Pada 15hb Mei, kira-kira seminggu selepas polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis semasa solat Jumaat malam terakhir Ramadan sedang dijalankan, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin muncul di kaca televisyen untuk mengecam Israel dan menayangkan pendirian pro-Palestinnya.

“Mari lah kita mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin… semoga rakyat Palestin akan mendapat perlindungan daripada kezaliman rejim Israel, dan pencerobohan haram Israel ke atas bumi Palestin segera berakhir,” kata Muhyiddin. Dia kemudiannya menyenaraikan sejumlah sumbangan yang telah dibuat oleh kerajaannya terhadap perjuangan Palestin, termasuk sumbangan AS$120,000 kepada UNRWA, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab untuk membantu lebih daripada 5 juta pelarian Palestin dan keturunan mereka yang telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik dengan Israel.

Serangan di Al-Aqsa merupakan peningkatan tegangan terbaharu akibat keputusan mahkamah Israel untuk mengusir enam keluarga Palestin dari kediaman mereka di Sheikh Jarrah, sebuah kejiranan di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, di mana penduduk Palestin telah lama menentang perpindahan paksa oleh peneroka Israel. Kumpulan militan nasionalis Palestin, Hamas, yang memerintah wilayah pantai yang dikepung di Gaza, bertindak balas terhadap tindakan Israel dengan melancarkan ribuan roket ke Israel. Israel melancarkan 1,500 serangan udara, darat dan laut terhadap Gaza, mengakibatkan 72,000 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal.

Sekitar belasan orang awam di Israel dan lebih daripada 100 orang awam di Gaza terbunuh dalam pertempuran itu.

Sehari selepas ucapan Muhyiddin, Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein berucap di pertemuan Pertubuhan Kerjasama Islam dan turut mengecam Israel.

“Kita harus sangat jelas dengan diri kita sendiri—apa yang telah terjadi di Gaza adalah jenayah terhadap kemanusiaan, dan rejim Zionis Israel harus dipersalahkan,” kata menteri luar negeri itu.

Sepanjang bulan Mei, tanda pagar #FreePalestine dan #GazaUnderAttack menjadi tersohor di media sosial Malaysia selama beberapa hari, sementara masjid-masjid tempatan dan bahkan pencakar langit di Kuala Lumpur mempamerkan warna-warna bendera Palestin sebagai tanda solidariti.

Namun, walaupun para pemimpin Malaysia menyokong perjuangan Palestin, terutamanya setiap kali berlakunya kekerasan antara warga Palestin dan Israel, para pemimpin Malaysia yang sama jugalah secara konsistennya mengabaikan hak dan martabat ratusan pelarian Palestin yang tinggal di Malaysia.

Retorik Lawan Tindakan

Malaysia merupakan tempat tinggal kepada hampir 180,000 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan Agensi Pelarian PBB setakat bulan Mei 2021; 760 daripadanya adalah pelarian Palestin. Kerajaan mengizinkan pelarian-pelarian tersebut tinggal di negara ini atas dasar kemanusiaan, tetapi kerana Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 yang Berkaitan dengan Status Pelarian, dan undang-undang Malaysia tidak membezakan antara pelarian dan pendatang tanpa dokumen, pelarian-pelarian ini dilucutkan daripada banyak hak-hak asasi manusia. Mereka tidak dapat mengakses perkhidmatan awam seperti pendidikan, tidak dapat membuka akaun bank, dan mereka juga boleh ditahan hanya atas sebab bekerja.

Seorang pelarian Palestin yang tinggal di Malaysia, yang meminta untuk tidak dinamakan kerana takut akan tindakan undang-undang, menggambarkan keadaannya sebagai “membingungkan”. Setelah tinggal di negara ini selama lima tahun sebagai pelarian, impiannya untuk memperoleh ijazah sarjana dalam perniagaan masih tidak dapat dicapai kerana sekatan undang-undang.

“Apabila saya datang ke sini, saya tidak tahu mengenai keadaan pelarian. Saya terkejut mengetahui bahawa sebagai pelarian, saya tidak berpeluang memasuki universiti awam atau swasta,” katanya kepada New Naratif.

“Sokongan untuk perjuangan Palestin hanya setakat untuk kepentingan politiknya.”

Pelarian sepertinya tidak dapat mengelak daripada mempersoalkan kelemahan kerangka undang-undang untuk mengatasi kesulitan ini, terutama di negara yang mana kerajaaannya telah memilih untuk menghebahkan biasiswa untuk pelajar Palestin supaya datang belajar di universiti-universiti di Malaysia—asalkan mereka bukan pelarian Palestin yang sedang tinggal di Malaysia. (Apabila pengkritik tawaran biasiswa itu mengadu pada tahun 2019 mengenai wang pembayar cukai yang digunakan untuk membiayai orang asing dan bukannya pelajar tempatan, kerajaan Malaysia sebelum ini yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad yang anti-Zionis menarik balik dan mengatakan bahawa biasiswa itu sebenarnya akan dibiayai secara persendirian.)

Bagi setiap pentadbiran kerajaan Malaysia—dahulu dan sekarang— sokongan untuk perjuangan Palestin hanya setakat untuk kepentingan politiknya. Pada bulan Mac 2018, gabungan Pakatan Harapan Mahathir mengeluarkan manifesto yang berjanji untuk memberi pelarian hak untuk bekerja dan “meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951” untuk “membantu saudara-mara kita secara lebih bermakna”. Ini akan menghasilkan kemajuan yang ketara dalam kehidupan ratusan orang Palestin yang kehilangan tempat tinggal, tidak lupa juga puluhan ribu lagi pelarian lain yang tinggal di Malaysia. Tetapi setelah Mahathir dan PH memenangi pilihan raya umum dan menubuhkan gabungan kerajaan Malaysia pada bulan Mei 2018, tidak ada sebarang perubahan dilaksanakan seperti yang dijanjikan. Sebaliknya, kerajaan PH menyekat pegawai Agensi Pelarian PBB daripada memasuki pusat-pusat tahanan pendatang pada bulan Ogos 2019.

Penunjuk perasaan, termasuk Khairy Jamaluddin, yang kini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkumpul di Kuala Lumpur pada 8hb Disember 2017 untuk memprotes penutupan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. naimtastik/Shutterstock

Gabungan Perikatan Nasional Perdana Menteri Muhyiddin, yang menjatuhkan kerajaan PH pada bulan Februari 2020, telah mengambil pendekatan yang lebih seteru terhadap pendatang dan pelarian, walaupun setelah membuat janji manis kepada perjuangan Palestin. Pada bulan Mei 2020, polis Malaysia melancarkan beberapa serbuan imigresen di Kuala Lumpur dan menghantar lebih dari 2,200 pelarian dan pendatang ke pusat tahanan, di mana ramai daripada mereka telah terdedah kepada COVID-19 dan diancam untuk dihantar pulang.

Nampaknya setiap kerajaan Malaysia yang memerintah mempunyai dua kesamaan: menerusi kata-kata mereka, mereka menyokong Palestin—salah satu populasi pelarian terbesar di dunia—tetapi menerusi tindakan mereka, mereka menindas pelarian yang tinggal di bawah jagaan mereka.

Kemanusiaan Selektif

Sokongan Malaysia terhadap perjuangan Palestin hampir sama usianya dengan Malaysia sendiri, tetapi ianya selalu strategik. Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman menolak cubaan Israel untuk membina hubungan diplomatik untuk memperoleh sokongan dari negara-negara Islam di Timur Tengah dalam konfrontasi Malaysia dengan Indonesia antara tahun 1963 dan 1966. Kerajaan Tunku menghalang diplomat Israel dari memasuki negara itu, mengambil kedudukan menentang Israel di PBB dan mengumumkan pada tahun 1966 bahawa Malaysia tidak lagi mengiktiraf Israel. Sepanjang beberapa dekad selepas itu, Malaysia merupakan penyokong terkuat Pertubuhan Pembebasan Palestin di Asia Tenggara.

Tetapi sikap ini telah lama dicemari oleh suatu percanggahan terang-terangan: permusuhan Malaysia terhadap populasi pelarian lain—malah yang beragama Islam, seperti Rohingya.

“Apabila saya datang ke sini, saya tidak tahu mengenai keadaan pelarian. Saya terkejut mengetahui bahawa sebagai pelarian, saya tidak berpeluang memasuki universiti awam atau swasta.”

Pada bulan Mei, ketika jumlah korban nyawa di Gaza meningkat, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berjanji akan melindungi warga Palestin yang tinggal di Malaysia sebagai tindak balas terhadap laporan yang belum disahkan mengenai ancaman keselamatan Israel terhadap orang Palestin di luar negara.

“Kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin,” kata Hamzah dalam satu kenyataan.

Ini adalah menteri sama yang, pada bulan April 2020, membalas berita palsu yang tular mengenai seorang pemimpin masyarakat pelarian Rohingya yang menuntut kewarganegaraan Malaysia dengan berkata bahawa pelarian Rohingya “tidak mempunyai sebarang status, hak dan asas” untuk membuat tuntutan dengan kerajaan Malaysia.

Sebaliknya, Hamzah berkata bahawa kumpulan pelarian, termasuk pelarian Rohingya, diklasifikasikan sebagai pendatang asing tanpa izin. 

Kerajaan yang sama telah berjanji untuk menyokong dan melindungi rakyat Palestin di Malaysia juga menghantar pulang lebih daripada 1,000 orang kembali ke Myanmar pada bulan Februari, mengingkari perintah mahkamah dan rayuan dari kumpulan hak asasi untuk menghentikan proses penghantaran pulang itu. Seorang pegawai Malaysia mendakwa pelarian dan pencari suaka Rohingya tidak termasuk dalam kalangan yang dihantar pulang, tetapi kumpulan hak asasi mengatakan beberapa orang yang dihantar pulang adalah pencari suaka dari kumpulan etnik minoriti yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.

Dalam soal hak asasi manusia, Malaysia suka mengambil pilih siapa yang harus dijunjung tinggi dan hak siapa yang boleh diendahkan. Apabila tidak ada manfaat politik dalam membantu pelarian tertentu, para pemimpin Malaysia tidak menunjukkan sebarang keraguan moral untuk membiarkan mereka tanpa dihiraukan.

Apabila Tanda Pagar Pudar

Pada 20hb Mei, Israel dan Hamas mengumumkan gencatan senjata di Gaza setelah 11 hari pertempuran. Di antara beratus-ratus orang Palestin dan belasan orang Israel yang terbunuh dalam pertempuran itu adalah lebih daripada 60 kanak-kanak di Gaza dan dua di Israel. Namun biarpun setelah gencatan senjata, Hamas masih melancarkan bebola api ke arah Israel, dan Israel telah bertindak balas dengan serangan udara. Warga Palestin yang tinggal di Sheikh Jarrah terus menentang keputusan mahkamah Israel untuk mengusir mereka dari kediaman mereka. Polisi aparteid Israel terhadap Palestin tidak berubah, tetapi perhatian dunia sudah berubah, malah di Malaysia yang kononnya pro-Palestin.

Mesej awam mengenai perpaduan penting, tetapi ianya harus diikuti dengan tindakan. Setakat petikan suara sahaja tidak akan membantu Palestin dan pelarian-pelarian lain di Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, mendapat pekerjaan yang stabil, mendapat gaji hidup, atau hidup dengan aman dengan hak asasi mereka terjamin. Hanya perubahan dasar yang nyata dan berkesan dapat menjamin perlindungan hak-hak mereka.

Namun jika dasar anti-pelarian Malaysia terus bertahan, dan jika layanan hipokrit dan janji kosong Malaysia kepada warga Palestin dibiarkan tanpa dicabar, tidak banyak sebab untuk mempercayai bahawa pelarian di Malaysia—sama ada Palestin atau tidak—akan dapat hidup sejahtera di negara ini yang jauh dari tanah asal.

Wael Qarssifi

Wael Qarssifi adalah seorang pelarian dan wartawan yang tinggal di Malaysia. Dia membuat liputan mengenai isu pelarian dan penghijrahan.