A wall of Pudu Prison in Kuala Lumpur, before the prison complex was demolished beginning in 2009. Kojach/Flickr

Undang-undang Dadah Malaysia Menghukum Mati Wanita Rentan

Joey* bangun pada pukul 6 pagi setiap hari. Dia hanya ada satu jam untuk mandi dan bermeditasi sebelum para pengawal memulakan rutin pengiraan mereka. Selepas itu, sarapan disediakan. Jika bernasib baik, dia akan mendapat telur dan roti bakar. Tetapi biasanya, ia hanyalah sekeping roti dan segelas teh.

Nombor pengenalannya bermula dengan “BA”, yang bermaksud “bilik akhir”. Joey adalah seorang banduan akhir di Penjara Tapah, Malaysia.

Pada suatu pagi di pertengahan Julai, Joey telah mengadakan sebuah temu janji melalui Zoom dengan saya, iaitu peguam yang mengendalikan kes pengampunannya. Dia berkata bahawa dia tidak bersabar untuk berjumpa dengan saya. Joey tidak pernah ada pengunjung semenjak dua tahun lepas. Kumpulan kaunseling penganut Buddha terpaksa memberhentikan lawatan mingguan mereka selepas pandemik COVID-19 bermula pada awal tahun 2020. Joey sudah berada di dalam penjara lebih daripada satu dekad.

Pada bulan Mac 2010, Joey, yang kini berusia 56 tahun, berada di Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang pada masa itu. Dia menuju balik ke Hong Kong. Dia ditahan polis di pusat pemeriksaan imigresen kerana tingkah lakunya yang didapati mencurigakan. Menurut dokumen mahkamah, para pegawai kemudian membawa Joey ke sebuah bilik untuk menjalankan pemeriksaan dan menjumpai kurang daripada 1kg dadah, kebanyakannya heroin, yang diikat kepada badannya dengan plastik dan pita pelekat, di bawah pakaiannya.

Pada Ogos 2011, dia disabit dengan kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya Malaysia dan dijatuhkan hukuman mati.

Permohonan pengampunan Joey menerangkan bagaimana dia kini berada di dalam “bilik akhir” di Penjara Tapah, Perak. Sebelum ini, suami Joey berlaku curang, sering menghilangkan diri, dan meninggalkan beban hutang serta anak lelaki mereka untuk dijaga oleh Joey. Oleh kerana terdesak untuk meringankan beban kewangan mereka, Joey terjebak dengan tugas mengangkut dadah, malah beliau juga telah ditahan oleh pengendali-pengendalinya.

Sama seperti Joey, majoriti banduan hukuman mati wanita di Malaysia, terutamanya warga asing, telah dijatuhkan hukuman di bawah undang-undang pengedaran dadah yang tegas dan yang gagal untuk mengambil kira latar belakang sosio-ekonomi mereka. Bagi memastikan keadilan dicapai, undang-undang ini perlulah diubah. 

Akta Dadah Berbahaya

Akta Dadah Berbahaya Malaysia digubal sewaktu zaman penjajahan British pada tahun 1952. Ia bertujuan untuk mengawal kegunaan dan bekalan dadah yang dikira merbahaya, seperti candu, yang digunakan secara meluas pada tahun 50-an, serta mengurangkan penyalahgunaan dan ketagihan yang berleluasa. Semenjak itu, undang-undang tersebut telah melalui beberapa pindaan yang ketara.

Pada tahun 1977, undang-undang ini telah dipinda di mana jika seseorang dijumpai memiliki dadah haram melebihi kuantiti tertentu, dia akan secara automatik dianggap sebagai pengedar dadah. Ini bermakna, seseorang boleh dianggap bersalah hanya berdasarkan kuantiti dadah yang dijumpai, sekali gus melanggar prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Selanjutnya, pada tahun 1983, kerajaan Malaysia mengetatkan lagi Akta Dadah Berbahaya dengan menjatuhkan hukuman mati mandatori bagi pengedaran dadah. Penyokong pindaan ini memberi alasan bahawa hukuman yang berat dan tidak boleh ditarik balik seperti ini akan menghindarkan pengedaran dadah. Namun, tiada sebarang bukti dijumpai yang menyokong alasan tersebut, menurut Harm Reduction International, yang menyatakan bahawa “pasaran dadah terus berkembang di seluruh dunia, meskipun dengan undang-undang dadah di hampir setiap negara yang mengambil pendekatan menghukum”.

Hampir separuh daripada semua hukuman mati di Malaysia semenjak 1957—atau 229 daripada 469 orang yang menjalani hukuman mati—adalah disabitkan atas pengedaran dadah.

Walaupun dengan hukuman mati, jumlah penagih dadah di Malaysia masih kekal pada atau lebih daripada 128 ribu orang semenjak tahun 2018, atau lebih kurang 400 penagih dadah setiap 100,000 orang.

Kedua-dua pindaan ini menjadi asas bagi ratusan sabitan dan hukuman mati. Hampir separuh daripada semua hukuman mati di Malaysia semenjak 1957—atau 229 daripada 469 orang yang menjalani hukuman mati—adalah disabitkan atas pengedaran dadah, menurut laporan 2019 oleh Amnesty International. Butiran serta pecahan mengikut tahun bagi kes-kes ini masih belum diterbitkan.

Semenjak awal 2019, terdapat 1,281 orang yang dihukum mati di Malaysia, ini termasuk 141 wanita, menurut laporan Amnesty. Majoriti daripada populasi banduan hukuman mati di negara ini—kira-kira 73%— telah disabitkan dengan kesalahan mengedarkan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Bagi wanita yang dijatuhkan hukuman mati, nombornya adalah jauh lebih membimbangkan: 95% wanita yang dijatuhkan hukuman mati adalah atas kesalahan mengedarkan dadah. Daripada 134 orang wanita tersebut, 90% adalah warga asing. Sebagai perbandingan, populasi lelaki yang dijatuhkan hukuman mati di Malaysia adalah separuh warga tempatan dan separuh lagi warga asing.

Menurut Amnesty, kurang akses kepada khidmat guaman sebelum pertuduhan dijatuhkan adalah isu kritikal, terutamanya dalam kes yang membabitkan hukuman mati. Mereka yang tidak mampu mengupah peguam mereka sendiri terpaksa bergantung kepada peguam yang ditugaskan oleh mahkamah atau pusat bantuan guaman, yang selalunya merupakan peguam yang berkhidmat secara ‘pro bono’ dan tidak mempunyai sumber mencukupi bagi pembelaan yang kukuh. Sesetengah keluarga mengadu tentang peguam yang kurang pengalaman. Pada Julai tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menggugurkan satu kes hukuman mati bagi seorang yang didakwa mengedar dadah di atas ketidakcekapan peguam belanya.

141 orang wanita dijatuhkan hukuman mati di Malaysia* 95% bersabit dengan kesalahan dadah 90% daripada wanita yang disabitkan adalah warga asing 4% kesalahan pembunuhan 1% kesalahan lain 10% wanita warganegara Malaysia *Setakat Februari 2019, Amnesty International
Ellena Ekarahendy

Wanita, Jenayah dan Pekerjaan yang Tidak Menentu

Sebelum mereka ditahan, wanita yang disabitkan kesalahan mengedar dadah selalunya terbabit dengan kerja-kerja yang tidak menentu, yang berjangka pendek, pekerjaan berkemahiran rendah dan selalunya tanpa perlindungan undang-undang mahupun jaminan kerjaya. Kebanyakan daripada mereka adalah pelayan bar, juruwang, tukang urut dan pekerja domestik.

Walaupun ramai di antara mereka tidak mempunyai pekerjaan, ramai juga tidak mempunyai kerja yang cukup atau tergolong di antara golongan pekerja miskin, menurut kajian 2021 oleh penyelidik Lucy Harry, yang ingin menyiasat bagaimana golongan wanita ini terjebak dengan pengedaran dadah di Asia Tenggara. Dia mendapati bahawa menjadi ‘keldai dadah’ adalah satu cara buat golongan ini menyara hidup, walaupun kerja tersebut juga tidak menentu.

Melihat kepada Malaysia sebagai subjek kajian, Harry menyemak 127 penghakiman yang membabitkan wanita yang dijatuhkan hukuman mati akibat pengedaran dadah. Seorang peserta kaji selidik memberitahu Harry bahawa dalam kebanyakan kes, wanita-wanita ini hanyalah “orang biasa dalam ‘gig economy’ (kerja-kerja secara kontrak/freelance seperti e-hailing ataupun penghantaran makanan) ”.

95% wanita yang dijatuhkan hukuman mati adalah atas kesalahan mengedarkan dadah. Daripada 134 orang wanita tersebut, 90% adalah warga asing.

Walaupun golongan lelaki juga terlibat dalam penghantaran dadah bagi tujuan kewangan, Harry menerangkan bahawa wanita, terutamanya di bahagian Selatan dunia, lebih berkemungkinan datang dari golongan yang menganggur atau tidak bersekolah. Ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada sindiket dadah haram. Ini sangat ketara di kalangan pekerja domestik warga asing yang masuk ke negara ini, yang dilihat sebagai sasaran mudah bagi sindiket-sindiket tersebut.

“Frekuensi tertinggi di kalangan warganegara wanita-wanita yang dijatuhkan hukuman mati bagi pengedaran dadah di Malaysia adalah Thailand, China, Indonesia, Iran dan Filipina,” tulis Harry, yang menunjukkan  negara-negara asal bagi kebanyakan pekerja domestik asing di Malaysia.

Salah seorang yang di temuduga oleh Harry menerangkan cara sindiket dadah ini mencari penghantar dadah adalah sama seperti mencari pekerja kontrak. Mereka mengiklankan kerja tersebut di media sosial sebagai “kerja penghantaran” dan menyertakan jumlah upah yang akan dibayar. Ada di antara mereka ​​yang ditemuduga mengatakan kes ibu tunggal, janda atau ibu hamil yang memerlukan wang buat “masalah keluarga”. 

Seorang responden lain yang juga merupakan seorang peguam, menceritakan tentang satu kes di mana seorang wanita menjalankan perniagaan dengan suaminya. Apabila berdepan dengan hutang, pemiutang mengugut pasangan itu dan wanita tersebut disuruh untuk menyeludup dadah untuk melangsaikan hutang.

Kes yang sama berlaku kepada Joey.

Menjalankan Tugas

Joey membesar di dalam sebuah pangsapuri sempit di Hong Kong bersama ibu berwarganegara Malaysia dan bapa, seorang warga Hong Kong. Memori zaman kanak-kanak beliau tidaklah indah; ia dipenuhi dengan perbalahan di antara ibu-bapanya, jeritan, dan tangisan ibu.

“Bapa saya tidak pernah memainkan peranan dalam membesarkan saya. Saya tak banyak cakap dengan dia. Saya jarang nampak dia. Dia selalu hilang, dan apabila dia balik, dia buat perkara-perkara buruk terhadap ibu,” kata Joey.

Joey berkahwin pada usia lewat 20-an dan mendapat seorang anak lelaki beberapa tahun kemudian. Sama seperti bapanya, suami Joey jarang di rumah dan hubungan mereka semakin tegang. Suami Joey menjalankan perniagaan di tanah besar China dengan seorang rakan kongsi tempatan, dan Joey turut membantu. Pendapatan dari perniagaan tersebut menyara hidup mereka. Namun akhirnya, aktiviti penipuan yang dilakukan oleh rakan kongsi tersebut memakan diri mereka, dan mereka dibebankan dengan jumlah cukai serta liabiliti lain yang besar terhadap kerajaan China. Mereka berdepan dengan situasi kewangan yang teruk dan juga dakwaan undang-undang.

Walaupun hukuman mati bukan lagi mandatori dalam kes pengedaran dadah, ianya hampir masih mandatori secara praktis.

Bagi melarikan diri daripada sebarang tanggungjawab, suami Joey dan rakan kongsinya memindahkan pemilikan perniagaan tersebut di atas nama Joey, walaupun perkahwinan mereka sudah pun retak. Di dalam jangka waktu semalaman, Joey terpaksa menanggung semua liabiliti undang-undang untuk perniagaan tersebut. Joey rasa sangat terdesak. Dalam saat-saat yang getir itu, Joey berjumpa dengan seorang sahabat lama dari Hong Kong yang meyakinkan Joey bahawa dia boleh menyelesaikan masalahnya jika Joey “buat satu kerja”.

Joey menyesali keputusannya apabila dia ditahan oleh beberapa orang lelaki di sebuah bilik hotel. Joey tidak mampu melarikan diri atau mempersoalkan lelaki-lelaki tersebut. Mereka mengarahkan kesemua logistik yang terlibat di mana Joey dipaksa untuk menjalankan satu penyeludupan.

Malangnya, dengan hukuman mati mandatori, sebarang situasi atau latar belakang ini—termasuklah faktor paksaan— tidak akan diambil kira dalam penghakiman Joey.

Sewaktu ditahan, Joey yang hanya boleh bertutur dalam bahasa Kantonis, menerangkan yang dia tidak diberi peguam ataupun penterjemah. Dia tidak faham akan soalan-soalan yang ditujukan polis ataupun kenyataan yang ditandatangani, semuanya dalam Bahasa Malaysia. Dia tidak memahami prosedur undang-undang yang terlibat sewaktu pembicaraan ataupun rayuan; tiada penterjemahan yang jelas disediakan bagi prosiding. Joey juga tidak menerima sebarang khidmat konsular dari Hong Kong.

Kriteria Yang Tidak Jelas

Dalam penjara, Joey sering terdengar berita yang Malaysia mungkin akan memansuhkan hukuman mati bagi pengedaran dadah, dan ini memberi harapan kepadanya.

Pada tahun 2017, parlimen Malaysia meluluskan pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya yang secara teknikalnya memansuhkan hukuman mati mandatori bagi pengedaran dadah. Tetapi golongan anti-hukuman mati melihat keputusan ini sebagai langkah permulaan ke arah pemansuhan.

Pindaan tersebut menyediakan empat keadaan untuk dipertimbangkan oleh hakim untuk mengurangkan hukuman pengedaran dadah daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup dan 15 sebatan:

  • (a)   tiada sebarang bukti bagi pembelian atau penjualan dadah merbahaya ketika tertuduh ditahan;
  • (b)   tiada sebarang penglibatan ejen provokator [penguatkuasa undang-undang atau pemberi maklumat yang menggalakkan seseorang untuk melakukan kesalahan jenayah]; atau
  • (c)   penglibatan tertuduh terhad kepada pengangkutan, pembawaan, pengiriman atau penghantaran dadah berbahaya; dan
  • (d)   tertuduh telah bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam mengganggu aktiviti-aktiviti pengedaran dadah di dalam atau luar Malaysia.

Walaupun hukuman mati bukan lagi mandatori dalam kes pengedaran dadah, ianya hampir masih mandatori secara praktis, terutamanya kerana tiada persetujuan secara undang-undang sama ada defendan perlu memenuhi kesemua empat kriteria, atau hanya beberapa bahagian sahaja. Tambahan lagi, para hakim tidak boleh mengambil kira faktor-faktor lain seperti latar belakang atau keadaan sosio-ekonomi defendan.

Anti-Death Penalty Asia Network menjalankan kaji selidik pada tahun ini tentang bagaimana pindaan 2017 digunakan. Ia mendapati antara 38 orang yang dituduh dalam kes pengedaran dadah di Malaysia dari Mac 2018 ke Oktober 2020, hanya empat kes sahaja di mana pindaan 2017 dipakai oleh hakim untuk meringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup. Dalam tujuh kes, pindaan tersebut diambil kira namun tidak dipakai, dan defendan masih dikenakan hukuman mati. Dalam baki 27 kes, pindaan itu tidak dipertimbangkan sama sekali, dan defendan-defendan tersebut telah dijatuhkan hukuman mati.

Dalam satu daripada empat kes di mana hukuman diringankan kepada penjara seumur hidup, hakim mengambil kira kriteria-kriteria secara ‘disjunctive’, bermakna tidak kesemua empat kriteria perlu dipenuhi. Namun dalam tiga kes yang lain, mahkamah menafsirkan perkataan “dan” di antara subseksyen (c) dan (d) sebagai petunjuk bahawa subseksyen (d)—memberi bantuan dalam menganggu pengedaran dadah—perlu dipenuhi sebelum hukuman boleh diringankan.

Anti-Death Penalty Asia Network juga menyatakan rasa khuatir akan bukti yang diperlukan untuk menunjukkan bahawa defendan telah membantu agensi penguatkuasaan undang-undang pada tahap yang memuaskan.

Di Singapura, pendakwa raya awam perlu mengesahkan sama ada mereka berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan buat pertimbangan hakim. Namun di Malaysia, pihak hakim yang perlu berpuas hati dengan pertolongan dan kerjasama yang diberikan.

Mahkamah biasanya memberi tafsiran yang ketat akan “pertolongan”. Tidak cukup bagi defendan untuk bekerjasama hanya dengan menjawab soalan sewaktu penahanan atau membantu agensi penguatkuasa menjumpai dadah. Pertolongan perlulah mendedahkan maklumat yang membantu penyiasat mengenal pasti pemerdagangan, pengedaran atau rangkaian pembuatan, atau “mastermind”, yang akan “mengganggu atau melumpuhkan aktiviti jenayah mereka”, diputuskan mahkamah dalam kes PP v Brits Shaun 2019.

Dalam kes tersebut, defendan memberikan identiti dan lokasi bagi pengedar-pengedar dadah  antarabangsa lain yang didakwa, dan hakim memutuskan subseksyen (d) dipenuhi setelah Polis Diraja Malaysia memberi keterangan bahawa maklumat tersebut “sangat” berguna. Kebergantungan terhadap testimoni polis ini bererti pihak polis mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada defendan perlu dijatuhkan hukuman mati atau tidak.

Satu lagi isu dengan pindaan ini adalah untuk layak bagi hukuman penjara seumur hidup, defendan perlu membuktikan mereka membantu penguatkuasa undang-undang apabila mereka ditahan, yang sekaligus tampak sebagai pengakuan bersalah, dan mencabuli prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya

Akhir sekali, ramai daripada ‘keldai dadah’ berada pada tahap paling bawah rangkaian dadah antarabangsa. Ini bermakna mereka mungkin tidak mampu memberi maklumat yang berguna sekalipun, terutamanya jika mereka sebenarnya tidak bersalah akan kesalahan yang dituduh. Ini bermakna, tidak ada banyak bukti yang menunjukkan pindaan RUU dadah 2017 ini melindungi golongan yang paling mudah dipergunakan. Mereka akhirnya menghadapi hukuman muktamad, di mana mereka tidak mempunyai banyak pilihan untuk menolak.

Penjara Kajang, salah satu daripada penjara terbesar di Malaysia, menempatkan hampir 20% populasi banduan hukuman mati setakat tahun 2019, menurut Amnesty International Muhamad Syarafi/Shutterstock
Penjara Kajang, salah satu daripada penjara terbesar di Malaysia, menempatkan hampir 20% populasi banduan hukuman mati setakat tahun 2019, menurut Amnesty International Muhamad Syarafi/Shutterstock

Bagi Joey, oleh kerana pindaan 2017 tidak boleh dilaksanakan ke atas tuduhan yang terdahulu, dia tidak akan ditawarkan alternatif kepada hukuman mati. Oleh kerana dia sudah kehabisan rayuan kehakiman, satu-satunya harapan yang tinggal adalah pengampunan diraja.

Harry juga mendapati bahawa para hakim mempunyai stereotaip terhadap wanita yang dijatuhkan hukuman atas pengedaran dadah, menganggap mereka “miskin” atau “tidak berpendidikan” yang diperdaya untuk menghantar dadah. Jika mereka berbeza daripada stereotaip ini—seperti Joey yang mengalami ancaman ekonomi dan bukannya kemiskinan—hakim mungkin akan menolak pembelaan mereka.

Para hakim dan mahkamah perlu menyisihkan stereotaip ini dan mengambil kira keadaan ekonomi yang dihadapi oleh wanita-wanita ini: pasaran kerja yang tidak menentu adalah punca wanita-wanita ini tidak mempunyai banyak pilihan lain bagi menyara hidup.

Meskipun kerajaan ingin memberi lebih kuasa terhadap budi bicara hakim, pindaan 2017 hanya menambah satu lagi lapisan yang merumitkan defendan kes pengedaran dadah. Tiba masanya untuk kerajaan meneliti kembali polisi-polisi dadah dan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan yang membabitkan dadah, atau terus memansuhkan segala hukuman mati.

The United Nations Office on Drugs and Crime telah mengkritik penggunaan hukuman mati bagi jenayah dadah, mengatakan yang ia “tidak boleh memberikan penyelesaian yang cukup mahupun melindungi orang ramai”.

Selama Sedekad Dalam Kurungan Bersendirian 

Joey telah dikurung di dalam penjara lebih daripada 11 tahun. Dia berada di dalam kurungan bersendirian selama 23 jam sehari. Dia sukar menjalinkan sebarang hubungan dan telah hidup tanpa interaksi manusia, yang sangat penting buat kesihatan mental.

“Saya tidak mahu terlibat dengan sebarang masalah dengan orang lain. Lagipun saya tidak boleh bertutur di dalam bahasa mereka,” kata Joey.

Joey menghabiskan masa dengan membaca majalah lama yang dibawa oleh keluarganya 10 tahun yang lalu, menulis semula teks ajaran Buddha dan juga bermeditasi. Joey selalu berangan,  membayangkan dunia di luar sana, dan berfikir tentang keluarganya. Dia tidak pernah kembali ke Hong Kong selepas tahanannya. Oleh kerana dia berada di dalam “bilik akhir” menunggu perlaksanaan hukumannya, dia tidak layak sertai sebarang program pemulihan yang disediakan buat banduan lain, seperti memasak, menjahit atau latihan pekerjaan.

Joey dipenuhi dengan rasa sesal. Dia menyesal kerana tidak dapat memainkan peranan yang lebih aktif sewaktu anak lelakinya sedang membesar. Dia juga menyesal kerana tidak dapat menjaga ibunya yang sudah tua serta abangnya yang sakit. Dia menjadi seorang penganut ajaran Buddha yang taat sewaktu di dalam penjara dan senantiasa berdoa akan kesihatan dan keselamatan mereka.

Joey bergelut dengan keresahan yang disebabkan oleh ketidakpastian dengan penantian hukuman matinya. Dia masih berharap mendapat pengampunan diraja.

Menurut Cornell Center, hukuman mati terakhir di Malaysia dilaksanakan pada tahun 2017. Tahun berikutnya, kerajaan mengisytiharkan moratorium bagi semua perlaksanaan hukuman mati sementara undang-undang hukuman mati disemak semula. Menteri undang-undang pada waktu itu, Liew Vui Keong, mengatakan yang hukuman mati akan dimansuhkan dan “semua perlaksanaan hukuman mati tidak akan dijalankan”. Katanya lagi, satu-satunya soalan yang tinggal pada waktu itu adalah apa yang perlu dibuat bagi banduan yang sudah dikenakan hukuman mati.

Semenjak itu, kerajaan Malaysia telah bertukar buat beberapa kali, namun ada 1,200 orang yang masih lagi menunggu hukuman mati.

“Saya dah buat salah,” kata Joey dari penjara. “Tapi dah 11 tahun dalam keadaan macam ini—belum cukupkah hukuman saya?”

*Subjek bagi artikel ini meminta nama panggilannya digunakan untuk melindungi privasi keluarganya.

Related Articles