, sebaliknya pihak berkuasa memberi status pemastautin tetap kepada mereka yang terpilih. Dengan pindaan ini, kerajaan akan menarik balik hak kewarganegaraan automatik bagi anak-anak mereka—hak yang melindungi mereka daripada mewarisi masalah tiada kerakyatan.

Pindaan ini juga secara tidak langsung merampas hak kewarganegaraan automatik bagi kanak-kanak terbiar, di mana, seperti dibincangkan sebelum ini, mereka patut dianggap sebagai anak kepada ibu pemastautin tetap selagi tidak dibuktikan sebaliknya mengikut Seksyen 19(b).  

Merendahkan Had Umur Kanak-Kanak untuk Memohon Kewarganegaraan: Perkara 15A

“…Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkan patut, menyebabkan mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun didaftarkan sebagai warganegara.”

Perkara 15A,
memberi kuasa budi bicara luas kepada Kementerian Dalam Negeri untuk memberi warganegara kepada individu bawah umur 21 tahun.

Pada masa ini, kebanyakan kanak-kanak tanpa warganegara hanya boleh memohon kewarganegaraan melalui Perkara 15A. Hanya mereka yang berumur bawah 21 tahun boleh menggunakan laluan ini.

Cadangan kerajaan adalah untuk menukar had umur tersebut dari “dua puluh satu tahun” ke “lapan belas tahun”.

Ini bermakna apabila mereka mencapai umur 18 tahun, mereka perlu membuat permohonan proses naturalisasi, iaitu satu  lagi cara untuk memohon kewarganegaraan dengan kaedah pendaftaran. Namun, kebanyakan komuniti tanpa warganegara tidak dapat menggunakan laluan ini kerana kriterianya ketat dan prosesnya rumit. Pada masa ini, individu tanpa kewarganegaraan perlu mendapat surat kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri sebelum Jabatan Pendaftaran Negara boleh memproses permohonan naturalisasi mereka. Ini adalah satu halangan tambahan berdasarkan budi bicara yang sukar diatasi.

Oleh itu, sementara tiga pindaan pertama akan mengalirkan komuniti-komuniti tanpa kerakyatan ke arah proses permohonan kewarganegaraan melalui budi bicara kementerian, pindaan keempat ini pula akan menekan mereka lagi dengan mengehadkan masa mereka untuk melengkapkan permohonan kewarganegaraan yang sememangnya mengambil masa yang lama dan penuh dengan kerumitan.

Purata masa untuk mendapat keputusan daripada Kementerian Dalam Negeri tentang pemohon 15A adalah 3-6 tahun, dan kemungkinan besar permohonan pertama mereka akan ditolak. Selepas itu, mereka perlu memulakan semula proses tersebut.

Jika terjadi dua atau tiga halangan yang melengahkan proses tersebut, ia akan menyebabkan masalah tiada kerakyatan bagi kanak-kanak itu dibawa ke usia dewasa, khususnya bagi mereka dengan ibu bapa yang tidak mampu membaca, atau tidak memahami jangka masa satu permohonan tersebut.

Mengancam Kewarganegaraan Isteri Warga Asing: Perkara 26(2)

“Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15 jika berpuas hati bahawa perkahwinan yang disebabkan oleh perempuan itu didaftarkan telah dibubarkan, melainkan disebabkan oleh kematian, dalam tempoh dua tahun mulai dari tarikh perkahwinan itu.”

Perkara 26(2),
menjelaskan syarat bagi seorang isteri warga asing dilucut kewarganegaraannya

Pindaan terakhir adalah tindakan Kementerian Dalam Negeri untuk memudahkan kewarganegaraan isteri warga asing dilucutkan.

Pada masa ini, salah satu daripada syarat untuk melucut kewarganegaraan seorang isteri warga asing1 adalah jika perkahwinannya dibubarkan dalam tempoh dua tahun dari tarikh perkahwinan. Ini diwujudkan untuk mencegah perkahwinan semata-mata untuk memperoleh kerakyatan.

Kementerian Dalam Negeri kini mencadangkan untuk memberi kuasa kepada kementerian untuk melucut kewarganegaraan isteri warga asing jika perkahwinannya dibubarkan dalam tempoh dua tahun dari tarikh mereka mendapat kewarganegaraan.

Oleh itu, jika perkahwinan isteri warga asing itu dibubarkan dua tahun selepas menerima kewarganegaraan Malaysia, iaitu lebih lama dari tarikh perkahwinannya, pihak kerajaan boleh melucutkan kewarganegaraan tunggal wanita tersebut—kerana Malaysia tidak membenarkan rakyatnya mempunyai lebih daripada satu warganegara.

Family Frontiers menulis  dalam surat terbuka mereka: “Ia mendedahkan isteri warga asing kepada bahaya keganasan dan penganiayaan tanpa apa-apa jalan untuk melepaskan diri  tanpa mempertaruhkan kewarganegaraan mereka.”

Dengan kata lain, pelanjutan jangka masa tersebut menghasilkan dinamik kuasa baru  antara suami warga Malaysia dan isteri warga asingnya. Dengan kerakyatannya diancam, isteri warga asing tersebut berdepan dengan tekanan untuk tidak membubarkan perkahwinannya, walaupun mengalami penganiayaan atau keganasan rumah tangga.

Masalah dengan Rasional Kementerian

Lima pindaan ini tidak akan menyelesaikan masalah  tiada kerakyatan, sebaliknya akan memburukkan lagi masalah ini. 

Jadi mengapa Kementerian Dalam Negeri ingin membentangkan cadangan-cadangan ini?

Ilustrasi oleh Xiao Ming Tang

Niat tersirat sukar ditafsir, tetapi terdapat dua faktor yang mungkin mendorong  perubahan tersebut: kawalan penduduk dan keselamatan negara. 

Mengikut New Straits Times, Menteri Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa salah satu daripada rasional untuk cadangan-cadangan Kementerian ini adalah untuk mengawal jumlah penduduk Sabah. Beliau berkata  bawah pelaksanaan terkini Majlis Keselamatan Negara, penduduk yang telah tinggal di Sabah selama 15-30 tahun akan diberi status pemastautin tetap. Ini juga bermakna anak-anak mereka akan diberi kewarganegaraan secara automatik.

“Ini telah menambah jumlah penduduk Sabah, dan kami berhadapan dengan masalah hingga kini.  Penduduk terlalu ramai, jadi kami mahu amalan ini dihentikan,” beliau menjelaskan dengan lebih lanjut.

Anggapannya adalah dengan mengawal jumlah anak-anak pemastautin tetap yang menerima kewarganegaraan, ini akan mengurangkan jumlah penduduk.

Tetapi anggapan ini bermasalah kerana sesiapa yang sudah tinggal di negara ini selama 15-30 tahun, pasti sudah ada pelbagai rangkaian hubungan dan pertalian persaudaraan yang mendalam di Malaysia.

Setelah membina kehidupan di Malaysia, sukar untuk keluarga-keluarga inimeninggalkan Malaysia selain mereka dipindahkan secara paksa. Dasar baru ini tidak akan mengurangkan jumlah penduduk, tetapi hanya mengubah terma penempatan mereka – sama ada penempatan mereka berdaftar ataupun tidak. Jika kanak-kanak yang membesar di sini serta keluarga mereka diusir dengan kejam dan dihantar ke tempat lain, di manakah “tempat lain” ini, sedangkan kawan-kawan dan  saudara mara mereka memang sudah bertahun-tahun di Malaysia? 

Jawatankuasa khas Kementerian Dalam Negeri telah menghubung kait isu ini dengan isu keselamatan negara.

Walaupun keselamatan itu penting, cadangan mengetatkan lagi undang-undang kewarganegaraan yang sudah pun ketat akan mengalirkan ramai orang ke dalam masalah tiada kerakyatan dan situasi-situasi berbahaya.  Tindakan ini tidak akan memperkukuh keselamatan negara, sebaliknya memaksa komuniti tanpa kerakyatan  hidup senyap-senyap, tanpa dikesan. Kanak-kanak tanpa kerakyatan akan lebih terdedah kepada pemerdagangan manusia, pengaruh kumpulan-kumpulan samseng, dan situasi-situasi berbahaya. 

Intipati lima perubahan ini juga adalah usaha Kementerian Dalam Negeri untuk mengembangkan kuasa budi bicara mereka untuk memutuskan siapa yang layak menjadi warganegara  Malaysia.

Sementara Menteri Kementerian Dalam Negeri Saifuddin Nasution bertegas untuk mempercepatkan keputusan-keputusan kewarganegaraan di mejanya, suatu yang patut dipuji, usaha untuk memperluaskan kuasa budi bicara kementerian sambil menyekat  kemampuan mahkamah untuk menyelia kuasa ini adalah memudaratkan dalam jangka masa panjang.

Langkah ini memperjudikan kehidupan ramai orang dengan meletakkan mereka bawah pengaruh segelintir yang sentiasa berubah. Walaupun pada masa ini, Menteri Kementerian Dalam Negeri sanggup melindungi kanak-kanak tanpa warganegara, tiada jaminan bahawa menteri-menteri akan datang akan mempunyai nilai-nilai, kesungguhan politik, atau pandangan yang sama. Sekurang-kurangnya dengan penyeliaan mahkamah, apa-apa salah-guna kuasa, tindakan melampaui bidang kuasa, atau kesilapan oleh Kementerian Dalam Negeri dapat diperbetul dan diimbangkan.

Lebih-lebih lagi, walaupun usaha untuk mempercepatkan keputusan permohonan itu dialu-alukan sebagai penyelesaian jangka pendek, ia hanya menunjukkan betapa banyak masalah yang telah membebani proses permohonan kewarganegaraan berdasarkan budi bicara selama berdekad.

Dalam laporan SUHAKAM tentang  tiada kerakyatan yang diterbitkan pada tahun 2023, penyelidik-penyelidiknya  menggambarkan proses memohon kewarganegaraan berdasarkan budi bicara sebagai suatu proses yang memerlukan “tahap ketabahan tertinggi” dengan “satu beban yang terlalu berat untuk dipikul oleh mana-mana manusia”.

Berdasarkan pengalaman hidup komuniti-komuniti tiada kerakyatan, mereka mendapati proses budi bicara tersebut tidak jelas, sukar difahami, tertutup, mengelirukan, korup, sentiasa berubah, rumit, tidak munasabah, dan sarat dengan kos-kos yang tersembunyi.

Budi bicaralah yang memaksa seorang individu tanpa warganegara terjerumus ke dalam mimpi ngeri proses permohonan kewarganegaraan yang mengambil masa tiga puluh tahun.

“Saya mencuba sejak tahun 1988,” seorang individu tanpa kewarganegaraan berumur 56 tahun memberitahu penyelidik-penyelidik tersebut. “Ia amat menyusahkan diri saya. Sebelum ini ada yang menipu saya dengan mengatakan mereka akan membantu saya menyelesaikan isu ini dengan bayaran RM600, tetapi mereka sebenarnya tidak membantu saya.”

Budi bicara dalam tempoh permohonan kewarganegaraan yang tidak jelas mengakibatkan kemudaratan dari segi fizikal, psikologi, dan ekonomi terhadap komuniti-komuniti tanpa kerakyatan. Ia termasuk perasaan takut dan kerunsingan yang berpanjangan, kelengahan persekolahan, risiko diperdagang dan diseludup, risiko diusir semasa di sekolah, dan halangan untuk  membuka akaun bank.

Beberapa pemohon tanpa kerakyatan  juga berasa ingin membunuh diri, menurut penyelidik-penyelidik.

“Tak, saya taktahu apa nakbuat,” kata seorang individu tanpa warganegara yang ditinggalkan waktu dia dilahirkan. “Saya pernah berfikir untuk pergi ke Istana dan berjumpa dengan Sultan. Saya ingin memberitahu yang ada rakyatnya tiada warganegara. Ini menyebabkan saya rasa murung.”

“Tetapi kerana saya seorang Muslim dan percaya kepada Allah, apa-apa pun yang terjadi [walaupun ia tidak berjaya] saya akan menerimanya secara positif. Saya tidak boleh berfikir negatif nanti saya akan bunuh diri.”

Selain daripada bergantung pada proses budi bicara yang sentiasa berubah, kita perlu membina sistem permohonankewarganegaraan yang adil, cepat, telus, dan mengambil kira kehidupan dan cabaran komuniti-komuniti tanpa kerakyatan  yang lahir di Malaysia.

Apa yang boleh Dilakukan secara Demokratik?

Pada masa tulisan ini, pihak kerajaan menyatakan niat mereka untuk membentangkan cadangan pindaan-pindaan ini kepada Majlis Raja-Raja selepas pilihan raya negeri. Ini berdasarkan Perkara 159(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan apa-apa pindaan terhadap beberapa perkara, seperti yang menyentuh hak kewarganegaraan, mendapat perkenan diraja, dan keizinan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak. Hanya dengan perkenan  tersebut, cadangan ini akan dibentang di parlimen.

Saya telah berbincang dengan Maha Balakrishnan, seorang pakar proses parlimen, tentang apa yang boleh dilakukan. Isi nasihatnya adalah supaya orang awam dan pihak masyarakat sivil terus membuka ruang untuk berbincang dan mendebat pindaan-pindaan yang dicadangkan. Selagi cadangan tersebut belum diwartakan sebagai undang-undang, ia tidak muktamad.

Daripada perbincangan kami, di dalam masa sebelum atau selepas cadangan tersebut dibentangkan, langkah-langkah yang boleh diambil adalah seperti berikut:

  • Desak pihak kerajaan untuk memisahkan cadangan pindaan tersebut kepada dua pindaan yang berasingan. Pindaan pertama adalah untuk membenarkan ibu-ibu warga Malaysia, yang berkahwin dengan warga asing, untuk mewariskan kewarganegaraannya secara automatik kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara. Pindaan kedua adalah berkenaan pindaan-pindaan yang dipersoalkan. Ini akan memberi lebih masa kepada semua yang terlibat – Jawatankuasa Khas Kementerian Dalam Negeri, organisasi masyarakat sivil, dan orang awam – untuk mendebat dan berbincang tentang perubahan-perubahan penting ini. Langkah ini hanya releven semasa cadangan tersebut belum mendapat perkenan diraja.
  • Berbincang dengan wakil rakyat daripada semua parti politik berkenaan isu ini. Semasa musim pilihan raya, kemungkinan besar ramai wakil rakyat belum memahami isi kandungan dan impak pindaan-pindaan yang dicadangkan, kerana isi kandungannya yang kompleks dari segi teknikal, dan proses yang tidak jelas dan tergesa-gesa. Kehidupan kanak-kanak dan komuniti-komuniti tanpa kewarganegaraan bukan isu berpihak kepada mana-mana parti politik.
  • Hubungi dan ketengahkan isu ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) yang berkait. JPKP adalah satu bahagian penting dalam proses parlimen; ia jawatankuasa yang dianggotai ahli-ahli parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang  dan mempunyai kuasa untuk menyuarakan soalan-soalan yang sukar, memastikan ada perbincangan penuh dan mendalam berkenaan apa-apa undang-undang yang dicadangkan, mengambil kira pendapat komuniti dan ahli pakar, dan memberi cadangan untuk apa-apa perubahan dalam undang-undang tersebut. Dua jawatankuasa yang berkaitan adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang diketuai YB William Leong dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita Dan Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial yang diketuai oleh YB Yeo Bee Yin.

Oleh sebab cadangan-cadangan ini dibuat dengan tergesa-gesa dan tanpa perbahasan yang menyeluruh, ada keperluan untuk menganjurkan perbincangan mendalam tentang polisi dan program berkenaan bagaimana demokrasi kita dilaksanakan, supaya perubahan perlembagaan secara diam-diam ini tidak terjadi lagi pada masa hadapan. Ia tidak adil dan wajar bagaimana keputusan-keputusan penting dibuat oleh segelintir sahaja, sedangkan ramai yang akan terkesan, lebih-lebih lagi golongan terpinggir seperti komuniti-komuniti tanpa kerakyatan.

Saya akhiri dengan buah fikiran Professor Shad Saleem Faruqi, seorang pakar perlembagaan, yang menulis pendapatnya di akhbar Malay Mail supaya cadangan-cadangan penting dengan impak meluas  seperti ini sepatutnya disiarkan sebagai Kertas Putih untuk penilaian menyeluruh oleh rakyat negara sebelum ia dibentang kepada Majlis DiRaja-Raja atau Parlimen sebegitu awal. Ini akan membenarkan ahli-ahli pakar dan warga Malaysia yang prihatin untuk memberi pendapat mereka, sementara Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dapat melibatkan pihak berkepentingan dalam perundingan yang terperinci.

“Demokrasi bukan hanya  pilihanraya secara berkala,” beliau menulis. “ Perbincangan sebelum keputusan dibuat adalah syarat penting dalam tatanegara demokratik.”

“Sudah tiba masanya untuk demokrasi kita berkembang ke arah ini.”

Nota Kaki
  1. Cadangan pindaan Perkara 26(2) hanya meliputi isteri warga asing kerana Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan lelaki warga Malaysia mewaris kewarganegaraan Malaysia kepada isteri warga asingnya melalui pendaftaran. Ia tidak sama bagi wanita warga Malaysia, kerana mereka tidak boleh memberi kewarganegaraan Malaysia kepada suami warga asing mereka. Berdasarkan tahap pertama ketidaksamarataan tersebut, pindaan ini jatuh kepada isteri warga asing sahaja kerana suami warga asing tidak diambil kira samasekali. ↩︎
Sumber Pembelajaran

Satu lagi perkara yang boleh anda lakukan adalah sebarkan artikel ini secara meluas dan berbincang dengan rakan-rakan anda tentang masalah ketiadanegaraan di Malaysia. Saya telah mengumpul sebuah senarai sumber pembelajaran termasuk artikel & laporan, filem & rencana, podcast, dan acara berkaitan yang akan dilangsungkan.

Artikel & Laporan:

  • Documenting the Undocumented oleh Aime Marisa & Alanis Mah: Sebuah rencana NN yang mencatat perjalanan anak-anak kelahiran Sabah bernama Bina, Kyna dan Isabel dan bagaimana mereka dipaksa menjadi orang tanpa kewarganegaraan walaupun mempunyai pertalian persaudaraan, budaya sosial dan penempatan yang mendalam di Malaysia.
  • Young and Stateless in Sabah oleh Chen Yih Wen: Sebuah rencana NN tentang kehidupan Wong Kueng Hui dan kehancuran impiannya untuk menjelajah negara luar dengan kumpulan muzik “hardcore punk”, yang membesar dengannya, disebabkan oleh pergelutannya dengan masalah ketiadanegaraan.
  • Mothers Fight Sexism in Malaysia’s Citizenship Law oleh Liani MK: Sebuah rencana NN yang mencatat pertarungan ibu-ibu bernama Rachel Ng, Esther*, dan Rekha Sen dalam cubaan mereka untuk mendapat kewarganegaraan bagi anak-anak mereka dan melawan undang-undang kewarganegaraan yang berat sebelah.
  • SUHAKAM Report on Human Rights and Statelessness in Peninsular Malaysia oleh Melati Nungsari & Nicole Fong: Di dalam laporan 2023 ini, pengkaji-pengkaji SUHAKAM mencatat secara terpeinci pengalaman kehidupan komuniti-komuniti tiadanegara (p.153-221), sebab-sebab ketiadanegaraan (p.29-41 & p.68 – 92), dan penyelesaian-penyelesaian yang mungkin boleh dilaksanakan melalui polisi, program dan perundangan (p.239-273)
  • Understanding Statelessness in Malaysia oleh DHRRA: buku panduan yang menyediakan maklumat dan infografik tentang lapan kumpulan tanpa kewarganegaraan di Malaysia: individu tanpa kewarganegaraan pra-merdeka, anak-anak luar nikah dengan bapa warga Malaysia, anak-anak dengan ibu warga Malaysia di luar negara, kanak-kanak yang dijumpai, anak-anak angkat, orang asal Sama Bajau yang sentiasa bergerak dan separuh nomad dan migran meliputi beberapa generasi.
  • Navigating with a Faulty Map: Access to Citizenship Documents and Citizenship in Myanmar oleh Institute of Statelessness and Inclusion: Sebuah laporan kajian berkenaan cabaran orang dari pelbagai agama (Buddha, Kristian, Hindu, Muslim) dan etnik (Cina, Gurkha, Kayah, Rohingya, Tamil dan lain-lain) dalam mencapai kewarganegaraan/dokumentasi di Myanmar.
  • Laporan oleh Ida Lim: Saban tahun, wartawan Ida Lim telah menghasilkan banyak artikel-artikel tentang isu ketiadanegaraan di akhbar Malay Mail. Ia termasuk tentang kes-kes mahkamah, isu pengumpulan data di Parlimen, dan suara-suara masyarakat sivil.
  • Nomads of the sea: stateless Bajau face up to a future on land oleh Claudio Sieber. Esei foto berkenaan orang Bajau di akhbar Guardian.

Filem & Dokumentari:

Podcast:

Acara:

  • Persidangan berkenaan Ketiadanegaraan Sedunia pada 26 – 29hb Februari tahun 2024 di Taylors University, Malaysia: Sebuah persidangan dengan fokus terhadap tema-tema solidariti, keilmuan, dan perubahan, untuk menarik perhatian peserta-peserta yang mempunyai pengalaman kehidupan dan pembelajaran tentang isu tanpa kewarganegaraan dari seluruh dunia, untuk bertukar-tukar ilmu, perspektif, ilham, dan kemahiran.
Nota Penulis

Penulisan artikel ini rumit disebabkan oleh semua terma perundangan yang terbabit, percanggahan di antara apa yang tertulis dan yang dilaksanakan dalam undang-undang, dan kekurangan data pihak kerajaan yang teruk berkenaan ketiadanegaraan. Menulis artikel ini juga menimbulkan perasaan amarah tentang bagaimana sistem perundangan itu sering susah untuk difahami dan tidak terbuka kepada semua, walaupun ia mempengaruhi kehidupan harian kita – dalam kes ini, hak asasi, rasa persaudaraan, dan kewarganegaraan rasmi kanak-kanak kelahiran Malaysia. Saya bersyukur kepada nota, pimpinan, dan bantuan dari Maalini Ramalo dari Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Luar Bandar (DHRRA), Jasmine Wong dari Persatuan Peguam Wanita (AWL), Maha Balakrishnan, Kuan Kin Chong dari Stateless Malaysian Citizenship Movement (SMCM), Song Eraou, Felo Perunding New Naratif Rafik Merzouk, Dr Hartini Zainuddin dari Yayasan Chow Kit, Larissa Ann Louis, dan Ranee Sreedharan.

Bookmark (0)
ClosePlease login

Related Articles

Media yang Melek Gender: Temuan dari Malaysia, Singapura, dan Brunei


Pendahuluan

Mengingat wilayah Asia Tenggara menaungi berbagai praktik, wadah, maupun batasan-batasan bermedia, tidak mudah untuk menjawab pertanyaan ini. Berdasarkan metodologi yang telah diterapkan di Seri 4, Terbitan 1, kami melakukan wawancara mendalam dan semi-terstruktur untuk menyelidiki tema penting dalam kebebasan bermedia, yakni pengalaman berbasis gender dan kaum marginal, untuk memahami proses pembuatan berita sebagai spektrum pengalaman kerja nyata yang melibatkan pembaca, jurnalis, editor, dan produser. Jika gender menjadi “bingkai utama yang tak disadari untuk memahami orang lain dalam suatu interaksi” (Fisk & Ridgeway, 2018, h. 158), maka amatlah penting untuk mewadahi pengalaman-pengalaman para pembuat berita dengan gender dan seksualitas yang terpinggirkan.

Siapa yang bisa disebut sebagai pembuat berita?

Mengingat wilayah Asia Tenggara menaungi berbagai praktik, wadah, maupun batasan-batasan bermedia, tidak mudah untuk menjawab pertanyaan ini. Berdasarkan metodologi yang telah diterapkan di Seri 4, Terbitan 1, kami melakukan wawancara mendalam dan semi-terstruktur untuk menyelidiki tema penting dalam kebebasan bermedia, yakni pengalaman berbasis gender dan kaum marginal, untuk memahami proses pembuatan berita sebagai spektrum pengalaman kerja nyata yang melibatkan pembaca, jurnalis, editor, dan produser. Jika gender menjadi “bingkai utama yang tak disadari untuk memahami orang lain dalam suatu interaksi” (Fisk & Ridgeway, 2018, h. 158), maka amatlah penting untuk mewadahi pengalaman-pengalaman para pembuat berita dengan gender dan seksualitas yang terpinggirkan.

Members only

Log in or

Join New Naratif as a member to continue reading


We are independent, ad-free and pro-democracy. Our operations are member-funded. Membership starts from just US$5/month! Alternatively, write to [email protected] to request a free sponsored membership. As a member, you are supporting fair payment of freelancers, and a movement for democracy and transnational community building in Southeast Asia.

Bookmark (0)

Close

Please login

Bookmark (0)
ClosePlease login

Bahaya Ketergantungan Filipina Mengeksploitasi Warganya Sendiri

Pemerintah Filipina memulai ekspor buruh sebagai langkah darurat demi mengentaskan kesenjangan sosial, namun mereka kini makin agresif mengekspor warga negaranya sendiri. Migrasi buruh memang menjadi solusi jangka pendek untuk masalah ekonomi bagi para keluarga pekerja migran, serta telah membawa manfaat bagi negara-negara pemberi kerja, elit lokal, dan pemerintah. Namun masalah jangka panjang terus mengintai para pekerja migran, warga Filipina, serta negeri tersebut.

Bookmark (0)
ClosePlease login

Responses