Kerajaan Malaysia membatalkan jaminan terdahulu yang menyatakan mereka tidak akan menangkap pelarian dan pendatang tanpa dokumen dengan harapan mereka akan diuji untuk COVID-19. Ribuan telah ditangkap dan ditempatkan di kem tahanan yang sesak sehingga menyebabkan kluster aktif yang baru.

Kempen Kebencian? Berita Palsu dan Retorik Anti-Pelarian di Malaysia

Penafian: Artikel ini mengandungi bahasa yang menggambarkan keganasan terhadap pelarian dan wanita yang mungkin akan menyinggung para pembaca.

Abdul Wahid, 40, tiba di Malaysia tujuh tahun yang lalu dengan sampan nelayan yang buruk, sesak dengan 135 yang lain—angka yang sehingga kini masih diingatinya. Dia bersama isteri dan bayinya tidak pernah merancang untuk pergi ke Malaysia. Tetapi mereka dipaksa untuk melarikan diri dari Angkatan Tentera Myanmar yang telah membakar kampung mereka di Wilayah Rakhine.

“Keadaan sangat kelam-kabut, penduduk ditembak tentera Myanmar dan rumah-rumah kami dibakar,” kata Abdul Wahid mengenai serangan yang menimpa kampung halamannya. “Kami berlari ke tepi pantai dan memasuki sebuah bot nelayan besar yang dimiliki salah seorang penduduk kampung dan melarikan diri. Kami tidak tahu ke mana harus kami pergi, yang kami tahu, kami perlu melarikan diri.”

Terdesak dan tanpa pilihan lain, rentetan peristiwa yang berlaku selepas itu mengakibatkan Abdul Wahid dan keluarganya dijadikan tebusan oleh penyeludup dan dibawa ke Malaysia. Dalam tujuh tahun sejak kejadian itu, dia telah bekerja dalam berbagai pekerjaan secara haram—termasuklah menolak kereta sorong untuk menjual sayur di pasar borong, mengumpul bahan kitar semula dan bekerja sebagai pekerja pembinaan. Pekerjaannya yang terbaru adalah mengimpal penghawa dingin untuk gaji sedikit, iaitu antara AS$8 dan AS$12 sehari.

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dan tidak mengiktiraf status pelarian atau membenarkan pelarian bekerja secara sah. Menurut Agensi Pelarian PBB, setakat akhir April 2020, sekitar 177,800 pelarian dan pencari suaka telah didaftarkan dengan PBB di Malaysia, di mana sebahagian besarnya—101,280—ialah Rohingya dari Myanmar.

“Keadaan sangat kelam-kabut, penduduk ditembak tentera Myanmar dan rumah-rumah kami dibakar… Kami tidak tahu ke mana harus kami pergi, yang kami tahu, kami perlu melarikan diri.”

Abdul Wahid kehilangan pekerjaannya pada bulan Mac ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah untuk mencegah wabak pandemik COVID-19.

Semenjak itu, dia bergantung kepada sumbangan makanan amal dari NGO tempatan di kawasan Selayang, Kuala Lumpur. “Saya tidak mempunyai sebarang pendapatan dan saya tidak mampu membayar sewa atau memberi makan kepada keluarga saya sejak tiga bulan yang lalu. Saya bimbang tuan rumah saya akan mengusir kami,” katanya.

Sambil wabak pandemik semakin marak, keadaan menjadi semakin sukar untuk pelarian seperti Abdul Wahid di Malaysia.

Suara benci anti-Rohingya, yang sering kali berasal dari kandungan palsu, mula muncul di media sosial dan aplikasi pesanan dan tidak lama kemudian meletus menjadi kempen dalam talian yang kelihatan terancang untuk menentang pelarian. Ini menjadikan sebilangan netizen bukan sahaja menentang pencari suaka seperti Abdul Wahid dan keluarganya, tetapi juga menentang pendatang, terutama yang tidak berdokumen, yang telah lama menjadi sebahagian daripada masyarakat Malaysia.

Apa yang Mencetuskan Suara Benci?

Pada 16hb April 2020, sebuah bot yang membawa sekitar 200 pelarian Rohingya cuba untuk berlabuh di Langkawi, sebuah pulau percutian di pesisiran Malaysia. Bot itu dikesan oleh jet Angkatan Udara Malaysia dan segera ditolak oleh dua kapal Angkatan Laut yang mengiringinya setelah makanan diberikan kepada mereka yang berada di dalam bot itu.

Dalam sebuah kejadian sebelumnya, sekurang-kurangnya 60 pelarian Rohingya meninggal dunia setelah kapal mereka, yang sesak dengan lebih daripada 400 orang, hanyut di Teluk Benggala selama dua bulan. Mayat mereka yang mati di dalam kapal dilemparkan ke laut, menurut mangsa-mangsa yang terselamat. Para penumpangnya sebelum itu tidak dibenarkan masuk ke Thailand dan Malaysia.

Kumpulan hak asasi manusia telah mengecam dasar untuk mengabaikan orang yang terdesak di laut kerana ia bertentangan dengan norma undang-undang maritim dan hak asasi manusia.

Pada 12hb Jun, Human Rights Watch (HRW) meminta Malaysia dan Thailand untuk membenarkan pelarian Rohingya yang terdampar di laut untuk mendarat dan menawarkan mereka akses kepada bantuan kemanusiaan dan perlindungan. Ratusan Rohingya di atas kapal yang berangkat dari Bangladesh pada bulan Februari “telah berada di laut selama empat bulan tanpa akses kepada makanan dan air yang mencukupi,” kata HRW dalam satu kenyataan.

Walaupun kerajaan-kerajan telah mengatakan bahawa langkah-langkah yang diambil untuk memastikan pelarian tidak diterima masuk adalah bertujuan untuk menjauhkan negara mereka dari COVID-19, Amnesty International berkata dalam satu kenyataan bahawa pandemik global tidak mewajarkan tindakan tersebut.

“Perang melawan COVID-19 bukanlah alasan bagi kerajaan perantauan untuk membiarkan kawasan perairan mereka menjadi kawasan perkuburan bagi orang Rohingya yang terdesak,” kata Amnesty.

Pelarian etnik Rohingya berlindung di Malaysia, setelah melarikan diri daripada konflik dan pelanggaran hak asasi di Myanmar. Mereka hidup sebagai penghuni setinggan di bandar dan bekerja secara haram dalam ekonomi tidak rasmi. Semasa wabak COVID-19, ramai yang kehilangan pekerjaan dan menjadi sasaran ejekan dalam talian dan kata-kata benci berbaur xenofobik.
Pelarian etnik Rohingya berlindung di Malaysia, setelah melarikan diri daripada konflik dan pelanggaran hak asasi di Myanmar. Mereka hidup sebagai penghuni setinggan di bandar dan bekerja secara haram dalam ekonomi tidak rasmi. Semasa wabak COVID-19, ramai yang kehilangan pekerjaan dan menjadi sasaran ejekan dalam talian dan kata-kata benci berbaur xenofobik. Credit: Jules Rahman Ong

Tetapi di media sosial, terdapat sentimen anti-Rohingya yang semakin tinggi di kalangan “netizen” Malaysia. Ada yang mengulas bahawa kedatangan pelarian adalah suatu beban tatkala negara sedang menghadapi masa yang mencabar dan ekonomi yang sedang bergelut. Yang lain pula takut bahawa pelarian akan membawa Coronavirus. Maka, banyak pengguna internet memuji langkah untuk menolak mereka.

Di luar Malaysia, tragedi yang melibatkan Rohingya yang terkandas di laut telah menjadi berita antarabangsa. Tanpa disengajakan, ini meletakkan tumpuan kepada kerajaan Malaysia yang baru dibentuk yang diketuai oleh gabungan Perikatan Nasional, sebuah pakatan yang terdiri daripada bekas musuh dan parti-parti politik yang tidak dilantik dalam pilihan raya umum bersejarah dua tahun lalu.

Sebelum sahaja COVID-19 diisytiharkan sebagai wabak pandemik pada 11hb Mac, perebutan kuasa selama seminggu antara tiga puak politik menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad, setelah hanya 22 bulan memegang jawatan. Pemenang yang tidak disangkakan adalah timbalan Mahathir sendiri, Muhyiddin Yassin, yang berjaya membentuk kerajaan baru dengan pakatan antara parti minoriti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang lebih lama dan lebih besar, dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang kini sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah.

Rakyat Malaysia, yang berbelah bahagi dengan kerajaan baru, terus mencemuh apa dikatakan “ketidaksahan” gabungan itu sebagai “kerajaan pintu belakang” biarpun ketika itu negara sedang mengalami kesan buruk yang melanda akibat pandemik.

Pada hari-hari berikutan kritikan tempatan dan antarabangsa yang berterusan dari kumpulan hak asasi dan pemohon kewarganegaraan yang menentang dasar tolak bot Malaysia terhadap Rohingya, reaksi balas sedang berkembang di tanah air.

“Perang melawan COVID-19 bukanlah alasan bagi kerajaan perantauan untuk membiarkan kawasan perairan mereka menjadi kawasan perkuburan bagi orang Rohingya yang terdesak.”

Video-video lama aktivis Rohingya Zafar Ahmad, yang bertutur dalam kacukan bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu/Malaysia, mula menular di media sosial. Namun, video yang disebarkan itu mengandungi sari kata atau kapsyen yang tidak menggambarkan apa yang dikatakan oleh Zafar dengan tepat. Kapsyen tersebut mendakwa bahawa dia menuntut hak yang sama dan kewarganegaraan penuh di Malaysia, suatu tuduhan yang disangkal oleh Zafar. Kapsyen palsu itu telahpun dibuktikan salah oleh beberapa laman web media.

“Saya sangat sedih kerana banyak tuduhan palsu terhadap saya di media sosial. Saya dituduh mengatakan bahawa orang Melayu bodoh. Saya dituduh menuntut hak yang sama. Saya dituduh menuntut kewarganegaraan… Semua ini ialah tuduhan palsu,” katanya dalam klip video yang dipetik oleh portal berita tempatan.

Sebelum pengakhiran minggu itu, kritikan jahat yang berbaur perkauman dan xenofobia terhadap komuniti Rohingya telah membuak. Beberapa komen yang disiarkan di Facebook dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu/Malaysia oleh akaun yang tampak peribadi adalah seperti berikut:

“Saya orang Malaysia dan saya boleh bersikap rasis terhadap mereka yang busuk haprak yang tidak menghormati perbuatan dan undang-undang kita. Jadi, pergi mampuslah Rohingya ke laut, kebanyakan kami tidak peduli dan tidak mahu pelarian Rohingya.”

“Kalau mereka macam itu, kita perlu tembak mereka satu persatu…”

Zafar dan keluarganya kini hidup dalam ketakutan. Dia telah menerima ugutan bunuh dan halaman Facebook-nya telah dihujani dengan julukan rasis, sehingga dia dipaksa menutup akaunnya dan menukar nombor telefon bimbitnya. Sejak itu, dia enggan bercakap dengan media kerana takut akan tindakan balas buruk.

Menyalahkan Orang Asing

“Takut akan ‘orang luar’ adalah salah satu kecenderungan psikologi tertua dan paling terpahat di dalam manusia. Apabila kita takut akan orang luar, kita tidak berperikemanusiaan,” kata ahli psikologi klinikal Vizla Kumaresan kepada New Naratif. “Di Malaysia, pendatang, terutama pendatang dan pelarian ekonomi, selalu dikaitkan dengan bahaya dan kotor. [Dengan] Perintah Kawalan Pergerakan dan pandemik yang sedang berlangsung sekarang, ia membesar-besarkan ancaman yang sudah dikaitkan dengan pendatang [dan pelarian].”

Kumaresan, yang kini sedang mengikuti pengajian PhD tentang kumpulan terpinggir di Malaysia, menjelaskan bahawa ini antara satu kemungkinan yang menjelaskan peningkatan sentimen xenofobik dalam kalangan rakyat Malaysia yang dinyatakan dalam talian. Dia mengatakan bahawa dia terkejut dengan kepantasan dan kesungguhan suara benci anti-Rohingya terutamanya menjadi arus perdana.

Fenomena ini telah diperhatikan dengan teliti oleh Harris Zainul, seorang penganalisis di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia yang penyelidikan utamanya adalah mengenai kesan maklumat salah dan maklumat palsu dengan niat jahat di media sosial terhadap demokrasi dan hubungan masyarakat.

“Berdasarkan pemerhatian saya terhadap suara benci terhadap Rohingya, sudah pasti ada pengguna media sosial yang normal yang bertanggungjawab menyebarkan dan meneruskan retorik anti-Rohingya. Walaupun begitu, ada bukti pasti bahawa kandungan yang dimanipulasi telah diperkenalkan ke dalam lingkungan informasi untuk mengapi-apikan lagi kebencian,” kata Harris kepada New Naratif.

“Apabila kita takut akan orang luar, kita tidak berperikemanusiaan…Di Malaysia, pendatang, terutama pendatang dan pelarian ekonomi, selalu dikaitkan dengan bahaya dan kotor.”

Beliau berkata bahawa dia telah melihat sejumlah akaun yang baru dibuka seperti “Rakyat Malaysia Menentang Pendatang Tanpa Izin”, dan akaun yang kelihatan mempunyai nama pengguna yang dihasilkan secara automatik yang “tidak membuat dan berkongsi sebarang kandungan lain kecuali berkaitan isu anti-Rohingya.” Tambahnya, “Ini adalah tanda-tanda yang sering disebut-sebut sebagai bot atau akaun ‘boneka’.”

Akaun boneka adalah identiti rekaan dalam talian yang dicipta untuk tujuan penipuan supaya menghasilkan pendapat majoriti palsu. Contoh lain akaun boneka adalah penggunaan identiti orang sebenar, dengan nama dan gambar mereka, tetapi mengaitkan catatan rekaan dengan identiti itu.

Pemerhatian Harris menunjukkan bahawa terdapat corak yang menunjukkan kandungan yang dimanipulasi adalah untuk menuju ke arah tertentu. Saluran berita Cilisos.my dan Sebenarnya.my menerbitkan senarai panjang kandungan palsu tentang isu anti-Rohingya yang menjadi tular, dan membongkar setiap satunya dengan fakta. Dalam satu isi kandungan berita palsu yang dikongsi, video sekumpulan orang yang bergaduh dengan pegawai berpakaian seragam telah dikaitkan dengan keganasan Rohingya di Malaysia. Kemudian ia didedahkan bahawa video itu sebenarnya adalah dari tunjuk perasaan di Indonesia yang dirakam di Pekanbaru. Apabila pendedahan itu dilakukan, video itu telahpun dikongsi secara meluas di WhatsApp disertakan dengan maklumat palsu tersebut.

“Jumlah maklumat yang palsu dengan niat jahat sangat besar dan ia bertujuan untuk mengelirukan kebenaran. Apabila kebenaran disamarkan, maklumat palsu tersebut menimbulkan gambaran negatif tentang komuniti Rohingya dan juga pekerja migran tanpa dokumentasi yang betul di Malaysia,” kata Harris. “Dengan gambaran negatif ini, pendapat umum kemudian dapat dipengaruhi dan berpotensi menyebabkan penjahanaman dan penghancuran sifat kemanusiaan terhadap kelompok ini.”

Kempen yang Diatur?

Tengku Emma Zuriana, seorang aktivis dan pembela hak pelarian Malaysia, merupakan salah satu di antara mereka yang menjadi mangsa kata-kata benci anti-Rohingya dan anti-pendatang dalam talian. Dia juga duta besar Malaysia ke Majlis Rohingya Eropah dan penyokong vokal terhadap kebajikan Rohingya.

“Saya tidak percaya kata-kata benci anti-Rohingya yang tiba-tiba berkembang itu berlaku dengan organik. Ia berlaku terlalu cepat, komen keji dan fitnah terhadap komuniti Rohingya yang tidak henti-henti dan serangan peribadi terhadap saya. Sebahagian daripadanya dibuat oleh laman media sosial yang berkaitan dengan politik,” katanya kepada New Naratif.

Tangkapan skrin hantaran Facebook oleh Bersatu.tv yang mendakwa mereka adalah platform media rasmi untuk parti BERSATU yang mentadbir kerajaan. Bersatu.tv telah mengeluarkan hantaran yang mengandungi maklumat palsu yang menimbulkan kebencian terhadap Rohingya. Hantaran ini menuduh orang Rohingya “berkemampuan mental rendah” dan melakukan rusuhan di Kuala Lumpur dan menuntut agar lebih ramai orang Rohingya diterima di Malaysia.
Tangkapan skrin hantaran Facebook oleh Bersatu.tv yang mendakwa mereka adalah platform media rasmi untuk parti BERSATU yang mentadbir kerajaan. Bersatu.tv telah mengeluarkan hantaran yang mengandungi maklumat palsu yang menimbulkan kebencian terhadap Rohingya. Hantaran ini menuduh orang Rohingya “berkemampuan mental rendah” dan melakukan rusuhan di Kuala Lumpur dan menuntut agar lebih ramai orang Rohingya diterima di Malaysia.

Menurut Tengku Emma, salah satu akaun media sosial tersebut adalah Bersatu.tv, yang mendakwa mereka adalah platform media rasmi untuk parti BERSATU dari gabungan Perikatan Nasional. Bersatu.tv belum membalas permintaan komen dari New Naratif.

Akibat rentetan komen-komen negatif, Tengku Emma terpaksa menutup bahagian komennya di Facebook, yang menyebabkan Rohingya yang sangat memerlukan bantuan tidak dapat meminta bantuan. Salah satu hantaran Facebook yang menyerangnya telah dikongsi sebanyak 18,000 kali sebelum dipadamkan. Data peribadinya seperti alamat rumahnya, nombor telefon bimbit dan nombor kenderaannya dikongsi dalam talian, sementara orang yang tidak dikenali mengancam untuk memukul, merogol dan membunuh dia dan keluarganya setelah PKP di Malaysia berakhir. Kerana bimbang akan keselamatan keluarganya, dia menghantar anak lelakinya yang masih kecil untuk tinggal bersama saudara di lokasi yang tidak didedahkan.

Duta Besar Malaysia ke Majlis Rohingya Eropah Tengku Emma Zuriana digelar pengkhianat negara kerana menyokong hak Rohingya. Dia telah membuat sejumlah laporan polis terhadap pengguna beberapa akaun Facebook, termasuk yang ini, kerana fitnah. Tangkapan skrin hantaran Facebook ini memanggilnya pengkhianat kerana menyokong mereka yang “cuba merampas semua hak istimewa dan hak warganegara Malaysia dan mengkhianati negara ini.”
Duta Besar Malaysia ke Majlis Rohingya Eropah Tengku Emma Zuriana digelar pengkhianat negara kerana menyokong hak Rohingya. Dia telah membuat sejumlah laporan polis terhadap pengguna beberapa akaun Facebook, termasuk yang ini, kerana fitnah. Tangkapan skrin hantaran Facebook ini memanggilnya pengkhianat kerana menyokong mereka yang “cuba merampas semua hak istimewa dan hak warganegara Malaysia dan mengkhianati negara ini.”

Tengku Emma membuat tiga laporan polis dan sekurang-kurangnya 20 aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, sebuah badan penyeliaan industri komunikasi dan multimedia. Dia menuntut agar hantaran yang menyinggung perasaan dan maklumat peribadinya dihapuskan dari beberapa laman Facebook, yang akhirnya dilaksanakan oleh pengurus laman tersebut.

“Orang ramai dikelirukan oleh semua mesej yang diputarbelitkan. Dan kerajaan kita langsung tidak melakukan apa-apa untuk mengurangkan ketegangan, dan mereka juga tidak berusaha untuk memperbetulkan berita palsu itu. Malah, mereka membiarkannya terus menjadi-jadi,” tambahnya.

Penindasan Pelarian dan Pendatang

Pada 30hb April, setelah suara kebencian berbaur xenofobia dibenarkan untuk berterusan selama beberapa minggu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, dari parti BERSATU, mengatakan bahawa kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian dari mana-mana kumpulan, termasuk Rohingya—walaupun jika mereka mempunyai kad dari Agensi Pelarian PBB. Dia berkata bahawa kumpulan tersebut diklasifikasikan sebagai pendatang “haram” atau pendatang asing tanpa dokumen yang betul dan mereka “tidak memiliki status, hak dan dasar untuk menuntut apa-apa dari kerajaan.”

Kegagalan untuk membezakan antara pelarian dan pekerja migran tanpa dokumentasi yang betul adalah bermasalah. Adrian Pereira, pengarah North South Initiative, sebuah NGO hak asasi manusia, berkata bahawa mengelompokkan pelarian dan pendatang tanpa dokumen sebagai “pendatang haram” dapat menyesatkan rakyat untuk memiliki persepsi negatif terhadap orang bukan warganegara, dan menyembunyikan kerumitan di sebalik sebab-sebab seorang pendatang yang berdokumen boleh menjadi tidak berdokumen.

Pelarian melarikan diri dari penindasan di tanah air sendiri, manakala golongan pendatang pula berpindah ke sesebuah negara untuk bekerja, sama ada mengikut kehendak sendiri atau melalui inisiatif kerajaan. Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi menganggarkan bahawa terdapat 2 juta hingga 4 juta pendatang tanpa dokumen di negara ini setakat akhir 2018.

Kebanyakan mereka dibawa oleh ejen pekerjaan palsu dengan bayaran yang terlalu tinggi dan dibiarkan tanpa pekerjaan sah. Namun, orang lain yang diambil untuk bekerja secara sah dibiarkan tanpa dokumen yang betul apabila majikan mereka gagal memperbaharui visa mereka atau dipecat apabila majikan tidak lagi mampu menggajikan mereka.

“Apabila pelarian dan pendatang tanpa dokumen dikelompokkan bersama sebagai pendatang haram, kerajaan menjadikan orang yang tidak bersalah sebagai penjenayah dan memberi kekebalan kepada penjenayah sebenar termasuklah mereka yang bertanggungjawab ke atas bilangan pendatang tanpa dokumen yang melambung tinggi,” kata Pereira kepada New Naratif.

Pada Hari Buruh, penangkapan besar-besaran pendatang tanpa dokumen, termasuk pelarian dan pencari suaka, berlaku di beberapa kawasan di ibu kota. Walaupun tindakan itu dikritik oleh kumpulan hak asasi, banyak rakyat Malaysia menyokong tindakan itu. Kerajaan mewajarkan tindakan itu sebagai langkah yang perlu untuk mencegah penyebaran kes COVID-19. Langkah itu memberikan kerajaan sedikit sokongan dari sebilangan rakyat kerana menangani wabak itu dengan tegas.

Kerajaan Malaysia membatalkan jaminan terdahulu yang menyatakan mereka tidak akan menangkap pelarian dan pendatang tanpa dokumen dengan harapan mereka akan diuji untuk COVID-19. Ribuan telah ditangkap dan ditempatkan di kem tahanan yang sesak sehingga menyebabkan kluster aktif yang baru.
Kerajaan Malaysia membatalkan jaminan terdahulu yang menyatakan mereka tidak akan menangkap pelarian dan pendatang tanpa dokumen dengan harapan mereka akan diuji untuk COVID-19. Ribuan telah ditangkap dan ditempatkan di kem tahanan yang sesak sehingga menyebabkan kluster aktif yang baru. Credit: Jules Rahman Ong

“Bayangkan ke mana perginya [pendatang tanpa dokumen] setelah PKP Diperketatkan berakhir?” kata Pereira.

Tetapi organisasi hak asasi memberi amaran bahawa penangkapan besar-besaran dan penahanan pendatang boleh meningkatkan penyebaran coronavirus di tempat sesak. Mereka juga mengatakan bahawa penangkapan besar-besaran boleh menimbulkan ketakutan di kalangan pendatang dan pelarian yang akan mendorong mereka bersembunyi, sehingga menimbulkan risiko jangkitan lebih lanjut. Sememangnya sejak penangkapan besar-besaran beberapa bulan kebelakangan ini di mana ribuan pendatang dan pelarian yang tidak berdokumen digari dan disumbat ke dalam lori yang membawa mereka ke pusat tahanan, sudah terjadi tiga kluster aktif yang dikenal pasti di tiga pusat tahanan imigresen. Kementerian Kesihatan mengumumkan pada bulan Jun bahawa penyebaran COVID-19 di ketiga-tiga pusat tahanan imigresen berkenaan “terkawal” setelah semua tahanan berisiko tinggi diuji dan ditempatkan di kuarantin, Malay Mail melaporkan.

“Saya mendengar khabar bahawa kerajaan sedang menangkap pelarian. Ini membuat saya sangat takut kerana saya mempunyai isteri dan anak. Tetapi kami hanya memohon untuk duduk di negara ini. Ini bukan negara kami, jadi saya tidak dapat berkata apa-apa. Kami hanya berharap rakyat Malaysia akan memahami keadaan kami dan membenarkan kami tinggal di sini buat sementara waktu sehinggalah kami dapat ditempatkan semula,” kata Abdul Wahid yang memegang kad UNHCR.

Related Articles