Mengembalikan “Undi Ketiga” Rakyat

Author: Kenneth Cheng, Clarence Kuna
Published:

Kenyataan “All politics are local” (Semua politik adalah berunsurkan tempatan) yang diungkap oleh bekas Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat iaitu Tip O’Neill  adalah bertujuan untuk menekankan bahawa politik, pada dasarnya, bertujuan untuk melibatkan diri dan menyelesaikan masalah duniawi rakyat.

Prinsip kekadaran (subsidiarity) pula merupakan prinsip di mana organisasi sosial yang terlibat dalam isu politik dan sosial perlu mengutarakan isu-isu ini di peringkat yang terdekat (ataupun di peringkat tempatan), bersamaan dengan resolusi mereka. Ini dikenali sebagai prinsip umum undang-undang Kesatuan Eropah.

Jika masalah perlu diselesaikan di peringkat tempatan, dan semua ahli politik adalah penduduk tempatan, maka ahli politik yang harus menyelesaikan masalah ini mesti tergolong dari ahli politik tempatan. Dalam erti kata lain, cara terbaik untuk kerajaan mengatasi masalah rakyat adalah dengan demokrasi tempatan: rakyat harus memilih wakil tempatan yang akan bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah mereka. Namun di Malaysia, demokrasi tempatan  tidak wujud semenjak pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan pada tahun 1965. Adakah ini membawa perubahan baik atau sebaliknya?

Dari pilihan raya kerajaan tempatan hingga kepada pilihan tempatan

Pilihan raya kerajaan tempatan yang terawal di Malaysia diadakan pada 4hb dan 20hb Disember 1857 di Georgetown, Pulau Pinang dan Kubu Melaka. Pilihan raya kerajaan tempatan ini ada kelemahannya dari sudut pandangan moden. Ianya terhad dari beberapa segi – pengundi mestilah tergolong dari pemilik hartanah dan harus membayar taksiran tahunan sebanyak 25 rupee – dan calon-calonnya pula diberi syarat yang tinggi untuk bertanding.[1] Namun pilihan raya kerajaan tempatan ini harus dinilai dari segi perlambangannya dan bukannya dari segi syarat-syaratnya. Prinsip-prinsip di mana wakil tempatan terlibat dalam membuat keputusan berkenaan isu tempatan dan memastikan bahawa majlis tempatan  terdiri daripada pilihan majoriti merupakan prinsip-prinsip penting yang diutarakan dalam pilihan raya ini, di mana ini telah diamalkan sebelum seratus tahun dari tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.

Malangnya, pilihan raya ini dimansuhkan pada tahun 1913[2] dan tiada penjelasan  diberi di sebalik pemansuhan ini, tetapi ianya mungkin disebabkan oleh peningkatan kemasukan pendatang asing yang mengubah pusat perbandaran. Sehingga awal tahun 1990an, majoriti penduduk di kawasan bandar terdiri daripada pendatang asing dari Indonesia, China dan India, tetapi pihak British tidak mahu memberi hak mengundi kepada mereka. Akan tetapi, jika hak mengundi tidak diberi, maka pilihan raya kerajaan tempatan ternyata sukar dijalankan. Oleh sebab itu, adalah lebih baik jika ianya dimansuhkan secara senyap.[3]

Selepas Perang Dunia Kedua, Pihak British mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan pada tahun 1951 dengan tujuan membiasakan penduduk Malaya dengan proses dan tatacara pilihan raya, dan ia sejurusnya memberi laluan untuk proses kemerdekaan Malaya pada ketika itu. Muka surat pertama laporan yang berjudul Report of the Introduction of Elections In the Municipality of George Town, Penang (tiada terjemahan Bahasa Malaysia), 1953 menyatakan bahawa:

Pengenalan pilihan raya demokratik moden, berdasarkan hak mengundi rakyat dewasa, telah dijalankan dengan lebih cermat. Ianya bermula dengan kerajaan tempatan dan akan, dalam masa terdekat, diperkenalkan di peringkat Majlis Penempatan, Negeri dan Persekutuan. Peralihan dari Kerajaan Tempatan yang birokratik kepada Majlis Perbandaran yang dilantik dari undi popular memupuk idea pendaftaran, latihan kepada anggota pendaftar dan pengundian, dan perlaksanaan pilihan raya demokratik yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu[4] .

Pilihan raya Perbandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952 merupakan satu faktor penting dalam pembentukan Parti Perikatan – iaitu gabungan parti politik yang bertanggungjawab dalam rundingan peralihan kuasa dari pihak British kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

Pembentukan Parti Perikatan merupakan satu kerjasama politik yang dibentuk dengan serta merta oleh Malayan Chinese Association (MCA) bahagian Selangor dan United Malayan National Organization (UMNO) bahagian Kuala Lumpur pada tahun 1952. Pada mulanya, “gabungan” tidak rasmi ini ditubuhkan untuk menangani ancaman dari parti berbilang bangsa Independence of Malaya Party(IMP) yang diketuai oleh Dato’ Onn Jaffar. Ianya ternyata berkesan apabila mereka memenangi sembilan dari 12 kerusi perbandaran pilihan raya Kuala Lumpur[5]
. Dari gabungan ini, Parti Perikatan ditubuhkan, dengan penyertaan Malayan Indian Congress (MIC) pada tahun 1954. Kemenangan besar Parti Perikatan dalam Pilihan raya Persekutuan 1955 (51 dari 52 kerusi yang dipertandingkan) telah meyakinkan pihak British bahawa Tanah Melayu kini stabil pada ketika itu, lantas memberi laluan kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Rakyat Malaya mengundi pada tahun 1952. Kredit: Youtube/Pathé

Pada tahun 1963, Persekutuan Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Borneo Utara dan Sarawak untuk membentuk Malaysia. Pembentukan ini di bantah keras oleh Presiden Sukarno, yang berpendapat bahawa pembentukan ini adalah rekaan British  yang hanya akan menguatkan lagi kuasa jajahan pihak British di rantau ini dan mengisytiharkan “Konfrontasi”. Oleh kerana ini, semua pilihan raya di Malaysia (yang dijadualkan pada tahun 1965) digantung. Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman meyakinkan orang awam bahawa penggantungan ini hanyalah sementara dan berjanji akan mengadakan pilihan raya “sejurus selepas keamanan dicapai”.[6]

Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk  Pihak Berkuasa Tempatan ditubuhkan pada tahun 1965 oleh kerajaan persekutuan, diketuai oleh bekas Senator Athi Nahappan, untuk mengkaji semula dan merombak sistem kerajaan tempatan di Malaysia bagi memperbaiki gerak kerjanya. Pada masa yang sama, satu laporan telah dikeluarkan pada tahun 1968 dan diterbitkan pada tahun 1970. Laporan tersebut menyeru kerajaan untuk menguatkuasakan prinsip pelantikan wakil yang dipilih dari pilihan raya untuk kerajaan tempatan. Akan tetapi, penggantungan pilihan raya masih lagi berkuat kuasa walaupun hubungan damai di antara Malaysia dan Indonesia telah tercapai. Pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan secara rasmi pada tahun 1976 dan ianya diganti dengan sistem pelantikan ahli majlis tempatan.

Athi Nahappan Report - New Naratif
Laporan Athi Nahappan – klik gambar untuk versi PDF (Bahasa Inggris)

Penggantungan dan Pemansuhan

Konfrontasi Malaysia/Indonesia menjadi sebab penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan pada tahun 1965, tetapi pada tahun 1964 Pilihan raya Umum telah dijalankan dengan aman, walaupun ianya lebih kompleks dan besar berbanding dengan pilihan raya kerajaan tempatan yang dijalankan pada kemuncak Konfrontasi. Juga, sebelum penggantungan umum pada tahun 1965, ahli majlis individu telah pun diambil alih oleh kerajaan negeri. Maka, justifikasi penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan, paling baiknya tidak sempurna dan lebih teruk lagi, tidak jujur.

Prestasi buruk Parti Perikatan pada pilihan raya kerajaan tempatan mungkin merupakan sebab mengapa pilihan raya ini digantung. Di peringkat kebangsaan, Pilihan raya Umum Kedua Malaya yang diadakan pada tahun 1959 merupakan kejutan besar untuk Parti Perikatan, terutamanya selepas kemenangan besar yang diperoleh parti tersebut pada tahun 1955.[7] Pada tahun 1959, Parti Perikatan hanya memperoleh 51.5% undi popular (turun 30.2% dari tahun 1955) dan hilang 30 kerusi setelah hanya hilang satu kerusi pada tahun 1955. Lebih mengejutkan lagi, ia hilang kawalan ke atas Terengganu dan Kelantan di peringkat negeri.[8]

Di peringkat tempatan, ibu kota negeri seperti Pulau Pinang dan Ipoh sering jatuh ke tangan pembangkang dan Parti Perikatan juga mengalami kekalahan mengejut apabila ia hilang kesemua 8 kerusi pada pilihan raya majlis di Pulau Pinang pada tahun 1956.[9]
Sokongan popular untuk Parti Perikatan semakin menurun di seluruh negara, dan majlis tempatan yang dikuasai pihak pembangkang menjadi tempat di mana lahirnya ahli-ahli politik pembangkang. Sementara itu, ia juga menyekat Parti Perikatan dari melaksanakan dasar-dasar mereka kerana sokongan yang kurang dan tidak kukuh.

Di sebalik kehilangan sokongan ini, pilihan raya kerajaan tempatan ibu kota persekutuan Kuala Lumpur merupakan pilihan raya yang pertama dimansuhkan dan diletakkan di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan dengan lulusnya Akta Ibu Kota Persekutuan 1960. Akta ini seterusnya memansuhkan semua pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur dan ianya diganti dengan  pesuruhjaya yang dilantik dan badan penasihat. Ini difahamkan sebagai langkah pertama kerajaan persekutuan  untuk melumpuhkan kebebasan kerajaan tempatan.[10] Ini diikuti dengan pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan di Seremban, Georgetown, Melaka, Johor Bahru dan Batu Pahat, di mana kuasanya diambil alih oleh kerajaan negeri.[11]

George Town Town Hall - New Naratif
Dewan Bandaran Pulau Pinang yang dibina pada tahun 1880 an menempatkan Pesuruhjaya Perbandaran George Town. By Vnonymous - Own work, CC BY-SA 4.0, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=58387357

Kerajaan persekutuan mengatakan bahawa tuduhan amalan  rasuah dan salah pengurusan merupakan sebab peralihan kuasa kepada kerajaan negeri dan pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan. Ini juga merupakan sebab rasmi di sebalik peralihan kuasa di Seremban, Johor Bahru, Georgetown dan Melaka. Dalam kes peralihan kuasa di Seremban, Suruhanjaya Siasatan Seremban mendapati bahawa salah pentadbiran dan salah urus berlaku di kalangan ahli majlis tempatan.[12]
Walaubagaimanapun, kes rasuah di Seremban merupakan satu-satunya kes yang terbukti secara rasmi terbabit dalam amalan rasuah yang mengakibatkan pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan.[13]
Kes-kes lain yang disyaki terbabit dalam salah urus pentadbiran pula akhirnya tidak terbukti ataupun tidak disiasat oleh pihak berkuasa terbabit.

Pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan yang diganti dengan sistem pelantikan merupakan cara yang berkesan untuk mengelakkan kerajaan persekutuan dan negeri dari merealisasikan visi pembangunan nasional oleh ahli majlis tempatan, tidak kira sama ada ianya penting ataupun relevan.

Ada juga kenyataan yang mengatakan bahawa ahli majlis tempatan kurang cekap dalam menyediakan perkhidmatan awam dan pengurusan kewangan.[14] Beberapa majlis, termasuk Perbandaran Melaka dan daerah luar bandar di Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan ketandusan dana kewangan.[15]

Namun kes ini merupakan satu pengecualian, kerana apa yang lebih ketara di sini adalah majlis tempatan dan kerajaan persekutuan/negeri sering bercanggah mengenai isu polisi. Sebagai contoh, konflik di antara pihak majlis dan kerajaan tempatan di Georgetown (ibu kota Pulau Pinang) – di mana pelbagai pertikaian berlaku, dari isu pihak majlis enggan menghiaskan bandar untuk Hari Kebangsaan sehinggalah isu membekalkan air ke kawasan rumah setinggan yang dijadualkan untuk penghapusan oleh kerajaan negeri[16] – telah memalukan pentadbiran Pulau Pinang. Projek besar yang pertama oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan yang dijadualkan di Kota Bahru pula di tangguh selama beberapa bulan oleh majlis perbandaran Kota Bahru.[17] Pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan yang diganti dengan sistem pelantikan merupakan cara yang berkesan untuk mengelakkan kerajaan persekutuan dan negeri dari merealisasikan visi pembangunan nasional oleh ahli majlis tempatan, tidak kira sama ada ianya penting ataupun relevan.

Berdasarkan semua peristiwa di atas, kita dapat lihat bahawa Parti Perikatan lebih cenderung kepada pemusatan kuasa[18] dan waswas dengan demokrasi tempatan[19] . Mereka juga melahirkan rasa ragu-ragu dengan sistem ahli majlis tempatan yang dipilih melalui pilihan raya dan menganggap bahawa ia merupakan satu kekangan terhadap kuasa dan kawalan mereka ke atas Malaya.

Adakah Pelantikan Lebih Baik?

Di bawah sistem pelantikan (yang masih digunakan sehingga sekarang), wakil kerajaan tempatan seperti Yang Dipertua, Datuk Bandar dan Ahli Majlis dilantik oleh kerajaan negeri. Senarai 2 Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa ke atas semua fungsi kerajaan tempatan, termasuklah pilihan raya kerajaan tempatan. Secara idealnya, sistem pelantikan akan mewujudkan ahli majlis yang lebih berkaliber, berbanding dengan ahli majlis yang dipilih melalui pilihan raya. Ahli majlis yang dilantik juga bebas dari politik partisan dan mereka juga boleh membuat keputusan yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik, dan mereka juga dipilih dari golongan individu yang berkebolehan, termasuklah mereka yang tidak berminat dalam pilihan raya berunsurkan politik.

Isu pengaruh parti politik di kalangan ahli majlis yang dipilih melalui pilihan raya telah pun dijangkakan dan ini dibincangkan secara terperinci dalam Bab 7-8 Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Menurut laporan tersebut (tiada terjemahan Bahasa Malaysia),

Sistem di Wilayah Persekutuan telah membawa keharmonian di antara Kerajaan Persekutuan dan Perbandaran Wilayah Persekutuan. Ini hanya boleh dicapai dengan pemansuhan majlis yang dipilih melalui pilihan rayadan digantikan dengan badan yang dilantik. Perubahan ini telah memperkenalkan perbincangan yang berasaskan merit perkara. Sebaliknya, ia telah menghapuskan janji pilihan raya yang tidak bertanggungjawab dan tidak relevan, parti yang berat sebelah dalam perbincangan dan keputusan di dalam majlis, kewujudan pembangkang hanya sebagai pembangkang sahaja dengan tidak mengambil kira kepentingan pembayar cukai, dan lain-lain fenomena psikologi, sebagai contoh, seloroh politik yang berkait dengan parti politik dalam majlis yang dipilih melalui pilihan raya.[20]

Dengan itu, cadangan untuk menggantikan ahli majlis yang dipilih melalui pilihan raya dengan ahli majlis yang dilantik dibuat dengan tujuan untuk menghapuskan politik partisan dari majlis tempatan – tetapi malangnya ini tidak berjaya. Sebaliknya, sistem ini telah melahirkan pemikiran ‘pemenang-mengambil-kesemuanya’ (winner-takes-all), di mana parti gabungan yang menguasai kerajaan negeri, secara de factomemperoleh hak untuk memilih ahli majlis dalam kerajaan tempatannya. Jadi, pelantikan pegawai oleh ahli-ahli politik yang terpilih bermakna parti politik masih mempunyai pengaruh ke atas ahli majlis tempatan. Ini boleh dibandingkan dengan sistem di USA, di mana pegawai tinggi kerajaan dilantik terus oleh Presiden. Ini langsung tidak menggambarkan pelantikan yang tidak dipengaruhi oleh politik partisan dan parti politik.

Dengan cara ini, parti politik akan senantiasanya terlibat dengan kerajaan tempatan, tidak kira jika kerajaan tempatan dilantik ataupun dipilih melalui pilihan raya. Kerajaan pula harus membuat keputusan yang kadangkalanya sukar apabila mereka perlu membahagikan sumber dan memilih pemenang. Dengan itu, pemilihan pegawai, sama ada melalui pelantikan ataupun pilihan raya selalunya dipengaruhi usur politik.

Satu cara yang lebih baik dalam menangani isu ini adalah dengan mengetengahkan kebertanggungjawaban, ketelusan dan kejelasan kepada rakyat dan pembayar cukai. Sistem pelantikan memberi satu pandangan yang mengelirukan terhadap kebertanggungjawaban pegawai. Lebih penting lagi, ia tidak mempunyai mekanisme yang cukup untuk membolehkan ahli majlis yang dilantik bertanggungjawab sepenuhnya ke atas konstituen mereka. Oleh kerana ahli majlis ini tidak dipilih melalui pilihan raya dan dengan itu tidak perlu menjawab kepada ahli politik atasan, mereka kurang mendapat insentif sekiranya mereka diperkenalkan kepada konstituen mereka. Maka tidak hairanlah jika kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengenali ahli-ahli majlis di kawasan mereka. Oleh sebab itu, Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjadi sasaran utama rakyat apabila mereka ingin mengutarakan masalah yang berlaku di kawasan-kawasan perumahan seperti pelupusan sampah haram dan saliran longkang yang tersekat, di mana masalah-masalah ini adalah di luar bidang tanggungjawab MP dan ADUN.

…parti politik akan senantiasanya terlibat dengan kerajaan tempatan, tidak kira jika kerajaan tempatan dilantik ataupun dipilih melalui pilihan raya.

Menurut kiraan yang dibuat oleh Forum Kerajaan Tempatan Komanwel (Commonwealth Local Government Forum – satu organisasi kerajaan tempatan peringkat global yang terdiri daripada pegawai-pegawai berkuasa tempatan, persatuan nasional yang terlibat dan kementerian yang bertanggungjawab terhadap kerajaan tempatan dari negara-negara Komanwel), jumlah perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan tempatan Malaysia dianggarkan sebanyak RM10,687 juta pada tahun 2017.[21] Ahli majlis tempatan harus bertanggungjawab ke atas perbelanjaan kerajaan tempatan tetapi dengan sistem pelantikan yang ada sekarang, tambahan pula dengan sistem ‘check and balance’ yang semakin merosot, ianya tidak berupaya untuk melaraskan dan memantau perbelanjaan kerajaan tempatan.

Tanpa kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam kerajaan tempatan, maka wujudlah budaya naungan politik di mana kontrak untuk projek infrastruktur dan lesen perniagaan diberi kepada individu yang mempunyai hubungan politik.

Salah satu contoh adalah laporan polis yang dibuat terhadap Mohd Noorhisyam Abdul Karim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (salah satu parti gabungan Pakatan Harapan yang kini merupakan kerajaan Malaysia), di mana beliau dituduh menyalahgunakan pengaruh politiknya untuk mendapatkan 80 lot bazar dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).[22] Noorhisyam dikatakan mendapat lesen ini dari DBKL dan dia kemudiannya menyewa lot-lot ini dengan harga yang sangat tinggi. Jika pilihan raya kerajaan tempatan diadakan di Kuala Lumpur sebelum kejadian ini berlaku, proses perolehan untuk lesen perniagaan sudah pastinya akan dibuat dengan lebih telus dan penuh tanggungjawab, dan ianya akan dipantau dengan teliti oleh orang awam. MP Bukit Bintang, Fong Kui Lun (Parti Tindakan Demokratik – DAP – juga parti gabungan Pakatan Harapan) mengaku bahawa pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur boleh mengelakkan kejadian seumpama ini dari berlaku  dan juga memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.[23]

Demokrasi tempatan merupakan satu bahagian yang penting di Malaysia

Laporan Nahappan membahaskan bahawa ahli majlis yang dipilih melalui pilihan raya memainkan peranan kritikal dalam menghubungkan kampung di luar bandar Malaysia dengan kerajaan demokratik yang makin berkembang pada tahun 1950an. Kampung dan kampung baru di Malaysia pada ketika itu lazimnya kurang mendapat tumpuan dari pihak pentadbiran dan mereka sering terdedah kepada pengaruh komunis. Namun, jika mereka diberi peluang untuk memilih ahli majlis tempatan, ini akan membolehkan mereka untuk menunaikan hak demokrasi dalam menguruskan hal ehwal sivik mereka. Dengan membolehkan mereka bertekad dengan sendiri melalui demokrasi, Nahappan berpendapat bahawa penduduk kampung akan dapat melihat “kebaikan sistem demokrasi dalam memupuk cara hidup yang lebih bersatu”, dan dengan itu dapat menjalin hubungan luas dengan negeri-negara Malaya. Boleh juga dikatakan bahawa demokrasi tempatan mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan budaya politik sebelum ia dimansuhkan pada tahun 1965.

Ianya sudah pasti bahawa kerajaan tempatan yang dipilih melalui pilihan raya di Malaya ada kelemahannya, tetapi prinsip demokrasi harus dipelihara dan diberi keutamaan, dan sistem ini juga harus diperbaiki, dan bukannya dimansuhkan sama sekali jika ianya menunjukkan kelemahan.

Tanpa mengambil kira penilaian Nahappan terhadap demokrasi tempatan, sistem pilihan raya kerajaan tempatan menampakkan keberkesanannya di beberapa kawasan dari segi pengurusan isu tempatan dan ia juga ternyata amat popular dari segi demokrasi. Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Ipoh (Perak) sering mendapat pujian atas pengurusan mereka yang cekap dan perlaksanaan perkembangan yang inovatif dengan sumbangan penting dalam peruntukan pasar, rumah sembelih, rumah kos rendah dan taman.[24] Laporan Nahappan (tiada terjemahan Bahasa Malaysia) menyatakan bahawa:

Perkara penting yang harus dicatat di sini adalah dengan apresiasi yang wujud di antara kedua-dua pihak berkuasa berlainan di bawah dua parti politik berbeza mengenai peranan, kuasa dan tugas, mereka boleh berfungsi bersama dengan rasa persefahaman dan muhibah. Pujian harus diberi kepada Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Perbandaran Ipoh.

Contoh ini menunjukkan bahawa kerajaan tempatan yang dipilih melalui pilihan raya amat berkesan jika ianya diberi peluang untuk berkembang dan kedua-dua pihak dapat bekerjasama dengan jujur dalam membantu kebajikan rakyat.

Sudah pasti bahawa kerajaan tempatan yang dipilih melalui pilihan raya di Malaya ada kelemahannya, tetapi prinsip demokrasi harus dipelihara dan diberi keutamaan, dan sistem ini juga harus diperbaiki, dan bukannya dimansuhkan sama sekali jika ianya menunjukkan kelemahan.

Jika politik partisan yang diamalkan selama ini menimbulkan konflik di antara badan kerajaan dan menyekat pertumbuhan ekonomi negara, maka jawapan untuk menyelesaikan situasi ini adalah dengan mencapai kata sepakat dan/atau memperbaiki bahagian yang terlibat. Jika jalan penyelesaiannya membabitkan pemansuhan perwakilan yang dipilih melalui pilihan raya peringkat kerajaan bawahan, maka kerajaan negeri yang diperintah pembangkang juga akan mengalami nasib yang sama, di mana perwakilan mereka dimansuhkan oleh kerajaan persekutuan dalam masa terdekat – dan kesemua perwakilan ini akan diganti dengan pegawai yang dilantik. Implikasi kesudahan yang logik tetapi pelik ini akan menjadi lebih jelas.

Di tengah-tengah perbahasan ini wujud pula anggapan palsu yang mengatakan bahawa demokrasi dan kecekapan adalah kepercayaan setara khas yang tidak akan dapat wujud bersama secara berkesan. Persaingan di antara kedua-dua fahaman ini di peringkat kerajaan tempatan membuatkan Malaysia mengabaikan demokrasi dan sebaliknya berhasrat untuk mencapai kecekapan namun menurut laporannya (tiada terjemahan Bahasa Malaysia) Athi Narappan menekankan bahawa:

Walaupun kecekapan adalah satu hasrat di sini, ia harus menjadi salah satu bahagian dalam proses demokratik yang membawanya bersama, bukan menjadi pemisahnya. Demokrasi dengan kecekapan lebih diingini dan lebih berkesan dari kecekapan tanpa demokrasi. Dalam misi untuk mencapai  demokrasi yang cekap, kita tidak harus membiarkan kesulitan menjadi penghalang dari mencapai matlamat ini.[25]

Sejak kebelakangan ini, ada desas desus yang mencadangkan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan, lebih dikenali sebagai pengembalian semula ‘undi ketiga’ rakyat Malaysia (‘undi pertama’ adalah pilihan raya persekutuan dan ‘undi kedua’ adalah pilihan raya negeri) akan dipulihkan semula. Pada tahun 2014, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang pada ketika itu di bawah pihak pembangkang membuat permohonan mahkamah untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan[26] tetapi mahkamah persekutuan seterusnya menolak permohonan itu. Semenjak itu, isu pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan tidak lagi diketengahkan oleh kedua-dua pihak politik.

Walaubagaimanapun, harapan masih lagi ada untuk pilihan raya kerajaan tempatan. Pilihan Raya Umum Ke-14 bersejarah yang membawa perubahan kepada tampuk pemerintahan buat kali pertama di Malaysia telah mengubah skop pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan.

Wakil Parlimen yang baru, Maria Chin Abdullah telah berjanji untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengkaji semula pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan.[27] Di peringkat kerajaan persekutuan pula, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baru iaitu Zuraida Kamaruddin juga telah berjanji akan membuat kajian terperinci mengenai perlaksanaan semula pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa tiga tahun.[28]

Sejarah dan perlaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan dan demokrasi tempatan jauh terpaut di zaman Malaya, dan perlaksanaan semula pilihan raya ini masih lagi dinanti-nanti. Sistem demokrasi di Malaysia telah diberi nafas baru apabila peralihan kuasa dilaksanakan dengan aman dan sempurna, namun kemajuan ke arah demokrasi tempatan masih lagi tidak kelihatan. Malaysia masih lagi menunggu ‘undi ketiga’ yang telah dilupakan sekian lama untuk menubuhkan kerajaan tempatan yang dipilih oleh rakyat, untuk rakyat dan yang terdiri dari rakyat.

Jika anda suka artikel ini dan ingin menyertai pergerakan kami untuk mewujudkan ruang untuk penyelidikan, dialog dan tindakan di Asia Tenggara, sila sertai New Naratif sebagai ahli – hanya US$52/tahun (US$1/minggu)!

Rujukan

[1] Nahapan, A. (1970). Report of the Royal Commission of Enquiry to Investigate into the Workings of Local Authorities in West Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Cetak Kerajaan, p.13.

[2]Ibid., p.14-15.

[3]Ibid.

[4]Rabushka, A. (1970). The Manipulation of Ethnic Politics in Malaya. Polity2(3), 349.

[5]Stubbs, R. (1979). The United Malays National Organization, the Malayan Chinese Association, and the Early Years of the Malayan Emergency, 1948–1955. Journal Of Southeast Asian Studies10(01), 82.

[6]“Off: All local elections”. The Straits Times, 2 March 1965, 1.

[7]Norris, M. (1980). Local government in peninsular Malaysia. Farnborough, Eng.: Gower, p.23.

[8]Smith, T. (1960). The Malayan Elections of 1959. Pacific Affairs33(1), 38-47

[9]Ibid.

[10]Wong, C., Chin, J., & Othman, N. (2010). Malaysia – towards a topology of an electoral one-party state. Democratization17(5), 941.

[11] Norris, M. (1980). Local government in peninsular Malaysia. Farnborough, Eng.: Gower, p.23.

[12]Nahapan, A. (1970). Report of the Royal Commission of Enquiry to Investigate into the Workings of Local Authorities in West Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Cetak Kerajaan, p.27.

[13]Tennant, P. (1973). The Decline of Elective Local Government in Malaysia. Asian Survey, 13(4), pp.362.

[14]Tennant, P. (1973). The Decline of Elective Local Government in Malaysia. Asian Survey, 13(4), pp.363

[15]Ibid., 364

[16]Norris, M. (1980). Local government in peninsular Malaysia. Farnborough, Eng.: Gower, p.24.

[17]Tennant, P. (1973). The Decline of Elective Local Government in Malaysia. Asian Survey, 13(4), pp.362.

[18]Wong, C., Chin, J., & Othman, N. (2010). Malaysia – towards a topology of an electoral one-party state. Democratization17(5), 941.

[19]Tennant, P. (1973). The Decline of Elective Local Government in Malaysia. Asian Survey, 13(4), pp.363

[20]Nahapan, A. (1970). Report of the Royal Commission of Enquiry to Investigate into the Workings of Local Authorities in West Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Cetak Kerajaan, p.98.

[21]http://www.clgf.org.uk/default/assets/File/Country_profiles/Malaysia.pdf

[22]https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/06/16/pribumi-lodges-police-report-over-ramadan-bazaar-allegations/

[23]https://www.edgeprop.my/content/1396007/local-polls-can-check-problems-ramadan-bazaar-controversy

[24]Norris, M. (1980). Local government in peninsular Malaysia. Farnborough, Eng.: Gower, p.25.

[25]Nahapan, A. (1970). Report of the Royal Commission of Enquiry to Investigate into the Workings of Local Authorities in West Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Cetak Kerajaan, p.102.

[26]https://www.thestar.com.my/news/nation/2014/08/15/no-to-penang-local-govt-elections-federal-court-rules-that-state-government-has-no-jurisdiction-over/

[27]https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/04/26/former-bersih-chief-maria-chin-unveils-manifesto/

[28]https://www.nst.com.my/news/nation/2018/05/373449/local-council-election-can-be-held-three-years-nsttv

Kenneth Cheng

Kenneth Cheng Chee Kin is an analyst at Political Studies Programme at Penang Institute. He researches on political economy, democratization and local elections in Malaysia.

Clarence Kuna

Clarence Kuna is an IT practitioner with over 15 years of field experience. He is also a theatre and movie actor who has worked under experienced directors and in renown productions.

If you enjoyed this article...

Join the movement and spread the love

If you enjoyed this article and would like to join our movement to create space for research, conversation, and action in Southeast Asia, please subscribe to New Naratif—it’s just US$52/year (US$1/week)!